bersambung dari: Perbuatan-perbuatan dalam sembahyang
Selanjutnya dia memulakan membaca doa iftitah sebaik-baik saja selesai bertakbir dengan membaca:
“Allah Maha Besar sebesar-besarnya, dan segala kepujian bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah di waktu pagi dan petang.”
Ataupun boleh dibaca doa ini:
“Aku menghadapkan mukaku kepada yang menjadikan langit dan bumi dalam keadaan cenderung dan terserah dan tiadalah aku dari golongan orang-orang musyrikin. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan seru sekalian alam, tiada sekutu bagiNya, dan demikian itulah aku diperintahkan dan aku termasuk golongan kaum Muslimin.”
Ataupun boleh membaca doa ini juga:
“Maha Suci Engkau wahai Tuhanku dengan kepujian bagiMu dan Maha Berkat NamaMu, Maha Luhur keputusanMu, Maha Tinggi pujian-pujianMu dan tiada Tuhan selain dariMu.”
Kemudian membaca pula (isti’azah’ ):
“Aku memohon perlindungan kepada Allah daripada godaan syaitan yang terkutuk.”
Seterusnya, hendaklah dia membaca al-Fatihah, setelah selesai, ucapkanlah pula Amiin yang bererti: kabulkanlah! Tetapi jangan pula dia menyambungkan (mewashalkan) kalimat Amiin itu dengan kalimah Waladh-dhalliin.
Al-Fatihah dan surah itu hendaklah dibaca dengan jahar; iaitu dengan suara yang nyaring pada sembahyang-sembahyang subuh, maghrib dan isya’, kecuali jika dia menjadi ma’mum dalam sembahyang berjemaah. Bacaan Amiin juga hendaklah dibaca dengan jahar.
Sesudah itu, dia membaca satu surah ataupun sekadar tiga ayat atau lebih dari al-Quran. Jangan pula dia menyambung bacaan surah dengan takbir ruku’, tetapi hendaklah dia memisahkan antara keduanya sekadar bacaan Subhanallah.
Pada sembahyang subuh, sebaik-baiknya dia membaca surah yang panjang dari surah-surah al-Mufashshal.(*) Pada sembahyang maghrib pula dia membaca surah-surah yang pendek. Manakala pada sembahyang-sembahyang zohor, asar dan isya’, dia membaca surah-surah yang sederhana pula. Pada sembahyang subuh, bila dalam pelayaran dibaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas, termasuklah juga pada sembahyang-sembahyang sunnat dua rakaat fajar (sebelum subuh), dua rakaat tawaf dan dua rakaat tahiyat masjid.
(*) – Surah-surah al-Mufashshal seperti yang ditentukan oleh para ulama dari surah al-Hujurat hingga ke akhir juz 29 dari al-Quran (akhir surah Tabarak sebelum ‘Amma). Surah-surah yang sederhana dari awal juz 30 (‘Amma) hingga ke surah Wadhdhuha. Manakala surah-surah yang pendek pula ialah dari surah Wadhdhuha hingga akhir juz 30; iaitu surah an-Nas.