April 2012


Ketahuilah bahawa modal seseorang hamba itu ialah waktunya. Selagi ia menghabiskan waktunya pada perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah atau menguntungkan pahala di akhirat, maka orang itu telah mensia-siakan modalnya.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Antara kebagusan Islam seseorang, ialah meninggalkan apa yang tiada sangkut-paut dengan dirinya.”

Sebabnya berlaku yang demikian ialah keinginan seseorang untuk mengambil tahu terhadap sesuatu yang tidak perlu ia tahu, ataupun menghabiskan masa dengan menceritakan hal-ehwal yang tidak ada faedah baginya. Ubat dan penawar bagi penyakit ini, ialah bahawa seseorang itu hendaklah mengetahui setiap nafas yang dihembuskannya itu ialah modalnya, manakala lidahnya adalah jaringan, yang mana dengannya ia akan memburu segala kebaikan yang berbagai-bagai. Oleh itu hendaklah ia faham benar, bahawa mencuaikan lidah itu atau mensia-siakannya, merupakan suatu kerugian yang amat besar.

Advertisements

Bencana-bencana lisan boleh dibahagikan kepada berikut:

  1. Berkata yang tidak perlu
  2. Mengambil tahu tepi kain orang
  3. Melibatkan diri dalam kebatilan
  4. Berbantah-bantahan dan bertengkaran
  5. Pertelingkahan
  6. Meniru percakapan yang indah-indah
  7. Berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul
  8. Melaknat
  9. Bernyanyi dan bersyair
  10. Bersenda-gurau
  11. Menghina atau Mengejek
  12. Membocorkan rahasia
  13. Janji bohong
  14. Berdusta dalam tutur kata dan sumpah
  15. Mengumpat orang (ghibah)
  16. Mengadu domba
  17. Percakapan dua muka
  18. Memuji
  19. Menjaga diri dari kesalahan-kesalahan yang merbahaya
  20. Pertanyaan yang pelik-pelik

Ketahuilah bahawa bahaya lisan (lidah) itu besar sekali, dan manusia tidak akan selamat dari bahya ini, melainkan dengan bertutur kata yang baik saja.

Nabi s.a.w. telah bersabda:

Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”

Berkata Mu’az bin Jabal kepada Rasulullah s.a.w.: Apakah kita akan dihisab juga atas apa yang kita katakan, wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Wahai Mu’az! Tidakkah engkau ketahui bahawa manusia itu akan ditelengkupkan menerusi hidung-hidung mereka disebabkan hasil tuaian lidah-lidah mereka.

Ibu Mas’ud (Abdullah bin Mas’ud) r.a. pernah berkata: Wahai lidah! Sebutkanlah yang baik-baik, nescaya engkau akan dapat faedah. Dan berdiamlah dari berkata buruk, nescaya engkau terselamat sebelum engkau menyesal.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

 “Barangsiapa yang memelihara lidahnya, Allah akan menutup kecelaannya. Barangsiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya dari siksaNya. Dan barangsiapa yang menyatakan keuzurannya kepada Allah, Allah akan menerima uzurnya”.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam saja”

Sabdanya lagi:

“Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan.” 

Bab-bab kecil dalam kitab Bencana Lisan adalah seperti berikut:

 

  • Bahaya lisan
  • Pembahagian bencana-bencana lisan
  • Berkata yang tidak perlu
  • Mengambil tahu tepi kain orang
  • Melibatkan diri dalam kebatilan
  • Berbantah-bantahan dan bertengkaran
  • Pertelingkahan
  • Meniru percakapan yang indah-indah
  • Berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul
  • Melaknat
  • Bernyanyi dan bersyair
  • Bersenda-gurau
  • Menghina atau Mengejek
  • Membocorkan rahasia
  • Janji bohong
  • Berdusta dalam tutur kata dan sumpah
  • Dusta yang dibolehkan
  • Larangan memberi alasan yang dusta
  • Mengumpat orang (ghibah)
  • Pengertian mengumpat dan batasnya
  • Sebab-sebab ghibah
  • Penawar yang dapat mengekang lidah dari mengumpat
  • Menyangka buruk adalah mengumpat di dalam hati.
  • Sebab-sebab yang membolehkan mengumpat
  • Kaffarah (denda) ghibah
  • Mengadu domba
  • Percakapan dua muka
  • Memuji
  • Menjaga diri dari kesalahan-kesalahan yang merbahaya
  • Pertanyaan yang pelik-pelik

Kiriman seterusnya secara beransur satu persatu akan disusuli.

Sewajarnyalah juga diajarkan kepada anak-anak itu, supaya selalu mentaati kedua ibu bapa dan mematuhi perintah guru atau pendidik dan seterusnya terhadap semua orang yang lebih tua daripada mereka, sama ada dari golongan kaum kerabat sendiri mahupun orang luar.

Hendaklah ia memandang kepada mereka dengan pandangan penuh penghormatan dan ta’zim, dan meninggalkan permainan di hadapan mereka sekalian.

Apabila sampai saja kepada umur mumaiyiz (pandai), maka sudah wajib mereka dijaga tentang soal taharah (kesucian) dan sembahyang, supaya tidak dicuaikan. Diperintahkan mereka berpuasa pada sebahagian Ramadhan. Diajarkan mana-mana yang perlu dari batasan-batasan syara’. Diingatkan juga supaya jangan berani, mencuri memakan yang haram, berbuat khianat, berdusta, melakukan perkara-perkara keji dan sebagainya.

Apabila pendidikan anak yang kecil diusahakan seperti yang disebutkan di atas tadi, nescaya apabila ia menjadi dewasa, ia akan kenal akan mengetahui semua rahsia-rahsia kelakuan yang diajarkan kepadanya sewaktu kecil itu.

Hendaklah anak-anak itu dilarang keras dari tabiat suka bersumpah sama ada benar atau pun bohong, supaya mereka tiada terbiasa dengan bersumpah sejak kecil lagi.

Dibiasakan supaya selalu mendengar baik-baik tutur bicara orang lain yang lebih dari tua dari mereka.

Hendaklah ia bangun untuk menghormati orang yang lebih tua, dan meluaskan tempat duduk baginya seraya duduk menghadapinya pula.

Dilarang berbicara kotor ataupun bual kosong.

Dilarang melaknat dan memaki serta dihalangi daripada bercampur gaul dengan orang-orang yang suka melaknat dan memaki, sebab tabiat itu tidak syak lagi akan menjangkitinya, dan akhirnya ia tergolong pula ke dalam teman-teman yang jahat, padahal pokok pendidikan bagi anak-anak ialah menjauhi mereka daripada teman-teman yang jahat.

Sewajarnyalah sesudah anak-anak itu kembali ke sekolah diizinkan supaya mereka bermain-main permainan yang baik, agar mereka boleh berehat dari penat lelah belajar di sekolah. Sebab melarang anak-anak dari bermain serta memaksanya terus belajar tanpa rehat akan mematikan hatinya dan melenyapkan kecerdasannya serta mengeruhkan kehidupannya. Akhirnya mereka akan mencuba dengan berbagai-bagai tipu daya untuk melepaskan diri dari belajar sama sekali.

Selanjutnya anak-anak itu harus jangan dibiasakan berludah ketika di dalam sesuatu majlis atau membuang hingus atau menguap di hadapan orang ramai.

Jangan mereka membelakangi orang bila duduk, jangan meletak kaki atas kaki, jangan bertongkat dagu, jangan menyandarkan kepala di atas lengan, kerana yang demikian itu adalah sifat orang pemalas.

Hendaklah anak-anak itu diajarkan cara-cara duduk dalam majlis-majlis, dilarang banyak bicara dan diingatkan kepadanya bahawa banyak bicara itu menandakan buruknya budi pekerti, dan itu adalah kelakuan anak-anak yang jahat.

Next Page »