Kitab Rahsia Bersuci

Bab: Cara berwudhu’


Sesudah selesai istinja’ dan hendak memasuki sembahyang, maka hendaklah ia berwudhu’ terlebih dulu.

.

Mula-mula bersiwak (gosok gigi), kemudian dia duduk kerana berwudhu’ sedangkan keadaannya menghadap ke kiblat, lalu membaca Bismillaahirrahmaanir-rahiim. Sesudah itu, dia membasuh pula kedua tangannya dahulu sebelum memasukkanya ke dalam bekas. Kemudian dia mengambil air itu di dalam mulutnya, kecuali jika ia sedang berpuasa. Kemudian mengambil secedok lagi untuk dimasukkannya ke dalam hidung untuk beristinsyaq tiga kali juga. Air itu hendaklah disedut hingga sampai ke dalam lubang hidungnya serta dikocak-kocaknya.

.

Selesai itu barulah dia mencedok secedok air lagi untuk membasuh mukanya, dan hendaklah dia membasuhnya dari hujung dataran dahi hingga ke hujung bahagian dari dagu memanjang; dan dari satu telinga ke telinga yang lain melebar pula, dan air itu mestilah sampai kepada keempat-empat tempat tumbuhan rambut; iaitu dua bulu kening, misai (kumis), bulu yang tumbuh di bawah bibir dan bulu mata, dam rambut-rambut itu biasanya tipis saja.

.

Dan air itu mestilah sampai juga ke tempat tumbuhan janggut yang tipis. Kalau janggutnya lebat, maka memadailah air itu sampai ke bahagian lahirnya saja, tetapi sunnat disisirkannya dengan jari. Sunnat juga  jari-jarinya dimasukkan di bulatan mata untuk membersihkannya dari tahi mata atau lebihan celak.

.

Sesudah itu barulah dia membasuh kedua tangannya hingga kedua sikunya tiga kali. Dimulakan dengan yang kanan dulu. Jika memakai cincin, digerak-gerakkan cincin itu supaya air sampai di bawahnya.

.

Sesudah itu diratakan kepalanya dengan menyapu dengan kedua tangannya, setelah dibasahkan terlehih dulu dengan air. Caranya dengan mempertemukan hujung-hujung jari kanannya dengan hujung-hujung jari kiri, dan diletakkan kedua tangannya itu di muka kepala, lalu melalukan keduanya itu hingga ke belakang kepala.

.

Sesudah itu, disapu pula kedua telinganya di bahagian-bahagian luar dan dalam dengan cedokan air yang baru, kemudian dia menyapu pula tengkuknya dengan air yang baru juga.

Seterusnya, dibasuh pula kedua kakinya hingga ke bukulali serta disela-selakan antara jari-jari kaki.

.

Selesai melakukan itu semua, dia pun mengangkat kepalanya menadah ke langit seraya membaca:

“Saya menyaksikan bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah, dan menyaksikan sama bahawa sesungguhnya Muhammad itu hambaNya dan RasulNya. Wahai Tuhanku! Jadikanlah saya termasuk golongan orang yang bertaubat, dan jadikanlah saya termasuk golongan orang yang bersuci, dan jadikanlah saya termasuk golongan hambaMu yang sholeh.”