May 2012


Termasuk dalam apa yang disebut dalam pembahagian bencana lisan ialah larangan bernyanyi dan bersyair.

Yang dilarang dari bernyanyi dan bersyair ialah yang mengandungi bahan-bahan yang tercela daripada keduanya seperti nyanyian-nyayian dan syair-syair yang memuatkan kata-kata yang diharamkan, ataupun yang mengajak kepada melakukan sesuatu yang haram, memuja-muja masa muda seseorang yang tertentu, mengejek-ejek orang, menyerupai kaum wanita, menaikkan semangat untuk melakukan kejahatan, ataupun menggalakkan supaya bercampur gaul dengan orang-orang yang rosak akhlaknya, atau yang suka bergurau melampaui batas, atau yang menghabiskan masa dalam perkara itu atau sebagainya.

Semua nyanyian-nyanyian dan syair-syair yang berunsur dari perkara-perkara yang disebutkan ini adalah dilarang. Selain dari yang tersebut dihukumkan mubah atau harus.

Melaknat binatang atau benda yang mati (beku), ataupun melaknat manusia, semua ini adalah dilarang dan terkira sifat yang tercela dalam agama. Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Seseorang Mu’min yang sejati, bukanlah orang yang suka melaknat.”

Pengertian laknat ialah tersingkir dan terjauh dari rahmat Allah Ta’ala dan melemparkan laknat ke atas seseorang itu tidak diharuskan, kecuali kiranya orang itu memang mempunyai sifat tersebut, yakni terjauh dari rahmat Allah azzawajalla. Terjauh dari rahmat Allah boleh disebabkan kerana kekufuran ataupun penganiayaan. Tetapi melaknat seorang fasik yang tertentu masih dikira merbahaya juga, sebaik-baiknya ditinggalkan saja, meskipun sesudah kematiannya. Malah lebih-lebih dilarang lagi jika melemparkan laknat itu akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak senang dari keluarganya yang hidup.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Jangan sekali-kali kamu memaki-maki orang yang sudah mati, supaya kamu tidak menyakiti hati orang-orang yang hidup.”

Perkara lain yang dikira hampir sama seperti laknat, ialah mendoakan ke atas seseorang dengan kejahatan (hal-hal yang baik), sekalipun ia seorang yang zalim, maka mendoakan ke atasnya masih dilarang juga.

Dalam suatu khabar dikatakan, Rasulullah s.a.w. pernah berkata:

“Orang yang teraniaya itu akan mendoakan ke atas si zalim (yang menganiayai) sehingga Allah membalasnya.” 

Sifat-sifat berkata kotor, memaki dan lidah yang cabul  juga amat dilarang oleh agama, dan ia dikira antara sifat-sifat yang tercela yang bersumber dari kejahatan dan kedurjanaan.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Waspadalah kamu dari kata-kata yang kotor, kerana sesungguhnya Allah Ta’ala tiada suka kepada kata-kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Rasulullah s.a.w. pernah melarang para sahabatnya supaya jangan memaki kaum Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar, sabdanya: Janganlah kamu memaki-maki mereka itu, yakni orang-orang Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar itu, sebab caci-makimu itu tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada mereka, malah sebaliknya kamu akan menyakiti hati orang-orang yang masih hidup (dari keluarga si mati itu). Ketahuilah bahawasanya kata-kata yang kotor itu adalah suatu kejahatan.

Sabdanya lagi dalam sebuah Hadis:

“Bukanlah seorang Mu’min itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.”

Lagi sabdanya:

“Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bercakap kotor, berlaku cabul, suka berteriak-teriak dalam pasar.”

Batasan bercakap kotor itu, memadailah dengan membicarakan sesuatu perkara dengan menggunakan ibarat-ibarat yang buruk yang tak senang didengar oleh telinga. Hal-hal serupa ini sering berlaku sekitar membicarakan tentang persoalan-persoalan seks dan liku-likunya. Ibarat-ibarat yang keji itu sering menjadi permainan di mulut orang-orang yang memang buruk kelakuannya, yang biasa diperbualkan antara sesama mereka. Manakala orang-orang yang baik perilakunya sentiasa menjaga diri dari menyebut kata-kata yang kotor serupa itu.

Andaikata perlu disebutkan juga, maka mereka tidak pernah menyebutnya secara terang-terangan, malah mereka menggunakan kata-kata sindiran atau kata-kata semakna dengannya saja.

Berkata Ibnu Abbas r.a.: Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Hidup, Maha Mulia dan Maha Pemaaf. Digunakan maksud persetubuhan itu dengan perkataan bersentuh kulit.

Maka perkataan-perkataan seperti masis atau mas (menyentuh), dukhul (masuk) adalah kata-kata yang dipakai untuk maksud bersetubuh atau berjimak. Ini semua untuk menjaga bahawa kata-kata yang dipakai dalam al-Quran itu jangan ada yang berbau kotor.

Di sana ada banyak lagi ibarat-ibarat yang kotor, yang tidak layak disebutkan disini, kebanyakan daripadanya digunakan dalam caci-maki, ataupun untuk menunjukkan tanda tidak senang kepada orang yang dilemparkan kata-kata itu. Apabila orang itu merasa malu jika kata-kata seperti itu dilemparkan kepadanya, maka janganlah hendaknya ia berani menyebutnya secara terang-terangan kepada orang lain. Sebab semuanya itu merupakan perkara-perkara yang keji yang harus dijauhi.

Dan punca dari segala kelakuan ini, sama ada bertujuan untuk menyakiti orang lain, ataupun tersebab oleh kebiasaan yang dihasilkan oleh percampurgaulan yang tak sihat dengan orang-orang yang buruk akhlak dan kelakuannya, yang sudah sememang menjadi tabiat mereka suka mencaci-maki dan berbuat pekerjaan-pekerjaan yang keji.

Sekali Peristiwa datang seorang Arab dusun kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: Wahai Rasulullah! Berikanlah aku suatu wasiat! Maka Rasulullah s.a.w. pun bersabda:

Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau lantaran sesuatu keaiban yang diketahuinya ada padamu, maka janganlah hendaknya engkau membalasnya dengan memalukannya lantaran sesuatui keaibannya yang engkau mengetahui pula, kelak bencananya akan tertimpa atas orang itu, manakala pahalanya pula akan dicatitkan bagimu. Juga jangan sekali-kali memaki sesuatu.”

Setelah mendengar wasiat Rasulullah s.a.w., maka orang dusun itu pun berkata pula: Sesudah itu saya tak pernah memaki-maki lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Pencacian seseorang Mu’min adalah fasik (perkara jahat) dan pembunuhnya adalah kekufuran.”

Lagi sabdanya:

“Orang yang memaki kedua ibu bapanya adalah terlaknat.”

Dan pada riwayat yang lain:

“Seberat-berat dosa besar, ialah bila seseorang itu memaki-maki kedua ibu bapanya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimanakah seseorang itu akan memaki-maki kedua ibu bapanya? Jawab Rasulullah s.a.w.: Bila seseorang memaki-maki bapa orang lain, maka orang itu akan membalas memaki-maki bapanya pula.”

Yang dimaksudkan dengan percakapan yang indah-indah itu ialah bercakap fasih yang dibuat-buat dan memaksa diri berkata-berkata dengan bersajak atau berfasih atau meniru cara orang lain bercakap; semua ini termasuk memaksa diri dengan tercela dan terlarang dalam agama.

Sepatutnya bila seseorang itu berkata, cukuplah dengan menerangkan maksud perkara yang dicakapkan itu. Yang dikatakan maksud dari percakapan ialan memahamkan tujuannya, tidak lebih dari itu.

Apabila ditambah lebih dari itu, ataupun disampaikan segera berbunga-bunga yang tak perlu, maka itu termasuk perkara yang dicela. Dan tidak terkira dalam perkara-perkara yang terlarang itu, mengindahkan peringatan ataupun pidato di hadapan khalayak ramai, tetapi mestilah tanpa berlebih-lebihan atau menggunakan kata-kata yang sukar difahami oleh mereka.

Adapun kata-kata yang sedap didengar itu akan meninggalkan kesan dan pengaruh kepada pendengaran orang ramai.

Pertelingkahan adalah di antara sifat-sifat yang terkeji dan dilarang oleh agama. Ia adalah ekoran dari sebab pertengkaran dan berbantah-bantahan. Hakikat permusuhan itu adalah disebabkan kerana terlampau banyak perbantahan dan mengadu pendapat, untuk memperoleh harta benda dunia ataupun sesuatu hak yang tertentu.

Dalam sebuah Hadis sabda Rasulullah s.a.w:

Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah Ta’ala, ialah orang yang paling degil dan suka bertelingkah.”

Sifat pertelingkahan itu tiada cela, melainkan kerana ingin menegakkan kebatilan, ataupun untuk memenangkan sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang cukup terlebih dulu, seperti orang ingin mempertahankan sesuatu perkara sebelum faham benar-benar, bahawa yang hak itu berada di pihak mana.

Ataupun ia mencampuradukkan pertelingkahannya dengan kata-kata yang menyakiti hati yang tidak perlu ditonjolkan dalam membenarkan hujah-hujah atau mengajukan kebenaran. Ataupun yang menariknya kepada pertelingkahan itu, semata-mata kerana sengaja hendak menundukkan musuh dan mematahkan harapannya, sedangkan ia sendiri memandang kecil terhadap kadar wang yang dipertelingkahkan itu.

Dalam perkara yang dipertelingkahkan itu, ada orang yang memang dengan terang-terang telah menyatakan hasratnya, bahawa maksudnya ialah tiada lain, kecuali untuk menundukkan lawannya, atau mematahkan kehendak lawan itu. Kadang-kadang ia berkata: Kalau saya menang dalam perkara ini dan mendapat wang tersebut, barangkali saya akan buangkan wang itu ke dalam perigi buta saja, asalkan saya puas hati. Nyatalah bahawa maksudnya tiada lain, melainkan untuk melahirkan perasaan degil dan suka bertelingkah yang akan menimbulkan permusuhan sesudah itu. Kelakuan ini amat dicela.

Adapun orang yang teraniaya yang ingin mempertahankan hujahnya menerusi jalan syariat, tanpa disertai sifat degil dan melampaui batas, ataupun tidak menambah hujah-hujahnya dengan kata-kata yang tidak perlu dalam persoalannya dan tidak pula bertujuan memaksa atau menyakiti lawannya, maka perbuatannya itu diharuskan dan tidak haram.

Tetapi yang sebaiknya hendaklah dijauhi, selagi ada jalan lain yang boleh ditempuhnya, tanpa melakakukan salah satu dari sifat-sifat tadi. Sebab menjaga lidah dengan hanya menyebutkan kata-kata yang perlu saja dalam pertelingkahan sekadar sederhana adalah diterima keuzurannya.

Pertelingkahan itu akan menyempitkan dada dan menimbulkan perasaan marah. Apabila perasaan marah telah menguasai jiwa akan terlupalah orang yang bertelingkah itu akan dirinya dan yang tinggal hanya dendam khusumat dalam diri masing-masing dari kedua-dua orang yang bertelingkah itu, sehingga tiap-tiap seorang akan merasa senang jika mendengar keburukan lawannya, dan merasa dukacita jika mendengar kebaikannya, dan masing-masing pun bebas memainkan lidahnya untuk menjatuhkan kehormatan yang lain. Maka orang yang memulakan permusuhan ini ialah orang yang menempa segala larangan-larangan ini.

Mula-mula sekali hatinya akan terganggu sehingga dalam sembahyangnya sekalipun ia akan diganggu oleh pemikiran mencari hujah-hujah untuk mengalahkan lawannya. Kalau demikianlah halnya, maka sudah nyatalah bahawa perkara yang dipertelingkahkan itu tidak lagi berdiri atas batas atau had yang wajib.

Ingatlah bahawa permusuhan itu adalah punca dari segala kejahatan, begitu juga dengan sikap suka berbantah-bantahan atau suka bertengkar-tengkaran. Oleh itu janganlah hendaknya dibukakan pintu untuk perkara-perkara yang terlarang ini, kecuali dalam keadaan yang amat dharurat sekali. Maka ketika itu hendaklah dipelihara baik-baik lidah dan hati dari kata-kata ketelanjuran yang disebabkan oleh permusuhan itu, dan memanglah hal serupa itu amat sukar dapat dilakukan. Bahkan sekiranya boleh, biarlah sikap yang diambil dalam menghadapi permusuhan, berbantah-bantahan atau bertengkar-tengkaran itu, ialah sifat lunak hati dan manis tutur kata.

Allah Ta’ala telah berfirman:

“Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” (al-Baqarah: 83)

Ibnu Abbas r.a. telah berkata: Jika seseorang makhluk Allah memberi salam  kepadamu, maka hendaklah engkau membalas salamnya, meskipun orang itu seorang Majusi.

Berfirman Allah s.w.t.:

“Apabila kamu sekalian diberikan penghormatan dengan sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan lebih baik daripadanya ataupun dengan yang sepertinya.”  (an-Nisa‘: 86)

Berkata Ibnu Abbas r.a. lagi: Andaikata yang berkata baik kepadaku itu Fir’aun sekalipun, nescaya aku akan membalasnya.

Dalam sebuah Hadis berbunyi: Kata-kata yang baik itu adalah sedekah.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: Kebajikan itu adalah seperkara yang paling mudah sekali, iaitu dengan bermuka manis dan berkata lemah-lembut.

Berkata setengah ahli pendita: Kata-kata yang lemah-lembut itu mencuci hasad dengki yang berselaput di dalam anggota-anggota badan.

Berkata yang lain pula: Semua ucapan yang tidak menyebabkan kemurkaan Tuhan, malah boleh menjadikan temanmu redha kepadamu, maka hendaklah jangan lokek mengucapkannya, moga-moga Allah akan membalasmu dengan pahala orang-orang yang berbuat kebajikan.

Perbuatan dan kelakuan yang berbantah-bantahan dan bertengkaran adalah terlarang juga dalam agama. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Jangan banyak membantah saudaramu, jangan bersenda gurau dengannya dan jangan membuat janji kepadanya, lalu anda memungkirinya.”

Sabdanya lagi:

“Tiada akan sesat sesuatu golongan manusia sesudah diberi Allah petunjuk kepadanya, melainkan bila mereka selalu saja berbantah-bantahan.”

Lagi sabdanya:

“Tiada akan sempurna hakikat keimanan seseorang, sehingga ia meninggalkan berbantah-bantahan, sekalipun apa yang diperbantahkan itu ialah kebenaran.”

Berkata Bilal bin Saad: Kiranya anda melihat seorang yang pintar berbicara, suka membantah dan suka membanggakan pendapatnya, maka ketahuilah bahawa kerugiannya telah sempurna.

Berkata Ibnul Alu Laila: Tiada saya membantah sahabatku, kecuali saya telah mendustakannya ataupun menyebabkan kemarahannya.

Berita-berita yang menunjukkan tercelanya sifat suka berbantah-bantahan dan bertengkar-tengkaran itu banyak sekali, sehingga tidak boleh dikira banyaknya.

Batasan sifat suka berbantah-bantahan itu ialah menyanggah percakapan orang lain dengan melahirkan kekurangan dalam percakapan mereka, sama ada dalam lafaznya atau maknanya, ataupun dalam maksud perbicaraannya. Meninggalkan sifat berbantah-bantahan ialah dengan menjaga diri supaya tidak mengingkari orang lain atau membantahnya. Setiap perbicaraan yang anda dengar andaikata ia memang dari yang benar, maka hendaklah anda mempercayainya. Tetapi jika ia dari yang salah, ataupun dari yang dusta, sedangkan ia tiada pula bersangkut-paut dengan urusan agama, maka hendaklah anda mendiamkan diri saja.

Yang perlu jika berlaku sesuatu perbahasan dalam masalah ilmiah lebih baik anda mendiamkan diri saja, ataupun jika mahu menyoal, soallah sekadar mahu mengambil tahu saja, bukan kerana sebab hendak mengingkar atau menyanggah. Ataupun bertanya dengan lemah-lembut kerana ingin mengetahui duduknya perkara itu bukan dengan tujuan untuk menyangkal atau membantah.

Adapun bertanya dengan tujuan untuk mengalahkan hujah orang lain, menunjukkan kelemahannya, sehingga ia tidak sanggup menjawab, ataupun untuk mengurangi kedudukannya dengan mendedahkan kecacatan dalam perbicaraannya dan menisbahkan kepada kecuaian dan kejahilan dalam percakapannya; maka inilah yang dinamakan pertentangan yang dilarang oleh agama, dan yang tidak akan terlepas dari dosa, kecuali dengan jalan berdiam diri saja.

Sebab utama yang menjadikan seseorang itu bersikap seperti itu ialah kerana hendak meninggikan diri dengan menunjukkan banyak ilmu atau keutamaan, manakala ia menyerang orang lain itu kerana hendak menunjukkan kekurangan dan kecetekan pengetahuan orang yang diserangnya. Kedua-duanya adalah sifat yang membinasakan.

Berbantah-bantahan itu tentu sekali akan menyakiti hati orang lain dan menimbulkan kemarahannya dan memaksa orang yang ditentang itu supaya kembali menyokong percakapannya, sekadar yang boleh, sama ada percakapan itu benar atau batil. Dia akan mengurangi kedudukan orang yang berbicara itu dengan apa cara saja, sehingga terjadilah suatu persengketaan antara dua orang yang berbantah-bantahan itu.

Adapun ubat dan penawarnya, iatu dengan mematahkan perasaan membesar diri, yang muncul dari sebab suka menunjukkan keutamaan diri sendiri. Dan juga dengan menghapuskan sifat buas yang ada pada dirinya, kerana suka merendahkan peranan orang lain dan mengurangkan kedudukannya.

Iaitu berbual-bual dalam hal-hal yang berkaitan dengan maksiat, seperti menceritakan hal dan keadaan kaum wanita, menceritakan tentang parti minuman arak, duduk bersama orang-orang yang fasik, menceritakan tentang kecongkakan orang-orang yang takabbur dan rancangan-rancangan mereka yang terkeji dan tingkah laku mereka yang buruk. Semua ini tidak patut dilibatkan diri di dalamnya.

Kebanyakkan orang memang suka bersenang-senang mendengar cerita-cerita dan perbualan-perbualan kosong. Ini tidak mengapa selagi perbualan mereka tiada lebih dari bergurau senda saja, tidak mencampuri hal-ehwal orang lain, ataupun mendalami dalam perkara-perkara kebatilan.

Perkara-perkara kebatilan itu pula sangat benyak macamnya, sehingga tidak dapat dihitung. Sebab itu tidak ada seorang pun yang boleh terlepas daripadanya, kecuali jika ia hanya memadai dengan melakukannya apa yang perlu saja dari urusan-urusan keagamaan dan keduniaannya.

Dalam sebuah Hadis. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Sebesar-besar dosa seseorang di Hari Kiamat ialah orang yang banyak melibatkan diri dalam perkara-perkara kebatilan.”

Maksud Hadis ini telah dikuatkan dengan ayat al-Quran dengan firman Allah Ta’ala:

Dan kami bercakap-cakap kosong bersama dengan orang-orang yang bercakap kosong”   (al-Muddatstsir: 45)

FirmanNya lagi:

“Jangan kamu sekalian duduk bersama-sama mereka, sehingga mereka mula dengan perbicaraan yang lain, kalau tidak tentulah kamu sekalian serupa dengan mereka.” (an-Nisa’: 140)

Sabdanya lagi:

“Seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredhai oleh Allah, dia tiada menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredhaanNya hingga ke Hari Kiamat. Dan seorang lain akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang dimurkai oleh Allah, dia tiada menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah dengan kata-kata itu kemurkaanNya ke atas orang itu hingga ke Hari Kiamat.”

Next Page »