Ibu bapa harus tidak menggalakkan anak-anak lelaki memakai pakaian yang berwarna-warni, ataupun memakai pakaian sutera dan menyatakan kepada mereka, bahawa pakaian berwarna-warni atau sutera itu adalah pakaian kaum wanita, ataupun pakaian orang pondan. Orang lelaki harus merasa malu bila memakai pakaian serupa itu.

Hal ini hendaklah diingatkan kepada anak-anak itu berulang kali. Setiap kali mereka melihat seorang anak lelaki memakai pakaian sutera ataupun pakaian yang berwarna-warni maka hendaklah ia mengingkari dan mencelanya.

Hendaklah ibu bapa memelihara anaknya daripada bercampur gaul dengan budak-budak yang telah dibiasakan dengan kehidupan bersenang-lenang dan bermewah-mewahan atau memakai pakaian yang indah-indah.

Ibu bapa juga harus melindungi anak-anaknya dari orang yang memperdengarkan kepadanya sesuatu yang amat disukai oleh anak itu. Sebab apabila anak itu tidak dikawal sejak dari mula, nescaya ia akan dikuasai oleh berbagai-bagai sifat yang rendah, seperti buruk budi pekerti, pendusta, pendengki, pencuri, pencaci, suka meminta dengan paksaan, suka menjaga tepi kain orang, banyak ketawa, banyak tipu daya dan suka membuat sesuatu yang tidak berguna.

Maka seharusnya anak itu diberikan perlindungan dari segala sifat-sifat yang tersebut di atas tadi; iaitu dengan jalan mendidiknya dari permulaan pertumbuhannya.