pergaulan-persaudaraan


Sudah menjadi jelas sekali, bahawa apabila sudah pasti ditunaikan hak-hak bagi kaum kerabat dan keluarga, maka yang paling terutama sekali didahulukan dari mereka itu, ialah yang ada perhubungan dengan keturunan, maka haknya semakin bertambah-tambah lagi dipastikan dan diistimewakan.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Berbaktilah kepada ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu, kemudian yang terhampir denganmu, dan yang terhampir.”

Pernah Rasulullah s.a.w. yang ditanya oleh seorang, katanya Wahai Rasulullah! Adakah lagi yang masih diwajibkan atas saya untuk berbakti kepada kedua ibu-bapa saya, setelah keduanya meninggal dunia? Rasulullah s.a.w. menjawab: Ya, iaitu memohonkan kerahmatan kepada keduanya memintakan keampunan bagi kedua-duanya, menunaikan segala janji-janjinya, memuliakan semua rakan temannya serta menghubungkan silatur-rahim yang tidak boleh terhubung, melainkan dengan keduanya.

Bersabdanya Rasulullah s.a.w. lagi:

“Sesungguhnya setinggi-tinggi darjat kebaktian, ialah bila seseorang itu suka menghubungi keluarga kesayangan ayahnya, sesudah ia meninggal dunia.”

Sabdanya lagi:

“Allah merahmati seorang ayah yang mendorong anaknya untuk berbakti kepadanya.”

Maksudnya: Menolong anak itu agar ia tiada menderhaka kepada ayahnya, disebabkan keburukan perbuatannya sehari-hari.

Lagi sabdanya: Semakan antara anak-anakmu dalam pemberian.

Sabda yang lain pula: Adalah menjadi hak bagi anak ke atas ayahnya agar ia memperelokkan budi pekertinya dan memperbaguskan namanya.

Selain itu hendaklah menunjukkan belas kasihan kepada anak-anak sekalian.

Al-Aqra’ bin Habis, suatu hari melihat Rasulullah s.a.w mencium cucunya al-Hasan r.a., lalu ia berkata kepada Nabi s.a.w.: Saya mempunyai sepuluh orang anak, tetapi tidak pernah saya mencium seorang pun dari mereka. Maka Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya orang yang tiada berbelas kasihan tiada akan dibelas kasihani.

Berkata Mu’awiyah kepada al-Ahnaf bin Qais: Apa yang dapat engkau katakan kepada anak-anak? Al-Ahnaf menjawab: Wahai Amirul Mu’minin, mereka itu buah hati kita dan tulang belakang kita. Kita ini laksana bumi yang hina bagi mereka, dan langit yang meneduhi kehidupan mereka.

Tersebab merekalah kita berhempas pulas atas setiap jerih-jerih. Oleh itu kiranya mereka meminta sesuatu darimu berikanlah kepadanya. Kiranya mereka marah, segera pujuk mereka, nescaya akan diberikan kamu kasih sayangnya, dan diredhai kamu segala usahanya.

Jangan sekali-kali kamu menjadi kunci yang berat (penghalang) terhadap kemahuannya, nescaya mereka akan merasa jemu terhadap kehidupan kamu, seraya mencita-citakan kematian kamu dengan segera. Kelak mereka akan merasa benci pula untuk mendekatkan diri dengan kamu.

Selesai mendengar kata-kata itu, Mu’awiyah pun berkata pula: Sungguh tepat sekali kata-katamu itu, wahai Ahnaf. Sebenarnya engkau telah tunjukkan bagiku jalan, bagaimana harus aku meredhai sesiapa yang aku menaruh marah dari anak-anakku.

Kemudian al-Ahnaf pun diberikan oleh Mu’awiyah hadiah yang sangat bernilai.

Seterusnya harus kita mengetahui bahawa setengah para alim-ulama, berpendapat, bahawa mentaati kedua ibu bapa itu wajib, sekalipun dalam hal-hal yang berhubungan dengan perkara-perkara syubhat (yakni belum tentu halal haramnya). Hanya yang dilarang mentaatinya ialah dalam perkara-perkara yang sudah jelas haramnya saja.

Seseorang anak tidak boleh meninggalkan kedua ibu-bapanya kerana pelayaran yang mubah (harus) atau yang sunnat melainkan dengan mendapat izin dari keduanya terlebih dahulu.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Hak saudara yang tua ke atas saudara yang muda, adalah seperti haknya seorang ayah ke atas anak-anaknya.”

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Berkata Allah Ta’ala: Akulah ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ini pula ar-Rahim (kaum kerabat). Aku pecahkan nama ini dari namaKu. Maka barangsiapa memperhubungi keluarganya, nescaya Aku akan berhubung dengannya dan barangsiapa memutuskan perhubungannya dengan mereka nescaya Aku akan memutuskan perhubunganKu dengannya pula.”

Pernah Rasulullah s.a.w. ditanya: Mana satu manusia yang paling utama? Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Orang yang paling banyak taqwanya kepada Allah, paling tererat sekali perhubungannya dengan keluarga, paling suka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kemungkaran.”

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Bersedekah kepada orang miskin adalah mendapat pahala sedekah saja, tetapi bersedekah kepada kaum keluarga mendapat dua pahala; pahala sedekah dan pahala perhubungan.”

Apabila Abu Talhah ingin menyedekahkan kebunnya kerana terharu dengan pahala yang ditentukan oleh firman Allah Ta’ala yang bermaksud: Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sehingga kamu membelanjakan sesuatu dari apa yang kamu cintakan. (ali-Imran: 92), beliau lalu berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Kebun itu dijadikan kerana fi sabilillah dan kerana para fakir dan miskin. Berkata Rasulullah s.a.w.: Telah wajib pahalamu dari Allah dan sekarang bahagi-bahagikan ia di antara kaum kerabatmu

Dalam melaksanakan hak-hak kejiranan ialah:

(1) Hendaklah anda memulakan memberi salam kepadanya.

(2) Jangan terlampau banyak menanyakan tentang hal-ehwalnya.

(3) Menziarahinya bila ia sakit dan melawatinya bila ia mati. Sama-sama merasakan kesusahan bila ada kematian di rumahnya dan menunjukkan rasa kegembiraan bila ada kesukaan pula.

(4) Sama-sama menyertainya dalam masa kesenangan dan kegembiraannya.

(5) Memaafkan segala kesalahan dan kekhilafannya.

(6) Tidak melihat pandangan dari atas rumahmu ke dalam rumahnya sehingga anda dapat melihat auratnya.

(7) Tidak menyempitkan perasaannya, umpamanya dengan meletakkan sebatang kayu pada dinding rumahnya.

(8) Tidak menyempitkan perjalanan menuju ke rumahnya

(9) Tidak menujukan pandanganmu kepada apa-apa yang dibawa ke dalam rumahnya.

(10) Hendaklah menutup segala keaiban dan kecelaan yang mungkin berlaku daripadanya.

(11) Meringankan dirinya dari menanggung mala petaka yang menimpanya

(12) Jangan lalai memerhatikan rumahnya di masa-masa ia tiada di rumah.

(13) Jangan terpedaya dengan kata-kata orang terhadapnya

(14) Palingkan pandanganmu dari melihat isterinya dan jangan memandang lama-lama kepada khadam wanita yang bekerja di rumahnya.

(15) Selalu bersikap lemah-lembut terhadap anak-anaknya dengan ucapan yang baik-baik.

(16) Cuba tunjukkan kepadanya apa-apa yang ia tiada mengetahui dari perkara agama mahupun perkara dunia.

Demikianlah himpunan hak-hak yang kami sebutkan. Yang patut ditunaikan terhadap seumum kaum Muslimin.

Ketahuilah, bahawa tetangga itu mempunyai hak-hak yang lain sesudah hak-hak yang dipunyai oleh persaudaraan dalam Islam. Seorang tetangga Muslim mendapat hak-hak yang sama seperti Muslim yang lain, ditambah pula dengan hak ketetanggaan.

Nabi s.a.w. bersabda dengan menentukan hak jiran:

“Jiran atau tetangga ada tiga macamnya. Jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak, dan jiran yang mempunyai tiga hak. Jiran yang mempunyai tiga hak, ialah jiran Muslim yang berkerabat, maka baginya hak ketetanggaan, hak keislaman dan hak kekerabatan. Adapun jiran yang mempunyai dua hak ialah jiran Muslim, yang mempunyai hak ketetanggaan dan hak keislaman. Manakala jiran yang mempunyai satu hak, ialah jiran yang musyrik.”

Perhatikanlah bagaimana Islam telah menetapkan bagi seorang musyrik haknya, hanya kerana ia menjadi tetangga kepada seorang Muslim saja.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda lagi:

“Berbuat baiklah terhadap jiran yang bertetangga denganmu, nescaya engkau menjadi seorang Muslim (yang sejati).”

Lagi Sabdanya:

“Malaikat Jibril sentiasa mengingatkan aku tentang hak jiran sehingga aku menyangka ia akan mewariskannya.”

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia memuliakan jiran tetangganya.”

Lagi sabdanya:

“Tidak sempurna iman seseorang hamba, sehingga tetangganya terselamat dari segala kejahatannya.”

Sabdanya lagi:

“Jangan sekali-kali seseorang kamu melarang tetangganya memasak sebatang kayu pada tembok rumahnya.”

Abu Hurairah r.a. berkata: Mengapa saya melihat kamu sekalian kurang setuju dengan perkara itu. Demi Allah aku meletakknya ke atas bebanan kamu. Setengah ulama pula berpendapat bahawa perkara itu menjadi wajib.

Pernah Rasullullah s.a.w diberitahu seperti dalam sabdanya:

“Bahawasanya perempuan itu berpuasa di siang hari dan bersembahyang di tengah malam, akan tetapi dia suka menyakiti jirannya. Berkata Rasulullah s.a.w.: Dia akan masuk ke dalam neraka.”

Dari Rasulullah s.a.w. lagi: Empat puluh (40) rumah masih dikira tetangga lagi. Mengenai Hadis ini az-Zohri telah memberi pendapatnya, katanya: yakni empat puluh (40) rumah dari kanan dari kiri dari belakang dari hadapannya masih dikira tetangga juga.

Ketahuilah bahawasanya bukanlah hak tetangga itu semata-mata dengan mencegah diri dari melakukan yang boleh menyakitinya saja, bahkan hendaklah menanggung dengan sabar segala kelakuan yang tidak sopan yang mungkin datang daripadanya pula.

Tambahan lagi mestilah menunjukkan kepada tetangga itu sifat belas kasihan, dan membalasnya dengan segala kebaikan dan kebajikan.

Diceritakan bahawa Ibnul-Muqaffa’ diberitahu yang tetangganya akan menjual rumahnya kerana terlalu banyak hutang yang ditanggungnya. Ketika itu Ibnul-Muqaffa’ sedang duduk di bawah teduhan rumah tersebut.

Lalu ia pun berkata: Tentulah aku tidak memberikan kehormatan teduhan rumah ini, kiranya tetanggaku menjualnya kerana hendak menggunakan wangnya itu. Maka ia pun membayar harga rumah itu kepada tetangga itu seraya berkata: Jangan jual rumah ini!

Berikut adalah kesimpulan dari berbagai tata cara pergaulan dengan seumum masyarakat, disebutkan dengan ringkas di bawah:

(1) Jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada sesiapa pun, sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah mati, kerana bersikap demikian akan membinasakan anda.

Sebenarnya anda tiada mengetahui mungkin sekali orang itu lebih baik nasibnya dari anda di hari belakang. Sekalipun orang itu pada lahirnya fasik jahat, tidak mustahil pula nasib yang semacam itu akan menimpa dirimu sendiri, sehingga anda mengakhiri hayatmu dalam keadaan fasik dan jahat, sedangkan ia mengakhiri hayatnya dalam keadaan baik dan saleh.

(2) Janganlah menilai seseorang itu menurut keadaan dunianya lalu anda memuliakannya. Sebab dunia itu kecil sekali di sisi Allah Ta’ala, segala-gala yang ada di dalam dunia kecil semata-mata

Jangan sampai anda menjual agamamu untuk mendapatkan benda-benda keduniaan, sehingga anda dipandang kecil di mata orang yang memberinya. Mungkin sekali suatu masa kelak, anda tidak akan diberinya lagi, maka ketika itu anda akan kehilangan harga diri di matanya.

(3) Jangan cuba menentang orang lain, sehingga terjadi permusuhan antara kamu bersama, melainkan jika anda melihat sesuatu kemungkaran dalam agama yang dilakukan oleh orang itu maka ketika itulah boleh anda menentang usaha-usaha kemungkaran yang dilakukannya itu.

(4) Jangan merasa puas hati bila mendengar pujian orang di hadapanmu ataupun merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis terhadapmu, sebab yang demikian itu belum tentu dari hakikat batinnya.

(5) Jangan sekali-kali mengadukan segala hal-ehwalmu yang berupa kesusahan dan sebagainya kepada orang lain sebab dikhuatiri bahawa Allah Ta’ala akan murka lalu diserahkan semua urusanmu itu kepada orang itu.

(6) Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama terhadapmu bila berada di belakangmu, sebagaimana yang anda kenal kepadanya di masa berdepan denganmu. Harapan semacam itu adalah sia-sia belaka dan tidak betul.

(7) Jangan terlalu mengharapkan untuk memiliki apa-apa yang ada di dalam tangan orang, nescaya anda akan dipandang hina olehnya. Tetapi apabila meminta sesuatu benda dari seorang kawan lalu diberinya benda itu pada anda, maka itulah seorang kawan yang berfaedah.

Jika ia tidak memberinya, maka janganlah anda mencacinya, kelak ia akan menjadi lawan yang bukan senang bagimu untuk menghadapnya.

(8) Jangan membuang masa untuk menghambur-hamburkan nasihatmu kepada orang yang sudah ternyata tidak mahu menerima nasihat-nasihat itu darimu. Kerana bukan saja ia tiada akan mendengar nasihat-nasihatmu itu, malah ia akan memusuhimu pula.

Kalau perlu dinasihatkan juga, maka hendaklah dengan sindiran, atau memberikan berbagai-bagai contoh dengan bercerita tanpa diberitahukan kepadanya, bahawa dialah orang yang dimaksudkan.

(9) Jika anda mendengar bahawa orang itu pernah mencelamu, atau membuat sesuatu keburukan terhadap dirimu, maka sebaik-baiknya anda serahkan perkaranya kepada Allah Ta’ala, serta anda berlindung dengan Allah daripada bahaya-bahayanya.

Ingatlah jangan cuba memikirkan sesuatu rancang bals terhadap perbuatannya itu, sebab yang demikian itu akan lebih membahayakan diri anda.

Terhadap orang-orang yang membuat salah terhadap dirimu, hendaklah anda tetap menunaikan segala hak-hak mereka, memekakkan telinga dari mendengar segala kebatilan mereka serta mengakui semua hak-hak mereka.

(10) Waspadalah dari berkawan dengan semua peringkat manusia, sebab bukan semua orang dapat memaafkan kekhilafan, atau mengampunkan kesalahan atau menutupkan keburukan. Tetapi biasanya mereka berkira-kira sangat atas yang kecil dan yang besar dan mendengki terhadap yang sedikit dan yang banyak.

(11) Jangan segera menyatakan kecintaanmu kepada orang yang anda belum kenal kesetiaannya dengan cara yang seteliti-telitinya.

Tetapi hendaklah anda berkawan dengannya dalam waktu yang panjang sedikit, di mana anda dapat mencubanya dalam hal-ehwalnya, umpamanya dalam urusan wang ringgit, atau ketika anda dalam keperluan, atau anda cuba berkawan dengannya dalam pelayaran.

Maka jika anda redha dan senang dengan kelakuannya dalam hal-hal yang tersebut di atas tadi, maka barulah anda jadikan dia sebagai kawan. Iaitu kiranya ia lebih tua dari anda, jadikanlah ia seolah-lah ayah, dan kiranya ia lebih muda dari anda, jadikanlah ia seolah-olah anak, ataupun kiranya anda sebaya umur dengannya, jadikanlah ia seolah-olah saudara kandung.

Demikian kesimpulan tata-cara pergaulan dengan semua peringkat manusia.

Adab orang yang menyampaikan takziah

Bagi orang yang menyampaikan takziah kepada keluarga si mati, hendaklah ia menunjukkan sikap merendah diri, melahirkan rasa dukacita, mengurangkan perbualan dan jangan sekali-kali tersenyum atau ketawa.

Adab menghantar jenazah ke kubur

Hendaklah memelihara suasana itu dalam keadaan yang khusyu’ tidak banyak bicara, memerhatikan pada yang mati, memikirkan tentang maut yang akan menimpa setiap orang yang hidup serta bersedia untuk menghadapi maut itu.

Menyegerakan pengurusan jenazah itu adalah sunnat.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (8)

Kedua puluh lima: Hendaklah engkau menziarahi pesakit-pesakit kaum Muslimin.

Adab orang yang menziarahi orang sakit ialah memendekkan masa ziarah itu mengurangkan banyak pertanyaan, melahirkan belas kasihan, mendoakan agar segera sembuh dan memalingkan pemandangan dari melihat aurat-aurat pesakit.

Bila meminta izin masuk, janganlah engkau menghadap ke pintu dan mengetuknya biarlah dengan perlahan-lahan. Bila ditanya siapa itu, jangan engkau menjawab: Saya.

Dalam sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. berbunyi:

“Apabila seseorang Muslim menziarahi saudaranya yang sakit atau menenguknya, berfirman Allah Ta’ala: Engkau telah melakukan yang baik dan akan baiklah perjalananmu dan engkau telah menduduki sebuah rumah di syurga.”

Daripada Saiyidina Usman r.a. katanya: Suatu hari saya sakit, maka Rasulullah s.a.w. datang menziarahi saya, lalu mengucapkan:

“Dengan nama Allah Maha Pengasih lagi Penyayang. Aku memohonkan perlindungan bagimu kepada Allah yang Maha Esa, dan Tuhan Tempat meminta tiada beranak dan tiada diberanakkan, dan tiada seorang pun yang serupa denganNya dari bahaya yang telah menimpamu.”

Baginda mengucapkannya berkali-kali

Bagi pesakit pula disunnatkan membaca:

“Saya mohon perlindungan dengan kemuliaan Allah dan kekuasaaNya dari bahaya yang menimpaku.”

Berkata Thaus: Sebaik-baik ziarah kepada pesakit ialah yang paling ringan, yakni singkat waktunya.

Di antara adab-adab pesakit pula, hendaklah ia mempunyai sifat-sifat kesabaran kurang mengadu dan tidak lekas bosan, sentiasa merasa takut sehingga memohon doa kepada Allah Ta’ala yang menyebabkan ubat itu menyembuhkan:

Kedua puluh enam: Hendaklah engkau menghantar jenazah-jenazah mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa menghantarkan jenazah, maka baginya pahala satu qirat jika ia menunggu hingga jenazah itu dikebumikan maka baginya pahala dua qirat. Dan qirat itu besarnya macam gunung Uhud.”

Gunung Uhud adalah sebuah gunung yang besar dekat Madinah al-Munawwarah. Tujuan menghantar jenazah itu ialah menunaikan hak kaum Muslimin dan mengambil i’tibar bila berdepan dengan kubur-kubur orang yang sudah mati.

Kedua puluh tujuh: Hendaklah engkau menziarahi kubur-kubur mereka. Tujuan ziarah itu ialah memohon doa bagi yang mati dan mengambil i’tibar serta melembutkan hati.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Tiada suatu pemandangan yang pernah aku lihat melainkan kuburlah yang paling mengerikan dari yang lain-lain.”

Berkata Hatim Al-Asham: Sesiapa yang berjalan melalui kuburan, sedangkan ia tiada memikirkan mengenainya, dan tiada pula mendoakan bagi orang-orang yang berada di dalamnya, maka ia telah mengkhianati dirinya dan mengkhianati orang-orang yang di dalam kubur itu.

Berkata Maimun bin Mahran: Sekali peristiwa, saya pergi bersama-sama Umar bin Abdul Aziz menziarahi kubur, apabila beliau melihat saja kepada kubur-kubur itu, beliau menangis seraya berkata: Wahai Maimun! Inilah kubur datuk-nenekku, seolah-olah mereka tidak pernah berkongsi kelazatan dengan ahli-ahli dunia. Tidakkah engkau melihat mereka itu kesemuanya berbaringan kini. Mereka terlepas dari segala hukuman yang mereka alami. Sedangkan tubuh badan mereka telah dimakan ulat di dalam tanah.

Kemudian beliau menangis lagi. Beliau berkata pula: Demi Allah! Aku tiada mengetahui seseorang yang lebih merasakan kenikmatan daripada orang-orang yang telah berada di dalam kubur-kubur ini, dan mereka telah terselamat daripada azab Allah Ta’ala.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (7)

Kedua puluh tiga: Hendaklah engkau bercampur gaul dengan orang-orang miskin, dan berbuat baik kepada anak-anak yatim.

Nabi s.a.w. juga selalu berdoa:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Hidupkanlah aku sebagai seorang miskin dan matikanlah aku sebagai seorang miskin juga, serta bangkitkanlah aku (di Hari Kiamat kelak) dalam kumpulan orang miskin.”

Diceritakan bahawa Nabi Allah Sulaiman alaihis-salam, meskipun mempunyai kerajaan yang agung, apabila baginda masuk dalam masjid dan melihat ada orang miskin di situ, nescaya baginda akan duduk bersama-sama mereka seraya berkata: Seorang miskin sedang duduk dengan miskin yang lain.

Dalam suatu khabar berbunyi: Janganlah kamu merasa irihati, jika melihat seorang jahat mendapat kurniaan nikmat yang banyak, sebab engkau takkan tahu ke mana kesudahan orang itu setelah ia mati kerana di belakangnya tentu ada seorang yang mencari untuk menuntutnya.

Adapun terhadap anak yatim, maka Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Barangsiapa menanggung anak yatim sehingga menjadi kaya, maka telah wajib baginya memasuki syurga.”

Sabda Nabi lagi:

“Saya dan orang yang menanggung anak yatim seperti kedua ini – sambil Baginda mengisyarat dengan kedua belah jarinya (yakni paling hampir sekali).”

Lagi sabdanya:

“Barangsiapa mengusap kepala seorang anak yatim tanda belas kasihan, maka ia mendapat kebajikan atas setiap rambut yang diusapnya itu.”

Dan sabdanya yang lain pula:

“Sebaik-baik rumah kaum Muslimin, ialah rumah yang ada di dalamnya seorang anak yatim dimuliakan. Dan sejahat-jahat rumah kaum Muslimin, ialah rumah yang ada di dalamnya seorang anak yatim yang dicuaikan kepentingannya.”

Kedua puluh empat: Hendaklah engkau suka memberi nasihat kepada setiap Muslim dan cuba bersungguh-sungguh untuk mengembirakan hatinya.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tidak beriman seseorang kamu, sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri.”

Sabdanya lagi:

“Barangsiapa menyejukkan mata seorang Mu’min (menghilangkan kesusahannya), nescaya Allah akan menyejukkan matanya di Hari Kiamat.”

Lagi sabdanya:

“Barangsiapa melapangkan diri seorang Mu’min yang sedang dalam kesusahan atau menolong Mu’min yang teraniaya, nescaya ia akan diampunkan dosanya.”

Sabdanya lagi:

“Di antara amalan-amalan yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah menimbulkan kegembiraan dalam hati seorang Mu’min, melapangkan kesusahannya, menunaikan hutangnya atau memberinya makan waktu lapar.”

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (6)

Kedua puluh: Hendaklah engkau memelihara kehormatan kawanmu, dirinya dan harta bendanya dari penganiayaan orang lain sekadar kemampuanmu, menahan segala kesusahan, mempertahankannya dan menolongnya, sebab yang demikian itu wajib atasmu menurut dasar persaudaraan Islam.

Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w.:

“Tidak ada seorang Muslim pun yang menolong seorang Muslim yang lain dalam suatu keadaan di mana kehormatannya telah diceroboh, dan dirinya telah diperlakukan secara sewenang-wenang, melainkan Allah akan menolong orang itu dalam kesusahannya di tempat lain, di mana ia merasa perlu pertolongan itu dari Allah. Dan tidak ada seorang pun yang mengecewakan seorang Muslim yang lain dalam suatu keadaan, di mana kehormatannya telah diceroboh, melainkan Allah akan mengecewakan orang itu pada suatu keadaan lain, di mana ia sangat-sangat mengharapkan pertolongan dari Allah.”

Kedua puluh satu: Hendaklah engkau mendoakan bagi orang bersin.

Nabi s.a.w. mengajar orang yang bersin itu supaya berkata: Al-Hamdulillah ala kulli hal (Segala kepujian bagi Allah atas setiap perkara).

Orang yang mendengar pula mendoakan dengan berkata: yarhamukullah (moga-moga allah merahmati kamu).

Dibalas pula oleh orang yang bersin Yahdikumullahu wa Yuslihu Balakum (moga-moga Allah memberi kamu petunjuk dan membersihkan hati kamu).

Disunnatkan bagi seseorang apabila mahu bersin, merendahkan suaranya dan menutup wajahnya.

Dan bagi orang yang mahu menguap meletakkan tanganya ke atas mulutnya.

Kedua puluh dua: Bila engkau diuji dengan perbuatan orang yang jahat, maka hendaklah engkau menanggung dengan sabar dan menjaga dirimu dari kejahatanya.

Setengah orang berkata: Berikhlas diri kepada orang Mu’min dengan seikhlas-ikhlasnya, dan tunjukkanlah akhlak yang baik semampu-mampunya kepada orang jahat, sebab orang yang jahat itu selalu suka dengan akhlak-akhlak yang baik pada zahirnya saja.

Abu Darda’ berkata: Kita pernah menunjukkan muka manis kepada setengah-setengah manusia, padahal hati kita mengutukinya.

Inilah yang dikatakan bergaul secara baik dengan orang-orang yang ditakuti kejahatannya.

Allah berfirman:

“Tolaklah dengan cara yang lebih baik.” (al-Mu’minun: 96)

Ibnu Abbas berkata, menerangkan maksud al-Quran berikut:

“Mereka menolak keburukannya dengan kebaikan.” (ar-Ra’ad: 22)

Yakni: Menolak kejahatan dan penganiayaan orang itu, dengan membuat perdamaian dan pergaulan yang baik.

Ibnu Abbas berkata lagi dalam menerangkan ayat al-Quran yang berikut pula:

“Andaikata tiada pembelaan Allah terhadap manusia antara satu puak dengan yang lainnya.” (al-Baqarah: 251)

Ia berkata: maksudnya ialah dengan mengembirakan dan menakut-nakutkan dengan perasaan malu dan bergaul secara lemah-lembut.

Berkata Sayidatina Aesyah r.a.: Ada seseorang yang meminta izin untuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu Baginda berkata: Izinkanlah ia masuk, tetapi ia sebenarnya seburuk-buruknya manusia yang boleh diajak bergaul. Apabila orang itu masuk, Rasulullah s.a.w pun mempergaulinya dengan lemah lembut, sehingga (kata Aesyah) aku menyangka bahawa orang itu mempunyai suatu kedudukan di sisi Rasulullah s.a.w.

Apabila orang itu keluar, aku berkata: Kini ia telah keluar. Aku pun berkata kepada Rasulullah s.a.w.: Bila orang itu hendak masuk tadi, engkau berkata kepadaku macam-macam terhadapnya, kemudian engkau berlemah-lembut pula dalam kata-katamu kepadanya.

Maka Baginda pun berkata: Wahai Aesyah! Sesungguhnya seburuk-buruk kedudukan manusia di sisi Allah pada Hari Kiamat, ialah manusia yang disingkirkan oleh orang ramai kerana takutkan kejahatannya.

Dalam suatu khabar yang lain: Apa saja yang digunakan oleh seseorang untuk menjaga kehormatannya, maka itu adalah sedekah.

Berkata Muhammad Ibnul Hanafiah: Bukanlah seorang bijaksana, bila seseorang itu tidak dapat bergaul secara baik dengan orang yang tidak boleh tidak mesti ia bergaul dengannya, sehinggalah Tuhan melorongkan baginya kelapangan (iaitu suatu jalan untuk melepaskan diri).

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Bersambung dari Hak seorang Muslim (5)

Kesembilan belas: Hendaklah engkau memulakan salam kepada sesiapa yang engkau temui sebelum engkau mengajaknya bercakap-cakap. Sesudah itu hendaklah engkau berjabat tangan pula.

Allah berfirman:

Apabila kamu diberi salam sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan salam yang lebih baik, ataupun balaslah dengan salam seumpamanya.” (an-Nisa’ : 86)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Demi jiwaku yang berada di tanganNya, kamu sekalian tidak akan memasuki syurga sehingga kamu beriman dan kamu sekalian tidak akan beriman selagi kamu tidak berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu amalan, jika kamu lakukannya nescaya kamu akan saling kasih-mengasihi? Para sahabat berkata: Bahkan, wahai Rasulullah, tunjukkanlah! Berkata Rasulullah s.a.w.: Amalkanlah memberi salam antara satu dengan yang lain di antara kamu!”

Dari Rasulullah s.a.w. lagi:

Orang yang berkenderaan, hendaklah memberi salam kepada yang berjalan kaki. Andaikata seorang dari orang ramai yang memberi salam, cukuplah ia menggantikan yang lain.

Anas r.a. sendiri bila menemui anak-anak di jalanan, dia sering memberi salam kepada mereka. Kata Anas: Saya pernah melihat Rasulullah s.a.w membuat macam itu.

Diceritakan lagi bahawa suatu kali pernah Rasulullah s.a.w. melalui sebuah masjid sedang di situ ada banyak orang yang sedang duduk-duduk, maka baginda pun mengisyaratkan dengan tangannya memberi salam.

Kemudian baginda berkata: Jika seseorang kamu sampai ke suatu majlis, maka hendaklah ia memberi salam kepada orang-orang yang ada di situ. Kemudian jika ia suka duduk, duduklah. Sesudah itu bila ia bangun pula, maka hendaklah ia memberi salam lagi. Tidaklah salam yang pertama tadi lebih berhak (utama) dari yang kedua pula.

Diberitakan juga bahawa kesempurnaan salam itu ialah dengan berjabat tangan.

Berkata al-Hasan: Berjabat tangan itu akan menambahkan kasih sayang antara orang yang berjabat tangan itu.

Diharuskan pula untuk mencium tangan orang yang banyak ilmunya dalam urusan agama, untuk mendapatkan berkat daripadanya, atau untuk memberikan penghormatan kepadanya.

Rasulullah s.a.w. sendiri membenarkan orang mencium tangannya dan kepalanya.

Menundukkan diri ketika berjabat salam adalah terlarang dalam agama.

Tetapi berpeluk dan mencium pernah dilakukan ketika kembali dari pelayaran.

Begitu juga tentang memegang tali kenderaan, kerana menunjukkan penghormatan kepada seorang alim yang menunggangnya, pernah disebutkan dalam atsar.

Ibnu Abbas sendiri pernah melakukan yang demikian ketika menyambut Zaid bin Tsabit.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Janganlah seseorang kamu membangunkan seorang yang lain dari tempat duduknya, kemudian dia duduk di tempat itu. Tetapi hendaklah kamu meluaskan tempat bagi yang baru datang dan lapangkanlah.”

Sunnat bagi orang yang baru datang dalam sesuatu majlis, sesudah memberi salam, lalu tiada mendapat tempat duduk di hadapan, hendaklah ia duduk saja di belakang dan tidak pulang meninggalkan majlis tersebut.

Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w duduk dalam majlisnya di masjid, tiba-tiba datang tiga orang. Dua antaranya menuju ke majlis Rasulullah s.a.w., maka salah seorangnya mendapat tempat kosong lalu ia pun duduk. Seorang lagi terus duduk di belakang orang ramai. Manakala yang ketiga oleh kerana penuh sesaknya majlis itu, ia pun pulang meninggalkan majlis itu.

Setelah selesai majlis itu, maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: Bolehkah saya memberitahu tentang ketiga-tiga orang yang datang tadi? Yang pertama telah memperlindungkan dirinya kepada Allah, maka Allah pun melindunginya. Yang kedua merasa malu kepada Allah, dan Allah pun turut malu kepadanya. Manakala yang ketiga telah membelakangkan Allah, maka Allah pun membelakangkan ZatNya daripada orang itu.

Ummu Hani pernah memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya: Siapa itu? Orang memberitahu baginda: Ummu Hani yang memberi salam itu. Maka baginda menjawab selamat datang wahai Ummu Hani.

Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.

Next Page »