Termasuk dalam apa yang disebut dalam pembahagian bencana lisan ialah larangan bersenda gurau.

Yang dilarang dari bersenda gurauan itu ialah yang tercela darinya, iaitu bila melakukannya amat selalu dan dengan cara yang melampaui batas. Amat selalu kerana ia akan merupakan semacam pekerjaan bagi permainan dan kelucuan, dan melampaui batas pula sebab ia akan menimbulkan terlalu banyak ketawa, dan kadang-kadang sehingga mencetuskan permusuhan pula. Ketika itu akan hilang-lenyaplah perasaan segan dan malu serta saling hormat-menghormati.

Adapun segala senda gurau yang sunyi dari keadaan-keadaan yang tersebut di atas tadi, maka ia tiadalah dikira tercela, sebagaimana yang pernah diriwayatkan oleh nabi s.a.w. sabdanya:

“Aku pun turut bergurau senda, tetapi aku tiada mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka.”

Sebenarnya semua orang boleh melakukan seperti Rasulullah s.a.w., iaitu bila bergurau hanya berkata yang benar saja. Tetapi kebanyakan orang sebaliknya, apabila saja dibuka pintu untuk bersenda gurau, maka maksud mereka tiada lain, melainkan hendak mentertawakan orang ramai dengan apa cara sekalipun.

Berkata Saiyidina Umar Ibnul-Khattab r.a.: Siapa yang suka bergurau saja, nescaya orang akan memandang ringan terhadapnya.

Said Ibnul-‘Ash berkata kepada puteranya: Wahai anakku! Jangan engkau berani bergurau senda dengan orang yang berpangkat, kelak ia akan memusuhimu, dan jangan pula kepada orang yang rendah budi, kelak ia akan kurang ajar terhadapmu.

Seorang pendita berkata: Setiap sesuatu ada benihnya, dan benih permusuhan itu bersenda gurauan. Yang lain pula berkata: Senda gurauan itu akan merampas akal seseorang dan memutuskan perhubungannya dengan kawan-kawan.

Adalah menjadi suatu kesalahan yang besar, jika seseorang itu menjadikan senda gurauan itu sebagai suatu amalan yang dibiasakan pada setiap hari. Atau bersenda gurau secara melampaui batas kemudian mendakwa bahawa ia berpegang dengan perilaku Rasulullah s.a.w. Orang ini sama seperti orang yang sepanjang harinya bersama-sama dengan orang-orang Habsyi (Negro), bergaul dengan mereka dan menyaksikan tarian mereka, kemudian ia mempertahankan kelakuannya itu dengan hujah, bahawa Rasulullah s.a.w. dulu pernah mengizinkan Siti Aisyah (isterinya) untuk menyaksikan tarian orang-orang Habsyi serupa iaitu pada salah satu hari raya, itu adalah pendapat yang salah.

Kesimpulannya: Jika anda boleh bersenda gurau dengan berkata hanya yang hak dan benar saja, tanpa menyakiti hati orang lain, tanpa berlebih-lebihan dalam senda gurauan anda, tanpa menjadikannya suatu kebiasaan atau amalan sehari-hari, maka tiada mengapalah bersenda gurau serupa itu.

Advertisements