Ketahuilah bahawasanya keganasan marah itu berpunca dari hati. Maknanya darah yang berada di dalam hati sedang menggelegak, lalu darah itu pun mengalir ke dalam urat-urat badan, dan terus memuncak tinggi ke anggota badan yang teratas sekali, sebagaimana api dan air memuncak tinggi ketika makanan mendidih di dalam periuk.

Oleh kerana itu bila marah mula memuncak kelihatanlah darah manusia itu menyerap ke muka, sehingga wajah dan mata menjadi merah padam, dan kulit pula kerana kejernihannya, dapat menampakkan warna air yang di dalamnya.

Manusia dalam menghadapi keganasan marah terbahagi kepada tiga bahagian:

  1. ketiadaan sifat marah
  2. keterlampauan sifat marah
  3. pertengahan antara marah dan tidak marah

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Allah s.w.t berfirman:

“Perhatikanlah ketika Allah menimbulkan dalam hati orang-orang yang tidak beriman kepadaNya itu, perasaan sombong; iaitu sifat sombong zaman jahiliah, lalu Allah menurunkan pula ketenananganNya ke atas RasulNya dan ke atas kaum Mu’minin.” (al-Fath: 26)

Ayat ini telah mencela kaum Musyrikin atau orang-orang yang tidak beriman dengan Allah Ta’ala, disebabkan mereka telah melahirkan perasaan sombong yang timbul dari sebab marah terhadap yang hak dan membela yang batil. Begitu pula ia telah memuji juga kaum Mu’minin, atau orang-orang yang beriman dengan Allah s.w.t., disebabkan sikap mereka yang menerima yang hak, lalu diturunkan ke atas mereka perasaan tenang.

Diriwayatkan ada seorang telah mendatangi Rasulullah s.a.w. sambil memohon supaya baginda mewasiatkan sesuatu wasiat yang pendek dan sedikit saja. Maka baginda bersabda kepadanya: Jangan marah! Diulangi permintaannya lagi maka baginda sekali lagi bersabda: Jangan marah!

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat: Apakah yang kamu dapat fahamkan tentang maksud bergelut? Kata para sahabat: Penggusti yang tidak dapat ditumbangkan dalam pergelutannya.

Sabda baginda; Bukan itu yang aku maksudkan. Tetapi orang yang bergelut itu ialah orang yang dapat menahan dirinya, ketika dalam kemuncak kemarahannya.

Berkata Ja’far r.a.: Kemarahan itu kunci segala kecelakaan.

Setengah para sahabat berkata; Pokok dan pangkal sifat bodoh itu, ialah degil dan pemimpinnya ialah marah.

Barangsiapa yang meredhakan dirinya dengan kejahilan, tidaklah perlu lagi baginya sifat toleransi. Toleransi adalah sifat yang baik dan banyak mendatangkan manfaat. Sedang kejahilan pula adalah sifat yang buruk dan mendatangkan banyak mudharat. Berdiam diri atau tidak melayani pertanyaan seorang yang bodoh adalah jawabnya.

Berkata al-Hasan pula: Di antara tanda-tanda seorang Muslim yang sejati, ialah teguh agama, lemah-lembut kelakuan, penuh iman dan yakin, berilmu pengetahuan dan bertoleransi, pandai menjaga kepentingan dan berbelas kasihan, selalu memberi dengan hak, tidak boros meskipun kaya, murah hati meskipun miskin, berbuat baik walaupun berkuasa, menanggung jerih-perih bersama kawan-kawan, bersabar walaupun susah, tiada dikuasai oleh kemarahan, tiada selalu menurutkan perasaan, tiada dipengaruhi oleh syahwat dan nafsu, tiada dimalukan oleh kebatinan, tiada mementingkan keinginan, tiada terhad niat baik, sering menolong orang yang teraniaya, mengasihani orang yang lemah, tidak kikir dan tidak boros, tidak berbelanja berlebihan-lebihan dan tidak mengenggam tangan, bersedia mengampuni orang yang menganiayai, suka memaafkan orang bodoh, biarlah dirinya berada di dalam kepayahan asalkan semua orang berada di dalam kesenangan.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang bernyala-nyala, yang panasnya naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di dalam lubuk hati hingga berbara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya terpancar sifat congkak yang terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong dan bongkak, seperti terpancarnya api dari batu yang bergesek dengan besi.

Orang yang melihat dengan nurul-yaqin (cahaya keyakinan) dapat menyingkap, bahawa dari manusia itu telah ditarik sepotong urat, berhubungan dengan syaitan yang terkutuk, apabila api kemarahannya mula berkobar-kobar, maka hubungan itu menjadi kukuh, sebagaimana pernah diucapkan oleh syaitan sendiri dan diceritakan oleh al-Quran:

Engkau (tuhan) telah menciptakan aku dari api, dan engkau ciptakan ia (manusia) dari tanah.” (al-A’raf: 12)

Bukankah sifat tanah itu sentiasa bertenang dan tetap manakala sifat api pula bernyala-nyala, menyerang, berkobar-kobar dan bergejolak.

Kemudian timbul dari sifat marah itu perasaan-perasaan yang lain; iaitu dendam, hasad dan dengki, dan menerusi sifat-sifat inilah telah banyak orang yang binasa dan banyak juga orang yang rosak. Pokok segala kebinasaan dan kerosakan itu, bersebab dari segumpal daging (hati), jika daging itu dijaga dengan baik, baik pulalah seluruh tubuh.

Jika sekiranya kita telah mengetahui, bahawa sifat-sifat dendam, dengki dan marah itu di antara sifat-sifat yang menarik manusia kepada sebab-sebab kemusnahan dan kecelakaan, maka alangkah perlunya manusia itu untuk mengetahui sebab-sebab pendorongnya atau punca-punca perosaknya, agar ia dapat menghindarkan diri daripada bahaya-bahaya itu, dan agar ia dapat berhati-hati dan menjauhkannya dari hati dengan seberapa yang boleh.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin

Alhamdulillah, setelah hampir setahun tidak dikemaskini, insha Allah di bulan Ramadhan yang mulia ini dikuatkan semangat untuk menyambung semula kiriman untuk topik-topik berikutnya.

Insha Allah, berikutnya kita akan memasuki Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Di dalam kitab ini, terdapat bab-bab berikut (akan disiarkan secara berperingkat):

  • Pendahuluan (klik untuk baca)
  • Kecelaan sifat marah
  • Tingkatan manusia ketika marah
  • Ketiadaan sifat marah
  • Keterlampauan sifat marah
  • Sifat marah yang lemah turut dicela
  • Melenyapkan marah dengan latihan diri
  • Sebab-sebab kemarahan
  • Bagaimana mengubati kemarahan yang sedang bergejolak
  • Keutamaan menahan diri dari kemarahan
  • Keutamaan sifat penyantun
  • Kadar yang dibolehkan untuk membalas umpatan
  • Akibat dendam dan faedah belas kasihan
  • Keutamaan maaf dan ihsan
  • Keutamaan belas kasihan
  • Kecelaan hasad (dengki)
  • Apa hakikat hasad?
  • Sebab-sebab hasad
  • Penawar untuk melenyapkan penyakit dengki

Memang tidak dilarang bagi orang-orang awam untuk memperbanyakkan amalan-amalan saleh dari berbagai-bagai rupa, tetapi sikap suka bertanya yang bukan-bukan itu memanglah mudah terlintas di dalam hati. Adakalanya orang-orang awam ini suka mendalami dalam perkara-perkara atau liku cabang ilmu pengetahuan, sebab syaitan sering menggambarkan kepada mereka, bahawa mereka itu adalah tergolong para alim ulama yang mempunyai keutamaan dalam ilmu pengetahuan. Hasutan syaitan ini akan terus-menerus mempengaruhi jiwa orang-orang ini, sehingga akhirnya mereka berani berkata sesuatu yang merupakan kekufuran atau terkeluarnya mereka dari Agama Islam, sedangkan mereka tidak mengetahui.

Sebab itulah, sesiapa yang suka bertanya ilmu yang pelik-pelik, sedangkan fahamannya masih belum mampu mencapai darjat fahaman itu, maka ia tentu dicela, tambahan pula jika ia seorang awam, yang pengetahuannya masih cetek dalam serba-serbi liku-liku agama.

Dalam sebuah Hadis, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan:

“Rasulullah s.a.w. telah melarang keras dengan kata-kata qil dan qal (cakap-cakap yang tidak diketahui sumbernya dengan jelas), membelanjakan harta benda dengan boros dan terlampau banyak persoalan.”

Dalam kisah Nabi Musa dengan Khidhir a.s. ada menunjukkan larangan dari terlampau banyak bersoal-soalan sebelum tiba masanya, iaitu sebagaimana yang disebutkan di dalam firman Allah Ta’ala (yang bermaksud):

”Jika engkau mengikutiku, maka janganlah engkau bertanyakan kepadaku tentang sesuatu, sehingga aku memberitahukan engkau tentangnya.”(Al Kahfi: 70)

Tetapi Nabi Allah Musa a.s. tidak sabar, lalu bertanya mengenai kapal layar kepada Khidhir, maka Khidhir pun menyngkalnya sebab pertanyaan itu. Kemudian Nabi Musa a.s. memint diuzurkan, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

”Janganlah engkau mengambil hati tersebab kelupaanku, dan janganlah memberati diriku tentang perkara ini seberat-beratnya.” (Al Kahfi: 73)

Tetapi Nabi Musa a.s. terus tidak bersabar sampai beliau bertanya tiga kali berturut-turut, maka Khidhir pun berkata kepadanya,

”Kini telah tiba masanya perpisahanku denganmu” (Al Kahfi: 78)

Lalu Nabi Khidir pun berpisah dengan Nabi Musa a.s.

Kalau begitu nyatalah bahawa pertanyaan orang-orang awam tentang persoalan-persoalan yang pelik-pelik, atau rumit di dalam agama itu, termasuk dalam perkara-perkara besar yang membahayakan, maka seharusnyalah mereka dilarang dari mengemukakan pertanyaan-pertanyaan serupa itu, dan jika mereka melakukan juga, maka haruslah ditegah dengan keras.

[dikemaskini dengan pembetulan: 10 Jul 2013]

Sayugialah seseorang itu menjaga dirinya daripada kesalahan-kesalahan yang merbahaya dalam kandungan percakapannya, dan berhati-hati supaya tidak terlalai dalam perkara ini, terutama sekali bila membicarakan tentang Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dan sifat-sifatNya. Misalnya sebagaimana yang diutarakan oleh Hadis Rasulullah s.a.w. berikut:

“Jangan sekali-kali seseorang kamu berkata: Itu adalah kehendak Allah dan kehendakmu. Tetapi katakanlah: Itu adalah kehendak Allah, kemudian kehendakmu.”

Sebab menggunakan perkataan dan di sini menunjukkan pengertian persyarikatan dengan kehendak Allah Ta’ala dan menyamakan Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan kedudukan manusia. Itu adalah salah dan berlawanan dengan tata penghormatan terhadap Zat Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ibrahim merasa tidak senang bila mendengar orang berucap: Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu. Ataupun jika ada orang berkata: Jika tidak kerana Tuhan dan kerana si fulan…. Berkata demikian adalah salah seperti juga di atas tadi. Tetapi jika ada orang ingin berkata Allah kemudian kepadamu. Ataupun: Jika tidak kerana Allah kemudian kerana si fulan…

Dalam hal ini Ibnu Abbas r.a. berkata: Seseorang kamu boleh bersyirik kepada Allah, ketika ia mensyariatkan anjingnya dalam sesuatu perbuatan. Misalnya ia berkata: Kalaulah tidak kerana anjing kita itu, tentualh kita telah kecurian malam semalam.

Saiyidina Umar Ibnul-Khattab ketika mengulas sebuah Hadis dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi.

“Sesungguhnya Allah Ta’ala melarang kamu bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa kamu.”

Katanya: Sesudah saya mendengar Hadis itu, saya tidak pernah bersumpah dengan menyebut nama bapa-bapa saya.

Berkata Abu Hurairah r.a.: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Janganlah seseorang kamu mengatakan: Hambaku atau amahku (hamba perempuan). Kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan sekalian wanita kamu adalah amah Allah. Tetapi katakanlah: Budakku atau jariahku. Begitu juga si hamba itu janganlah mengatakan: Rabbi atau Rabbati* tetapi katakanlah: Tuanku atau puanku, sebab kamu sekalian adalah hamba-hamba Allah dan perkataan ar-Rab ialah bagi Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Berkata Rasulullah s.a.w.:

“Jangan kamu memanggil orang munafik dengan perkataan Saiyidina (Tuanku), sebab kalau benar ia menjadi tuan kamu, nescaya kamu telah menyebabkan Tuhan kamu murka kepadamu.”

Tegasnya setiap orang yang berucap itu, hendaklah disertai dengan kewara’an yang dapat memeliharanya dari segala kesalahan-kesalahan serupa itu, dan hendaklah sentiasa berhati-hati agar ia terselamat dari bahaya-bahaya yang tersebut tadi.

********

* Perkataan Rabbun dalam bahasa Arab selain menunjukkan makna Tuhan juga dimaksudkan dengan tuan punya. Jadi perkataan Rabbi atau Rabbati memberikan maksud tuan punya saya atau puan punya saya. Oleh kerana sebutan seperti itu boleh mengelirukan orang, maka Rasulullah s.a.w. telah melarang orang menggunakannya. – pent.

Memuji orang, adakalanya dilarang pada setengah-setengah tempat. Mencela pula samalah seperti mengumpat atau merendahkan kedudukan orang lain, dan hukumnya telah kita sebutkan sebelum ini.

Dalam pujian itu, ada enam pula bahayanya. Empat bahaya bersangkut-paut dengan orang yang memuji dan dua bahaya yang lain ialah orang yang dipuji.

Bahaya-bahaya yang bersangkut-paut dengan si pemuji itu ialah; Pertama: Bila ia berlebih-lebihan dalam pujiannya, sehingga kesudahannya menjadi dusta pula.

Pertama: Bila ia berlebih-lebihan dalam pujiannya, sehingga kesudahannya menjadi dusta pula.

Kedua: Dengan adanya pujian itu, timbul perasaan riya’ di dalam diri seolah-olah ia menunjukkan cintanya terhadap orang yang dipujinya itu. Adakalanya dalam pujian itu ia, memendamkan perasaan yang tak senang terhadap orang yang dipujinya ataupun ia sendiri tidak meyakinkan semua kata-kata pujiannya itu, maka dengan demikian, ia telah menjadi seorang yang riya’ dan munafik sama.

Ketiga: Dengan adanya pujian itu, ia telah mengatakan sesuatu yang ia sendiri belum tahu, sama ada betul atau tidak yakni ia belum sempat menyelidiki hakikat kata-kata pujiannya itu.

Keempat: Dengan adanya pujian itu, mungkin sekali ia telah menggembirakan hati orang yang dipujinya, meskipun orang itu seorang yang zalim atau fasik, manakala memberikan pujian kepada mereka itu dalah tidak harus.

Berkata al-Hassan r.a.: Sesiapa yang mendoakan bagi seorang yang zalim supaya panjang umur, maka seolah-olahnya ia suka dan redah orang itu melakukan maksiat terhadap Allah di bumiNya.

Tentang bahaya-bahaya yang boleh menimpa orang yang dipuji pula, iaitu:

Petama: Dengan menerima pujian itu, akan timbul dalam dirinya perasaan bongkak dan ujub, dan kedua-duanya termasuk sifat yang membinasakan.

Kedua: Dengan menerima pujian itu, hatinya akan merasa gembira dan sangat senang, dan sesudah itu akan menjadi cuai tentang kesalahan-kesalahannya, dan menganggap dirinya sudah sempurna disebabkan pujian itu. Kemudian usahanya akan berkurang untuk membuat amalan-amalan yang baik.

Sekiranya pujian itu dapat menyelamatkan orang dari bahaya-bahaya ini, sama ada pada diri si pemuji mahupun yang dipuji, maka tidak mengapalah untuk memberikan pujian itu, malah dalam setengah-setengah perkara mungkin menjadi sunnat, yakni digalakkan.

Seterusnya orang yang dipuji itu hendaklah berhati-hati menjaga dirinya dari bahaya-bahaya sifat bongkak dan ujub, dan juga dari bahaya keteledoran. Hendaklah ia sentiasa ingat, bahawa ia lebih mengetahui tentang dirinya dari yang diketahui oleh si pemuji itu, dan andaikata segala rahsia dirinya terbongkar di hadapan orang  yang memujinya itu, dan segala lintasan hatinya dapat disingkapkan olehnya tentulah orang itu tidak mahu memujinya.

Saiyidina Ali bin Abu Talib r.a. ketika ia dipuji orang, selalu berdoa begini: Ya Allah! Ya Tuhanku! Ampunilah aku terhadap segala yang mereka tidak mengetahuinya. Janganlah menyalahkan aku kerana apa yang mereka katakana itu, dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan.

Sepatutnya orang yang mahu memuji terhadap seseorang itu, hendaklah ia tidak tergesa-gesa memberikan pujiannya, melainkan setelah ia mengetahui benar-benar tentang diri orang yang hendak dipujinya serta kebatinannya.

Sekali peristiwa, pernah Saiyidina Umar Ibnul Khattab mendengar seorang memuji orang lain, beliau lalu berujar, katanya: Pernahkah engkau memuji orang lain, beliau lalu berujar, katanya: Pernahkah engkau bepergian bersama-sama orang itu? Jawab si pemuji itu: Belum pernah! Berkata Umar lagi: Pernahkah engkau membuat perjanjian atau bermu’amalah dengannya? Kata orag itu: Belum. Umar berkata lagi: Pernahkah engkau bersama-samanya pada pagi dan petang? Katanya: Tidak. Lalu Saiyidina Umar berucap: Demi Allah yang tidak ada Tuhan melainkan Dia, aku tak fikir engkau sudah benar-benar mengenalnya.

Dalam sebuah Hadis:

“Sekiranya seseorang kamu terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah ia berkata: Saya kira si fulan itu begini dan saya tidak mensucikan seseorang manusia pun atas Allah” 

Orang yang bermuka dua, atau biasanya disebut orang yang mempunyai lidah bercabang dua, ialah orang yang mendatangi kedua-dua orang yang sedang bermusuh-musuh, seraya berkata kepada setiap satu dari keduanya dengan kata-kata yang menghasut permusuhan antara satu sama lain. Ia sering memuji yang satu dan mencaci yang lain, serta berjanji pula untuk menolong tiap-tiap satu ke atas musuhnya. Inilah tanda-tandanya orang itu seorang munafik.

Akan tetapi jika ia mendatangi kedua-duanya, lalu menyampaikan kata-kata yang manis terhadap setiap satu dari keduanya, sedang segala yang dikatanya itu benar pula, maka ia bukanlah terkira orang yang mempunyai lidah yang bercabang dua dan bukan juga semorang munafik, sebab memang biasa ada orang yang berkawan dengan kedua-dua orang yang sedang bermusuh-musuhan. Tetapi dalam berkawan itu, dia suka menyampaikan percakapan seorang kepada yang lain, maka ia dicap seorang yang lidahnya bercabang dua, dan sifat ini adalah lebih buruk daripada sifat mengadu-domba, kerana si pengadu-domba itu hanya membawa cakap-cakap satu pihak kepada pihak yang lain saja. Tetapi orang ini telah melakukan lebih dari itu, yakni membawa cakap kepada kedua-duanya untuk kepentingan dirinya, manakala permusuhan antara kedua orang itu pula dibiarkan saja berlarutan.

Adapun orang yang terpaksa menjaga hati salah satu dari dua pihak yang bertelagah, lalu memjui yang satu tanpa yang lain kerana dharurat, dan ia merasa bimbang hendak meninggalkan perbuatan itu, maka keuzurannya dapat diterima. Sebab memelihara diri dari kejahatan orang adalah harus dan dibolehkan.

Berkata Abu Darda’ r.a.: Adakalanya kita terpaksa menunjukkan kegembiraan kita di hadapan sesuatu kaum, meskipun hati kita menyumpah-nyumpah mereka itu.

Berkata Saiyidatina Aisyah radiallahu-anha: Ada seorang lelaki dating meminta izin berjumpa dengan Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Izinkanlah dia masuk, dan ia adalah seburuk-buruk manusia dari golongan ini. Apabila orang itu masuk, Rasulullah s.a.w. berbicara kepadanya dengan lemah-lembut kepadanya. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Aisyah! Sejahat-jahat manusia, ialah orang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

Tetapi jangan sampai terkeliru dalam hal ini, kerana yang dibolehkan bersikap serupa ini, hanya ketika menyambut orang datang dengan ramah-tamah dan muka yang tersenyum. Selain dari itu, maka tidak boleh diberikan pujian, atau membenarkan kata-kata, atau menganggukkan kepala tanda persetujuan terhadap segala percakapan yang batil atau salah, kerana melakukan serupa itu adalah munafik. Malah mestilah ia mengingkarinya, jika tiada berkuasa, maka bolehlah ia berdiam diri, tetapi hatinya mestilah mengingkati kelakuan itu. Dan dalam keadaan yang terpaksa ada hukum-hukumnya yang tertentu pula.

Allah s.w.t. telah berfirman:

“Yang suka membisikkan (mencela), dan yang suka menyebarkan fitnah.”

FirmanNya lagi:

“Celaka bagi setiap pengumpat lagi penista.” (al-Humazah:1)

Ada orang yang mentafsirkan perkataan humazah (mencela) itu dengan mengadu-domba atau menghasut.

Allah berfirman lagi:

Pembawa kayu bakar.” (al-Lahab: 4)

Iaitu isteri Abu Lahab yang dikatakan suka mengadu-domba dan menyampaikan kata-kata orang ke sana kemari.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Tidak dapat masuk syurga orang yang suka mengadu-domba.”

Sabdanya lagi:

“Orang yang amat tercinta di antara kamu kepada Allah, ialah orang yang terbaik sekali akhlaknya, si pemurah hati yang suka menjamu tetamu, orang yang rapat dengan kawannya dan kawan-kawan pula suka rapat kepadanya. Dan orang yang amat terbenci di antara kamu kepada Allah ialah orang yang suka menyebarkan fitnah (mengadu-domba), orang yang suka memecahbelahkan di antara kawan-kawan, orang yang suka mencari alasan untuk melepaskan diri dari kesalahan-kesalahan.”

Adapun batas mengadu-domba itu ialah mendedahkan segala perkara yang tidak patut disebarkan sama ada ia dibenci oleh orang yang diceritakan perkaranya, ataupun dibenci oleh orang ketiga, sama ada cara mendedahkannya itu dengan perkataan atau dengan tulisan, ataupun dengan isyarat dan gerak geri, sama ada yang didedahkannya itu berupa perbuatan, atau percakapan sama ada ia sememangnya suatu keaiban atau kekurangan mahupun bukan.

Jelasnya hakikat mengadu-domba itu, ialah membocorkan rahasia orang lain dan melanggar kehormatannya dengan membuka segala rahasia yang ia tidak ingin orang lain mengetahuinya. Oleh itu apa yang dilihatnya dari hal-ehwal orang, hendaklah ia mendiamkan diri saja, tidak dihebahkan dari hal-ehwal orang, hendaklah ia mendiamkan diri saja, tidak dihebahkan kepada orang ramai, kecuali jika penyebarannya itu akan mendatangkan faedah bagi orang islam, ataupun menolak sesuatu maksiat daripadanya. Misalnya jika ia menyaksikan seorang yang mengambil harta orang, maka hendaklah ia menjadi saksi bagi kepentingan orang yang diambil hartanya itu.

Pokok utama yang menyebabkan orang suka mengadu domba itu, ialah sama ada ia memang tidak suka kepada orang yang diadukan dombakannya itu, ataupun ia ingin menunjukkan tanda kesayangannya kepada orang yang diceritakan hal-hal orang yang dibencinya itu. Ia boleh juga disebabkan oleh kebiasaan lidah yang memang suka menceritakan keadaan dan hal orang, serta mencampuri urusan-urusan yang tiada kena mengena dengan diri sendiri, ataupun sudah sememang menjadi tabiat sukakan sifat yang batil itu.

Seterusnya apabila seorang membawa sesuatu berita yang mengadu-domba, maka hendaklah ia jangan tergopoh-gopoh menerima berita itu, dan menyangkakannya benar, sebagaimana firman Allah Ta’ala:

“Jika ada orang fasik membawa sesuatu berita kepadamu, maka hendaklah kamu memeriksanya terlebih dulu.” (al-Hujurat: 6)

Kalau boleh, hendaklah ia melarang orang itu dari berbuat adu domba itu, dan menasihatkannya agar ia tidak menyangka jahat atau tidak baik sesuatu yang belum dilihatnya itu. Begitu juga janganlah hendaknya ia suka mengintip-intip untuk mencungkil kesalahan orang.

Berkata al-Hassan: Barangsiapa yang berani membawa berita adu-domba kepadamu, nescaya ia berani juga mengadu-dombakanmu kepada orang lain.

Dengan itu jelaslah bahawasanya si pengadu-domba itu harus dibenci dan tidak boleh dipercayai kata-katanya serta ditolak kebenarannya. Betapa tidak, sebab ia juga tidak hairan boleh menjadi orang yang menjalankan tipu daya dan pengkhianatan atas kemu serta merosakkan nama baik kamu di kalangan orang ramai. Si pengadu-domba itu termasuk golongan orang yang berusaha untuk memutuskan perhubungan yang diperintahkan oleh Allah supaya mengeratkannya, dan mereka itu berjalan di muka bumi menyebarkan kerosakan di antara manusia.

Allah telah berfirman:

“Hanyasanya jalannya untuk menyalahkan orang-orang yang melakukan penganiayaan ke atas manusia, dan mereka menganjurkan sesuatu (bencana) di atas muka bumi ini tanpa hak (kebenaran).” (asy-Syura: 42)

Orang yang mengadu-domba itu, tidak syak lagi termasuk ke dalam golongan ini.

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya orang yang paling jahat, ialah orang yang ditakuti oleh orang ramai kerana kecelakaannya.”

Orang yang mengadu-domba juga, termasuk ke dalam kumpulan orang-orang yang jahat.

Apabila Muhammad bin Ka’ab al-Qurazhi ditanya: Mana satu sikap orang Mu’min yang boleh menjatuhkan kedudukannya. Jawabnya: Banyak berbicara suka membocorkan rahasia dan mempercayai semua cakap orang.

Berkata setengah ahli pendita: Jika pengadu-domba itu sudah berjaya menyampaikan fitnahnya kepadamu, nescaya ia menjadi orang yang berani memaki-makimu, padahal orang yang difitnahkannya itu lebih utama mendapat belas kasihanmu, sebab ia tiada menghadapkan caci-makinya kepadamu.

Ketahuilah bahawasanya menjadi wajib atas seseorang pengumpat agar menyatakan sesalan atas kelakuannya yang salah itu, kemudian segera bertaubat dan merasa sedih dan dukacita atas perbuatannya, supaya ia terselamat dari balasan Allah Ta’ala. Sesudah itu hendaklah ia meminta maaf dari orang yang diumpatnya, serta menghalalkan perbuatannya itu, supaya ia terlepas dari dosa ghibahnya. Ini jika ia mampu melakukannya dan tidak takut berlaku sesuatu bahaya.

Al-Hasan berkata: Cukuplah si pengumpat itu beristighfar atau meminta ampun kepada Allah Ta’ala dan tak payah lagi minta dihalalkan perbuatannya dari orang yang diumpatnya itu.

Dalam sebuah Hadis Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Adakah kamu sekalian tidak mampu berbuat seperti yang dibuat oleh Abu Dhamdham. Selalu bila ia keluar dari rumah, ia berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Saksikanlah bahawasanya aku telah mensedekahkan kehormatanku kepada orang ramai.”

Maksudnya, ia tidak akan menuntut balasan atas sesiapa yang melakukan penganiayaan ke atas dirinya di hari Kiamat, dan tidak akan membuat pengaduan lagi ke sana. Dan bukanlah tujuan dari kata-kata Abu Dhandham ini membolehkan seseorang mengumpat orang lain dengan sesuka hati, tetapi maksudnya ialah ia telah memaafkan dosa orang yang mengumpatnya.

Allah telah berfirman:

“Berikanlah pengampunan dan suruhlah dengan kebaikan serta hindarkanlah dirimu dari orang yang bodoh itu.” (al-A’raf: 199)

Dalam sebuah hadis pula, disebutkan bahawasanya Malaikat Jibril berkata kepada Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhya Allah Ta’ala memerintahmu, agar engkau memaafkan orang yang menganiyaimu dan menyambung perhubungan dengan orang yang telah memutuskan perhubungan dengan mu, serta memberi orang yang menahan pemberiannya kepadamu.”