June 2012


Allah s.w.t. telah menaskan celaan mengumpat ini di dalam kitabNya yang mulia, dan telah menyamakan orang yang suka mengumpat itu, dengan orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati. Allah telah berfirman:

Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain, Adakah seseorang kamu suka memakan daging saudarnya yang telah mati, tentulah kamu sekalian benci memakannya.”  (al-Hujurat: 12)

Rasulullah s.a.w. pula bersabda:

“Setiap orang Muslim atas Muslim yang lain haram darahnya (tidak boleh membunuhnya tanpa hak), haram hartanya (tidak boleh merampasnya) dan haram kehormatannya (tidak boleh mengumpatnya).”

Ghibah atau mengumpat itu melanggar kehormatan orang, seperti yang dijelaskan oleh sabda Rasulullah s.a.w. berikut:-

“Wahai golongan orang-orang yang telah beriman lidahnya, tetapi belum beriman pula hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan pula mengintip-intip keaiban-keaibannya. Sebab barangsiapa yang mengintip keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mengintip keaibannya, dan siapa yang Allah mengintip keaibannya, nescaya Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada di tengah-tengah rumahnya.”

Diriwayatkan dari Mujahid, bahawa dia telah mengulas tentang maksud ayat berikut:

“Celakalah untuk setiap pengumpat, penista.” (al-Humazah: 1)

Erti pengumpat di sini, ialah menikam peribadi seseorang dengan kata-kata yang memburukkan dan melukai hati. Dan penista pula diumpamakan seperti memakan daging saudara yang telah mati melalui mengumpat.

Didapati bahawa kebanyakan para Salaf Saleh berpendapat, bahawa ibadat itu bukanlah hanya setakat puasa atau bersembahyang saja, tetapi terkira dalam ibadat juga menahan diri dari mengumpat orang lain.

Ibnu Abbas berkata: Andaikata anda ingin menyebut-nyebut keaiban sahabatmu, terlebih dulu sebutkanlah keaiban diri sendiri.

Diberitakan bahawa para Salaf Saleh telah membenarkan memberi alasan dengan berbohong, iaitu jika seseorang itu terpaksa berbohong kerana sesuatu keperluan. Tetapi jika tidak ada hajat atau keperluan untuk berbohong, maka tiadalah dibolehkan memberikan alasan-alasan bohong, atau berbohong dengan terang-terangan, tetapi memberi alasan bohong lebih ringan dosanya.

Misalnya memberi alasan bohong ialah seperti yang diceritakan bahawa Mutarrif datang menghadap Ziad (di istananya), rupanya telah ketara kepada Ziad, bahawa Mutarrif sudah lama tidak menziarahinya, maka Mutarrif pun membuat alasan, bahawa ia sakit, ia berkata: Sejak berpisah dengan tuanku dahulu, saya tidak mengangkat-angkat punggung saya (bangun dari tempat tidur kerana sakit), sehingga Allah mengangkat saya sekarang ini.

Saiyidina Mu’az bin Jabal pernah diangkat oleh Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. menjadi Gabenor. Apabila Mu’az kembali ke Madinah, isterinya berkata: Mengapa kanda tiada membawa oleh-oleh seperti yang dibawa oleh Gabenor-gabenor lain untuk anak isteri mereka? Kebetulan Mu’az tiada membawa sebarang oleh-oleh pun untuk mereka. Jawab Mu’az: Dukacita ada seorang pengintip bersama-sama saya ketika itu. Isterinya menghujah: Bukankah kanda seorang yang dipercayai oleh Rasulullah s.a.w. dan juga Khalifah Abu Bakar as-Siddiq? Mengapa pula Khalifah Umar mengirim pengintipnya bersama-sama kanda? Isteri Mu’az kurang puas hati dengan sikap Umar itu, lalu ia pergi memprotes kepada Umar sendiri.

Apabila berita itu sampai kepada Umar, segeralah ia memanggil Mu’az untuk menemuinya. Kemudian Umar bertanya kepada Mu’az: Apakah saya ada mengirim pengintip bersama-sama engkau? Mu’az segera menyatakan keadaan yang sebenarnya, lalu berkata: Saya telah buntu tak ada apa-apa alasan lain yang patut saya katakan kepada isteri saya itu. Maka Khalifah Umar pun tertawa mendengar alasan Mu’az itu, lalu diberikan kepadanya sesuatu sebagai oleh-oleh seraya berkata: Ambillah ini sebagai ole-ole dan senangkanlah hati isterimu itu.

Pengintip yang dimaksudkan oleh Saiyidina Mu’az itu tidak lain, ialah Allah Ta’ala.

An-Nakha’i pula, apabila orang yang dibencinya datang mencarinya, sedang ia memang ada dirumah, ia akan berkata kepada khadamnya: Katakan kepada orang itu suruh ia mencari aku di masjid. Jangan sekali-kali katakan aku tak ada di sini, supaya tidak berdusta.

Sebabnya alasan-alasan serupa itu dibolehkan, ialah supaya tidak mengecilkan hati orang bila ia mengetahui yang sebenarnya. Misalnya seperti pergurauan Rasulullah s.a.w. yang tersebut sebelumnya: Orang tua tidak masuk syurga. Ataupun seperti katanya kepada yang lain pula: Suamimukah yang pada matanya ada putih-putih? Ataupun kepada yang lain lagi: Kita akan mengangkatmu atas anak unta, iaitu seperti yang telah diceritakan sebelum ini.

Termasuk kata-kata yang dibolehkan ialah apa yang biasanya berlaku dalam tutur kata kita, sebagai menunjukkan mubalaghah atau berlebih-lebihan seperti berkata: Sudah kukatakan kepadamu seratus kali. Maksudnya bukanlah ia telah memahamkan orang itu seratus kali dengan hitungan, tetapi maksudnya ialah memahamkan secara berlebih-lebihan, seolah-olah ia telah berkata sampai seratus kali, sebab jika dikatakan hanya berkata sekali saja, seolah-olah ia telah berdusta.

Adapun tentang dusta yang biasa dipermudahkan oleh orang ramai menyebutnya, misalnya apabila dikatakan kepadanya: Makanlah makanan itu! Maka ia menjawab pula: Saya tak suka! Padahal ia berbohong dalam ucapannya itu. Perbuatan ini adalah dilarang. Dan berdusta dalam hal semacam ini adalah haram hukumnya, meskipun sebenarnya ia tidak mempunyai niat untuk memakan.

Misal yang lain yang hukumnya sama, ialah seperti ia berkata Tuhan mengetahui terhadap apa yang tidak diketahuinya.

Adapun berbohong dalam menceritakan sesuatu impian, yang sebenarnya ia tidak bermimpi, maka itu adalah terkira suatu dosa besar. Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Sesungguhnya termasuk dalam sebesar-besar dusta, ialah apabila seseorang itu dipanggil (dibinkan) kepada selain dari ayahnya, ataupun ia berpura-pura mengatakan bermimpi sesuatu, sedangkan sebenarnya ia tidak bermimpi, ataupun ia berkata sesuatu yang didakwakannya sebagai sabdaku, padahal aku tidak berkata serupa itu.” 

Ketahuilah bahawa berdusta itu diharamkan, kerana ingin mengandungi bahaya yang akan menimpa ke atas orang yang ditujukan dusta itu, ataupun ke atas orang lain. Tetapi terkadang-kadang bila dusta itu mengandungi maslahat, maka ketika itu ia dibolehkan. Begitu juga dusta itu kadangkala boleh menjadi wajib, apabila bercakap benar akan membahayakan jiwa orang, seperti mengalirkan darah orang yang telah menyembunyikan dirinya dari seorang zalim, yang mahu membunuhnya, maka ketika itu berdusta adalah wajib.

Demikianlah pula, dusta itu menjadi harus, untuk menghalang peperangan, atau kerana maksud mendamaikan dua orang yang bertentangan, ataupun melunakkan hati orang yang teraniaya, ataupun kerana mempereratkan perhubungan suami-isteri yang barangkali memerlukan kepada berdusta, maka hukum berdusta dalam hal-hal serupa ini adalah harus, tetapi hendaklah ia memada dengan yang perlu saja, dan tidak melampaui batas atau berlebih-lebihan  dengan membuat sesuatu yang tidak diperlukan.

Di sana ada banyak Hadis yang membuktikan bolehnya berdusta dalam keadaan-keadaan seperti yang ditunjukkan di atas.

Tsauban berkata: Berdusta itu semuanya haram hukumnya, kecuali yang mendatangkan manfaat bagi seseorang Muslim atau menolak sesuatu mudharat daripadanya.

Sifat berdusta dalam tutur kata dan sumpah ini termasuk dosa yang paling buruk celaan yang amat terkeji sekali.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

 “Jagalah dirimu dari sifat dusta, sebab dusta itu setingkat dengan kecurangan, dan kedua sifat ini akan dihumbankan ke dalam neraka.”

Sabdanya lagi:

Sesungguhnya dusta itu adalah pintu dari pintu-pintu nifaq.”

Lagi sabdanya:

 “Adalah suatu pengkhianatan yang besar, iaitu apabila anda menyampaikan sesuatu berita kepada saudaramu, sedang ia mempercayai kata-katamu itu, manakala anda membohonginya.”

Diceritakan pada suatu hari, sedang Rasulullah s.a.w. berjalan-jalan, baginda bertemu dengan dua orang yang sedang berjual beli sesekor kambing, dan masing-masing di antara keduanya bersumpah-sumpahan. Kata yang satu: Demi Allah aku tidak akan mengurangi harganya dari sekian dan sekian. Manakala yang lain berkata pula: Demi Allah, aku tidak akan melebihkan harganya dari sekian dan sekian. Tidak berapa lama kemudian, kambing itu telah dibeli oleh salah seorang dari keduanya. Maka sabda Rasulullah s.a.w. : Telah wajib atas salah seorang dari keduanya dosa, mestilah ia membayar kaffarah (denda).

Dari Rasulullah s.a.w.  sabdanya:

“Tiga orang kelak Allah tidak akan berbicara kepadanya, tidak melihat kepadanya di Hari Kiamat iaitu: Orang yang menganggap berbudi dengan pemberiannya, orang yang melakukan barang jualannya dengan bersumpah palsu, dan orang yang melabuhkan kainnya.”

Sabdanya lagi:

Barangsiapa yang bersumpah atas sesuatu sumpah dosa untuk mengambil harta seorang Muslim tanpa hak (yakni secara haram), nanti di Hari Kiamat ia akan bertemu dengan Allah, sedangkan Allah murka ke atasnya.”

Bersabda Rasullah s.a.w. kepada Mu’az:

Aku mewasiatkan anda dengan taqwa Allah, benar tutur kata, menunaikan amanat, menepati janji, menyedekahkan makanan dan merendah diri.” 

Lisan atau lidah manusia memang gemar membuat janji, tetapi seringkali pula jiwa tidak ingin menepati janji yang dibuat oleh lisan tadi. Maka dengan itu jadilah janjinya bohong atau janji yang dimungkiri. Itu adalah tanda-tanda adanya sifat nifaq pada orang itu.

Allah telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji” (al-Maidah:1)

Sabda Rasulullah s.a.w. pula:

“Janji itu adalah pemberian”

Allah s.w.t, telah memberikan setinggi pujian ke atas Nabi Ismail a.s. di dalam kitabNya yang mulia dengan firmanNya:

“Sesungguhnya ia (Ismail) adalah benar janjinya” (Maryam: 54)

Apabila Saiyidina Abdullah bin Umar telah hampir menemui ajalnya, beliau berkata: Sebenarnya dulu ada seorang Quraisy telah meminang puteriku, dan aku telah mengikat suatu perjanjian untuk menikahkan puteriku itu kepadanya. Demi Allah aku tidak gemar menemui Tuhan, sedang sepertiga dari sifat nifaq itu ikut bersama-samaku. Oleh itu saksikanlah, bahawasanya aku telah menikahkan si Fulan itu dengan puteriku.

Diceritakan dari Abdullah bin Abul-Khansa’, katanya: Saya pernah mengikat janji dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi Nabi. Ada barang yang saya janjikan kepadanya akan saya bawa ke tempat yang telah dipersetujui, tetapi malangnya saya terlupa hari itu dan juga esoknya. Maka saya mendatanginya pada hari ketiga, dan saya dapati baginda masih tetap menunggu di tempatnya. Bila saya sampai, maka baginda berkata: “Wahai pemuda! Engkau telah menyakiti aku dengan janjimu, sebab saya berada di sini menunggu sejak tiga hari lalu.

Ibnu Mas’ud r.a. pula bila berjanji, nescaya ia akan berkata: Insya Allah. Cara beginilah yang lebih baik.

Sesudah berkata Insya Allah, jika ia memang faham bahawa menepati janji itu adalah wajib, maka hendaklah ia menepati janji itu, kecuali jika dihalangi oleh keuzuran. Akan tetapi jika ketika membuat janji itu, hatinya telah bertekad untuk memungkirinya, maka itulah yang dinamakan sifat nifaq.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; Bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri, dan bila menerima amanat ia khianat.”

Sabdanya yang lain:

“Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga ia menjauhinya lagi: Jika berbicara ia dusta, jika berjanji ia mungkiri, jika membuat pengakuan ia belot dan jika menuntut ia curang.”

Sifat-sifat ini hampir-hampir tertimpa ke atas orang yang ketika berjanji, ia dari awal telah berazam untuk menyalahi janjinya, ataupun yang memungkiri janji tanpa apa-apa keuzuran.

Adapun orang yang berazam untuk menepati janji, tiba-tiba tanpa disangka-sangka pula timbul suatu keuzuran yang menghalangnya dari memenuhi janjinya, maka orang itu tiadalah terkira seorang munafik, meskipun pada lahirnya sifat kemunafikan itu berlaku atas dirinya. Walau bagaimanapun sebaik-baiknya, hendaklah ia cuba menghindarkan diri dari terkena sifat kemunafikan itu, sebagaimana ia menjauhkan dirinya dari hakikat kemunafikan juga, iaitu dengan mencari jalan supaya keuzuran tidak akan berlaku, bila ia membuat sesuatu perjanjian, tanpa ada sebab yang benar-benar dharurat.

Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menjanjikan seorang khadam kepada Abul Haitsam kemudian pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah dibawakan kepadanya tiga orang tawanan (hamba sahaya). Dua daripadanya telah diberikan kepada orang lain, tinggal seorang lagi pada Baginda s.a.w.

Maka datanglah puteri Baginda Fatimah radiallahu-anha meminta supaya khadam itu diberikan kepadanya, seraya berkata: Cubalah ayahanda lihat tangan saya ini, semuanya berbekas-bekas kerana selalu menggiling. Tetapi Rasulullah s.a.w. masih ingat dengan janjnya kepada Abul Haitsam seraya berkata kepada Fatimah: Bagaimana dengan janji saya kepada Abul Haitsam?! Rasulullah s.a.w. telah mengutamakan Abul Haitsam dari Fatimah, puterinya sendiri, dikeranakan janji telah diikat dengan Abul Haitsam, padahal Baginda mengetahui bahawa Fatimah menggiling makanan dengan tangannya yang lemah itu.

Sekali peristiwa, Rasulullah s.a.w. sedang duduk membahagikan-bahagikan rampasan-rampasan kaum Huwazin sesudah peperangan Hunain, tiba-tiba berdiri seorang di hadapannya seraya berkata: Tuan hamba pernah menjanjikan saya sesuatu, wahai Rasulullah! Baginda lalu menjawab: Benar katamu. Tuntutlah apa yang engkau ingini! Orang itu berkata: Saya menuntut delapan puluh ekor unta, beserta pengembalanya sekaligus. Maka Baginda pun bersabda; Baiklah, semua itu kuberikan kepadamu. Kemudian Baginda menyambung lagi. Tuntutan itu ringan saja.

Mendedahkan rahsia orang adalah di antara perkara-perkara yang terlarang dalam syara’, kerana ia akan menyakiti hati orang lain dan tidak mengambil berat dengan kepentingan para sahabat dan rakan handai.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Apabila seseorang telah memberitahu sesuatu perkara, lalu ia pergi, maka itu adalah suatu amanat (tidak boleh disebarkan).”

Sabdanya lagi:

“Percakapan di antara kamu adalah amanat.”

Oleh itu maka memecahkan rahsia orang dikira suatu pengkhianatan dan mengkhianati orang lain adalah haram hukumnya, bila ia boleh menimbulkan bahaya atau mudharat pada orang itu. Kalau tidak mendatangkan bahaya atau mudharat, maka itu samalah seperti kita mencelanya

Menghina orang ataupun mengejek-ejeknya adalah haram menurut syara’. Allah telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, sebab mungkin sekali mereka yang dihina itu lebih baik dari yang menghina. Dan jangan pula kaum perempuan menghina perempuan yang lain, barangkali mereka yang dihina itu lebih baik dari mereka yang menghina.”   (al-Hujurat: 11)

Yang dimaksudkan dengan penghinaan, ialah memandang rendah atau menjatuhkan taraf orang lain, ataupun mendedahkan segala keaiban-keaiban dan kekurangan-kekurangan mereka dengan tujuan menjadikannya sebagai bahan tertawaan. Ini boleh berlaku dengan menceritakan perihal orang dalam tutur katanya, dalam perilakunya ataupun dengan cara-cara lain yang boleh menunjukkan maksud dan tujuan yang sama. Punca utamanya ialah merendahkan diri orang lain, atau menjadikannya sebagai bahan tertawaan di mata orang ramai, menghina dan memperkecilkan kedudukannya.

Dalam hal ini, Allah telah mengingatkan kita seperti dalam firmanNya di atas: Mungkin sekali yang dihina itu lebih baik dari yang menghina, yakni jangan kamu merendahkan atau memperkecilkannya, sebab mana tahu barangkali orang itu lebih mulia dan baik dari kamu.

Dan kelakuan semacam ini, hanya dilarang terhadap orang-orang yang akan merasa tersinggung hatinya, bila ditujukan penghinaan serupa itu. Tetapi jika orang itu memang bersedia untuk menerima penghinaan, ataupun ia redha dijadikan dirinya sebagai bahan tertawaan orang, umpamanya ia merasa senang bila ditertawakan orang, maka penghinaan yang ditujukan kepadanya itu dikira sebagai senda gurauan saja. Dan mengenai senda gurauan pula, telah pun dijelaskan hukumnya, mana satu yang dicela atau dilarang, dan mana pula yang dikira baik atau dipuji.

Adapun penghinaan yang diharamkan itu, ialah apabila orang yang ditujukan penghinaan itu merasa kurang senang dan akan menjadi marah, disebabkan dirinya direndahkan ataupun diejek-ejek seperti yang sering juga berlaku bila seseorang mentertawakan percakapan orang lain kerana percakapannya salah, atau tidak teratur, ataupun ia mentertawakan kelakuannya tunggang balik dan tidak sempurna, ataupun seperti mentertawakan ingatannya yang selalu terlupa, atau terhadap rupa bentuknya disebabkan ada cacat padanya. Mentertawakan terhadap semua hal-hal yang dalam contoh-contoh di atas adalah terlarang dalam syara’.

Next Page »