Jalan keluar untuk menghindarkan diri dari perilaku ini, hendaklah ia tidak mengikut sangat kehendak hati, yakni tidak merealisasikan sikap serupa itu, sama ada dengan ucapan mahupun perbuatan, baik menerusi hati ataupun anggota. Mungkin sekali ketika itu syaitan akan menghasut bahawa sikap itu timbulnya dari kecerdasan otakmu dan ingatan serta kecerdikanmu yang spontan. Bukankah telah dikatakan bahawasanya orang Mu’min itu dapat melihat sesuatu dengan cahaya dari Allah Ta’ala? Maka ketahuilah, yang sebenarnya itu adalah bisikan dan waswas syaitan semata-mata yang telah menjadikan anda melihat dengan tipu dayanya dan kegelapan petunjuknya.
Walau bagaimanapun, apabila telah ternyata kepadamu kekhilafan atau keterlanjuran seorang Mu’min dengan bukti dan hujah, maka sebaik-baiknya ialah anda menasihatkannya secara rahsia. Dalam pada itu, jagalah dirimu, agar tidak tertipu oleh syaitan, sehingga ia akan menarik kepada mengumpat orang Mu’min itu.
Di antara buahnya (natijahnya) sangkaan buruk itu, ialah mengintip hal-ehwal orang. Sebab biasanya hati itu tidak memadai dengan menyangka buruk saja, malah ia akan berusaha untuk mendapatkan kenyataan atau hakikatnya, maka dilakukan olehnya pengintinpan, dan ini juga dilarang keras oleh Islam.
Allah telah berfirman:
“Dan janganlah kamu mengintip-intip.” (al-Hujurat: 12)
Nyatalah sudah, bahawasanya mengumpat, menyangka buruk dan mengintip it disebutkan larangannya di dalam sebuah ayat.
Erti dan maksud mengintip ialah bila seseorang itu, tiada membiarkan hamba-hamba Allah terlindung di bawah naunganNya, maka ia merasa kurang senang selagi tiada mengetahui isi perutnya, dan cuba membuka tutup naungan Allah daripada orang itu, sehingga terbongkar segala rahsianya. Padahal jika dibiarkan tertutup, lebih baik dan lebih selamat bagi hatinya dan agamanya.
Sebelum telah kita terangkan hukum, mengintip dan hakikiatnya di dalam kitab amar mar’uf nahi mungkar, sila rujuk kepadanya di sini.
Leave a Reply