Kemudian anak itu hendaklah di hantar ke sekolah, supaya ia belajar al-Quran dan Hadis-hadis Rasulullah s.a.w., mendengar cerita-cerita para salihin dan sejarah kehidupan mereka, agar tertanam di dalam hatinya kecintaan terhadap orang-orang yang mulia itu.

Hendaklah ia dijaga supaya tidak membaca atau mendengar syair-syair yang melukiskan gambaran asyik-ma’syuk dan orang-orang bercinta-cintaan, kerana yang demikian itu akan menumbuhkan benih-benih kerosakan di dalam dirinya.

Seterusnya bila terlihat pada anak itu semacam budi pekerti yang indah dan kelakuan yang terpuji, maka hendaklah anak itu dimuliakan dan dibalas dengan sesuatu yang boleh menggembirakan hatinya dan dipuji kelakuannya yang baik itu di hadapan orang ramai.

Tetapi jika ia terlanjur sesekali dalam setengah-setengah perkara, maka hendaklah berpura-pura terlupa atau tidak ternampak akan kelakuannya yang salah itu.

Dan jangan sekali-kali memalukan anak itu atau membuka rahsianya, dan janganlah menampakkan keadaannya bahawa orang lain ada yang berani melakukan sepertinya. Terutama sekali bila anak itu telah mencuba untuk menutup keaibannya, dan bersunguh-sungguh cuba menyembunyikan kekhilafannya. Sebab membuka rahsianya mungkin akan menimbulkan perasaan tindak balas dari anak itu, sehingga ia menjadi berani mengulangi kelakuan yang salah itu, meskipun diancam untuk didedahkan kesalahan itu kepada orang ramai.

Tetapi sekiranya ia mengulangi lagi perbuatan salah itu bagi kali kedua maka sebaliknya hendaklah ia ditegur secara rahsia dan menyatakan bahawa perkara yang dibuatnya itu tidak patut dibuat oleh seseorang sepertinya.

Kemudian hendaklah ia diingatkan sekali agar jangan kembali melakukan perkara seperti itu lagi, nanti apabila diketahui oleh orang ramai, kelak kelakuannya akan memalukan dirinya.

Advertisements