akhlak Rasulullah


Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.

Barangsiapa yang masih menyangsikan terjadinya perkara-perkara yang luar biasa ini atas diri Rasulullah s.a.w. serta menganggap bahawa berita tentang peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang luar biasa itu tidak dibawa menurut tawatur (bersambung-sambung sehingga sukar dibohongi lagi) seperti tawaturnya Al-Quran, maka yang demikian itu samalah seperti seorang yang masih menyangsikan ketangkasan Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. atau seperti seorang yang masih meragui tentang kemurahatian Hatim at-Tha’i.

Memang benar, bahawa tiap-tiap satu dari kejadian-kejadian tadi tidak tawatur pemberitaanya, akan tetapi pada umumnya keseluruhan kejadian-kejadian itu memberitahu kepada kita semacam pengetahuan yang dharuri. Dan tawatur al-Quran al-Karim itu sudah tidak dapat dipertelingkahkan lagi, dan ia juga merupakan satu-satunya mukjizat yang paling utama dan terbesar sekali, yang masih ada di antara manusia hari ini. Tidak ada seorang Nabi yang mempunyai mukjizat yang masih tinggal, selain dari mukjizat Rasulullah s.a.w. telah mencabar sekalian pakar ilmu bahasa dalam kalangan manusia dan sasterawan-sasterawan Arab seluruhnya.

Kebetulan di masa itu, Jazirah Arab penuh dengan pakar-pakar ilmu bahasa dan sasterawan-sasterawan ulung, sehingga mencapai bilangan ribuan. Orang-orang ini memanglah kerjanya memajukan kesusasteraan dan kefasihan bahasa Arab, maka dengan mukjizat al-Quran itulah Rasulullah s.a.w. telah mencabar mereka dan mengatasi ilmu pengetahuan mereka.

Seringkali pula Rasulullah s.a.w. berdiri di hadapan mereka seraya menyeru mereka mencipta seperti al-Quran, kiranya mereka masih meragui al-Quran. Kemudian meminta mereka mencipta sepuluh Surah saja seperti al-Quraan. Kemudian dengan satu Surah saja … tetapi semua cabaran dan rayuan Rasulullah s.a.w. itu, mereka tetap tidak berkuasa menandinginya.

Baginda s.a.w. lalu membacakan kepada mereka ayat al-Quran yang berbunyi:

“Katakanlah sekiranya berkumpul manusia dan jin untuk mendatangkan (mencipta) seperti al-Quran ini, mereka tidak akan mampu mendatangkan sepertinya, meskipun sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain.” (al-Isra’: 88)

Baginda s.a.w. telah berkata demikian untuk membuktikan kelemahan mereka itu. Sememangnyalah mereka itu menjadi lemah sekali, bila mereka berhadapan dengan al-Quran al-Karim, sehingga mereka mendedahkan diri mereka kepada penawanan oleh kaum Muslimin dalam peperangan-peperangan yang mereka masih tidak berkuasa untuk menetang al-Quran. Juga tidak mampu untuk mencacatkan keindahan dan kemurniaan al-Quran.

Sesudah itu tersebarlah cerita I’jaz al-Quran ini ke seluruh antero dunia, baik di timur mahupun di barat, dari satu abad ke abad yang lain, dan dari suatu masa ke masa yang lain, hinggalah sampai ke zaman kita ini, tidak ada seorang pun yang sanggup menentangnya.

Adalah suatu kebodohan yang besar, orang yang melihat pada hal-ehwal Rasulullah s.a.w. kemudian kepada tutur katanya, perilakunya, perbuatannya, akhlaknya, budi pekertinya dan seterusnya kepada mukjizat-mukjizatnya, kemudian kepada penyebarannya ke seluruh antero alam, kemudian melihat pula bagaimana sekalian raja-raja dalam zamannya dapat ditundukkan, kemudian raja-raja sesudah zamannya juga dapat ditundukkan sama, padahal Baginda tiada lain, melainkan seorang anak yatim yang lemah saja.

Kemudian sesudah orang itu melihat segala-gala yang tersebut di atas tadi, lalu ia cuba mahu mempertelingkahkan tentang kebenarannya? Alangkah besarnya taufiq dan petunjuk orang yang sudah beriman dengan Nabi s.a.w. kemudian ia membenarkannya pula seraya mengikut jejak langkahnya terhadap semua perintah yang diwahyukan.

Marilah kita memohon Allah Ta’ala agar kita diberikanNya taufiq dan pentunjuk untuk mengikuti jejak langkah Nabi s.a.w. dalam akhlak dan budi pekertinya dalam perilaku dan perbuatannya, dalam segala hal dan keadaannya, dalam kata-kata dan tutur bicaranya dengan kurniaannya dan keluasan kasih sayangnya. Amin.

… bersambung dari Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. (1) dengan menyebutkan lagi berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak seringkas-ringkas yang boleh, iaitu:

8.  Dalam suatu peristiwa pula, Suraqah bin Malik telah mengejar baginda (ketika berhijrah ke Madinah), lalu tiba-tiba kaki kudanya terbenam ke dalam tanah, sehingga Suraqah meminta tolong kepada Rasulullah supaya melepaskannya. Baginda pun berdoa dan kaki kuda itu pun terlepas.

9.  Rasulullah s.a.w pernah menelah bahawa akan diletakkan ke atas dua belah bahunya gelang Kisra/Kaiser (Maharaja Parsi) dan ini juga telah berlaku.

10. Baginda s.a.w. telah memberitahu tentang pembunuhan al-Aswad Al-Ansi, pendakwa Nabi yang bohong. Ia akan di bunuh pada malam hari, ketika berada di Sana’a (Yaman). Diberitahukan sekali pembunuhnya.

11. Baginda s.a.w. telah memberitahu bahawa ia sendiri akan membunuh Ubai bin Khalaf al-Jumahi. Maka pada peperangan Uhud, Baginda berjaya memancung leher Ubai dengan sekali pancungan yang lembut saja, di mana Ubai telah menemui ajalnya.

12. Baginda s.a.w. pernah dihidangkan makanan yang beracun. Orang yang makan bersama-sama Baginda telah mati kerana racun itu, tetapi Baginda terselamat dan masih terus hidup empat tahun lagi sesudah peristiwa itu. Baginda terselamat disebabkan daging itu memberitahunya yang ia beracun.

13. Baginda s.a.w. memberitahu perihal tempat pertempuran dengan pasukan-pasukna Quraisy, maka Rasullah s.a.w telah menghentikan mereka itu seorang demi seorang, tidak seorang pun dapat maju lagi ke hadapan dari tempat itu.

14. Baginda s.a.w. memberitahu juga, bahawa segolongan dari ummatnya akan mengharungi lautan, yang kemudian berlaku tepat seperti telahannya.

15. Allah Ta’ala telah menggulung bumi bagi Baginda sehingga terlihat olehnya sudut timur sampai sudut barat. Lalu diberitahukan kepada Baginda, bahawasanya kekuasaan ummatnya akan meliputi segala tempat dalam bumi yang terlihat olehnya tadi. Maka hal ini sebenarnya telah pun berlaku. Sebab kaum Muslimin pernah berkuasa dari sudut timur bermula dari negeri Turki, hingga ke sudut barat dari laut Andalus (Spain) dan negeri Barbar (Algeria dan sekitarnya).

16. Baginda s.a.w. memberitahu puterinya Siti Fatimah radhiallahuanha, yang ia adalah orang pertama sekali akan menyusul Baginda setelah Baginda wafat. Ini betul-betul telah berlaku.

17. Baginda s.a.w. memberitahu isteri-isterinya juga, bahawa yang paling ringan tangannya akan lebih dahulu menyusulnya, setelah Baginda wafat. Maka isterinya yang bernama Zainab r.a. yang terkenal seorang dermawan adalah paling awal sekali mengikutinya di antara isteri-isteri Baginda.

18. Baginda s.a.w. pernah suatu ketika mengusap-usap tetek seekor kambing yang telah kering susunya, maka dengan serta-merta tetek itu mengeluarkan susu. Ini juga telah menyebabkan Abdullah bin Mas’ud r.a. masuk Islam.

Sebelum itu telah berlaku perkara yang sama juga di Khemah Ummi Ma’bad al-Khuza’iah.

19. Sekali peristiwa pernah mata seorang sahabat terkeluar dari kelopaknya, lalu Rasulullah s.a.w. mengembalikan semula mata itu di tempat asalnya dengan penglihatan orang itu menjadi lebih sihat dan lebih baik dari sebelumnya.

Perkara yang sama telah berlaku diri Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika matanya sakit di waktu peperangan Khaibar, lalu baginda pun meludah ke mata yang sakit itu, maka baiklah mata itu serta merta. Baginda pun menyerahkan kepadanya panji-panji Islam untuk membuka Kota Khaibar itu.

Demikianlah sebahagian dari mukjizat-mukjizat Nabi s.a.w. yang dapat disebutkan di sini hingga kepada selainnya dari hal-hal yang luar biasa dan dari mukjizat-mukjizatnya yang amat banyak itu.

Berikut kita cuba menyebutkan sedikit dari berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak, yang mana beritanya sudah tersebar dengan luas. Kita sebutkan di sini seringkas-ringkas yang boleh, iaitu:

1.  Telah tersiar berita Rasulullah s.a.w. telah menjamu makan kepada segolongan orang yang ramai dari makanan yang sedikit. Iaitu seperti yang berlaku di rumah Jabir, di rumah Abu Talhah, pada hari mengorek Khandaq (Kubu). Pernah berlaku juga suatu masa, Baginda menjamu makan seramai 80 orang dari beberapa keping roti syair yang dibawa oleh Anas kepada Baginda. Mereka sekalian telah memakannya sehingga kenyang sekenyang-kenyangnya, dan sesudah itu ada pula bakinya lagi.

2.  Memancarkan air dari antara jari-jemari Baginda, sehingga dapat menghilangkan dahaga seluruh askar-askarnya, padahal mereka sedang dalam keadaan dahaga yang amat sangat. Juga pernah pula mereka itu dapat berwudhu’ dari semangkuk air yang amat kecil, sehingga apabila Baginda hendak memasukkan tangannya ke dalam mangkuk itu pun sukar dikeranakan sempitnya.

3.  Rasulullah s.a.w. pernah mencurahkan air yang disediakan untuk Baginda berwudhu’ ke dalam perigi Tabuk, sedangkan perigi itu kekeringan air pada ketika itu, tetapi kemudian memancar semula mata air itu mengeluarkan airnya, sehingga dapat diminum oleh askar-askar yang bilangannya berjumlah ribuan orang dengan puas dan berlebihan lagi. Demikian pula peristiwa yang sama berlaku lagi di salah sebuah perigi Hudaibiah, di mana seramai 1,500 orang telah meminum dari perigi itu, padahal perigi itu perigi buta, tidak pernah berair sama sekali sebelumnya.

4.  Pernah Rasululullah s.a.w. melempar tentera musuh dengan segenggam tanah, sehingga penglihatan mereka seolah-olah buta, tidak boleh melihat lagi. Peristiwa ini telah dikuatkan beritanya oleh al-Quran al-Karim sendiri dalam ayatnya yang berbunyi: “Bukannya engkau yang melempar ketika engkau melempar itu, akan tetapi Allah yang melempar.”  (al-Anfal: 17)

5.  Ada sebatang pokok yang dahulunya Rasulullah s.a.w. pernah berkhutbah di atasnya. Tetapi apabila telah dibuatkan bagi Maginda mimbar untuk digunakan berkhutbah menggantikan batang pohon itu, maka kedengaranlah batang pohon itu seolah-olah menangis seperti suara unta yang mengeluh sehingga suara itu terdengar oleh para sahabat sekalian. Oleh Baginda maka batang pohon itu lalu dipeluknya tanda kesayangan, barulah suara itu diam.

6.  Pernah kaum Yahudi mencabar baginda supaya mencita-citakan maut. Lalu Baginda pun bertaruh mengatakan, bahawa mereka sekalian tidak berani mencita-citakan maut. Maka kaum Yahudi itu dapat merasakan kebenaran kata-kata Rasulullah, lalu mereka pun menarik balik cabarannya itu.

7.  Pernah Rasulullah s.a.w. memberitahukan tentang berita-berita ghaib, kemudian berita-berita itu berlaku tepat seperti yang ditelahinya, iaitu: Saiyidina Usman bin Affan, pernah diberitahu oleh Baginda bahawa malapetaka akan menimpanya suatu masa nanti dan sesudah itu ia masuk syurga. (Malapetaka yang dimaksudkan itu ialah berlakunya suatu pemberontakan rakyat terhadap pemerintah Khalifah Usman, di mana beliau akhirnya terbunuh syahid, ketika sedang membaca al-Quran). Ammar bin Yasir akan dibunuh oleh segerombolan manusia penganiaya. Al-Hasan bin Ali ditakdirkan Tuhan akan mendamaikan antara dua puak Muslimin yang besar. (Semua telahan-telahan itu telah berlaku tepat seperti yang diberitahukan oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menjadikan setengah kaum Muslimin insaf dan setengah yang lain tetap atas penganiayaannya)

Dalam suatu peristiwa pula Rasulullah s.a.w. telah memberitahu tentang diri seorang yang berjihad dalam sabilillah, bahawasanya orang itu dari ahli neraka, maka orang itu talah diintip-intip oleh seorang sahabat dan mendapatinya telah membunuh diri sendiri disebabkan tidak tertahan lagi oleh pedihnya luka-luka di badan.

Semua telahan-telahan ini adalah perkara-perkara yang bersumber dari Tuhan, tidak mungkin diketahui oleh sesiapa dengan apa cara sekalipun. Tidak pernah pula diketahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengambil sumber pengetahuannya tentang perkara semacam rumusan atau dengan ramalan, atau secara kasyaf, bukan pula dengan rumusan atau dengan ramalan tetapi kesemuanya adalah datangnya dari Allah yang telah memberitahukannya menerusi wahyuNya.

Kami telah utarakan di sini sebahagian dari akhlak dan budi pekerti baginda, agar anda mengerti tentang keluhuran perilakunya.

Sesudah itu hendaklah anda faham, baik tentang kebenarannya dan ketinggian darjatnya dan kebesaran kedudukannya di sisi Allah Ta’ala, sebab Allah Ta’ala telah melengkapkan diri Baginda dengan segala sifat kemurniaan akhlak dan budi pekerti, padahal Baginda adalah seorang yang ummi, tidak pandai tulis baca, tidak pernah mempelajari ilmu pengetahuan, tidak pernah membaca atau menatap buku-buku dan tidak pernah belayar kerana menuntut ilmu di negeri mana pun.

Akan tetapi baginda dibesarkan di kalangan orang-orang bodoh dari kaum arab yang kasar budi lakunya. Baginda dibesarkan pula sebagai seorang anak yatim, amat lemah.

Maka bagaimana dan dari mana Baginda telah mendapat segala pendidikan keluhuran akhlak dan adab itu? Bagaimana dan dari mana Baginda mengetahui selok-belok hukum agama yang terkhusus ini, dan tidak mengetahui selainnya dari ilmu pengetahuan pula? Terutama sekali kemakrifatannya tentang zat Allah, Malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan seumpamanya dari pengkhususan-pengkhususan yang biasanya dilengkapkan kepada seorang Nabi?

Pendek kata dari mana Baginda memperoleh semua ini kalaulah tidak menerusi wahyu yang diturunkan dari langit!

Fikirkanlah, manusia mana yang dapat mencapai semua pengkhususan-pengkhususan ini menerusi kekuatan yang ada padanya?

Andaikata tiada lain bukti yang ada pada Baginda untuk membuktikan dirinya sebagai seorang Nabi dan Rasul melainkan dengan perkara-perkara lahir yang disebutkan tadi, sudah memadai dan cukuplah! Padahal telah jelas dan terang keterangan-keterangan mengenai kemukjizatannya apa-apa yang tidak boleh diragukan atau ditolak lagi.

Ketahuilah, bahawasanya sesiapa yang memperhatikan sifat-sifat Rasulullah s.a.w. dan mendengar berita-beritanya yang berkenaan dengan akhlak dan budi pekertinya, perbuatan dan perilakunya hal-ehwal dan keadaannya, adat-istiadat dan watak tabiatnya, kelebihan dan keutamaannya, siasah dan politiknya terhadap sekalian makhluk, hidayat dan petunjuknya untuk menyusun dan mengatur cara kehidupan mereka, kebiasaan dan kemesraannya dalam pergaulan dengan segala lapisan masyarakat dan kepimpinannya terhadap mereka agar mentaati segala perintahnya, tambahan pula jika diperhatikan dan diteliti pula segala cerita-cerita mengenai keluar biasaan jawabannya terhadap persoalan-persoalan yang rumit, kegemilangan pentadbirannya dalam kepentingan rakyat umum, keindahan pengaturannya dalam mengupas hukum-hukum syariat Islam yang zahir, yang kiranya dikemukakan kepada para cendekiawan, tentu sekali akal fikiran mereka akan menjadi buntu untuk mencari pangkal permulannya, meskipun mereka berusaha sepanjang umur mereka.

Oleh kerana itu, maka tiadalah dapat diragukan atau disyaki lagi, bahawa semua itu adalah suatu pancaran yang bersumber dari kekuasaan langit, dan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala. Segala-gala itu tidak mungkin digambarkan oleh seorang pendusta atau penipu.

Bahkan semua budi pekerti dan perilakunya, semua hal-ehwal dan keadaannya menjadi saksi dan bukti atas kebenarannya. Sehingga seorang Arab yang tidak mengerti apa-apa apabila melihat saja kelakuan Rasulullah s.a.w. itu, ia terus berkata: Muka ini bukan muka pendusta.

Jika orang yang hanya melihat perilaku dan akhlaknya saja, sudah berani menyaksikan kebenarannya, bagaimana pula dengan orang yang sehari-harian bersama-samanya menyaksikan segala keluhuran budi pekertinya dan merasakan kejempolan hal-ehwalnya dalam segala sumber dan puncanya.

Rasulullah s.a.w. adalah sederhana saja perawakannya, tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah.

Warna kulitnya berseri-seri, tidak terlalu merah ataupun terlalu putih melepak.

Rambutnya tidak terlalu lurus ataupun terlalu kerinting, dan rambut itu mengiringi sampai ke tepi dua telinganya. Uban di kepala atau di janggut tidak sampai dua puluh helai. Dahinya luas. Bulu keningnya tidak lebat tetapi panjang. Alis matanya juga panjang. Giginya renggang-renggang. Janggutnya lebat dan dibiarkannya panjang tanpa dipotong, manakala misainya kemas diandam.

Kedua tulang belikatnya besar melebar dan antara kedua belah bahunya terdapat khatamun-Nubuwwah (Mohor Kenabian). Langkahnya satu satu seolah-olah ia sedang turun dari tempat tinggi.

Sekalipun tinggi kedudukannya dan mulia martabatnya antara para sahabat sekalian, namun Baginda sentiasa bersifat merendah diri.

Baginda mengenderai keledai dengan beralaskan sekeping tikar saja, dan terkadang-kadang membiarkan di belakangnya diboncengi orang lain pula.

Baginda sering melawat pesakit-pesakit dan mengiringi jenazah ke perkuburan. Baginda mengkabulkan undangan hamba sahaya, menjahit kasutnya sendiri, menampal bajunya sendiri. Baginda selalu membantu ahli rumah dalam urusan kerja rumah tangganya.

Para sahabat tidak pernah bangun untuk menghormatinya ketika ia tiba, kerana perkara itu amat dibencinya.

Bila Baginda berlalu di tempat kanak-kanak bermain, Baginda selalu memberi salam kepada mereka. Baginda duduk bersama-sama para sahabatnya bercampur aduk, seolah-olah ia salah seorang dari mereka, sehingga apabila ada orang gharib (asing) yang datang, sukar baginya untuk mengenal, mana satu Nabi kecuali setelah diberitahukan kepadanya.

Ketika sedang duduk-duduk dalam suatu majlis bersama-sama para sahabat, mereka berbual-bual mengenai urusan keakhiratan, Baginda turut bersama-sama membicarakan tentangnya. Jika mereka berbual-bual tentang makan-minum, Baginda turut juga membicarakan perkara yang sama, sebagai tanda belas kasihan dan tawadhu’nya kepada mereka sekalian.

Para sahabat sekalian selalu juga melagu-lagukan syair-syair dalam majlisnya. Dan terkadang-kadang mereka menyebut-nyebut beberapa perkara yang pernah dilakukan dalam zaman jahiliyah dahulu, sehingga menimbulkan perasaan geli hati dan tertawa. Apabila mereka sekalian tertawa, Baginda hanya turut tersenyum.

Baginda tidak pernah melarang para sahabat sekalian dari perkara-perkara tersebut, melainkan jika ada yang haram, maka ketika itu Baginda tidak akan tergesa-gesa lagi untuk melarangnya.

Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang termulia dan amat berani.

Berkata Saiyidina Ali r.a.: Saya dapati diri saya pada hari peperangan Badar bersama-sama orang yang melindungi Nabi s.a.w. sedang tempatnya paling hampir sekali kepada musuh. Ketika itu Rasulullah s.a.w di antara orang-orang yang paling bersemangat sekali ketangkasan dan keberaniannya.

Saiyidina Ali menceritakan lagi tentang peribadi Rasulullah s.a.w., katanya: Ketika pertempuran menjadi gawat, dan musuh telah tercampur aduk dengan kami, kami pun terus berlindung diri kepada Rasulullah s.a.w., maka ketika itu tiada seorang pun yang paling hampir kepada mush selain diri Baginda s.a.w. Apabila kaum musyrikin menyerbu ke arahnya, Baginda pun segera turun dari tunggangan baghalnya seraya bersajak:

Aku Nabi bukannya pendusta

Aku anaknya Abdul Mutalib.

Pada saat dan ketika itu, tiada seorang pun yang nampak lebih bersemangat daripada diri Baginda s.a.w. sendiri.

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang murah hati dan dermawan terhadap para ummatnya. Terutama sekali pada bulan Ramadhan, murah hati dan kedermawanannya laksana angin yang menghembus, yakni tidak putus-putusnya sehingga tidak ada sesuatu pun yang akan tinggal lagi dalam tangannya yang mulia itu.

Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a., ketika mensifatkan peribadi Nabi s.a.w., katanya: Baginda adalah orang yang amat murah hati di antara sekalian manusia, tangannya sentiasa terbuka untuk memberi, dadanya sentiasa lapang untuk memaafkan, tutur bicaranya sentiasa benar pada segala hal, janjinya sentiasa ditepati, sikapnya sentiasa lunak, pergaulannya sentiasa atas dasar kemuliaan, siapa saja yang melihat Baginda tetap merasakan kehebatannya, siapa yang pernah bergaul dengan Baginda secara berkenalan terus akan mencintainya.

Orang yang menceritakan tentang sifatnya berkata: Saya belum pernah melihat seorang pun seperti Baginda, baik di masa dahulu, mahupun sekarang. Tidak pernah dimintai sesuatu barang, melainkan Baginda akan memberi si peminta itu.

Suatu masa, seorang telah mendatangi Nabi s.a.w. seraya meminta sesuatu daripadanya. Maka Baginda pun memberinya sekelompok kambing yang banyak, sehingga menutupi jalan antara dua bukit. Orang itu kembali kepada kaumnya seraya berkata: Wahai kaumku! Masuklah Agama Islam, kerana Muhammad memberi pemberian orang yang tidak takut menjadi miskin. Dan ia tidak pernah menolak sesiapa yang meminta atau tidak tahu berkata: Tidak ada.

Pernah dalam suatu peristiwa, Baginda telah dibawakan wang sebanyak 90,000 dirham, lalu diletakkannya wang yang banyak itu di bawah tikar. Maka mulalah Baginda membahagikannya kepada sesiapa yang memerlukan wang itu, tiada seorang pun yang ditolaknya sehingga habis semua wang itu dibahagi-bahagikan.

Dalam peristiwa yang lain pula, telah datang seorang menemui Baginda seraya meminta darinya sesuatu. Maka jawab Baginda: Dukacita, masa ini saya tidak mempunyai apa-apa. Tetapi pergilah beli sesuatu dan harganya hutangkanlah atas saya. Nanti bila ada rezeki yang datang, akan saya lunaskan hutang itu.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab yang kebetulan ada di situ merasa kurang senang dengan sikap Baginda sampai begitu sekali, lalu berkata kepada Baginda: “Wahai Rasulullullah! Tuhan tiada memberatimu atas hal-hal yang engkau tiada berkuasa atasnya.”

Ucapan Umar itu agak menyinggung perasaan Baginda s.a.w. Tetapi orang itu pula segera menyahut: Belanjakanlah hartamu dan jangan takut dari Zat (Tuhan) yang menguasai Arasy akan dikurangi harta itu. Mendengar itu, Baginda segera tersenyum dan kelihatan pada raut wajahnya tanda kegembiraan dengan ucapan orang itu.

Dalam suatu peristiwa yang lain lagi, setelah selesai Rasulullah s.a.w dari peperangan Hunain, Baginda telah didatangi oleh kumpulan orang-orang Arab dusun meminta-minta kepadanya, sehingga Baginda terpaksa berlindung di bawah sebatang pohon. Dalam pada itu, kain rida’nya (selendangnya) juga sempat direnggut oleh mereka. Kembalikanlah kepadaku kain rida’ku! Seandainya aku mempunyai harta yang banyak seperti banyaknya duri-duri di pohon ini, nescaya aku akan bahagikan di antara kamu sekalian. Kemudian sesudah itu, kamu tidak akan mendapatiku lagi sebagai seorang yang kikir atau pembohomng atau pengecut.

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang berwatak lemah lembut pada segala hal, lemah lembut lahir dan batin. Mudah diketahui pada raut wajahnya ketika Baginda sedang marah ataupun sedang redha. Meskipun demikian, Baginda tetap tidak suka menampakkan sikap kebenciannya kepada seseorang secara terus terang.

Pernah berlaku pada suatu ketika bahawa seorang Arab dusun kencing di dalam masjid di hadapan majlis Rasulullah s.a.w. maka para sahabat segera mendapatkan orang itu untuk melakukan kekerasan terhadapnya. Tetapi Rasulullah s.a.w. segera menghalang mereka dengan berkata: Janganlah putuskan kencingnya (yakni: biarlah ia kencing hingga selesai).

Sesudah itu, Baginda bersabda kepadanya: Dalam masjid-masjid serupa ini tidak boleh dibuat sesuatu semacam itu.

Next Page »