Memang tidak dilarang bagi orang-orang awam untuk memperbanyakkan amalan-amalan saleh dari berbagai-bagai rupa, tetapi sikap suka bertanya yang bukan-bukan itu memanglah mudah terlintas di dalam hati. Adakalanya orang-orang awam ini suka mendalami dalam perkara-perkara atau liku cabang ilmu pengetahuan, sebab syaitan sering menggambarkan kepada mereka, bahawa mereka itu adalah tergolong para alim ulama yang mempunyai keutamaan dalam ilmu pengetahuan. Hasutan syaitan ini akan terus-menerus mempengaruhi jiwa orang-orang ini, sehingga akhirnya mereka berani berkata sesuatu yang merupakan kekufuran atau terkeluarnya mereka dari Agama Islam, sedangkan mereka tidak mengetahui.
Sebab itulah, sesiapa yang suka bertanya ilmu yang pelik-pelik, sedangkan fahamannya masih belum mampu mencapai darjat fahaman itu, maka ia tentu dicela, tambahan pula jika ia seorang awam, yang pengetahuannya masih cetek dalam serba-serbi liku-liku agama.
Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan:
“Rasulullah s.a.w. telah melarang keras dengan kata-kata qil dan qal (cakap-cakap yang tidak diketahui sumbernya dengan jelas), membelanjakan harta benda dengan boros dan terlampau banyak persoalan.”
Dalam kisah Nabi Musa dengan Khidhir a.s. ada menunjukkan larangan dari terlampau banyak bersoal-soalan sebelum tiba masanya, iaitu sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah Ta’ala (yang bermaksud):
”Jika engkau mengikutiku, maka janganlah engkau bertanyakan kepadaku tentang sesuatu, sehingga aku memberitahukan engkau tentangnya.”(Al Kahfi: 70)
Tetapi Nabi Allah Musa a.s. tidak sabar, lalu bertanya mengenai kapal layar kepada Khidhir, maka Khidhir pun menyngkalnya sebab pertanyaan itu. Kemudian Nabi Musa a.s. memint diuzurkan, sebagaimana firman Allah Ta’ala:
”Janganlah engkau mengambil hati tersebab kelupaanku, dan janganlah memberati diriku tentang perkara ini seberat-beratnya.” (Al Kahfi: 73)
Tetapi Nabi Musa a.s. terus tidak bersabar sampai beliau bertanya tiga kali berturut-turut, maka Khidhir pun berkata kepadanya,
”Kini telah tiba masanya perpisahanku denganmu” (Al Kahfi: 78)
Lalu Nabi Khidir pun berpisah dengan Nabi Musa a.s.
Kalau begitu nyatalah bahawa pertanyaan orang-orang awam tentang persoalan-persoalan yang pelik-pelik, atau rumit di dalam agama itu, termasuk dalam perkara-perkara besar yang membahayakan, maka seharusnyalah mereka dilarang dari mengemukakan pertanyaan-pertanyaan serupa itu, dan jika mereka melakukan juga, maka haruslah ditegah dengan keras.
[dikemaskini dengan pembetulan: 10 Jul 2013]
Leave a Reply