Pertelingkahan adalah di antara sifat-sifat yang terkeji dan dilarang oleh agama. Ia adalah ekoran dari sebab pertengkaran dan berbantah-bantahan. Hakikat permusuhan itu adalah disebabkan kerana terlampau banyak perbantahan dan mengadu pendapat, untuk memperoleh harta benda dunia ataupun sesuatu hak yang tertentu.

Dalam sebuah Hadis sabda Rasulullah s.a.w:

Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah Ta’ala, ialah orang yang paling degil dan suka bertelingkah.”

Sifat pertelingkahan itu tiada cela, melainkan kerana ingin menegakkan kebatilan, ataupun untuk memenangkan sesuatu perkara tanpa pengetahuan yang cukup terlebih dulu, seperti orang ingin mempertahankan sesuatu perkara sebelum faham benar-benar, bahawa yang hak itu berada di pihak mana.

Ataupun ia mencampuradukkan pertelingkahannya dengan kata-kata yang menyakiti hati yang tidak perlu ditonjolkan dalam membenarkan hujah-hujah atau mengajukan kebenaran. Ataupun yang menariknya kepada pertelingkahan itu, semata-mata kerana sengaja hendak menundukkan musuh dan mematahkan harapannya, sedangkan ia sendiri memandang kecil terhadap kadar wang yang dipertelingkahkan itu.

Dalam perkara yang dipertelingkahkan itu, ada orang yang memang dengan terang-terang telah menyatakan hasratnya, bahawa maksudnya ialah tiada lain, kecuali untuk menundukkan lawannya, atau mematahkan kehendak lawan itu. Kadang-kadang ia berkata: Kalau saya menang dalam perkara ini dan mendapat wang tersebut, barangkali saya akan buangkan wang itu ke dalam perigi buta saja, asalkan saya puas hati. Nyatalah bahawa maksudnya tiada lain, melainkan untuk melahirkan perasaan degil dan suka bertelingkah yang akan menimbulkan permusuhan sesudah itu. Kelakuan ini amat dicela.

Adapun orang yang teraniaya yang ingin mempertahankan hujahnya menerusi jalan syariat, tanpa disertai sifat degil dan melampaui batas, ataupun tidak menambah hujah-hujahnya dengan kata-kata yang tidak perlu dalam persoalannya dan tidak pula bertujuan memaksa atau menyakiti lawannya, maka perbuatannya itu diharuskan dan tidak haram.

Tetapi yang sebaiknya hendaklah dijauhi, selagi ada jalan lain yang boleh ditempuhnya, tanpa melakakukan salah satu dari sifat-sifat tadi. Sebab menjaga lidah dengan hanya menyebutkan kata-kata yang perlu saja dalam pertelingkahan sekadar sederhana adalah diterima keuzurannya.

Pertelingkahan itu akan menyempitkan dada dan menimbulkan perasaan marah. Apabila perasaan marah telah menguasai jiwa akan terlupalah orang yang bertelingkah itu akan dirinya dan yang tinggal hanya dendam khusumat dalam diri masing-masing dari kedua-dua orang yang bertelingkah itu, sehingga tiap-tiap seorang akan merasa senang jika mendengar keburukan lawannya, dan merasa dukacita jika mendengar kebaikannya, dan masing-masing pun bebas memainkan lidahnya untuk menjatuhkan kehormatan yang lain. Maka orang yang memulakan permusuhan ini ialah orang yang menempa segala larangan-larangan ini.

Mula-mula sekali hatinya akan terganggu sehingga dalam sembahyangnya sekalipun ia akan diganggu oleh pemikiran mencari hujah-hujah untuk mengalahkan lawannya. Kalau demikianlah halnya, maka sudah nyatalah bahawa perkara yang dipertelingkahkan itu tidak lagi berdiri atas batas atau had yang wajib.

Ingatlah bahawa permusuhan itu adalah punca dari segala kejahatan, begitu juga dengan sikap suka berbantah-bantahan atau suka bertengkar-tengkaran. Oleh itu janganlah hendaknya dibukakan pintu untuk perkara-perkara yang terlarang ini, kecuali dalam keadaan yang amat dharurat sekali. Maka ketika itu hendaklah dipelihara baik-baik lidah dan hati dari kata-kata ketelanjuran yang disebabkan oleh permusuhan itu, dan memanglah hal serupa itu amat sukar dapat dilakukan. Bahkan sekiranya boleh, biarlah sikap yang diambil dalam menghadapi permusuhan, berbantah-bantahan atau bertengkar-tengkaran itu, ialah sifat lunak hati dan manis tutur kata.

Allah Ta’ala telah berfirman:

“Berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.” (al-Baqarah: 83)

Ibnu Abbas r.a. telah berkata: Jika seseorang makhluk Allah memberi salam  kepadamu, maka hendaklah engkau membalas salamnya, meskipun orang itu seorang Majusi.

Berfirman Allah s.w.t.:

“Apabila kamu sekalian diberikan penghormatan dengan sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan lebih baik daripadanya ataupun dengan yang sepertinya.”  (an-Nisa‘: 86)

Berkata Ibnu Abbas r.a. lagi: Andaikata yang berkata baik kepadaku itu Fir’aun sekalipun, nescaya aku akan membalasnya.

Dalam sebuah Hadis berbunyi: Kata-kata yang baik itu adalah sedekah.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: Kebajikan itu adalah seperkara yang paling mudah sekali, iaitu dengan bermuka manis dan berkata lemah-lembut.

Berkata setengah ahli pendita: Kata-kata yang lemah-lembut itu mencuci hasad dengki yang berselaput di dalam anggota-anggota badan.

Berkata yang lain pula: Semua ucapan yang tidak menyebabkan kemurkaan Tuhan, malah boleh menjadikan temanmu redha kepadamu, maka hendaklah jangan lokek mengucapkannya, moga-moga Allah akan membalasmu dengan pahala orang-orang yang berbuat kebajikan.

Advertisements