July 2013


Allah s.w.t. telah berfirman:

“Bersegeralah bermohon keampunan kepada Tuhan kamu, dan (memohon) syurga yang luasnya meliputi langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertaqwa; iaitu mereka yang membelanjakan hartanya dalam keadaan senang dan susah, dan mereka yang menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang, dan Allah amat mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (ali-Imran: 133-134)

Ayat tersebut di atas telah membuktikan kepada kita, bahawa orang yang menahan kemarahannya termasuk dalam golongan muttaqin; iaitu orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Ta’ala. Tambahan pula, bahawasanya Allah Ta’ala akan memberikan pengampuananNya kepada mereka, lalu menyediakan bagi mereka balasan syurga. Alangkah besar dan hebatnya balasan itu!

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menahan kemarahannya, nescaya Allah akan menahan siksaNya terhadap orang itu. Barangsiapa mengemukakan keuzurannya kepada Allah, nescaya Allah akan menerima keuzurannya itu, dan barangsiapa menyimpan lisannya, nescaya Allah akan menutup segala keburukannya.”

Bersabda Rasulullah s.a.w. lagi:

“Orang yang paling gagah di antara kamu, ialah orang yang dapat mengalahkan nafsunya semasa marah. Dan orang yang paling penyantun pula, ialah orang yang memberikan maaf, sedangkan ia berkuasa untuk membalas.”

Sekali peristiwa Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. telah didatangi oleh seorang dusun yang berwatak kasar, lalu berkata kepadanya: Wahai Umar! Demi Allah, engkau tidak berlaku adil dalam pemerintahanmu dan tidak memberikan secukupnya kepada kami. Mendengar itu, maka menjadi marahlah Khalifah Umar, hingga kemarahan itu ketara pada wajahnya. Tiba-tiba salah seorang para hadirin telah menyampuk dan berkata: Wahai Amirul Mu’minin! Bersabarlah. Tidakkah tuan mendengar firman Allah Ta’ala:

“Ambillah sikap pemaaf dan suruhlah orang berbuat yang baik-baik, dan jangan mengendahkan orang-orang yang bodoh itu.” (al-A’raf:199)

Mendengar peringatan orang itu, Khalifah Umar pun bertenang semula, dan beliau memaafkan si penuduh itu.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Advertisements

Apa yang dihuraikan pada lembaran-lembaran yang lalu, ialah bagaimana caranya hendak melenyapkan pangkal kemarahan dan menghapuskan sebab-sebabnya, supaya ia tiada terus bergejolak. Tetapi jika ini tiada berjaya, malah sebab-sebab kemarahan itu hidup juga, maka ketika itu hendaklah menetapkan diri supaya orang yang dihinggapi penyakit ini, tiada sampai terpaksa melakukan sesuatu menurut wajah yang tercela. Sayugialah ia menyegerakan pengubatan kemarahannya itu, dalam seketika bernyala-nyalanya, dengan pati dan inti ilmu pengetahuan dan amalan.

Untuk mengubati penyakit marah menerusi ilmu pengetahuan, ada beberapa caranya, iaitu:

Pertama: Hendaklah anda cuba mengingatkan kembali segala anjuran-anjuran yang ditunjuk oleh syariat dalam keutamaan dan kelebihan sifat-sifat menahan marah, pemaaf, penyantun dan menanggung perilaku buruk. Dengan jalan itu jiwa anda akan inginkan pahala yang dijanjikan kerana menolak kemarahan itu, lalu anda akan menentang keinginan diri untuk membalas dendam, maka dengan itu perasaan marah anda akan terhapus dari dalam diri.

Kedua: Hendaklah anda ingat tentang ancaman Allah Ta’ala dan siksaanNya, andaikata diteruskan juga sifat marah anda itu. Anda harus merenung pula, apakah anda boleh terselamat dari kemurkaan Allah Ta’ala pada Hari Kiamat kelak, meskipun ketika itu anda sangat memerlukan kepada pengampunan dan kemaafan Allah Ta’ala.

Ketiga: Hendaklah anda ingat akan akibat permusuhan dan pembalasan dendam lawan anda, kelak sudah barang tentu ia akan berusaha untuk menceroboh kehormatan diri anda. Ia akan cuba menjaja segala keburukan anda. Ia akan merasa suka, bila anda tertimpa sesuatu bencana, sedangkan anda sendiri tentu sekali tidak sunyi dari berbagai-bagai keburukan dan kecelaan diri. Dengan yang demikian, anda akan merasakan keburukan akibat marah itu di dunia, kiranya anda masih tidak mengendahkan akan akibat dosanya di akhirat.

Keempat: Hendaklah anda gambarkan bertapa buruknya rupa anda kelak bila anda marah, iaitu dengan mengingat rupa orang lain ketika dalam dalam kemarahan. Bayangkanlah rupa anda yang buruk ketika itu, dengan rupa sahabat ada yang diumpamakan seperti anjing galak yang hendak menerkam, atau seekor binatang buas yang mengganas. Kemudian bayangkanlah pula seorang penyantun yang bertenang saja, yang tidak suka marah-marah, yang menurut perilaku para Nabi, para wali, para alim ulama dan orang-orang yang bijaksana. Pilihlah antara dua perilaku itu, mana yang lebih sesuai bagimu? Menyerupakan dirimu dengan perilaku anjing-anjing, binatang-binatang buas dan orang-orang yang tercela kelakuannya? Ataupun menyerupakan dengan perilaku para Nabi dan alim ulama dalam adat kebiasaannya, supaya jiwa anda kelak tertarik kepada perjalanan hidup mereka itu, itu pun jika ada lagi padamu sedikit otak yang boleh memikirkan baik buruknya kedua-dua perilaku tadi.

Kelima: Hendaklah anda fikirkan apa sebabnya anda ingin membalas dendam? Dan apa pula sebabnya anda tidak dapat menahan diri dari kemarahan itu? Mungkin juga syaitan membisikkan di telinga anda, bahawa sikap itu akan menunjukkan kelemahan dan kehinaan diri, dan anda akan kelihatan rendah di mata orang ramai. Ketika itu hendakkah anda menjawabnya dengan berkata: Wahai nafsu! Aneh sekali engkau ini. Engkau tak sanggup menahan penghinaan sekarang. Apakah engkau lebih sanggup menahan penghinaan di Hari Kiamat kelak? Apakah engkau tidak bimbang, kelak di sana engkau akan dihina-dinakan di hadapan Allah, para Malaikat dan pada NabiNya?

Apabila anda menahan kemarahan, maka hendaklah anda menahannya semata-mata kerana Allah. Anda menahannya juga kerana ia seperkara yang dipandang berat di sisi Allah. Jangan sampai anda terpengaruh dengan kata-kata orang, ataupun menahan kemarahan itu dengan sesuatu sebab keduniaan

Adapun cara memadamkan api kemarahan menerusi amalan, iaitu hendaklah anda mengucap Ta’awwudz dengan lidahmu begini: A’uudzu billaahi minash-shaithaanir-rajiim (Aku berlindung kepada Allah dari syaitan yang terkutuk). Apabila kemarahan itu muncul ketika anda sedang berdiri, maka hendaklah anda segera duduk: jika sedang duduk, maka hendaklah anda baring. Orang yang sedang dalam kemarahan, sunnat baginya mengambil wudhu’ (air sembahyang) dengan air yang dingin, kerana kemarahan itu berpunca dari api, manakala api itu pula tidak boleh dipadamkan melainkan dengan air.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Anda telah mengetahui, bahawa ubat segala penyakit mestilah dengan memotong pangkalnya dan melenyapkan sebab-sebabnya. Dengan hal yang demikian, maka anda mestilah mengetahui sebab dan punca timbulnya kemarahan itu terlebih dulu.

Sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri, ujub dan bangga, senda gurau, omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat, kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan; semua sifat-sifat ini merupakan perilaku-perilaku yang tercela di dalam syariat Islam. Seseorang itu tidak mungkin terlepas dari sifat marah, selagi semua sifat-sifat ini masih kekal di dalam dirinya. Maka sayugialah, ia bersungguh-sungguh untuk menghapuskan segala sifat-sifat ini dengan sifat-sifat lawannya.

Hendaklah menyirnakan sifat membesar diri dengan merendah diri, menyirnakan sifat ujub dan bangga diri dengan mengenal diri sendiri, menyimpan sifat memuji diri dengan mengingati diri bahawa ia adalah dari jenis makhluk yang sangat rendah, yang bersatu keturunan dengan bapa yang satu, iaitu Adam a.s. Seterusnya untuk menyirnakan sifat megah diri pula, ialah dengan mengerjakan seberapa banyak kebajikan dan kebaikan dan hendaklah ia menyakini bahawa sifat megah diri atau bangga diri itu, adalah termasuk sifat-sifat yang amat tercela.

Adalah sifat senda gurauan itu, dapat disirnakan dengan menyibukkan diri dengan urusan-urusan agama yang penting, sehingga mengambil masa yang lanjut dari umur, ataupun lebih dari itu. Sifat suka beromong kosong dapat disirnakan dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berguna yang mendatangkan feadah, seperti mencari kelebihan-kelebihan hidup, mendidik diri dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji, dan menlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan agama yang boleh menyampaikan kepada kebahagiaan akhirat.

Seterusnya untuk menyirnakan sifat mengejek-ejek itu, dengan mengekang diri dari berbuat sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, dan memeliharanya dari apa saja yang boleh menyebabkan orang lain mengejek balik. Sifat suka mencela orang lain dapat disirnakan dengan sentiasa menahan diri dari segala kata-kata yang tidak senonoh, dan memeliharanya juga dari menjawab orang lain dengan kata-kata pedas.

Adapun sifat suka mementingkan diri sendiri, dapat disirnakan dengan banyak-banyak sabar ke atas kepahitan hidup, dan selalu bersyukur terhadap apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sekadar yang termampu, untuk menjaga kemulian diri dari suka meminta-minta dan mengangkatnya dari kehinaan keperluan yang tidak ada batasnya.

Setiap perilaku dari perilaku-perilaku ini, dan setiap sifat dari sifat-sifat ini, memerlukan pengikisan dan pengubatan melalui jalan latihan dan penanggungan terhadap semua percubaannya. Tujuan menjalankan latihan seumpama ini, ialah untuk mengetahui kebencanaan sifat-sifatnya, agar jiwa merasa tidak senang kepadanya, dan melarikan diri dari segala keburukan sifat-sifat tersebut. Kemudian membiasakan diri bersifat dengan sifat-sifat lawannya setakat jangka masa yang panjang pula, sehingga dengan kebiasaan itu dapat diterapkan kepada jiwa sifat-sifat yanfg baru itu, manakala jiwa pun tidak merasa berat untuk menerimanya setelah sifat-sifat itu menjadi kebiasaannya.

Apabila sifat buruk dan tercela itu telah disirnakan dari jiwa dan dihapuskan sama sekali, maka ketika itu jiwa akan suci murni, bersih dari segala sifat-sifat keji, dan barulah ia akan terselamat dari angkara sifat marah yang mencetuskan segala sifat-sifat yang tidak baik itu.

Sementara itu punca utama yang menimbulkan sifat marah pada golongan orang yang bodoh dan jahil itu, ialah anggapan mereka bahawa sifat marah itu adalah semacam keberanian, ketangkasan dan kemuliaan diri. Sebab itulah, maka jiwa orang-orang ini tertarik kepada sifat marah, dan menganggapnya suatu sifat yang baik, Anggapan ini adalah suatu kebodohan dan kejahilan dalam diri, maka suatu penyakit dalam hati dan kurang pentimbangan dalam akal fikiran.

Untuk mengubati penyakit orang-orang bodoh ini, ialah dengan mendengarkan kepada mereka cerita-cerita para ahli penyantun dan pemaaf, dan menunjukkan kepada mereka bagaimana orang-orang itu memilih cara menahan diri dari marah. Cara beginilah yang merupakan sebaik-baik cara, sebab telah dipraktikkan oleh para Nabi dan para ulama yang terdahulu.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Ketahuilah selagi manusia tetap bersifat suka dan benci sesuatu, maka ia tidak terlepas dari sifat jengkel dan marah, sebab kedua-dua sifat itu menjadi sebahagian dari tabiat semula jadi manusia. Akan tetapi latihan diri itu perlu juga dijaga untuk menghapuskan keganasan marah itu; iaitu dengan jalan perjuangan dan memaksa diri dengan sifat penyantunan dan penanggungan seketika waktu, sehingga semua sifat-sifat itu menjadi kebiasaan dan kelakuan yang kekal dalam diri.

Dengan latihan-latihan di atas itu saja tidak boleh sama sekali menghapuskan kemarahan hati, kerana yang demikian itu memang tidak mungkin. Tetapi tujuannya ialah untuk memimpinnya ke batas yang dianjurkan oleh syara’ dan dipandang baik oleh akal fikiran. Caranya ialah dengan mematahkan gejolaknya dan melemahkannya, sehingga api kemarahan itu tidak menyala-nyala di dalam batinnya. Perbuatan itu diteruskan sehingga kesan-kesannya tiada lagi kelihatan di wajah.

Adakalanya kemarahan seseorang itu dapat dilenyapkan dengan mengalihkan pemikirannya kepada pentauhidan Zat Allah Ta’ala, ataupun mengingatkan dirinya bahawa Allah s.w.t. menginginkannya supaya ia tidak marah. Mungkin pengaruh cintanya kepada Allah Ta’ala itu dapat menolong memadamkan api kemarahannya, ataupun mengalihkan perhatian hati kepada perkara yang lebih penting daripada kemarahan itu. Ketika itu hatinya tidak ada tempat lagi untuk menyimpan marah, sebab ia telah dikuasi oleh urusan lain yang lebih penting. Apabila hati sedang sibuk dengan perkara-perkara yang penting, tentulah ia akan menyisihkan ke samping perkara-perkara yang kurang penting.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Manakala hasil sifat marah yang lemah, ialah ketiadaan harga diri sama sekali untuk menentang sesuatu yang menggangu kehormatan peribadi dan kehormatan isteri. Ia bersifat acuh tak acuh saja, ketika peribadinya dihinakan oleh orang-orang yang rendah budinya. Ia merasakan dirinya terlalu kecil dan rendah untuk mempertahankan peribadinya dari kecaman orang lain. Ini juga termasuk sifat yang tercela, sebab ia menelurkan sikap tidak cemburu ke atas kehormatan diri dan keluarga, padahal melindunginya dari pencabulan adalah wajib.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Sesungguhnya Sa’ad orang yang cemburu, dan saya lebih cemburu dari Sa’ad, manakala Allah pula lebih cemburu dari saya.”

Sifat cemburu itu dijadikan semata-mata kerana memelihara keturunan. Andaikata manusia amat bersenang-senang dalam soal cemburu ini, nescaya keturunannya akan bercampur aduk dan tidak terpelihara. Sebab itu ada pepatah mengatakan: Setiap ummat yang menentukan sifat cemburu pada kaum lelakinya, nescaya terpeliharalah kaum wanitanya.

Dari sebab lemahnya sifat marah, akan timbul pula sifat suka menganiaya diri, serta mendiamkan diri apabila menyaksikan berbagai-bagai kemungkaran yang dilakukan. Allah s.w.t. telah berfirman:

“Dan jangan kamu semua merasa belas kasihan terhadap kedua penzina itu dalam menjalankan agama (hukuman) Allah.” (An Nuur: 2)

Tegasnya, ketiadaan sifat marah dalam diri adalah tercela. Tetapi yang baiknya adalah sifat marah yang terpimpin oleh pertimbangan akal dan perintak agama.

Adakalanya marah itu perlu dan adakala penyantun pula yang perlu, tetapi sebaik-baiknya mengendalikan kedua-dua sifat marah dan penyantun itu menurut batas pertengahan, kalau marah jangan berlebih-lebihan, dan kalau penyantun pun jangan sampai melampaui batas. Biarlah yang dilakukan itu pertengahan, seperti yang dianjurkan oleh Allah s.w.t. ke atas sekalian hamba-hambaNya; iaitu cara tengah yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam salah sebuah sabdanya:

“Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan.”

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Yang dikatakan keterlampauan dalam marah itu, ialah bila sifat marah itu tidak dapat dikuasai lagi, sehingga ia terkeluar dari batas pertimbangan akal dan agama dan kepatuhannya. Orang yang bersikap seperti itu, tentulah tidak lagi mempunyai bashirah atau mata hati yang dipandang dengannya, atau pemikiran untuk menimbang dengan akalnya dan ia tidak pilihan lagi, melainkan seperti seorang yang terpaksa saja.

Di antara tanda-tanda marah pada lahirnya ialah berubah warna kulit, menggeletar kaki tangan, kelakuan tidak menurut ketertiban dan ketentuan yang biasa, gerak-geri tidak menentu arah lagi, percakapan bercampur suara marah keluar dari rahangnya, mata merah padam, lubang hidung kembang kuncup, batang tubuh berubah rupa.

Andaikata si pemarah ketika sedang marah dapat mengesan betapa buruk sifatnya pada masa itu, nescaya ia akan melenyapkan kemarahannya serta-merta, kerana sangat malu melihat keburukan sifatnya dan perubahan bentuk dan rupanya pada ketika itu. Ini hanya pada sifat lahiriahnya saja, dan sifat batinnya tentulah lebih buruk lagi dari sifat lahirnya, kerana sifat lahir menunjukkan kepada sifat batin. Yang lazimnya bila rosak, rosak dululah sifat batin, lalu kerosakan itu berjangkit pada sifat lahir pula.

Oleh itu dikatakan kerosakan pada lahir adalah pertanda adanya kerosakan pada batin. Bandingkanlah pohon dengan buahnya. Beginilah kesan-kesan atau tanda-tanda sifat terlampau marah itu pada tubuh badan.

Adapun kesan-kesan atau tanda-tanda kemarahan yang terdapat pada lidah, umpamanya kelancangan lidah ketika menyebutkan caci-maki, dan kata-kata yang terkeji dalam percakapan, yang apabila didengar oleh orang yang waras fikiran, nescaya ia akan merasa malu dan segan, dan kalau diceritakan semula kepada orang yang mengucapkannya setelah hilang marahnya, tentu sekali ia juga akan merasa malu dan menyesal atas kelakuannya itu. Sebab ketika ia marah tadi, percakapannya kelam-kabut dan tidak teratur, sehingga semua perkataan-perkataan yang keluar dari mulutnya itu tidak menerima pertimbangan akal fikiran yang waras dan wajar.

Tentang kesan-kesan marah dan alamat-alamatnya pada anggota, ialah suka memukul, menyerang, menghancurkan harta benda, melukai bahkan membunuh sekalipun, jika berkuasa melakukan seperti itu. Malah ada kalanya ia sampai menganiaya diri sendiri, mengoyak-ngoyakkan pakaiannya, memukul-mukul dirinya, atau terkadang-kadang ia memukul-mukul tanah.

Biasa juga orang yang berkelakuan begini diserang oleh perasaan tidak sedarkan diri, sehingga semua tindakanya itu seperti tindakan orang tak siuman atau hilang akal. Orang yang dalam keadaan begini, tidak mustahil akan merosakkan harta benda, menganiaya binatang, memecahkan pinggan-mangkuk, ataupun sampai memaki-maki binatang. Tidaklah hairan pula, jika binatang itu menendangnya, ia akan menendang balik binatang itu. Jelaslah ketika itu, ia akan bersikap seperti orang gila.

Adapun kesan-kesan dan tanda-tandanya pada hati pula, ialah lahirnya sifat-sifat dendam dan dengki, memendamkan niat jahat terhadap orang lain, suka bersifat dengan segala sifat-sifat yang dicela dan dikeji. Ia tidak senang apabila melihat orang bergembira. Ia tidak segan untuk membocorkan rahsia orang. Ia suka melanggar penghormatan orang dan mengejek-ejeknya. Pendek kata semua sifat-sifat yang buruk itu akan dilengkapinya di dalam dirinya.

Demikianlah hasil sifat marah yang berlebih-lebihan atau yang melampaui batas.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Orang yang tiada bersifat pemarah, ataupun yang lemah sifat kemarahannya itu tercela. Itulah orang yang dikatakan tidak mempunyai sifat cemburu pada diri Allah s.w.t. telah mensifatkan para sahabat Nabi s.a.w. dengan terkadang-kadang bersifat keras dan berperasaan cemburu atas diri seperti firman Allah ta’ala:

“Mereka itu bersikap keras terhadap orang-orang kafir.” (al-Fath: 29)

Allah telah berfirman ke atas NabiNya s.a.w.:

“Perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik itu, dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (at-Tahrim:9)

Yang dikatakan bersikap keras dan tegas itu adalah bersumber dari adanya tanda-tanda kekuatan cemburu dalam diri, iaitu yang menyebabkan sifat marah.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Next Page »