Sebagai seorang suami, janganlah si suami melampaui batas dalam persenda-gurauannya dengan isteri, ataupun bersikap terlampau baik sekali sehingga isteri naik muka dengan memaksa suami menurutkan segala kehendak hawa nafsunya sehingga ke batasan merosakkan akhlak dan kelakuan si isteri. Dengan itu terjatuhlah maruah suami di hadapan khalayak ramai.

Tetapi yang dianjurkan ialah bersikap sederhana pada segala keadaan.

Jika dilihat sesuatu kemungkaran yang dilakukan oleh isteri, hendaklah suami jangan berdiam diri saja, bahkan menegahnya dan membuktikan kejantanannya sebagai seorang suami ke atasa isteri. Begitu juga jangan sampai dia yang mula membuka peluang bagi isteri untuk melakukan berbagai-bagai kemungkaran, malah bila dilihat isterinya berani membuat sesuatu yang melanggar hukum syara’ atau hukum adat dan maruah, hendaklah ia menunjukkan kemarahannya dan ketidak-senangnya terhadap perkara itu.

Ingatlah bahawa segala terisi di dalam petala langit dan bumi itu diciptakan Tuhan dengan keadilan maka segala yang melampaui had atau batasan keadilan akan terlingkup dengan lawannya.

Sewajarnyalah suami mengambil jalan tengah atau ekonomi, baik dalam menuruti atau menolak kehendak isteri. Hendaklah ia menegakkan kebenaran yang hak pada segala keputusannya, sehingga ia terselamat dari bencana isterinya. Sebab pada kebanyakkan hal, kaum wanita selalu suka berkelakuan buruk, dan sifat tersebut tidak akan terhindar dari mereka, melainkan dengan secara lemah-lembut yang diiringi dengan kebijaksanaan.

Oleh itu adalah menjadi suatu tugas utama bagi si suami memerhati dan meneliti kelakuan isterinya, bermula dengan berbagai percubaan, kemudian mencuba pula meluruskan semua kelakuan yang bengkok itu, sebagaimana yang diharuskan oleh keadaan dan peri-kerukunan rumahtangga.

Sebagai seorang suami, hendaklah ia menambah atas sikap kurang pertimbangan dari isteri itu dengan bersenda gurau, memuji-muji serta bermain-main dengannya, kerana semua itu akan melembutkan hati kaum wanita.

Rasulullah s.a.w seringkali bersenda gurau dengan isteri-isterinya dan menuruti kehendak-kehendak mereka, sesuai dengan kadar akal fikiran mereka dalam segala macam perbuatan dan perilakunya.

Sekali peristiwa pernah baginda Rasul mengajak Siti Aisyah r.a. melihat permainan orang-orang habsyi di kawasan masjid dan berdirilah baginda di situ menemaninya sebegitu lama sehingga baginda berkata: Sudah puasa?

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik sekali terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik sekali di antara kamu terhadap isteriku.”

Berkata Rasulullah s.a.w kepada Jabir:

“Mengapa tidak (memilih isteri) perawan yang boleh engkau bermain-main dengannya dan ia bermain-main denganmu?”

Seorang wanita dusun telah mensifatkan suaminya yang telah meninggal dunia dengan berkata: Demi Allah, sebenarnya suamiku itu seorang yang sering ketawa ketika di rumah, pendiam ketika di luar rumah, ia makan apa saja yang aku hidangkan (tidak cerewet), tidak pernah bertanya bila sesuatu tidak ada.