Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Sebab yang memudahkan beribadat di tengah malam

Di antara sebab-sebab yang boleh menggalakkan seseorang untuk beribadat di tengah malam ialah:

(1) Jangan mengenyangkan sangat perutnya, sehingga ia tidak banyak minum pula. Kerana yang demikian itu akan menyebabkan ia terlalu mengantuk dan akan menjadi beratlah baginya untuk bangun beribadat di tengah malam.

(2) Hendaklah ia melazimkan tidur sebentar di siang hari, kerana yang demikian itu dapat menolong ia bangun di tengah malam.

(3) Hendaklah ia memahamkan dirinya tentang keutamaan beribadat di tengah malam dengan mempelajari ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadi yang menerangkan peri keutamaannya, sehingga keazaman menjadi kuat dan kecenderungan untuk mendapatkan pahalanya tersemat di dalam hati. Di waktu itu tentulah keinginan bangun di tengah malam akan berlonjak-lonjak untuk menuntut kelebihan pahala dan untuk mencapai tingkatan-tingkatan syurga yang tinggi.

(4) Beribadat di tengah malam itu adalah suatu pertanda yang mulia, kerana ia menunjukkan kecintaan hati terhadap Allah dan membuktikan betapa kukuh keimanannya. Sebab kerjanya di waktu malam itu tiada lain melainkan semata-mata kerana bermunajat kepada Tuhan, sedangkan Allah menyaksikan segala gerak-lakunya dan menyingkap segala isi hatinya. Dan ketahuilah, bahwa segala gerak-laku hati di waktu itu adalah datangnya dari Allah Ta’ala, seolah-olah Allah sedang berkata-kata dengannya. Andaikata ia tergolong orang yang dikasihi Allah Ta’ala, tentulah dia akan berminat untuk berkhalwat ditengah malam dengan Tuhannya, dan ia akan merasa amal lazat bermunajat, manakala kelazatan bermunajat itu akan menyebabkan ia semakin cenderung dan kuat untuk bangun beribadat di tengah malam.

Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipat-gandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat yang lain itu pun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya:

  1. Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.
  2. Bahawasanya puasa itu merupakan suatu jalan penentangan terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Ta’ala sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas pertolongan dari Allah Ta’ala.

Allah telah berfirman:

“Jika kamu sekalian menolong Allah (menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong kamu dan akan menetapkan kaki kamu (kedudukan kamu).” (Muhammad: 7)

Dengan jalan inilah puasa itu menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari hawa nafsu. Jika kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita menuntut syarat-syaratnya yang lahir dan batin dengan mempelajari rukun-rukunnya, sunat-sunatnya dan syarat-syarat kebatinannya.