Cara melindungi anak itu ialah dengan memberinya pendidikan dan pengajaran yang baik, dan membiasakannya dengan segala akhlak dan budi pekerti yang terpuji, memeliharanya dari pergaulan dengan kawan-kawan jahat.

Seorang bapa tidak usah selalu membiasakan anak-anaknya dengan kesenangan yang berlebih-lebihan, ataupun mengikutkan kemahuan anak-anak dalam serba-serbi kemewahan dan perhiasan diri, kelak anak-anak itu akan menghabiskan umurnya berkecimpung dalam menuntut kemewahan dan kesenangan bila ia dewasa kelak, yang mana ini akan menarik mereka kepada kebinasaan yang berterus-terusan.

Yang paling perlu sekali, ialah ibu bapa harus memerhatikan pendidikan anak-anak sejak mula pertumbuhannya. Mereka tiada mengupah orang untuk mengasuh atau menyusukan anak, kecuali seorang perempuan yang saleh, baik urusan agamanya, makan hanya yang halal saja.

Apabila dilihat ada tanda tamyiz (kepandaian) pada anak itu, maka hendaklah ia memperketatkan lagi pengawasan terhadapnya.

Permulaannya tanda-tanda tamyiz ialah tumbuhnya sifat malu pada diri. Sebab jika ia sudah pandai malu dan segan meninggalkan sebahagian dari kelakuan-kelakuan yang tertentu, maka itulah tanda-tanda terbitnya cahaya pemikiran di dalam akalnya. Dan ini juga adalah gejala-gejala baik yang menunjukkan bahawa akhlak anak itu telah lurus dan hatinya telah bersih.

Anak yang pemalu tidak seharusnya dibiarkan begitu saja, malah hendaklah ia dibantu dengan menambah lagi pendidikan dalam sikap malunya dan tamyiznya.