bersuci


Kitab Rahsia Bersuci

Bab: Kebersihan dari kelebihan-kelebihan yang tahir

.

Ada dua jenis yang harus dibersihkan iaitu;

· Jenis-jenis kotoran di badan dan

· Jenis-jenis lebihannya.

.

Kitab Rahsia Bersuci

Bab: Jenis-jenis kotoran di badan

.

Adapun jenis-jenis kotoran atau benda basah yang melekat di badan iaitu delapan:

  1. Apa-apa yang berkumpul dari kotoran-kotoran di rambut kepala seperti daki dan kutu. Membersihkan ini semua adalah digalakkan oleh syara’, iaitu dengan mandi dan menyisir kemudian memakai minyak rambut, sehingga hilang semua kotoran itu dan nampak bersih. Rasulullah s.a.w. sendiri sering meminyaki di rambutnya dan menyisirnya, dan demikianlah baginda mengajar ummatnya supaya melakukan itu.
  2. Apa-apa yang terkumpul dari kotoran di lubang telinga, hendaklah dibersihkan
  3. Apa-apa yang terkumpul dari kotoran-kotoran di dalam lubang hidung, yang boleh dibersihkan dengan menyedut air ke dalamnya dan mengocak-ngocakkannya.
  4. Apa-apa yang terkumpul dari kotoran-kotoran di gigi dan di hujung lidah, boleh membersihkannya dengan bersiwak atau menggosok gigi kemudian berkumur-kumur.
  5. Apa-apa yang terkumpul dari kotoran-kotoran di janggut, seperti debu-debu atau kutu, yang boleh dibersihkan dengan mandi dan menyisirnya dengan sisir (sikat). Adapun membiarkan janggut secara tidak teratur untuk menunjukkan zuhud, ataupun tidak mengambil berat tentang urusan diri adalah dilarang oleh syara’. Meninggalkan cara-cara serupa ini kepada perkara-perkara yang serupa ini adalah perkara-perkara kebatinan antara seorang hamba dengan Tuhannya Azzawajalla. Ketahuilah olehmu bahawa Allah s.w.t. mengetahui akan tujuan hati orang itu, dan mengelirukan keadaan tidak ada faedahnya sama sekali.
  6. Kotoran-kotoran yang terkumpul di celah-celah jari. Orang-orang Arab dahulukala tidak biasa membersihkannya, kerana mereka jarang sekali membasuh tangan selepas makan. Oleh itu, sering pulalah berkumpul bekas-bekas makanan itu dicelah-celah jari, maka Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya membasuh celah-celah jari itu.
  7. Membersihkan hujung-hujung jari dari kotoran-kotoran. Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh ummatnya untuk membersihkan hujung-hujung jari dari kotoran-kotoran yang yang ada di dalam kuku, sebab terkadang-kadang bila dipotong kuku masih tertinggal sebahagian kotoran di situ, maka hendaklah dibersihkannya.
  8. Daki-daki yang terkumpul di merata badan, tersebab oleh peluh atau debu-debu yang  melekat di situ. Membersihkannya ialah dengan mandi dan menggosoknya.

Kitab Rahsia Bersuci

Bab: Tata-tertib dalam bilik mandi


Tidak salah bermandi di tempat-tempat mandi umum (kolam renang) asalkan menjaga tata-tertibnya. Sahabat-sahabat Rasulullah pernah bermandi di tempat-tempat mandi umum di negeri Syam.

.

Ada pepatah yang berkata: Sebaik-baik tempat ialah tempat mandi. Ia membersihkan badan dan mengingatkan tentang api neraka. Kata-kata ini diriwayatkan dari Abu Darda’ dan Abu Ayub al-Anshari r.a. Ada yang lain berkata pula: Seburuk-buruk tempat ialah tempat mandi di mana para pemandinya mendedahkan aurat dan orang ramai sudah kehilangan malu.

.

Perbedaan di antara dua tempat mandi ini, ialah yang pertama mendedahkan bagi kita faedahnya yang kedua pula mendedahkan bencananya. Tidak mengapalah kita mengambil faedah dari tempat mandi itu, dalam pada itu jangan sampai kita tercebur kepada bencananya pula.

.

Selain dari itu, atas orang yang menggunakan tempat mandi itu adalah pula tugas-tugasnya dari perkara-perkara yang disunnatkan dan yang diwajibkan. Ada dua kewajiban atas pengguna tempat mandi umum untuk memelihara auratnya dan dua kewajiban yang lain untuk memelihara aurat orang lain.

.

Dua kewajiban untuk memelihara auratnya ialah, menjaga agar auratnya jangan sampai ternampak oleh orang lain dan menjaganya juga dari disentuh oleh mereka. Jangan sampai dibiarkan diperlakukan sesuatu ke atasnya, atau dibersihkankan kotoran daripadanya melainkan dia yang melakukannya sendiri. Kalau ada orang yang membantu menggosok, maka jangan sampai dibenarkan menyentuh bahagian paha dan bahagaian  diatasnya hingga ke pusat.


Dua kewajiban untuk melihara aurat orang lain, ialah menutup mata dari memandangnya seraya melarang orang itu dari mendedahkan auratnya, sebab melarang orang dari mendedahkan auratnya adalah wajib hukumnya. Ia wajib mengingatkan orang itu, tetapi bagi orang yang diingatkan itu tidak wajib menurut pula.

.

Adapun perkara sunnatnya, di antaranya ialah niat. Maka janganlah hendaknya ia masuk ke tempat mandi kerana sesuatu maksud dunia , atau untuk bermain-main atau suka-suka saja, akan tetapi hendaklah ia meniatkan bersuci yang dituntut oleh agama, kerana menyediakan untuk bersembahyang.

.

Hendaklah ia masuk dengan kaki kiri, dan janganlah ia tergesa-gesa masuk ke dalam tempat mandi yang panas, melainkan sesudah ia keluar peluh pada tempat mandi yang pertama.

.

Jangan banyak membuang (membazir) air, malah wajib ia mengambil air sekadar hajat saja, sebab itulah yang diizinkan kepadanya kalau hendak diperhitungkan. Mengambil air lebih dari yang dihajati akan menyebabkan penjagaan tempat mandi itu tidak rela, kiranya ia mengetahui, terutama sekali dari air panas. Sebab perbelanjaannya tentulah besar dan menggunakan lebih dari yang diperlukan akan menyusahkan pemilik tempat mandi itu.

.

Dan hendaklah ia mengingat pula betapa panasnya api neraka itu kelak kalau dibandingkan dengan panasnya air tempat mandi itu. Dianggapnya pula dirinya seolah-olah sedang dalam penjara yang berhawa panas ketika itu, kemudian diperbandingkan juga dengan Neraka Jahannam yang kira-kira sama tempat itu dengan tempat di Jahannam, yakni api dari bawahnya dan gelap-gelita dari atasnya na’uzu billahi min zalik (kita berlindung kepada Allah dari keadaan itu).

.

Tidak menjadi salah untuk berjabat tangan dengan rakan yang baru masuk ke tempat itu atau berkata: Tuhan memberikan kepadamu afiat. Boleh dibiarkan badannya digosok oleh orang lain, begitu juga belakangnya dan tangan serta kakinya dipicit-picit oleh orang lain juga.

.

Sebaik-baik saja dia keluar dari tempat mandi itu, segeralah dia mengucap syukur kepada Allah s.w.t. atas nikmat yang baru dikecapnya tadi, sesudah itu jangan pula disiram kepalanya dengan air sejuk ketika hendak keluar atau meminum air sejuk, kerana yang demikian itu bertentangan dengan peraturan kesihatan.

.

Orang-orang perempuan, makruh pergi ke tempat-tempat mandi, melainkan kerana sesuatu dharurat, dan itu pun dengan menjaga tutup badan dengan rapi..


Kitab Rahsia Bersuci

Bab: Jenis-jenis lebihan di badan

.

Adapun jenis-jenis lebihan atau yang tumbuh di badan itu ada delapan macam:

  1. Rambut kepala: Boleh dicukur botak bagi orang yang menginginkan kebersihan kepalanya dan boleh juga dipendekkan, tetapi dengan memakai minyak dan menyikatnya secara teratur.
  2. Misai: Disunnatkan memotong misai yang panjang melebihi bibir dan boleh membiarkan hujung-hujungnya melebar ke kanan atau ke kiri.
  3. Bulu ketiak: Disunnatkan membuangnya paling kurang setiap 40 hari sekali, atau lebih awal lagi dari itu.
  4. Bulu kemaluan: Disunnatkan membuangnya dengan dicukur, atau dengan kapur paling kurang setiap 40 hari sekali, ataupun lebih cepat lagi dari itu.
  5. Kuku: Memotongnya adalah sunnat disebabkan memang hodoh sekali kelihatannya bila terlalu panjang, tambahan pula akan banyak sekali kotoran yang terkumpul padanya. Dalam cara memotong kuku tidak ada riwayat yang sahih dari Nabi s.a.w.
  6. Kelebihan pada pusat: Tali pusat hendaklah dipotong ketika bayi dilahirkan.
  7. Kulit yang menutupi kemaluan: Membersihkannya adalah dengan berkhitan pada hari ketujuh dari hari lahirnya. Tetapi kalau dikuatiri akan berlaku bahaya, tidak mengapa jika ditunda.
  8. Janggut yang panjang: Diriwayatkan dari setengah para sahabat dan tabi’in, yang panjang itu adalah lebih dari cekakan tangan, maka hendaklah dipotong. Setengah yang lain berkata pula: Membiarkan janggut panjang lebih baik. Perkara ini terserahlah kepada diri orang itu sendiri, asalkan tidak terlalu panjang sekali sehingga menghodohkan rupa dan muka, kelak orang ramai akan memandang jijik kepadanya dan mencelanya. Oleh itu, hendaklah ia berjaga-jaga jangan sampai berlaku keadaan yang serupa itu.

Mengenai janggut, ada sepuluh perkara yang dimakruhkan dan sebahagian darinya lebih makhruh dari yang lain:

  1. Mewarnakannya hitam, atau
  2. Memutihkannya dengan kapur,
  3. Mencabutnya, atau
  4. Mencabut rambut-rambutnya yang putih,
  5. Mengurangi atau menambahnya,
  6. Menyikatnya dengan cara menunjuk-nunjuk kerana tujuan riya’, atau
  7. Meninggalkannya bercelaru kononnya kerana kezuhudan,
  8. Terpengaruh dengan kehitamannya kerana menganggap diri masih muda, atau
  9. Terpengaruh dengan keputihannya kerana membesarkan diri, sebab sudah tua, dan
  10. Mewarnakannya merah tanpa sebab, hanya kerana berangan-angan hendak menjadi orang saleh.

Adapun mewarnakannya hitam, ada diriwayatkan larangan kerananya, sebab yang demikian itu akan menarik orang itu kepada kemegahan diri, ataupun pengeliruan orang ramai. Manakala mewarnakannya putih dengan kapur, mungkin kerana hendak menunjukkan kepada orang ramai bahawa umurnya telah meningkat tua untuk tujuan meninggikan diri atas orang-orang muda, ataupun untuk menunjuk-nunjuk dirinya banyak ilmu, kerana mungkin disangkakannya kelebihan umur itu akan menghasilkan kelebihan kedudukanya, alangkah batilnya pandangan serupa itu! Kerana kelebihan umur itu tidak akan menambahkan si jahil melainkan kejahilan juga.

.

Hanya ilmu pengatahuan sajalah yang boleh menjadi buah dan akal fikiran, dan ia pula adalah suatu bakat yang dikurnakan oleh Tuhan, manakala umur tua itu tidak akan meninggalkan apa-apa kesan kepadanya. Orang yang sifatnya jahil atau kurang akal, maka sepanjang umurnya ia akan hidup menunjukkan kejahilannya atau kekurangan akalnya. Orang-orang tua dahulu kala sentiasa menonjolkan anak-anak muda kerana ilmu pengatahuannya.

.

Khalifah Umar Ibnul-Khattab r.a. pernah mengemukakan bnu Abbas dalam majlis para sahabat yang tua-tua, sedangkan Ibnu Abbas ketika itu masih muda lagi. Mereka pun bertanya kepada akan hal-ehwal agama mereka.

.

Berkata Ibnu Abbas r.a.:

Allah Azzawajalla tiada mengurniakan seseorang hambaNya sesuatu ilmu, melainkan sewaktu masih mudanya dan kebaikan itu tetap ada pada usia muda, kemudian beliau membacakan firman Allah yang berbunyi:

“Mereka mengatakan bahawa kami mendengar ada seorang anak muda yang menyebut-nyebutkan mereka dan anak muda itu dipanggil Ibrahim.” (al-Anbia’:60)

Dan firman Allah lagi:

“Mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman dengan Tuhan mereka, lalu Kami (Allah) pun menambahkan bagi mereka hidayat.” (al-Kahf: 13)

Dan firmanNya lagi:

“Dan Kami (Allah) memberikan kepadanya kebijaksanaan, ketika ia masih kecil.” (Maryam: 12)

Berkata Ayub as-Sakhtiani:

Pernah aku terjumpa seorang tua yang berumur 80 tahun sedang mempelajari sesuatu dari seorang anak kecil.

Pernah Abu  Amru Ibnul-Ala’ ditanya:

Maniskah seorang yang sudah tua belajar dari seorang anak kecil? Abu Amru menjawab: Kiranya kejahilan itu akan menampakkan seseorang itu bodoh di muka ramai, maka pelajaran pula akan menampakkan ia elok di hadapan mereka.

« Previous Page