Iaitu berbual-bual dalam hal-hal yang berkaitan dengan maksiat, seperti menceritakan hal dan keadaan kaum wanita, menceritakan tentang parti minuman arak, duduk bersama orang-orang yang fasik, menceritakan tentang kecongkakan orang-orang yang takabbur dan rancangan-rancangan mereka yang terkeji dan tingkah laku mereka yang buruk. Semua ini tidak patut dilibatkan diri di dalamnya.

Kebanyakkan orang memang suka bersenang-senang mendengar cerita-cerita dan perbualan-perbualan kosong. Ini tidak mengapa selagi perbualan mereka tiada lebih dari bergurau senda saja, tidak mencampuri hal-ehwal orang lain, ataupun mendalami dalam perkara-perkara kebatilan.

Perkara-perkara kebatilan itu pula sangat benyak macamnya, sehingga tidak dapat dihitung. Sebab itu tidak ada seorang pun yang boleh terlepas daripadanya, kecuali jika ia hanya memadai dengan melakukannya apa yang perlu saja dari urusan-urusan keagamaan dan keduniaannya.

Dalam sebuah Hadis. Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Sebesar-besar dosa seseorang di Hari Kiamat ialah orang yang banyak melibatkan diri dalam perkara-perkara kebatilan.”

Maksud Hadis ini telah dikuatkan dengan ayat al-Quran dengan firman Allah Ta’ala:

Dan kami bercakap-cakap kosong bersama dengan orang-orang yang bercakap kosong”   (al-Muddatstsir: 45)

FirmanNya lagi:

“Jangan kamu sekalian duduk bersama-sama mereka, sehingga mereka mula dengan perbicaraan yang lain, kalau tidak tentulah kamu sekalian serupa dengan mereka.” (an-Nisa’: 140)

Sabdanya lagi:

“Seseorang itu akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang diredhai oleh Allah, dia tiada menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah kata-kata itu mendapat keredhaanNya hingga ke Hari Kiamat. Dan seorang lain akan bercakap-cakap dengan kata-kata yang dimurkai oleh Allah, dia tiada menyangka bahawa kata-kata itu akan menyampaikannya ke suatu tingkat yang tertentu, maka dicatitkan oleh Allah dengan kata-kata itu kemurkaanNya ke atas orang itu hingga ke Hari Kiamat.”

Advertisements