March 2012


Kemudian anak itu hendaklah di hantar ke sekolah, supaya ia belajar al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w., mendengar cerita-cerita para salihin dan sejarah kehidupan mereka, agar tertanam di dalam hatinya kecintaan terhadap orang-orang yang mulia itu.

Hendaklah ia dijaga supaya tidak membaca atau mendengar syair-syair yang melukiskan gambaran asyik-ma’syuk dan orang-orang bercinta-cintaan, kerana yang demikian itu akan menumbuhkan benih-benih kerosakan di dalam dirinya.

Seterusnya bila terlihat pada anak itu semacam budi pekerti yang indah dan kelakuan yang terpuji, maka hendaklah anak itu dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai.

Tetapi jika ia terlanjur sesekali dalam setengah-setengah perkara, maka hendaklah berpura-pura terlupa atau tidak ternampak akan kelakuannya yang salah itu.

Dan jangan sekali-kali memalukan anak itu atau membuka rahsianya, dan janganlah menampakkan keadaannya bahawa orang lain ada yang berani melakukan sepertinya. Terutama sekali bila anak itu telah mencuba untuk menutup keaibannya, dan bersunguh-sungguh cuba menyembunyikan kekhilafannya. Sebab membuka rahsianya mungkin akan menimbulkan perasaan tindak balas dari anak itu, sehingga ia menjadi berani mengulangi kelakuan yang salah itu, meskipun diancam untuk didedahkan kesalahan itu kepada orang ramai.

Tetapi sekiranya ia mengulangi lagi perbuatan salah itu bagi kali kedua maka sebaliknya hendaklah ia ditegur secara rahsia dan menyatakan bahawa perkara yang dibuatnya itu tidak patut dibuat oleh seseorang sepertinya.

Kemudian hendaklah ia diingatkan sekali agar jangan kembali melakukan perkara seperti itu lagi, nanti apabila diketahui oleh orang ramai, kelak kelakuannya akan memalukan dirinya.

Ibu bapa harus tidak menggalakkan anak-anak lelaki memakai pakaian yang berwarna-warni, ataupun memakai pakaian sutera dan menyatakan kepada mereka, bahawa pakaian berwarna-warni atau sutera itu adalah pakaian kaum wanita, ataupun pakaian orang pondan. Orang lelaki harus merasa malu bila memakai pakaian serupa itu.

Hal ini hendaklah diingatkan kepada anak-anak itu berulang kali. Setiap kali mereka melihat seorang anak lelaki memakai pakaian sutera ataupun pakaian yang berwarna-warni maka hendaklah ia mengingkari dan mencelanya.

Hendaklah ibu bapa memelihara anaknya daripada bercampur gaul dengan budak-budak yang telah dibiasakan dengan kehidupan bersenang-lenang dan bermewah-mewahan atau memakai pakaian yang indah-indah.

Ibu bapa juga harus melindungi anak-anaknya dari orang yang memperdengarkan kepadanya sesuatu yang amat disukai oleh anak itu. Sebab apabila anak itu tidak dikawal sejak dari mula, nescaya ia akan dikuasai oleh berbagai-bagai sifat yang rendah, seperti buruk budi pekerti, pendusta, pendengki, pencuri, pencaci, suka meminta dengan paksaan, suka menjaga tepi kain orang, banyak ketawa, banyak tipu daya dan suka membuat sesuatu yang tidak berguna.

Maka seharusnya anak itu diberikan perlindungan dari segala sifat-sifat yang tersebut di atas tadi; iaitu dengan jalan mendidiknya dari permulaan pertumbuhannya.

Sifat yang mula-mula akan menonjol pada anak-anak ialah kegelojohan dengan makanan. Ia harus dididik dengan cara-cara dan adab sopan menghadapi makanan, iaitu:

  1. Jangan mengambil makanan, melainkan dengan tangan kanan saja.
  2. Membaca Bismillah bila menyuap makanan
  3. Mengambil makanan yang ada di hadapannya saja.
  4. Jangan tergesa-gesa mengambil makanan sebelum orang lain mengambilnya
  5. Jangan meliarkan pandangan kepada makanan, ataupun meneliti muka orang yang sedang makan.
  6. Jangan terlalu cepat bila memakan
  7. Mengunyah makanan baik-baik sebelum ditelan
  8. Jangan terlalu cepat menyuap makanan
  9. Jangan sampai mengotorkan tangan dan pakaian dengan makanan itu.
  10. Membiasakan makan roti tanpa lauk-pauk pada setengah-setengah waktu, supaya seleranya tidak memandang wajib adanya lauk-pauk dalam makanan.

Ibu bapa harus mengingatkan kepada anak-anak, bahawa banyak makan itu adalah sifat yang tercela, dan mengumpamakan orang yang makan banyak iyu seperti binatang.

Jika terdapat seorang anak yang suka makan banyak, hendaklah ia dicela di hadapan anak-anaknya yang lain. Dan ia memuji pula anak yang pandai menjaga adab dalam menghadapi makanan, dan anak yang makannya sedikit.

Ibu bapa harus membiasakan anak-anak supaya suka mendahulukan orang lain dalam hidangan makanan, dan mendidiknya supaya jangan menajamkan pandangan kepada hidangan makanan, dan supaya selalu bersikap puas dengan makanan yang ada saja, yakni tidak terlalu cerewet.

 

Cara melindungi anak itu ialah dengan memberinya pendidikan dan pengajaran yang baik, dan membiasakannya dengan segala akhlak dan budi pekerti yang terpuji, memeliharanya dari pergaulan dengan kawan-kawan jahat.

Seorang bapa tidak usah selalu membiasakan anak-anaknya dengan kesenangan yang berlebih-lebihan, ataupun mengikutkan kemahuan anak-anak dalam serba-serbi kemewahan dan perhiasan diri, kelak anak-anak itu akan menghabiskan umurnya berkecimpung dalam menuntut kemewahan dan kesenangan bila ia dewasa kelak, yang mana ini akan menarik mereka kepada kebinasaan yang berterus-terusan.

Yang paling perlu sekali, ialah ibu bapa harus memerhatikan pendidikan anak-anak sejak mula pertumbuhannya. Mereka tiada mengupah orang untuk mengasuh atau menyusukan anak, kecuali seorang perempuan yang saleh, baik urusan agamanya, makan hanya yang halal saja.

Apabila dilihat ada tanda tamyiz (kepandaian) pada anak itu, maka hendaklah ia memperketatkan lagi pengawasan terhadapnya.

Permulaannya tanda-tanda tamyiz ialah tumbuhnya sifat malu pada diri. Sebab jika ia sudah pandai malu dan segan meninggalkan sebahagian dari kelakuan-kelakuan yang tertentu, maka itulah tanda-tanda terbitnya cahaya pemikiran di dalam akalnya. Dan ini juga adalah gejala-gejala baik yang menunjukkan bahawa akhlak anak itu telah lurus dan hatinya telah bersih.

Anak yang pemalu tidak seharusnya dibiarkan begitu saja, malah hendaklah ia dibantu dengan menambah lagi pendidikan dalam sikap malunya dan tamyiznya.

Ketahuilah bahawa jalan untuk mendidik anak-anak kecil dan melatih mereka dengan budi pekerti yang terpuji adalah di antara perkara-perkara yang terpenting dan amat perlu.

Anak-anak itu adalah amanat di tangan kedua ibu bapa. Hatinya yang suci laksana mutiara yang berharga, indah, bersih dari segala gurisan dan bentuk.

Anak-anak kecil akan menerima apa saja yang dibuat kepadanya dan condong kepada apa yang ditarik kepadanya. Tegasnya jika dibiasakan anak-anak itu dengan perbuatan-perbuatan baik yang diajarkan kepadanya, ia akan besar dalam keadaan itu, sehingga berbahagialah kehidupannya dunia akhirat. Kedua ibu bapa, guru, pendidik dan semua orang yang turut mengasuhnya akan bersyarikat dalam mendapat pahala dari Allah Ta’ala.

Sebaliknya, jika anak-anak itu dibiasakan dengan perbuatan-perbuatan yang jahat dan dicuaikan pendidikannya seperti kehidupan binatang yang terbiar, tentu sekali ia akan menjadi celaka dan binasa, dan dosanya juga turut terpikul ke atas punak walinya atau penanggungjawabnya.

Dalam hal ini, Allah Ta’ala telah berfirman:

Wahai orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka.” (at Tahrim: 6)

Kalau ayah bersungguh-sungguh untuk melindungi anaknya dari api dunia, maka melindunginya dari api akhirat lebih penting dan utama lagi.

Diceritakan bahawa al-Ahnaf bin Qais pernah ditanya oleh orang, katanya: Dari siapa engkau belajar menjadi penyantun? Jawabnya: dari Qais bin ‘Ashim. Orang itu bertanya lagi: Sampai ke darjat manakah penyantunannya? Jawab al-Ahnaf: Pada suatu ketika, sedang ia duduk di rumahnya, maka datanglah jariahnya membawa pacak pemanggang besi yang ada daging panggangnya. Tiba-tiba pacak itu terlepas dari tangan jariah dan jatuh mengenai anak kecil Qais hingga menyebabkan anak itu mati. Jariah terperanjat dan bingung. Kata Qais: Engkau tak usah takut, tetapi kini aku merdekakan engkau kerana Allah Ta’ala.

Diriwayatkan lagi bahawa Saiyidina Ali bin Abu Talib karamallahuwajhah pernah memanggil hamba sahayanya, tetapi hamba itu tidak datang. Dipanggilnya kedua kali dan ketiga kali, ia masih tidak juga datang. Maka Ali pun mendatanginya. Dilihatnya hamba itu sedang baring bersenang-senang. Ali bertanya: Hai, apakah engkau tidak dengar panggilan aku? Hamba itu berkata: Bahkan saya dengar. Ali bertanya lagi: Tapi apa sebabnya engkau tidak menjawab penggilanku? Kata hamba: Saya tahu tuan tidak akan menyiksa saya atas kelakuan saya, maka saya pun malas hendak menjawab. Saiyidina Ali pun berkata lagi: Pergilah dari sini engkau, aku merdekakan kerana Allah Ta’ala.

Sekali peristiwa, pernah seorang wanita memanggil Malik bin Dinar katanya: Wahai orang yang banyak riya’! Maka dijawab oleh Malik bin Dinar: Wahai ibu! Sebenarnya engkau telah mengingatkan aku semula namaku yang telah dilupai oleh seluruh penduduk Basrah.

Demikianlah contoh-contoh jiwa yang telah direndahkan dengan latihan, sehingga menjadi lurus budi pekertinya dan bersih suci kebatinannya dari segala penyakit penipuan, kepalsuan dan hasad dengki. Jiwa yang serupa inilah yang akan menghasilkan keredhaan dengan segala yang ditentukan oleh Takdir Allah Ta’ala dan itulah yang dikatkan setinggi-tinggi keluhuran budi pekerti.

Oleh itu orang yang tiada menemui tanda-tanda ini dalam dirinya, jangan pula ia bermegah diri, sehingga menyangka yang ia bersifat dengan budi pekerti dan akhlak yang luhur. Sebaliknya hendaklah ia bertekun bersungguh-sungguh dalam melatih dirinya, dan berjuang menahan hawa nafsunya, sehingga ia berjaya pula mencapai darjat keluhuran budi pekerti dan akhlak. Sesungguhnya yang demikian itu adalah suatu darjat yang paling tinggi, yang tidak akan dicapainya, melainkan setelah ia sampai ke darjat para muttaqin dan shiddiqin.

Rasulullah s.a.w. telah mensifatkan orang Mu’min dengan sifat yang berbagai-bagai, kesemuanya menunjukkan kepada akhlak dan budi pekerti yang terpuji. Sabdanya:

“Seorang Mu’min itu mencintai saudaranya, sebagaimana ia mencintai dirinya.

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia menghormati tetangganya.”

Lagi sabdanya:

“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata baik ataupun ia berdiam diri.”

Rasulullah s.a.w. menyebutkan juga tentang sifat-sifat kaum Mu’minin, iaitu hendaklah mereka berbudi pekerti indah. Sabdanya:

“Sempurna-sempurna iman orang Mu’min, ialah yang paling terpuji budi pekertinya.”

Sabdanya seterusnya:

“Tidak patut bagi seorang Mu’min memandang kepada saudaranya dengan pandangan yang boleh menyakiti hatinya.”

Sabdanya lagi

“Tidak patut bagi seorang Muslim mengancam orang Muslim lainya.”

Lagi sabdanya:

Hanyasanya dua orang yang sedang duduk dalam sesuatu majlis itu, hendaklah menjaga amanat Allah azzawajalla, maka tiada boleh seorang dari keduanya melahirkan suatu rahsia yang dibenci oleh saudaranya.”

Ujian yang paling utama harus ditujukan kepada orang yang bersifat dengan budi pekerti yang luhur, ialah sifat sabar atas segala macam perkara yang menyakiti hati, dan menanggung segala kelakuan yang tidak disenangi.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang berjalan-jalan bersama sahabatnya Anas, mereka bertemu dengan seorang Badwi, lalu Badwi itu menarik Baginda secara kasar dan keras, sedang baginda memakai kain tutup buatan Najran yang kasar tepi-tepinya. Berkata Anas menceritakan berita ini: Saya boleh nampak pada leher Baginda Rasulullah s.a.w. ada bekas yang ditinggalkan orang tarikan orang Badwi itu oleh kerana sangat kuatnya tarikan itu. Kemudian Badwi itu berkata kepada Baginda: Wahai Muhammad! Berikanlah aku harta Allah yang ada padamu! Rasulullah s.a.w. menoleh kepada Badwi itu seraya tertawa. Kemudian Baginda menyuruh agar Badwi itu diberikan kehendaknya.

Demikianlah pula apabila orang-orang Quraisy terlalu banyak yang menyakiti Baginda, maka Baginda hanya berdoa begini:

Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah terhadap kaumku! Sesungguhnya mereka tiada mengetahui.” 

Kita mulakan dengan tanda-tanda budi pekerti baik.

Firman Allah Ta’ala.

“Sesungguhnya telah beruntung orang-orang yang beriman. Mereka yang berkhusyu’ di dalam sembahyang mereka. Dan mereka yang berpaling dari perkara-perkara yang kotor. Dan mereka yang membayar zakat. Dan mereka yang menjaga alat-alat kelamin mereka. Kecuali kepada isteri-isteri mereka ataupun hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka itu tiada tercela. Barangsiapa mencari selain dari itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melanggar batas. Dan mereka yang memelihara amanat-amanat dan janji mereka. Dan mereka yang menjaga sembahyang-sembahyang mereka. Mereka itulah orang-orang yang mewarisi, iaitu mewarisi Syurga Firdaus, dan mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya.” (al-Mu’minin: 1-11)

“Orang-orang yang bertaubat yang beribadat yang memuji Tuhan yang merantau (di bumi Allah), yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat baik dan melarang dari perbuatan-perbuatan jahat, dan yang menjaga batas-batas Allah. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.” (at-Taubah: 112)

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, ialah mereka yang apabila disebutkan saja nama Allah, maka takutlah hati mereka. Dan apabila dibacakan saja ayat-ayatNya, maka bertambahlah keimanan mereka, dan mereka itu sentiasa berserah diri kepada Tuhan mereka. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan membelanjakan dari apa yang Kami berikan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang beriman dengan sebenarnya. Mereka memperoleh beberapa darjat di sisi Tuhan mereka, juga pengampunan dan rezeki yang mulia.” (al-Anfal: 2-4)

“Dan hamba-hamba Allah yang Maha Pengasih, iaitu mereka yang berjalan di bumi dalam keadaan tenang dan apabila orang-orang yang bodoh berkata kepada mereka, maka mereka hanya menjawab: Selamat. Dan mereka yang di waktu malam hari menyembah Tuhan dalam keadaan sujud dan berdiri. Dan mereka yang berkata: Wahai Tuhan kami! Jauhkanlah kiranya dari kami siksaan Neraka Jahannam, sesungguhnya siksaannya itu pasti berlaku. Sesungguhnya ia tempat kediaman dan tempat tinggal yang amat buruk. Dan mereka itu, apabila membelanjakan hartanya, tiada melampaui batas dan tiada pula bersifat kikir, malah pertengahan antara keduanya. Dan mereka yang tiada menyeru Tuhan yang lain di samping Allah dan mereka tiada membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan hak, dan mereka tiada melakukan perzinaan. Barangsiapa yang melakukan demikian nescaya akan mendapat dosa. Kepadanya dilipat gandakan siksaan pada Hari Kiamat, dan mereka tetap di sana dalam keadaan terhina, kecuali orang yang bertaubat dan mengerjakan perbuatan yang baik, maka orang-orang itu akan digantikan oleh Allah kejahatan-kejahatan mereka dengan kebaikan-kebaikan. Dan Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat lalu mengerjakan perbuatan baik maka sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan sebenarnya. Dan mereka yang tiada menjadi saksi palsu, dan bila melalui pada perkara-perkara yang omong kosong, mereka berlalu dengan hormatnya. Dan mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Allah, mereka tidak tersungkur ke dalamnya dalam keadaan tuli dan buta. Dan mereka yang berkata: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan keturunan kami cahaya mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa. Mereka itu adalah orang-orang yang dibalas dengan darjat yang tinggi disebabkan mereka bersabar dan mereka akan diterima di sana dengan penghormatan dan keselamatan. Mereka kekal di dalamnya, amat baiklah tempat kediaman dan tempat tinggal. Katakanlah: Tuhanku tidak akan memperhatikan kamu sekalian, kalaulah bukan sebab doa kamu sekalian. Sesungguhnya kamu telah mendustakan (Tuhan), kerana itu (hukuman) pasti datang.” (al-Furqan: 63-77)

Maka barangsiapa merasa keliru tentang keadaan dirinya hendaklah ia mengukur diri dengan inti ayat-ayat di atas itu. Bila terdapat pada dirinya kesemua sifat-sifat yang tersebut di dalam ayat di atas tadi, maka itu adalah tandanya keluhuran budi pekerti.

Dan bila lenyap pula keseluruhan sifat-sifat itu, maka itulah tandanya kejelekan budi pekerti.

Dan seterusnya jika setengah ada dan setengah tidak ada, maka itulah pula menunjukkan ada sebahagian saja dari budi pekerti itu, maka dalam hal ini hendaklah ia berusaha pula untuk mendapatkan setengah yang tidak ada, seraya memelihara sifat-sifat yang telah ada, jangan sampai yang hilang pula.