Diceritakan, ada setengah orang tidak suka menerima undangan dengan hujah bahwa menunggu makanan dalam undangan itu adalah suatu kehinaan. Yang lain pula berkata: Kiranya aku meletakkan tanganku ke dalam tempat makan orang lain, maka telah terhinalah tengkukku (yakni aku telah menghinakan diriku).

Pendapat-pendapat serupa ini telah ditolak oleh setengah para ulama yang mengatakan, bahawa pendapat itu adalah berlawanan dengan sunnat.

Berkata Imam Ghazali: Maksudnya bukan begitu, tetapi yang dikatakan kehinaan itu, sekiranya si pengundang tidak begitu gembira, jika undangannya diterima oleh yang diundang. Ataupun dianggapnya itu sebagai suatu budi atau sebagai kewajiban yang mesti terhadap orang yang diundang itu. Rasulullah s.a.w. suka juga menghadiri undangan kerana mengetahui bahawa pengundangnya ingin membuat sesuatu budi terhadap baginda, sementara baginda melihat yang demikian itu sebagai kemuliaan dan penghormatan di dunia dan akhirat.

Perkara di atas sebenarnya berbeda dengan berbedanya keredhaan. Jika orang yang diundang itu yakin bahwa pengundangnya akan merasa berat untuk menghidangkan makanan, ataupun dirasakan yang demikian itu sengaja untuk tujuan bermegah-megahan, ataupun sikapnya sebagai seorang yang terpaksa, maka ketika itu tidak sunnat lagi baginya untuk menerima undangan orang itu. Yang sebaiknya ia mengemukakan keuzuran atau sebab-sebab yang dapat diterima.

Oleh kerana itu kebanyakan para ahli sufi berpesan, katanya: Janganlah anda menerima undangan, melainkan jika anda yakin bahawa pengundang anda itu mengetahui yang anda memakan rezekimu yang ditentukan oleh Allah dari hidangannya dan bahawasanya rezeki itu diserahkan kepadanya sebagai titipan atau amanat yang sebenarnya adalah milik anda yang berada dalam genggamannya, seraya ia merasa berterima kasih kerana anda telah menerima semula titipan itu daripadanya. Jadi jika orang yang diundang itu, yakin, bahawa tiada budi dalam menerima undangan itu, maka tiada patut dia menolaknya tanpa keuzuran.

Advertisements

Pertama: Diriwayatkan dari Ibrahim an-Nakha’i yang dikatakan pernah berkata: Makan di pasar adalah suatu penghinaan. Tetapi ada yang meriwayatkan bahawa setengah para salaf ada melakukannya. Letak perbedaan antara dua pendapat ini bergantung kepada adat kebiasaan negeri dan peribadi orang itu sendiri.

Barangsiapa yang memandang perkara itu tidak layak bagi dirinya atau keadaan negerinya, maka yang demikian itu dikira sebagai kerakusan atau kurang sopan. Tetapi jika keadaan negerinya menganggap itu sebagai perkara biasa dan bukan suatu keaiban maka tidak mengapalah dia melakukan perkara itu.

Kedua: Berkata setengah para tabib: Janganlah mengahwini wanita, melainkan yang gadis di antara mereka itu. Jangan makan daging, melainkan yang baru. Jangan makan benda yang dimasak, melainkan yang sudah sempurna masaknya. Jangan makan ubat, melainkan kalau ada penyakit. Jangan makan buah-buahan, melainkan yang sudah matang. Jangan menyuap makanan, melainkan yang anda boleh mengunyahnya dan janganlah meminum air di atas makanan. Janganlah menahan buang air kecil atau besar. Apabila selesai makan tengah hari, hendaklah anda tidur sebentar. Apabila selesai makan malam, hendaklah anda berjalan sebelum tidur, walaupun seratus langkah saja.

Ketiga: Adalah sunnat kiranya anda mengirim makanan ke rumah orang yang ada kematian. Apabila tiba berita kematian Ja’far bin Abu Talib, bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesungguhnya keluarga Ja’far sedang sibuk menguruskan jenazah (maksudnya Ja’far) dan tidak ada masa untuk memasak makanan, maka bawakanlah makanan untuk mereka.”

Perkara mengirimkan makanan ke rumah orang mati adalah sunnat hukumnya, kemudian jika makanan itu dihidangkan kepada ramai harus mereka memakannya.

Keempat: Tidak boleh menghadiri makanan orang yang zalim, tetapi jika dipaksa makan, makanlah sedikit saja.

Seterusnya bagi mengiring tetamu-tetamu kembali dari undangan, ada tiga pula adabnya, iaitu:

1.   Hendaklah ia mengiringi tetamunya hingga ke pintu rumah, dan yang demikian itu adalah sunnat dan ini juga terkira cara menghormati tetamu. Untuk menyempurnakan penghormatannya lagi ialah memaniskan wajah dan bertutur yang baik pada masa menjemput masuk dan mengiring keluar, dan juga ketika duduk bersama menghadapi meja makan.

2.  Tetamu pula, ketika tiba waktu pulang, hendaklah melahirkan sikap baik diri dan jangan menunjukkan sikap jengkel, walaupun berlaku sesuatu yang kurang disenangi kerana yang demikian itu adalah sifat budi pekerti yang baik dan merendah diri.

3.   Janganlah hendaknya dia meninggalkan tempat undangan itu, melainkan dengan redha tuan rumah dan keizinannya. Di samping itu hendaklah ia melayan hati tuan rumah dalam masa ia berada di situ. Sekiranya ia tinggal di situ sebagai tetamu, maka janganlah sampai lebih dari tiga hari, kerana dikhuatiri tuan rumah akan merasa bosan, dan akhirnya ia terpaksa mencari helah untuk menghalaunya. Tetapi jika tuan rumah menggesanya supaya tetap tinggal di rumahnya dengan hati yang penuh ikhlas, maka bolehlah ia tinggal lebih lama dari itu. Adalah sunnat bagi tuan rumah untuk menyediakan tempat tidur yang khas bagi tetamu yang tinggal serumah dengannya.

… bersambung dari: Keterangan tentang undangan dan jamuan

Berkata setengah para salaf: Saya suka sekali, agar semua perbuatanku itu diiringi dengan niat yang baik, sehinggakan pada makan dan minum sekalipun.

Ketahuilah perkara-perkara yang mubah (harus) boleh dikirakan ke dalam perkara-perkara kebajikan yang diberi pahala dengan niat yang baik.

Adab orang yang hadir undangan

Bagi orang yang hadir dalam setiap undangan hendaklah memperhatikan pula adab-adab berikut:

1.  Bila masuk ke dalam rumah, jangan memilih tempat-tempat yang ditetapkan bagi orang-orang berpangkat; iaitu di tempat-tempat yang terdepan, malah hendaklah ia merendah diri duduk di tempat-tempat biasa saja.

2.  Jangan tinggal terlalu lama di tempat undangan dan jangan pula terlalu segera hendak pulang, sehingga tuan rumah menjadi tergesa -gesa menyediakan makanan untuknya, kalau makanan itu belum tersedia. Ini dengan syarat kalau tempat tidak begitu penuh sesak dengan tetamu.

3.  Bila tuan rumah menunjukkan sesuatu tempat untuk ia duduk, jangan pula menolak, barangkali tuan rumah itu telah menentukan tempat bagi tiap-tiap seorang dari tetamu-tetamunya. Jadi kiranya ia menolak juga, akan berubahlah peraturan-peraturan yang sudah ditentukan oleh tuan rumah tadi.

4.  Jangan duduk di tempat yang berhadapan dengan pintu bilik yang dikhaskan untuk kaum wanita, ataupun di tempat yang bertabir.

5.  Jangan terlalu mengamati tempat dari mana hidangan makanan dikeluarkan kerana yang demikian itu menandakan dirinya sebagai seorang perakus.

6.  Hendaklah mengutamakan memberi salam dan bertanya khabar pada orang-orang yang duduk berhampiran dengannya.

7.  Apabila seseorang tamu datang untuk bermalam, maka hendaklah tuan rumah menunjukkan arah kiblat, bilik air atau tandas dan tempat mengambil air sembahyang.

8.  Tuan rumah hendaklah membasuh tangan terlebih dulu sebelum tetamu-tetamunya dan sebelum makan, kerana dia telah mengundang mereka untuk menerima penghormatannya. Hendaknya janganlah ia makan, melainkan setelah selesai semua tetamu-tetamu makan.

9.  Tetamu pula, bila melihat sesuatu perkara mungkar di rumah itu, hendaklah ia mengubahnya jika berdaya. Kalau tidak cukuplah ia memberi nasihat saja, kemudian meninggalkan tempat itu.

Memberi Jamuan

Ketahuilah, bahawa keutamaan memberi jamuan itu nyata sekali seperti sabda Rasulullah s.a.w

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, akan hendaklah ia memuliakan tamunya.”

Dalam sebuah atsar ada yang berkata: Adalah sia-sia orang yang tiada menghormati tetamu.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apa itu Iman? Baginda bersabda: Memberi orang makan dan menyebarkan salam.

Dalam sebuah Hadis lain, baginda bersabda mengenai membayar denda dan memperoleh darjat ketinggian, katanya: Memberi orang makan dan bersembahyang di malam hari sedang orang-orang masih tidur.

Membuat Undangan

Tentang undangan pula, hendaklah orang yang mengundang itu memilih orang-orang yang kukuh taqwanya kepada Allah dan meninggalkan orang-orang yang fasik. Rasulullah s.a.w. bersabda: Berilah makan kepada orang-orang yang berbakti kepada Tuhan. Dalam suatu atsar pula: Jangan makan melainkan dari makanan orang yang berbakti, dan jangan biarkan orang yang memakan makananmu pula, melainkan orang yang berbakti juga.

Jangan sampai mengundang orang-orang yang kaya saja, bahkan hendaklah diundang sama orang-orang fakir dan miskin. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seburuk-buruk makanan, ialah makan walimah yang diundang orang-orang kaya saja dan tinggalkan orang-orang miskin pula”

Bila membuat sesuatu undangan jangan sampai meninggalkan kaum keluarga dan saudara mara, sebab meninggalkan mereka dari diundang akan menjengkelkan dan memutus tali silaturrahim. Begitu pula, hendaklah ia menjaga ketertiban dalam masa mengundang sahabat-sahabat dan kenalan-kenalannya, kerana mengutamakan sebahagiannya akan menjengkelkan yang lain. Hendaklah jangan meniatkan untuk berbangga-bangga atau bermegah-megah diri bila melakukan undangan itu, tetapi haruslah ia berniat untuk merapatkan lagi perhubungan hati antara satu kawan dengan yang lain. Hendaklah ia sematkan perasaan gembiran dalam hati tiap-tiap seorang dari kaum Mu’minin. Hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar baginya untuk menerima undangan itu ataupun orang yang kehadirannya akan mengkocar-kacirkan majlis, dan merosakkan ketenangan tetamu-tetamu yang lain dalam majlis. Akhir sekali, hendaklah jangan mengundang melainkan orang yang ia tahu akan menerima undangannya saja.

Menjawab Undangan

Tentang menjawab atau menerima undangan hukumnya adalah sunnat muakkadah, yakni sunnat yang dituntut oleh agama. Ada pula yang mengatakan, hukumnya wajib dalam beberapa tempat. Menerima undangan itu ada lima adab, sila perhatikan berikut:

1.  Jangan dibedakan antara orang kaya dengan orang miskin bila menerima sesuatu undangan. Jika melakukan yang demikian, itulah yang dikatakan takabbur yang yang dilarang.

2.  Jangan sekali-sekali menolak undangan si miskin kerana kemiskinannya atau kerana kedudukanya yang rendah. Bahkan jauh perjalanan yang biasanya boleh ditanggung, tidak patut dijadikan sebab untuk menolak undangan orang.

3.  Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata kerana ia berpuasa, maka sebaliknya terimalah undangan itu. berbuka itu akan menyebabkan saudaranya merasa gembira, maka hendaklah ia berbuka. Dalam berbuka itu, hendaklah ia berniat untuk menimbulkan perasaan gembira dalam hati saudaranya, maka pahalanya samalah seperti ia berpuasa malah lebih lagi. Ini kalau pada puasa tathawwu’ (sukarela). Kalau puasanya wajib (kerana qadha’ atau sebagainya) dan dia tidak boleh berbuka, maka hendaklah diberikan alasan-alasannya dengan baik.

Telah berkata Ibnul Abbas r.a: Termasuk perkara yang paling utama sekali memuliakan kawan-kawan dengan berbuka puasa, kerana berbuka puasa yang bercampur dengan niat ini adalah seumpama ibadat dan suatu kelakuan yang terpuji. Jadi pahalanya besar sekali melebihi pahala puasa. Sekalipun kiranya orang yang diundang itu tiada berbuka, tetapi undangannya itu tetap dikira baik, kerana ia telah mengumpulkan orang dalam suatu majlis yang diiringi dengan cakap-cakap yang baik.

4.  Hendaklah ia menolak undangan, di mana makanan yang dihidangkan itu dari barang yang ada syubhat ataupun jika dalam majlis undangan itu diadakan berbagai-bagai kemungkaran,(*) ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik, atau suka bermegah dan membesar diri.

5.  Janganlah hendaknya bila menerima undangan itu, dia meniatkan untuk memenuhi syahwat perutnya. Dengan cara itu, dia telah menjadikan memakan makanan undangan itu sebagai urusan keduniaan. Bahkan yang sewajarnya ia memperbaiki niatnya dengan menganggap itu sebagai suatu urusan dari urusan-urusan keakhiratan; iaitu dengan niat menuruti jejak-langkah Rasulullah s.a.w dan memuliakan seorang Mu’min serta menziarahinya, agar ia termasuk golongan hamba-hamba Allah yang kasih-mengasihi kerana Allah Ta’ala. Selain itu, hendaklah dia meniatkan untuk memelihara hati saudaranya, supaya tidak timbul darinya hal-hal yang buruk kiranya dia menolok undangan itu. Ataupun untuk menahan lidah saudaranya dari menuduh perkara yang bukan-bukan, seperti menganggapnya sombong, atau kurang ajar, ataupun kerana hendak menghina seorang Muslim yang lain dan sebagainya.

… bersambung

_________________________

(*)           Imam Ghazali memasukkan dalam kemungkaran membentang hamparan sutera, menggantung gambar-gambar di tembok, mendengar seruling. Pada pendapat saya, perkara mungkar yang dilarang untuk dihadirinya dan yang mesti ingkarinya ialah perkara yang telah disepakati dan dipersetujui oleh para alim-ulama, manakala yang belum ditentukan oleh para fuqaha tentang pengharamannya, maka ia masih belum boleh dikira mungkar dan tidaklah orang yang membuatnya dikira fasik. Mazhab Hanafi telah mengharuskan duduk   di atas hamparan sutera, manakal Mazhab Maliki pula membolehkan menggantung gambar di tembok. Mengenai mendengar seruling, Ibnul Hazm sendiri bersama-sama pengikut Imam-imam yang termasyhur tidak mengatakan larangan. Bahkan telah disusun beberapa buku yang terkenal mengenai hal ini. Bagaimana boleh dikatakan ianya sebahagian dari kemungkaran? Saya berpendapat yang dianggap mungkar itu ialah sesuatu yang telah disepakati oleh orang ramai. Ya, untuk bersikap wara’ dan memelihara diri serta meninggalkan yang meragukan kepada yang tidak meragukan adalah seperkara yang lain yang dimaksudkan untuk menghindari kesyubhatan – Jamaludin al-Qasimi.

Masalah pertama: Menghidangkan makanan di atas meja dapat memudahkan cara memakan, maka tiadalah dihukumkan makruh tetapi mubah atau harus, jika tiada menunjukkan perasaan sombong atau membesarkan diri. Kalau ada orang yang mengatakan hukumnya bid’ah, maka jawabannya bukan semua perkara bid’ah itu di larang oleh agama. Adapun bid’ah yang dilarang itu, ialah jika ia bertentangan dengan sunnat yang sudah jelas atau suatu perkara yang menyalahi dasar syariat yang sudah terang dalilnya. Dalam masalah ini hanya diangkatkan hidangan itu dari atas lantai dan diletakkan keatas meja untuk memudahkan cara memakannya saja, ataupun sebagainya dari perkara-perkara yang tidak dihukumkan makruh.

Masalah Kedua : Makan dan minum dengan bersandar hukumnya makruh dan membahayakan bagi alat pencernaan dalam perut. Begitu pula makan dalam keadaan berbaring atau meniarap.

Masalah Ketiga : Sunat memulakan makan sebelum sembahyang. Dalam sebuah Hadis: Jika telah tersedia makan malam sebelum sembahyang is’ya, maka hendaklah kamu mulakan makan terlebih dahulu. Ibnu Umar r.a kadang-kadang mendengar imam sudah memulakan bacaan dalam sembahyang, namun ia tiada segera menghentikan makan malamnya. Tetapi jika nafsu hendak makan belum ada, dan jika dilambatkan masa makan malamnya tidak pula mendatangkan mudarat bagi diri, maka yang baik sekali didahulukan sembahyang.

Setengah orang telah berkata: cara memakan itu ada tiga macamnya:

  1. Makan bersama-sama para fakir-miskin, sebaik-baiknyaa kita beralah dan melebihkan mereka.
  2. Makan bersama-sama rakan-teman yang sedarjat, sebaik-baiknya dengan cara sederhana dan dengan cara biasa.
  3. Makan bersama-sama orang berpangkat, sebaik-baiknya menjaga adab dan sopan santun.

Seterusnya adab tuan rumah terhadap tetamu yang datang menziarahinya hendaklah ia menunjukkan perasaan suka dan gembira dan cuba memintanya membuat cadangan tentang hidangan mengikut seleranya. Manakala tuan rumah cuba memenuhi kehendak tetamu sekadar yang boleh. Melakukan yang demikian itu adalah paling baik pahalanya besar pula.

Akhir sekali jangan pula tuan rumah sampai bertanya: Sukakah tuan kalau saya hidangkan makanan? Sebaik-baiknya ia menghidangkan apa saja yang ada dan sudah tersedia, biarlah tetamu itu sendiri yang menentukan; kalau suka ia makan, dan kalau tak makan diangkat saja makanan itu semula.