Anak mestilah dilarang dari tabiat suka tidur pada siang hari, sebab yang demikian akan menghidupkan tabiat malas dalam dirinya. Tetapi jangan ditahan anak tidur pada malam hari.

Biarlah tempat tidurnya dari tilam yang kasar supaya segala anggota badannya menjadi keras dan kuat, dan tubuhnya tidak gemuk, akhirnya ia menjadi manja dengan keadaan segala macam yang kasar seperti tempat tidur yang kasar dan pakaian yang kasar.

Seterusnya seorang mestilah dilarang dari berbuat sesuatu secara rahsia, sebab tidak ada sesuatu yang dilakukannya secara rahsia, melainkan ia yakin bahawa perkara itu tidak baik diketahui oleh ibu bapanya. Jika sekiranya ia di larang, nescaya ia tidak akan membiasakan dirinya berbuat sesuatu yang tak baik.

Pada siang hari, hendaklah ia dibiasakan berjalan-jalan, bergerak badan dan berolahraga, supaya badannya tidak dikuasai oleh sifat malas.

Juga hendaklah anak itu dibiasakan agar tidak mendedahkan kepala tangan dan kakinya tidak terlalu cepat berjalan, tidak suka membanggakan diri ke atas rakan-rakannya dalam soal makanan dan pakaian, tetapi hendaklah ia membiasakan merendah diri dan menghormati sekalian orang yang bergaul dengannya, serta berlemah-lembut bila berbicara kepada mereka.

Juga hendaklah anak itu dilarang mengambil balik sesuatu barang yang telah diberikan kepada anak-anak yang lain. Dan hendaklah diajarkan kepadanya bahawa sifat mulia diri itu boleh didapati dengan memberi bukan mengambil. Menerima sesuatu dari orang lain itu adalah tercela, terhina dan rendah darjat dan sifat itu adalah kebiasaan anjing yang selalu mengibas-ngibaskan ekornya menunggu sesuatu suap dan terasa gelojoh kepada makan yang ditunggunya itu.

Seterusnya hendaklah diajarkan kepada anak-anak itu, supaya jangan terlalu mencintai emas dan perak serta menunjukkan sikap tamak terhadap barang-barang itu. Dan dilarang mereka dari keduanya lebih dari ditakutkan tentang ular dan kala jengking. Sebab bahaya mencintai emas dan perak itu lebih dasyat daripada bahaya racun terhadap anak-anak masih muda itu, bahkan sama bahayanya terhadap orang-orang dewasa juga.

 

Advertisements