Lisan atau lidah manusia memang gemar membuat janji, tetapi seringkali pula jiwa tidak ingin menepati janji yang dibuat oleh lisan tadi. Maka dengan itu jadilah janjinya bohong atau janji yang dimungkiri. Itu adalah tanda-tanda adanya sifat nifaq pada orang itu.

Allah telah berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman tepatilah janji-janji” (al-Maidah:1)

Sabda Rasulullah s.a.w. pula:

“Janji itu adalah pemberian”

Allah s.w.t, telah memberikan setinggi pujian ke atas Nabi Ismail a.s. di dalam kitabNya yang mulia dengan firmanNya:

“Sesungguhnya ia (Ismail) adalah benar janjinya” (Maryam: 54)

Apabila Saiyidina Abdullah bin Umar telah hampir menemui ajalnya, beliau berkata: Sebenarnya dulu ada seorang Quraisy telah meminang puteriku, dan aku telah mengikat suatu perjanjian untuk menikahkan puteriku itu kepadanya. Demi Allah aku tidak gemar menemui Tuhan, sedang sepertiga dari sifat nifaq itu ikut bersama-samaku. Oleh itu saksikanlah, bahawasanya aku telah menikahkan si Fulan itu dengan puteriku.

Diceritakan dari Abdullah bin Abul-Khansa’, katanya: Saya pernah mengikat janji dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda diangkat menjadi Nabi. Ada barang yang saya janjikan kepadanya akan saya bawa ke tempat yang telah dipersetujui, tetapi malangnya saya terlupa hari itu dan juga esoknya. Maka saya mendatanginya pada hari ketiga, dan saya dapati baginda masih tetap menunggu di tempatnya. Bila saya sampai, maka baginda berkata: “Wahai pemuda! Engkau telah menyakiti aku dengan janjimu, sebab saya berada di sini menunggu sejak tiga hari lalu.

Ibnu Mas’ud r.a. pula bila berjanji, nescaya ia akan berkata: Insya Allah. Cara beginilah yang lebih baik.

Sesudah berkata Insya Allah, jika ia memang faham bahawa menepati janji itu adalah wajib, maka hendaklah ia menepati janji itu, kecuali jika dihalangi oleh keuzuran. Akan tetapi jika ketika membuat janji itu, hatinya telah bertekad untuk memungkirinya, maka itulah yang dinamakan sifat nifaq.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim, iaitu; Bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkiri, dan bila menerima amanat ia khianat.”

Sabdanya yang lain:

“Empat perkara yang jika seseorang manusia ada di dalamnya, maka ia menjadi munafik, dan barangsiapa mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu, samalah seperti ia mempunyai sifat kemunafikan, sehingga ia menjauhinya lagi: Jika berbicara ia dusta, jika berjanji ia mungkiri, jika membuat pengakuan ia belot dan jika menuntut ia curang.”

Sifat-sifat ini hampir-hampir tertimpa ke atas orang yang ketika berjanji, ia dari awal telah berazam untuk menyalahi janjinya, ataupun yang memungkiri janji tanpa apa-apa keuzuran.

Adapun orang yang berazam untuk menepati janji, tiba-tiba tanpa disangka-sangka pula timbul suatu keuzuran yang menghalangnya dari memenuhi janjinya, maka orang itu tiadalah terkira seorang munafik, meskipun pada lahirnya sifat kemunafikan itu berlaku atas dirinya. Walau bagaimanapun sebaik-baiknya, hendaklah ia cuba menghindarkan diri dari terkena sifat kemunafikan itu, sebagaimana ia menjauhkan dirinya dari hakikat kemunafikan juga, iaitu dengan mencari jalan supaya keuzuran tidak akan berlaku, bila ia membuat sesuatu perjanjian, tanpa ada sebab yang benar-benar dharurat.

Pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menjanjikan seorang khadam kepada Abul Haitsam kemudian pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah dibawakan kepadanya tiga orang tawanan (hamba sahaya). Dua daripadanya telah diberikan kepada orang lain, tinggal seorang lagi pada Baginda s.a.w.

Maka datanglah puteri Baginda Fatimah radiallahu-anha meminta supaya khadam itu diberikan kepadanya, seraya berkata: Cubalah ayahanda lihat tangan saya ini, semuanya berbekas-bekas kerana selalu menggiling. Tetapi Rasulullah s.a.w. masih ingat dengan janjnya kepada Abul Haitsam seraya berkata kepada Fatimah: Bagaimana dengan janji saya kepada Abul Haitsam?! Rasulullah s.a.w. telah mengutamakan Abul Haitsam dari Fatimah, puterinya sendiri, dikeranakan janji telah diikat dengan Abul Haitsam, padahal Baginda mengetahui bahawa Fatimah menggiling makanan dengan tangannya yang lemah itu.

Sekali peristiwa, Rasulullah s.a.w. sedang duduk membahagikan-bahagikan rampasan-rampasan kaum Huwazin sesudah peperangan Hunain, tiba-tiba berdiri seorang di hadapannya seraya berkata: Tuan hamba pernah menjanjikan saya sesuatu, wahai Rasulullah! Baginda lalu menjawab: Benar katamu. Tuntutlah apa yang engkau ingini! Orang itu berkata: Saya menuntut delapan puluh ekor unta, beserta pengembalanya sekaligus. Maka Baginda pun bersabda; Baiklah, semua itu kuberikan kepadamu. Kemudian Baginda menyambung lagi. Tuntutan itu ringan saja.

Advertisements