amar ma’ruf nahi mungkar


Ketahuilah bahawa setiap orang yang menganggur duduk dalam rumah saja, tidak sepi dari kemungkaran dalam zaman ini, disebabkan keengganannya untuk mengambil bahagian dalam membimbing orang ramai, mengajar serta mengajak mereka kepada jalan kebaikan.

Dalam zaman ini, kebanyakan orang masih jahil tentang selok-belok syariat Islam di merata negara, terutama sekali di kampung-kampung dan di desa-desa pendalaman. Jadi pada tiap-tiap masjid atau tempat di ceruk-rantau negara, wajiblah ada seorang faqih (ahli agama) yang boleh mengajar orang ramai tentang urusan agamanya, terutama sekali di kampung-kampung.

Demikian juga bagi setiap ahli agama itu, setelah selesai segala kewajiban Fardhu ‘Ainnya dan bila memulakan Fardhu Kifayahnya, hendaklah ia pergi ke daerah-daerah yang berdekatan dengan tempat tinggalnya untuk menyebarkan ilmu pengetahuan agama yang diketahuinya dan menyampaikan pelajaran agama Islam kepada penduduk-penduduknya.

Dalam tugas kewajiban ini, sekiranya seorang telah memikul tanggungjawabnya, maka gugurlah dosanya dari orang lain, kerana tugas mengajar perkara-perkara yang wajib dalam syariat itu adalah Fardhu Kifayah.

Kesimpulannya, patutlah atas setiap Muslim mengajukan dirinya untuk menjadi perintis jalan dalam melaksanakan tugas mengajar ini.

Mula-Mula hendaklah ia menglengkapkan diri sendiri dengan menjaga betul-betul segala-segala yang difardhukan ke atasnya serta meninggalkan segala-gala yang terlarang.

Sesudah itu barulah ia memulakan pula dengan ahli rumahtangganya. Sesudah itu pula, dia berpindah kepada jiran tetangganya, dan seterusnya kepada seluruh penduduk kampungnya.

Kemudian barulah pula kepada seluruh rakyat yang terdekat, mahupun yang tinggal jauh darinya. Akhir sekali, barulah ke penjuru alam semesta ini.

Sebagaimana yang telah ditegaskan di atas, bahawa semua orang Muslim yang berkuasa, wajib menanggung tugas menyebarkan pengajaran agama ini. Tetapi jika salah seorang yang terdekat telah melaksanakan tugas tersebut, maka gugurlah dosanya atas orang yang terjauh. Kalau tidak ada seorang pun melaksanakannya, maka berdosalah semua orang yang kuasa untuk mengerjakannya, sama ada yang dekat mahupun yang jauh.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Dalam harta yang dimiliki pula ada dua kemungkaran iaitu:

  1. Mensia-siakan harta
  2. Terlalu boros dalam membelanjakan harta

Mensia-siakan harta, bererti membelanjakan harta itu tanpa mendapat apa-apa faedah daripadanya, seperti membakar pakaian dan mengoyak-ngoyaknya, atau apa saja yang boleh dikategorikan dalam pengertian mengeluarkan harta ke jalan kemusnahan dan kemungkaran.

Dan terkira kemungkaran juga, bila dibelanjakan harta dalam perkara-perkara yang harus, tetapi amat melampaui batas dan amat keterlaluan. Manakala maksud dari pengertian keterlaluan itu pula berbeda-beda menurut perbedaan keadaan-keadaannya.

Cuba lihat pula firman-firman Allah berikut:

“Janganlah membukakan tanganmu itu seluas-luasnya (terlalu murah hati), maka nanti kamu jadi tercela dan sengsara.” (al-Isra’: 29)

“Janganlah kamu terlalu boros (dalam membelanjakan hartamu), sesungguhnya orang-orang yang boros itu menjadi kawan-kawan syaitan, sedangkan syaitan kufur (ingkar) kepada Tuhan.” (al-Isra’: 26-27)

“Dan orang-orang yang bila membelanjakan hartanya tiadalah terlalu boros dan tiada pula terlalu kikir, bahkan mereka berlaku sederhana dalam kedua hal itu.” (al-Furqan: 67)

Apabila seseorang hanya memiliki RM100.00 misalnya, sedangkan ia mempunyai keluarga yang besar dan anak-anak pun banyak, dan tiada lagi baginya pendapatan selain itu, lalu ia membelanjakan semua wang itu untuk mengadakan suatu jemputan makan, maka ia adalah dicap seorang musrif (boros) yang mesti dan wajib dihalang.

Begitu juga jika ia membelanjakan semua wangnya itu untuk melukis dinding-dinding rumah dan menghiaskannya, maka itu juga dikira boros yang termasuk dalam larangan Allah, seperti tersebut ayat-ayat dia atas tadi.

Tetapi sekiranya ia melakukan yang demikian itu, sedangkan ia seorang yang kaya mempunyai wang yang banyak, maka tiadalah haram baginya dalam melukis dan menghiaskan rumahnya, sebab mencantikkan rumah itu termasuk perkara-perkara yang baik.

Demikian juga menghias diri dengan pakaian, dan memakan makanan-makanan yang lazat termasuk perkara-perkara yang harus pada dasarnya. Tetapi semua itu boleh bertukar menjadi boros yang terlarang dengan menilik keadaan seseorang dan harta yang dimilikinya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Di antara kemungkaran-kemungkaran yang terdapat ketika menjamu tetamu, ialah menghamparkan tempat duduk yang terbuat dari sutera bagi kaum lelaki, membakar wangi-wangian di tempat bara yang terbuat dari emas atau perak, atau minum dengan bekas-bekas yang terbuat dari perak.

Demikian juga mendengar nyanyian dari wanita-wanita yang diundang khusus untuk menghiburkan. Kemudian memakan pula makanan-makanan yang haram di tempat-tempat yang dirampas, ataupun di tempat itu ada pula hidangan minuman keras (khamar).

Bagi orang yang benar-benar beriman, janganlah hendaknya ia sampai hadir di dalam majlis-majlis yang ada kemungkaran-kemungkaran seperti yang disebutkan di atas, meskipun tujuannya semata-mata untuk menghibur diri dengan cerita-cerita yang mengelak-ketawakan, ataupun jenaka-jenaka yang menggelikan hati yang terdapat di dalam, majlis-majlis serupa itu.

Adapun jika yang menggelikan hati itu, ialah cerita-cerita lawak yang lucah, ataupun yang sengaja diada-adakan secara dusta dan bohong, maka menghadirkan diri dalam majlis-majlis serupa itu dihukumkan haram, dan wajib pula diingkari terhadap majlis-majlis yang demikian itu.

Andaikata yang diketawakan itu ialah senda-gurauan yang tiada disertai kata-kata lucah atau bohong, maka hukumnya harus, yakni dengan syarat tiada terlalu melampaui batas, dan tidaklah pula berlaku pada seluruh majlis tersebut.

Begitu juga tiada boleh dijadikan perkara itu semacam kebiasaan yang dilakukan terus-menerus dan jika berlaku terus, maka tiadalah hukumnya menjadi harus lagi.

Seterusnya kemungkaran juga boleh berlaku bila ada israf iaitu berlebih-lebihan dalam menghidangkan berbagai-bagai macam makanan kepada tetamu. Begitu juga dalam menghiaskan bangunan atau rumahtangga secara melampaui batas.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Di antara kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di tempat mandi, ialah membuka aurat dan melihat kepadanya**.

Berlaku juga terkadang-kadang orang yang diupah menggosok badannya. Menyepak paha atau di tempat-tempat di bawah pusat, supaya ia dapat membersihkan kotoran yang melekat di situ. Bahkan lebih dari itu ia memasukkan tangannya ke dalam kain, maka jika ia menyentuh kemaluan orang lain hukumnya haram, seperti juga melihat kepadanya.

Termasuk yang dilarang ialah baring bertiarap untuk membiarkan penggosok itu memicit paha dan punggung maka hukumnya makruh jika bahagian-bahagian itu tertutup (kalau terbuka hukumnya haram – pent) dan tiada menjadi haram, melainkan jika perbuatan itu dikhuatiri akan menimbulkan syahwat keberahian.

Termasuk di antara yang dilarang juga ialah memasang ubin tempat mandi ataupun saluran airnya dengan batu-batu yang licin yang boleh menyebabkan orang mudah tergelincir, kalau tidak berhati-hati. Ini juga suatu kemungkaran dan wajib dilenyapkan dan ditiadakan. Perkara ini patut diadukan kepada penjaga tempat mandi itu kerana kelalaiannya, sebab ia boleh menyebabkan orang terjatuh, dan mungkin salah satu anggotanya akan patah atau rosak, maka siapa yang akan bertanggungjawab ketika itu?

Seterusnya meninggalkan sabun di ubin tempat mandi juga suatu kemungkaran, sebab dikhuatiri orang yang terpijaknya akan terjatuh.

Walhasil dalam tempat mandi itu ada banyak perkara-perkara lain yang harus diperhatikan termasuk hukum makruh telah pun kami huraikan perkaranya di dalam kitab taharah.

* Tempat mandi yang di maksudkan di sini ialah tempat mandi umum.

** Jika ia mandi bertelanjang seorang diri lalu melihat auratnya sendiri hukumnya makruh.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Kemungkaran-kemungkaran yang sering terdapat di jalan-jalan orang ramai banyak sekali, antaranya ialah meletakkan kayu-kayuan atau menimbun biji-bijian dan makanan di tempat lalu-lalang orang ramai, ataupun menambah halaman sampai di tengah jalan; semua ini merupakan kemungkaran-kemungkaran, jika ia menyebabkan tempat perjalanan orang ramai menjadi sempit, atau menyukarkan mereka untuk berlalu-lalang di situ.

Jika yang demikian itu tidak sama sekali menimbulkan kesukaran kepada orang ramai disebabkan jalan raya itu amat luas, maka tiadalah terlarang perkara-perkara yang tersebut tadi.

Jika maksud menimbun kayu-kayan dan makan-makanan di jalan raya itu hanya sementara saja, setakat masa hendak memindahkannya ke dalam rumah, maka yang demikian itu adalah diharuskan, kerana semua orang mesti berbuat demikian, maka tiadalah boleh dilarang.

Termasuk kemungkaran lagi ialah menambat binatang di tempat lalu-lalang orang, sehingga jalan raya menjadi sempit dan tahi binatang itu akan menajiskan orang yang berjalan di situ. Perbuatan ini mestilah dilarang, kecuali sekadar hajat, iaitu ketika menunggang atau turun dari binatang itu.

Tegasnya penggunaan jalan raya itu mestilah dikongsi manfaatnya oleh orang ramai, tidak kira siapa pun dia, dan tidak boleh diutamakan seseorang atas yang lain, melainkan sekadar hajat atau yang perlu saja. Jadi yang wajib dijaga ialah keperluan umum orang ramai, yang mana jalan-jalan raya itu biasanya telah dibina untuk kegunaan mereka, bukan kerana keperluan-keperluan yang lain.

Termasuk perkara yang harus dihalang ialah apa yang berlaku di pasar binatang-binatang yang kerap terdapat di situ duri-duri yang banyak, sehingga terkadang-kadang sampai mengoyakkan baju-baju orang yang lalu lintas di situ. Itu juga suatu kemungkaran.

Tetapi jika boleh dicabut dan dikumpulkan di suatu tempat, sehingga orang ramai tiada terancam lagi ataupun kalau boleh dipindahkan binatang-binatang itu ke suatu tempat lain yang lebih luas, maka tiadalah terlarang pula, kerana keperluan orang ramai kepada binatang itu patut diberikan perhatian juga. Dan kalau ada barang-barang yang hendak dipindahkan, tidak boleh dibiarkan terlonggok di jalan raya terlalu lama, melainkan sekadar untuk menaikkan atau menurunkan saja.

Yang lain lagi ialah menimbun barang-barang yang berat ke atas belakang binatang, sehingga binatang itu tiada terdaya untuk memikul. Ini juga suatu kemungkaran yang patut diingatkan kepada tuan punya binatang itu.

Lagi ialah membuang sampah-sarap di tempat-tempat yang bukan disediakan untuknya, mencampakkan kulit buah-buahan atau membuang air sesuka hati saja, sehingga boleh menyebabkan orang tergelincir dan jatuh; semua ini adalah termasuk kemungkaran-kemungkaran yang wajib dilarang.

Termasuk kemungkaran juga memasang saluran-saluran air kotor yang keluar dari rumah terus ke tempat perjalanan orang ramai yang sempit, kerana yang demikian itu akan menajiskan pakaian orang yang lalu-lalang di situ dan akan menyempitkan jalan itu, kerana orang-orang yang berlalu lintas di situ tentu akan mengelakkan tempat-tempat yang basah, dan hanya memilih jalan yang kering saja.

Demikian juga, jika seseorang meletakkan air batu di tengah-tengah jalan orang ramai, ataupun air yang bertakung disebabkan saluran-saluran yang tertentu yang dipasang di jalan, maka dalam kedua hal ini orang yang menyebabkannya harus meratakan jalan itu, supaya airnya dapat mengalir. Adapun air yang bertakung disebabkan hujan, maka kerja membersihkannya adalah tertanggung atas Penguasa Negara.

Termasuk kemungkaran juga, jika seseorang menyimpan anjing buas di hadapan pintu rumahnya yang seringkali menggangu orang yang lalu lintas, maka perkara itu wajib dilarang.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Antara kemungkaran-kemungkaran yang biasa berlaku di pasar, ialah berkata dusta semata-mata kerana mencari untung yang lebih dan menutup kecacatan benda-benda yang dijual.

Barangsiapa berkata: Saya beli barang ini dengan harga RM10.00 dan mendapat untung hanya sekian saja, jika berbohong dalam kata-katanya itu maka ia dicap seorang yang fasik.

Begitu juga bagi orang-orang yang mengetahui perkara itu, hendaklah ia menyatakan yang benar kepada si pembeli. Tetapi jika ia berdiam diri kerana hati si penjual, maka ia sama berkongsi khianat dengan si penjual itu dan berdosa kerana mendiamkan diri.

Demikian pula jika ia mengetahui bahawa pada barang jualan itu ada cacat, wajiblah ia memberitahu kepada si pembeli di mana tempat cacat itu, kalau tidak maka samalah seperti dia redha hilangnya harta saudaranya yang Muslim, dan yang demikian adalah haram hukumnya.

Termasuk dalam kemungkaran yang berlaku di pasar ialah pengurangan dalam ukuran, tekaran dan timbangan ketika menjual, maka bagi orang yang mengetahui tentang perkara ini, hendaklah ia cuba mengubahnya. Ataupun jika tiada berdaya maka sepatutnyalah ia mengadukan perkara itu kepada Penguasa negara (Pemerintah), sehingga ia dapat mengubahnya.

Terkira dalam kemungkaran yang berlaku dalam pasar ialah menjual alat-alat hiburan yang boleh melalaikan manusia, mengelabui mata pembeli bagi baju yang koyak dengan tampalan yang halus sehingga tidak ketara tampalan itu dan lain-lain lagi yang boleh menyebabkan pembeli-pembeli terkeliru dan terperangkap ke dalam tipu daya jual-beli, yang kalau hendak dibicarakan secara satu-persatu tentulah akan memakan masa yang panjang. Maka hendaklah anda bandingkan apa-apa yang kami sebutkan di sini dengan lain-lain seumpamanya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Ketahuilah bahawasanya kemungkaran itu terbahagi kepada hukum makruh dan hukum haram. Kiranya kita katakan: Ini adalah kemungkaran yang makruh, maka hukum mencegahnya menjadi sunnat yang dituntut, manakala berdiam diri di atas kemungkaran itu menjadi makruh pula hukumnya, dan bukan haram.

Tetapi jika kita katakan bahawa itu adalah kemungkaran yang haram, ataupun kita katakan kemungkaran saja tanpa menyebutkan sifatnya, maka yang dimaksudkan itu ialah kemungkaran yang haram, yang mana hukumnya menjadi haram pula jika kita mendiamkan diri, padahal kita berkuasa untuk mencegah.

Di antara kemungkaran-kemungkaran yang biasanya terlihat di dalam masjid-masjid ialah penunaian sembahyang secara tidak sempurna dengan meninggalkan tumakninah ketika beruku’ dan bersujud. Perkara ini adalah suatu kemungkaran yang membatalkan sembahyang menurut nas hadis, maka wajiblah ditegahnya. Sebab sesiapa yang melihat seseorang bersembahyang, sedangkan sembahyang tidak sempurna, kemudian dia mendiamkan diri tidak dibetulkannya, maka ia berkongsi dalam dosanya.

Kemungkaran yang lain yang selalu disaksikan di dalam masjid-masjid ialah membaca al-Quran dengan lahan; iaitu banyak salah-salahnya. Ini pun wajib ditegah oleh orang yang mengerti, lalu mengajarkannya bacaan yang betul. Orang yang terlalu banyak membuat kesalahan dalam bacaan al-Quran sedangkan ia mampu belajar, hendaklah ia berhenti membaca sebelum belajar, kerana membaca dengan banyak salah-salah adalah berdosa.

Kemungkaran yang lain lagi yang berlaku dalam masjid-masjid, ialah para muazzin yang sering melenggang-lenggokkan azan dan terlalu memanjangkan hujung-hujung kalimatnya. Yang demikian itu juga suatu kemungkaran, hukumnya makruh.

Kemungkaran yang lain lagi yang berlaku di dalam masjid-masjid ialah ucapan yang disampaikan oleh para pencerita dan jurunasihat yang mencampur adukkan wa’az-wa’az mereka dengan kata-kata dusta, khayalan dan khurafat. Orang-orang ini juga wajib diingkari dan tidak boleh menganggap sepi saja kepada mereka.

Kemungkaran yang lain berlaku di dalam masjid-masjid, ialah membuat halaqah-halaqah (perkumpulan) di hari Jum’at kerana menjual ubat dan makanan, menjual azimat-azimat ataupun meminta-minta dari orang ramai dengan berpura-pura membaca al-Quran atau melagukan syair atau yang seumpamanya. Semua ini adalah kemungkaran-kemungkaran yang wajib ditegah dan ditentang.

Kemungkaran yang lain yang berlaku di dalam masjid-masjid ialah bila orang yang menggunakannya untuk menjual ubat-ubatan dan buku. Begitu pula bila dijadikannya di situ tempat jahit menjahit. Semua ini mestilah dilarang, kerana masjid-masjid itu bukanlah disediakan untuk urusan-urusan ini.

Adalah menjadi suatu kemungkaran juga, bila masjid-masjid itu dijadikan tempat keluar masuk orang-orang gila yang kini terkenal dengan nama majzub ataupun kanak-kanak dan pemabuk-pemabuk. Mereka ini sekalian mesti dijauhkan dari masjid-masjid.

Jika anda inginkan pembicaraan secara terperinci mengenai kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan dalam masjid serta bid’ah-bid’ah yang diadakan di dalamnya dan adat-adatnya, maka silalah rujuk kitab ’Ihya ‘Ulumiddin’, jilid kedua, kitab amar ma’ruf nahi mungkar.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Pelbagai kemungkaran-kemungkaran yang sering berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari, seperti yang berlaku di dalam masjid, di pasar, di jalan-jalan raya, tempat-tempat mandi dan di waktu menerima tetamu serta segala kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di tempat-tempat lain.

Untuk perbincangan satu persatu kemungkaran-kemungkaran tersebut sila klik pada tajuk-tajuk di atas.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

 

Orang-orang yang menjalankan tugas menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat jahat mempunyai tiga tata-cara atau adab yang mesti tidak boleh tidak, ia bersifat dengannya iaitu:

  1. Berilmu
  2. Wara’
  3. Berbudi pekerti baik

Berilmu maksudnya: Patutlah ia mengetahui letak duduknya perkara-perkara yang hendak disuruh atau dilarang, supaya ia tiada terkeluar dari had dan batasan syariat Islam.

Wara’ maksudnya: Mencegah seseorang dari melakukan kemungkaran itu saja, dan jangan ia sekali-kali melampaui batas yang diizinkan oleh syariat dalam tugas ini, disebabkan oleh tujuan-tujuan yang lain.

Hendaklah kata-katanya itu masuk akal, dapat diterima oleh orang itu. Kalau tidak tentulah ia  akan dijadikan bahan ejekan dalam menjalankan tugas menyuruh atau melarang ini. Kelak orang itu akan menunjukkan sikap berani terhadapnya.

Adapun berbudi pekerti baik pula, seberapa boleh biarlah ia bersikap lemah-lembut dan berbalas kasihan kepada sesiapa pun, sebab ia merupakan pokok bab ini dan tujuan asalnya.

Berilmu dan berwara’ saja tidak mencukupi, kerana bila kemarahan menguasai diri tiada memadailah untuk menahannya hanya dengan berilmu dan berwara’ semata-mata, melainkan jika ada pada tabiat kita sifat berbudi pekerti baik yang akan melenyapkan perasaan marah dan tidak sabar itu.

Dengan terkumpulnya ketiga-tiga sifat ini pada diri seseorang maka akan sempurnalah maksud untuk membimbing dan terkiralah ia salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Dengan itu sajalah akan tertolaknya kemungkaran, dan tanpanya tentu sekali kemungkaran itu tidak dapat dihapuskan.

Sekali peristiwa pernah Khalifah al-Ma’mun diberi nasihat oleh seorang dan orang itu menggunakan ucapan-ucapan yang kasar dan keras. Maka berkata al-Ma’mun kepadanya: Wahai manusia! Berkata lunaklah! Sebenarnya Allah telah mengutus orang lebih mulia daripadamu kepada orang yang lebih hina dariku.

Dalam menggalakkan hakikat lemah-lembut dan lunak kata-kata, Allah telah berfirman:

Maka katalah (wahai Musa dan Harun) kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah-lembut semoga ia akan ingat atau takut.” (Taahaa: 44)

Orang yang mahu membimbing orang lain, patutlah ia meniru sikap lunak dan lemah-lembut para Anbia’ salawatullahi-alaihim.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Darjat keempat dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah dengan mengubah atau mencegah kelakuan pelaku kemungkaran itu dengan tangan sendiri, seperti menuangkan khamar dan memusnahkan barang-barang atau harta benda yang menyebabkan berlakunya kemungkaran atau menahan pelakunya dari melakukan kemungkaran itu.

Dalam hal ini, tiada dibenarkan kepada rakyat umum melainkan hanya menahan diri pelakunya saja.

Adapun menuangkan arak atau memusnahkan harta benda, maka kewajiban ini terletak di atas tanggungjawab Penguasa Negara (Pemerintah) dan wakil-wakil mereka saja yang boleh menjatuhkan hukuman sebat atau penjara ke atas orang-orang yang bersalah.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Next Page »