Bersambung dari Tertib batiniah dalam membaca al_Quran (1)
Keenam: Meninggalkan perkara-perkara yang boleh menyukarkan untuk memahami maksud-maksud al-Quran. Kebanyakkan orang terhalang dari memahami maksud-maksud al-Quran kerana beberapa sebab, atau tabir-tabir yang ditutup oleh syaitan ke atas hati mereka, sehinggakan butalah matahari itu dari memahami keajaiban-keajaiban rahsia al-Quran.
Salah satu dari tabir-tabir yang menghalang untuk memahami maksud al-Quran itu, ialah terlalu mengambil berat untuk menentukan setiap huruf itu keluar dari makhrajnya yang betul. Perkara serupa ini sering berlaku dan syaitan yang bertugas untuk mengacau orang-orang yang membaca al-Quran itu sering cuba mengelirukan si pembaca, agar ia terhalang dari memahami makna-makna Kalamullah azzawajalla. Syaitan itu akan terus menggoda si pembaca dengan membisikkan bahawa bacaannya tidak betul dan bunyinya tidak tepat menurut makhraj huruf-hurufnya lalu ia terus mengulangi bacaan itu beberapa kali dan ia masih sangsi terus, sama ada huruf-hurufnya benar-benar keluar dari makhrajnya atau tidak, sehingga seluruh perhatiannya hanya tertumpu kepada perkara ini saja. Orang yang dalam keadaan semacam ini, tentulah tiada dapat menyelam atau menyingkap makna-makna al-Quran dan tentulah syaitan akan mentertawakannya kerana ia amat patuh dan tunduk kepada godaan syaitan yang berjaya mengelirukannya.
Ketujuh: Mengkhususkan, yakni menunjukkan segala pertuturan al-Quran yang sedang dibacanya itu kepada dirinya sendiri, dan menganggap itulah yang dimaksudkan oleh firman-firman itu. Jadi apabila ditemui perkara diperintah atau larangan, dimaksudkanlah dirinya sendiri yang ditunjukkan perintah atau larangan itu. Begitu pula kiranya ditemui perkara janji atau ancaman, dianggapnyalah yang demikian itu tertuju kepadanya sendiri. Apabila ia mendengar cerita-cerita para Nabi dan orang-orang yang terdahulu, janganlah dianggapnya itu sebagai suatu cerita hiburan di waktu malam, malah yang dimaksudkannnya ialah mengambil contoh tauladan dari cerita-cerita tersebut dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk mendidik dirinya. Tiada suatu cerita pun terdapat di dalam al-Quran, melainkan isinya mengandungi faedah yang patut di contohi oleh Nabi s.a.w. dan ummatnya.
Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman:
“Yang boleh menetapkan hatimu dengannya.” (Hud: 120)
Maka seseorang yang menatap cerita-cerita itu hendaklah membayangkan betapa Allah dapat menetapkan hatinya dengan cerita-cerita perihal para Nabi tadi, bagaimana Allah s.w.t. telah memberikan kesabaran untuk menghadapai segala penganiyaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh ummatnya. Kemudian bagaimana pula mereka bersikap tegas dan tetap menunggu pertolongan Allah. Mengapa tidak! Sebab al-Quran itu bila diturunkan ke atas Rasulullah s.a.w bukanlah khas untuk Rasulullah s.a.w. semata-mata, bahkan ia diturunkan juga untuk ummatnya sebagai penawar,
Petunjuk, rahmat dan cahaya bagi seluruh alam semesta. Sebab itu juga Allah s.w.t. telah memerintahkan seluruh ummat manusia untuk mensyukuri kenikmatan diturunkan al-Quran itu.
Allah berfirman:
“Dan ingatlah nikmat Allah yang dikurnikan keatas kamu dan apa yang diturunkan ke atas kamu dari kitab (al-Quran) dan kebijaksanaan yang dengannya Allah mengajar kamu.” (al-Baqarah: 231)
Andaikata pertuturan di atas itu ditujukan kepada semua, maka ia juga ditujukan untuk orang perseorangan sebagai mana firmanNya lagi:
“Agar aku dapat mengingatkan kamu dengannya (al-Quran) dan orang-orang yang sampai kepadanya berita ini.” (al-An’aam: 19)
Berkata Muhammad al-Qurazhi: Barangsiapa telah sampai kepadanya al-Quran, maka samalah seperti Allah telah berbicara dengannya Kalau dia telah benar-benar faham akan maksudnya tentulah bukan saja dia menjadikan bacaan al-Quran itu sebagai suatu amalan saja, malah dia akan membacanya laksana seorang hamba yang membaca surat tuannya. Lalu ia pun memerhatikannya secara terperinci akan melaksanakan segala arahan yang termaktub di dalam surat itu.
Oleh kerana itu setengah para ulama berkata: Al-Quran itu adalah seperti lembaran-lembaran surat yang sampai kepada kita dari hadhrat Allah azzawajalla, yang mengandungi berbagai-bagai janji yang harus kita patuhi dalam semua sembahyang kita, dan kita laksanakan pula di dalam segala ketaatan kita.
Kelapan: Meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati dengan berbagai-bagai cara, menurut berbagai-bagai ayat yang dibacanya. Setiap ayat yang difahamkan akan menimbulkan semacam hal yang mana hati akan merasa berbagai-bagai perasaan; ada kalanya sedih, ada kalanya takut, ada kalanya mengharapkan dan sebagainya. Jadi apabila makrifat telah sempurna, tentulah perasaan takut akan mengelubungi hati dalam kebanyakan hal. Sebab seringkali ayat al-Quran itu terikat oleh sesuatu sebab yang tertentu. Misalnya bila disebutkan saja keampunan dan kerahmatan, tentulah ada syarat-syartanya yang bukan mudah bagi orang yang betul-betul tahu untuk mencapainya, sebagaimana firman Allah azzawajalla berikut:
“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun….” (Taa haa: 82)
Sesudah sepotong ayat ini, diikuti pula dengan syarat-syaratnya; iaitu empat perkara, sebagaimana firman Allah dalam ayat yang sama iaitu:
“…… bagi sesiapa yang bertaubat, yang beriman yang membuat amalan saleh, kemudian ia mengikut petunjuk.” (Taa haa: 82)
Firman Allah yang lain:
“Demi masa asar, sesungguhnya manusia itu adalah di dalam kerugian, melainkan orang-orang yang beriman lalu mengerjakan amalan saleh, mereka bertolonng-tolongan dalam kebenaran dan mereka bertolong-tolongan dalam kesabaran.” (Surah al-‘Asr 1-3)
Pada surah di atas tadi, disebutkan juga sebanyak empat syarat. Ada pula firman Allah yang menyebutkan satu syarat saja iaitu:
“Sesungguhnya rahmat Allah itu amat dekat dengan orang-orang yang membuat baik.” (al-A’raf: 56)
Dan sememangnyalah syarat keehsanan itu meliputi segala sesuatu.
Demikian keadaan al-Quran itu bagi orang yang membaca lembaran-lembarannya dari awal hingga ke akhiratnya. Orang yang telah memahami isi al-Quran sedemikian rupa, patut sekali merasa takut kepada Allah dan merasa hiba. Jika tidak maka tiada apa-apa faedah dari pembacaannya itu, selain dari gerakan lidah semata-mata, di samping itu dia akan menerima laknat Allah ke atas dirinya pula, sebagaimana firmanNya:
“Ingatlah bahawasanya laknat Allah itu ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim.” (al-A’raf: 44)
FirmanNya lagi:
“Besar sekali dosanya di sisi Allah iaitu kalau kamu mengatakan sesuatu sedang kamu tiada melakukannya.” (ash-Shaf: 3)
FirmanNya lagi:
“Maka tinggalkanlah siapa-siapa yang telah menyeleweng dari mengingatkan Kami, dan mereka tiada menginginkan melalaikan kehidupan dunia.” (an-Najm: 29)
FirmanNya lagi:
“Dan barangsiapa tiada bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (al-Hujurat: 11)
dan banyak lagi ayat yang lain yang menunjukkan bahawa tujuan dari membaca al-Quran itu ialah mengamalkan segala yang terkandung di dalamnya.
Adapun bacaan dengan setakat menggerakkan lidah semata-mata tidaklah memberi apa-apa kesan pada diri dan tidak ada gunanya. Yang dikatakan bacaan al-Quran yang sebenarnya ialah bila lidah, akal fikiran dan hati turut sama-sama mengambil peranan. Tugas lidah ialah membetulkan pengeluaran huruf-hurufnya melalui tartil, tugas, akal fikiran ialah mentafsirkan makna-makna al-Quran. Dan tugas hati pula ialah menerima nasihat-nasihat untuk mengesankannya di dalam diri dengan meninggalkan segala larangan dan menurut segala perintah. Tegasnya lidah mentartil, akal menterjemah dan hati mengambil peringatan.