Allah s.w.t. telah berfirman:

“Yang suka membisikkan (mencela), dan yang suka menyebarkan fitnah.”

FirmanNya lagi:

“Celaka bagi setiap pengumpat lagi penista.” (al-Humazah:1)

Ada orang yang mentafsirkan perkataan humazah (mencela) itu dengan mengadu-domba atau menghasut.

Allah berfirman lagi:

Pembawa kayu bakar.” (al-Lahab: 4)

Iaitu isteri Abu Lahab yang dikatakan suka mengadu-domba dan menyampaikan kata-kata orang ke sana kemari.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Tidak dapat masuk syurga orang yang suka mengadu-domba.”

Sabdanya lagi:

“Orang yang amat tercinta di antara kamu kepada Allah, ialah orang yang terbaik sekali akhlaknya, si pemurah hati yang suka menjamu tetamu, orang yang rapat dengan kawannya dan kawan-kawan pula suka rapat kepadanya. Dan orang yang amat terbenci di antara kamu kepada Allah ialah orang yang suka menyebarkan fitnah (mengadu-domba), orang yang suka memecahbelahkan di antara kawan-kawan, orang yang suka mencari alasan untuk melepaskan diri dari kesalahan-kesalahan.”

Adapun batas mengadu-domba itu ialah mendedahkan segala perkara yang tidak patut disebarkan sama ada ia dibenci oleh orang yang diceritakan perkaranya, ataupun dibenci oleh orang ketiga, sama ada cara mendedahkannya itu dengan perkataan atau dengan tulisan, ataupun dengan isyarat dan gerak geri, sama ada yang didedahkannya itu berupa perbuatan, atau percakapan sama ada ia sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan.

Jelasnya hakikat mengadu-domba itu, ialah membocorkan rahasia orang lain dan melanggar kehormatannya dengan membuka segala rahasia yang ia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Oleh itu apa yang dilihatnya dari hal-ehwal orang, hendaklah ia mendiamkan diri saja, tidak dihebahkan dari hal-ehwal orang, hendaklah ia mendiamkan diri saja, tidak dihebahkan kepada orang ramai, kecuali jika penyebarannya itu akan mendatangkan faedah bagi orang islam, ataupun menolak sesuatu maksiat daripadanya. Misalnya jika ia menyaksikan seorang yang mengambil harta orang, maka hendaklah ia menjadi saksi bagi kepentingan orang yang diambil hartanya itu.

Pokok utama yang menyebabkan orang suka mengadu domba itu, ialah sama ada ia memang tidak suka kepada orang yang diadukan dombakannya itu, ataupun ia ingin menunjukkan tanda kesayangannya kepada orang yang diceritakan hal-hal orang yang dibencinya itu. Ia boleh juga disebabkan oleh kebiasaan lidah yang memang suka menceritakan keadaan dan hal orang, serta mencampuri urusan-urusan yang tiada kena mengena dengan diri sendiri, ataupun sudah sememang menjadi tabiat sukakan sifat yang batil itu.

Seterusnya apabila seorang membawa sesuatu berita yang mengadu-domba, maka hendaklah ia jangan tergopoh-gopoh menerima berita itu, dan menyangkakannya benar, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Jika ada orang fasik membawa sesuatu berita kepadamu, maka hendaklah kamu memeriksanya terlebih dulu.” (al-Hujurat: 6)

Kalau boleh, hendaklah ia melarang orang itu dari berbuat adu domba itu, dan menasihatkannya agar ia tidak menyangka jahat atau tidak baik sesuatu yang belum dilihatnya itu. Begitu juga janganlah hendaknya ia suka mengintip-intip untuk mencungkil kesalahan orang.

Berkata al-Hassan: Barangsiapa yang berani membawa berita adu-domba kepadamu, nescaya ia berani juga mengadu-dombakanmu kepada orang lain.

Dengan itu jelaslah bahawasanya si pengadu-domba itu harus dibenci dan tidak boleh dipercayai kata-katanya serta ditolak kebenarannya. Betapa tidak, sebab ia juga tidak hairan boleh menjadi orang yang menjalankan tipu daya dan pengkhianatan atas kemu serta merosakkan nama baik kamu di kalangan orang ramai. Si pengadu-domba itu termasuk golongan orang yang berusaha untuk memutuskan perhubungan yang diperintahkan oleh Allah supaya mengeratkannya, dan mereka itu berjalan di muka bumi menyebarkan kerosakan di antara manusia.

Allah telah berfirman:

“Hanyasanya jalannya untuk menyalahkan orang-orang yang melakukan penganiayaan ke atas manusia, dan mereka menganjurkan sesuatu (bencana) di atas muka bumi ini tanpa hak (kebenaran).” (asy-Syura: 42)

Orang yang mengadu-domba itu, tidak syak lagi termasuk ke dalam golongan ini.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya orang yang paling jahat, ialah orang yang ditakuti oleh orang ramai kerana kecelakaannya.”

Orang yang mengadu-domba juga, termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang jahat.

Apabila Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi ditanya: Mana satu sikap orang Mu’min yang boleh menjatuhkan kedudukannya. Jawabnya: Banyak berbicara suka membocorkan rahasia dan mempercayai semua cakap orang.

Berkata setengah ahli pendita: Jika pengadu-domba itu sudah berjaya menyampaikan fitnahnya kepadamu, nescaya ia menjadi orang yang berani memaki-makimu, padahal orang yang difitnahkannya itu lebih utama mendapat belas kasihanmu, sebab ia tiada menghadapkan caci-makinya kepadamu.

Advertisements