amar ma’ruf nahi mungkar


Darjat ketiga dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah dengan menggunakan kekerasan dalam mencegah kemungkaran, iaitu dengan mengucapkan kata-kata yang kasar dan berkesan.

Ini dilakukan apabila cara berlemah lembut dan memberi nasihat dengan baik tidak meninggalkan apa-apa faedah yang berkasan, malah pelakunya semakin menunjukkan sikap menentang dan tidak peduli dan seterusnya mengejek-ejek terhadap nasihat dan petunjuk yang diberikan kepadanya.

Misalnya ialah seperti yang berlaku ke atas Nabi Ibrahim a.s. sebagaimana yang diceritakan oleh al-Quran al-Karim:

“Cis kamu sekalian! Mengapakah kamu menyembah sesuatu selain dari Allah, apakah kamu tiada berakal?” (al-Anbiya’: 67)

Walau bagaimanapun apa yang dilakukan kepada orang itu hendaklah jangan sampai bersikap keterlaluan dalam mengejinya.

Dalam tingkatan ini ada dua cara yang mesti diikuti iaitu:

  1. Janganlah sampai ia tergesa-gesa hendak mengambil sikap yang keras, melainkan dalam keadaan dharurat saja; iaitu sesudah semua usaha-usaha lain gagal dan sikap berlemah-lembut tidak berguna lagi.
  2. Hendaklah ia tidak mengucapkan sesuatu kecuali yang benar saja, ringkas pula, tidak menyeleweng kepada perkara-perkara yang tidak perlu, sehingga ucapan itu tidak menepati sebabnya, tetapi memadailah ia bercakap sekadar yang perlu saja.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Darjat kedua dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah dengan jalan memberi kuliah/ajaran, memberi nasihat dan menggambarkan ancaman Allah Ta’ala dan kemurkaanNya.

Cara begini ditujukan kepada orang yang berani melakukan kemungkaran itu, padahal ia mengetahui bahawa yang dilakukannya itu suatu kemungkaran yang ditegah oleh Allah s.w.t.: iaitu seperti orang selalu meminum minuman keras (khamar), atau yang sering menganiayai manusia lain, atau suka mencaci kaum Muslimin dan seumpamanya.

Orang yang semacam ini perlu diberikan peringatan dan nasihat serta diancam dengan kemurkaan Allah Ta’ala. Kepadanya harus diingatkan mengenai berita-berita dari al-Quran atau Hadis tentang ancaman yang dijanjikan terhadap pelaku kemungkaran itu.

Perbanyakkanlah nasihat kepadanya tentang cerita-cerita perjalanan Salaf Saleh dan peribadatan kaum muttaqin. Semuanya itu hendaklah disampaikan dengan cara berlemah-lembut, penuh belas kasihan, bukan dengan cara kekerasan dan marah-marah.

Juga hendaklah ia memandang terhadap orang itu dengan pandangan seorang pembelas dan pengasih.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Darjat pertama dalam peringkat melaksanakan nahi mungkar ialah memberi peringatan. Yakni mengingatkan orang yang diingkari perilakunya, bahawa apa yang dilakukan itu adalah suatu mungkar yang dilarang oleh agama. Sebab mungkin sekali orang itu melakukannya tanpa pengetahuan dan bila ia diberitahu yang perbuatannya itu adalah suatu mungkar, mungkin sekali dia akan menjauhinya.

Dalam keadaan ini, pemberitahuan itu hendaklah mengambil sikap lemah lembut tanpa kekerasan, kerana dengan pemberitahuan itu sendiri sudah tersingkap keburukan orang itu dan hatinya pun telah tersentuh. Jadi sebaik-baik cara untuk menutup malunya ialah dengan kata-kata yang sopan santun.

Misalnya ia berkata: Sebenarnya manusia itu tidak pernah dilahirkan terus menjadi alim dan mengerti segala-galanya, tetapi semua kita mula-mulanya adalah jahil dan bodoh, kemudian para alim ulama pun mengenalkan kepada kita mana yang betul dan mana pula yang salah. Yang sebenarnya dalam perkara ini ialah begini ….. dan begini.

Demikianlah caranya kita menunjukkan orang itu akan kesalahannya, supaya pemberitahuan kita kepadanya sampai tanpa menyakiti hatinya. Sebab menyakiti hati seorang Muslim adalah haram dan ditegah dengan keras, manakala mengakui kemungkaran yang dibuatnya dengan bersikap mendiamkan diri pula sama di larang. Bukan orang berakal namanya, bila ia mencuci darah dengan darah atau membersihkan darah dengan air kencing.

Demikianlah perumpamaan bagi orang yang menegur sesuatu kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang kawan dengan menyakiti hatinya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Dalam melaksanakan nahi mungkar, terdapat beberapa darjatnya, iaitu:

  • Memberi peringatan
  • Memberi ajaran, nasihat dan menggambarkan ancaman Allah
  • Menggunakan kekerasan dalam mencegah kemungkaran,
  • Mencegah kelakuan kemungkaran itu dengan tangan sendiri

Perbicangan terperinci untuk setiap darjat tersebut akan disusuli dalam kiriman seterusnya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Syarat ketiga yang menyebabkan nahi mungkar itu perlu ialah hendaklah kemungkaran itu dalam perkara-perkara yang telah diketahui hukumnya, bukan yang dihukumkan secara berijtihad.

Mana-mana yang disimpulkan melalui ijtihad, tidak boleh diingkari.

Seorang yang bermazhab Hanafi tidak boleh mengingkari perbuatan seorang yang bermazhab Syafi’i dalam perkara-perkara yang ditentukan menerusi ijtihad, yakni dalam masalah-masalah yang dipertelingkahkan di antara para Imam Mazhab, sebab tiada diketahui kekhilafan orang yang tiada sependapat dengannya secara pasti, melainkan secara zhanni (didasarkan atas sangkaan semata-mata).

Yang patut diingkari bila ia merupakan kemungkaran yang dipersepakati dalam semua mazhab.

Begitu pula kemungkaran yang dilakukan oleh puak-puak yang membuat bid’ah yang tiada syak lagi telah ternyata kesalahannya, harus ditegah, melainkan kesalahan-kesalahan yang masih dalam persangkaan sebagai hasil ijtihad.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Syarat kedua yang menyebabkan nahi mungkar itu perlu ialah hendaklah kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan yang dapat dilihat orang, bukan yang diintip-intip.

Barang siapa yang melakukan maksiat tertutup di dalam rumah seraya menutup pintu rumahnya, tidak harus memasuki rumah itu tanpa izin untuk melakukan maksiat yang dilakukannya, dan tidak boleh juga diintip kelakuannya di dalam rumahnya.

Allah Ta’ala telah melarang mengintip dalam firmanNya:

“Janganlah kamu mengintip-intip.” (al-Hujurat: 13)

Demikianlah hendaknya dilakukan sehingga sekiranya seorang fasik bila terlihat di kaki kainya sesuatu, tidak haruslah diberitahu kepadanya agar tersingkap rahsianya.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Syarat pertama yang menyebabkan nahi mungkar itu perlu ialah hendaklah perkara yang dicegah itu suatu perkara mungkar; iaitu perkara yang terlarang dilakukan dalam syariat Islam.

Perkataan mungkar lebih umum dari perkataan maksiat. Sesiapa yang menyaksikan seorang anak kecil, atau seorang gila meminum arak, maka hendaklah ia menuangkan arak itu ke tanah.

Begitu juga, jika dia melihat seorang lelaki gila berzina dengan perempuan gila atau melakukan zina dengan binatang, maka wajiblah ia mencegahnya padahal perkara itu tidak dikira satu maksiat atas orang gila.

Selain itu mungkar tidak dikhususkan semata-mata dosa-dosa besar saja, malah dikira mungkar juga bila bertelanjang seorang diri di dalam tempat mandi, ataupun berkhalwat (duduk bersama-sama) dengan wanita-wanita asing (bukan mahram), memandang berturut-turut kepada wanita-wanita asing. Semua itu terkira dalam kategori dosa-dosa kecil yang wajib juga dilarang melakukannya.

Terdapat beberapa syarat yang menyebabkan nahi mungkar itu menjadi perlu, antaranya:

  • Yang dicegah itu suatu perkara mungkar terlarang dilakukan dalam syariat Islam
  • Kemungkaran itu dilakukan secara terang-terangan yang dapat dilihat orang, bukan yang diintip-intip
  • Kemungkaran itu dalam perkara yang telah diketahui hukumnya bukan yang dihukumkan secara berijtihad
Penjelasan lanjut bagi setiap syarat tersebut akan diulas dalam posting seterusnya.

Adapun khabar atau Hadis yang memberitakan tentang amar ma’ruf dan nahi munkar ialah apa yang diriwayatkan dari Abu Bakar as-Siddiq r.a. dari Rasulullah s.a.w. sabdanya:

“Tiada ada suatu kaum pun yang melakukan maksiat-maksiat, sedang dalam kalangan kaum itu ada orang yang mampu mencegah mereka dari perbuatannya itu tetapi ia tiada berbuat, tiadakah ia merasa bimbang bahawa Allah hampir-hampir akan menimpakan siksaNya atas mereka sekalian”

Selain ini, ada banyak lagi Hadis-hadis lain yang diriwayatkan dalam perkara ini, sampai tiada terkira banyaknya.

Dalam dalil-dalil yang tersebut di atas, nyatalah bahawa tugas amar ma’ruf dan nahi mungkar itu menjadi seperkara yang wajib, dan kewajibannya pula tiada terluput sama sekali, selagi ada kemampuan untuk melaksanakannya, kecuali jika sudah ada orang lain yang memenuhi tugas itu.

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

Allah berfirman:

“Mengapa mereka tiada dilarang oleh ahli-ahli ilmu ketuhanan dan para pendita dari mengucapkan kata-kata dosa dan memakan makanan yang haram. Sungguh amat buruk segala apa yang mereka kerjakan.” (al-Maaidah: 63)

Ayat tersebut menyatakan betapa berdosanya mereka disebabkan mereka telah mengaibkan perintah melarang membuat kejahatan.

Berfirman Allah:

“Mengapa tidak diperdapat dari angkatan (turunan) yang terdahulu dari kamu orang-orang yang mempunyai kelebihan, yang akan melarang manusia dari mengerjakan keburukan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil saja di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan.” (Hud: 116)

Ayat ini telah menerangkan kepada kita, bahawa Allah Ta’ala telah memusnahkan semua mereka, kecuali sebahagian kecil saja dari orang-orang yang telah mencegah melakukan keburukan itu.

Allah berfirman lagi:

“Wahai orang-orang yang beriman jadilah orang-orang yang kuat memegang keadilan menjadi saksi bagi Allah sekalipun ke atas diri kamu atau kedua ibu bapa dan kaum kerabat.” (an-Nisa’: 135)

Iaitu amar ma’ruf juga ditujukan kepada ibu bapa dan kaum kerabat.

Berfirman Allah lagi:

Tiada mendatangkan kebaikan dalam banyaknya rapat-rapat rahsia mereka, melainkan yang mendatangkan kebaikan itu ialah bagi orang-orang yang menyuruh bersedekah, atau melakukan kebaikan, atau membuat perdamaian antara manusia. Barangsiapa yang mengerjakan itu kerana mengharapkan keredhaan Allah, akan Kami berikannya kepadanya pahala yang besar.” (an-Nisa’: 114)

Klik di sini untuk rujuk senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.

« Previous PageNext Page »