Dalam hal bermu’amalah dengan mata wang yang palsu itu ada beberapa perkara yang harus diperhatikan iaitu:

1. Jika wang palsu itu dikembalikan kepadanya semula, maka hendaklah ia membuangnya di dalam perigi [atau dimusnahkannya – pent] supaya tidak terjatuh ke tangan orang lain. Ingatlah jangan sampai ia menggunakan wang palsu itu semula dalam perkara jual belinya yang lain. Jika ia mencacatkan wang itu sehingga tidak laku lagi, tidak mengapa.

2. Seorang peniaga hendaklah tahu membedakan antara mata wanga yang tulen dengan mata wang yang palsu, supaya tidak tersalah ambil lalu dia memberikannya pula kepada orang lain tanpa diketahui mata wang itu sebenarnya palsu. Maka berdosalah ia kerana perbuatan itu, disebabkan kecuaiannya tidak mahu mempelajari mengenal mata wang. Sebab setiap pekerjaan yang kalau diketahuinya dapat dijadikan bahan nasihat kepada kaum Muslimin, wajiblah ia mempelajarinya.

3. Jika seseorang mempunyai mata wang yang bulatannya kurang besar dari bulatan mata wang negerinya, maka hendaklah ia memberitahu orang yang bermu’amalah dengannya. Ataupun jika ia hendak menggunakan juga, maka bolehlah diberikannya kepada orang yang ia benar-benar mengetahui bahawa orang itu tidak akan menggunakannya lagi kepada orang lain secara penipuan.

Tetapi jika ia menyerahkan mata wang itu kepada orang yang mengedarkannya lagi kepada orang lain, maka penyerahannya samalah seperti menyerahkan kepada orang yang mahu melakukan kerosakan. Malah keadaannya samalah seperti menjual buah anggur kepada orang yang hendak membuat arak. Hukum jual beli serupa itu adalah haram dan dikira membantu dalam melakukan perkara yang salah dan dosa. Manakala penjualannya disamakan seperti berkongsi dosa dengan pembeli yang membuat arak itu.

Memelihara diri dari tercebur ke dalam perkara-perkara serupa ini dalam urusan perniagaan adalah lebih patut diberatkan daripada memelihara amalan-amalan ibadat sunnat dan menyediakan diri untuk melakukannya.

Satu lagi mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang ramai ialah mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang palsu.

Mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang adalah suatu penganiayaan kerana ia memudaratkan orang yang berjual beli, jika ia tiada mengetahui. Jika ia mengetahui maka ia telah menipu orang lain pula, sehingga mata wang palsu itu bertukar-tukar tangan, dan tersebarlah mudarat itu di antara mereka yang tentu sekali akan menimbulkan berbagai-bagai kerosakan.

Dengan itu maka dosa sekalian orang yang menyebarkan mata wang palsu itu balanya akan kembali kepada dirinya, sebab dialah punca dosa tersebut sebagai orang yang membuka pintunya.

Ada pendapat yang mengatakan, bahawa membelanjakan wang palsu itu lebih berat dosanya daripada mencuri seratus dirham, kerana mencuri itu adalah maksiat yang dilakukan sekali saja, dan perkaranya telah selesai dan habis.

Manakala membelanjakan wang palsu itu, mungkin hanya sekali namun ia akan menanggung dosanya, sehingga selepas ia mati sampai seratus atau dua ratus tahun, yakni sehinggalah rosak atau binasa wang palsu itu barulah terputus dosanya. Tambahan pula ia akan menanggung apa yang telah terkurang daripada harta benda orang lain yang mendapat wang palsu tersebut.

Alangkah bahagianya manusia yang bila mati, akan mati bersamanya semua dosa-dosanya. Manakala akan celaka bagi manusia yang tidak sudah-sudah pula apabila mati, akan berterusan pula dosa-dosanya seratus tahun atau lebih dari itu, ditimpakan ke atasnya azab dalam kubur dan akan ditanya mengenainya sehingga perkara itu tidak berlaku lagi.

Allah telah berfirman:

Kami (Allah mencatat apa yang telah mereka lakukan terdahulu dan kesan-kesan dari amalan-amalan mereka.” (Yaasin: 12)

Maksudnya kami tuliskan juga segala yang terkemudian dari kesan-kesan perbuatan mereka, sebagaimana kamu menuliskan yang terdahulu daripadanya.

Allah telah berfirman lagi:

“Akan diberitahukan kepada manusia pada hari itu apa saja amalan yang dilakukan terdahulu dan terkemudian. (al-Qiyamah: 13)

Maksudnya, sebenarnya diperkirakan di kemudian hari kesan amalannya dari anjuran-anjuran yang tidak baik, yang dilakukan oleh orang-orang sesudah matinya.

Antara mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang ramai ialah penimbunan atau memonopoli.

Orang yang menjual barang-barang keperluan sehari-hari bila menimbun atau menahan barang-barang itu dari penjualan untuk menunggu naik harganya adalah suatu kezaliman secara umum yang mana agama mengutuk pelakunya, terutama sekali pada masa kekurangan barang-barang makanan sedangkan manusia yang memerlukannya semakin bertambah. Maka menahan penjualannya tentu sekali akan menimbulkan banyak kesusahan kepada umum.

Sebaliknya jika barang-barang keperluan itu, sememangnya banyak dalam pasaran dan orang ramai tidak menunjukkan semacam keperluan kepadanya, atau tidak mahu membelinya melainkan dengan harga yang rendah, lalu tuan punya barang-barang itu ingin menyimpannya sehingga meningkat semula harganya dan niatnya bukanlah untuk menunggu masa kekurangan barang-barang itu, maka yang demikian itu bukanlah dikira menimbun, dan ia tidak termasuk dalam ketegori menyusahkan orang-orag ramai.

Tetapi jika masa itu memang masa kekurangan barang-barang keperluan, dan tuan punya barang-barang itu berniat menahan penjualannya, maka dalam hal ini tentulah nyata menimbulkan mudarat pada orang ramai dan yang demikian tidak syak lagi hukumnya haram.

Meskipun keadaan tiada menampakkan mudarat, namun menimbun makanan itu tetap tidak terlepas dari hukum makruh, kerana tujuan orang yang menimbun itu ialah menantikan masa timbulnya mudarat, iaitu kenaikan harganya.

Manakala hukum menantikan masa timbulnya mudarat itu dilarang keras oleh agama, sebagaimana menantikan adanya mudarat itu dilarang keras oleh agama sebagaimana menantikan adanya mudarat itu sendiri. Walau bagaimanapun, peringkat-peringkat mudarat itu berbeda-beda kadarnya, menurut perbedaan tingkatan-tingkatan makruh dan haram.

Adapun mu’amalah yang membawa mudarat kepada sekalian orang ramai itu ada banyak, terutama sekali yang berikut ini:

(1) Penimbunan atau memonopoli:

(2) Mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang palsu.

Ulasan lanjut berhubung kedua-dua mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang ramai tersebut akan disiarkan dalam posting seterusnya.

Ketahuilah bahawasanya bermu’amalah itu terkadang-kadang berlaku atas dasar penganiayaan, sehingga orang yang menjalankan mu’amalah itu terdedah kepada kemurkaan Allah Ta’ala. Dan penganiayaan yang membawa kemudaratan kepada orang lain itu terbagi kepada bahagian yang mudaratnya menyentuh pihak umum atau orang ramai sekalian, dan bahagian yang mudaratnya menimpa orang perseorangan saja.

Seterusnya, dalam posting yang akan datang, akan disiarkan ulasan lanjut berhubung mu’amalah yang mudaratnya:

1. Menyentuh Orang Ramai, dan

2. Menyentuh Orang Perseorangan

Bersambung dari Keutamaan berusaha dan anjuran melaksanakannya (1)

Berkata Umar Ibnul-Khattab r.a.: Jangan sampai ada orang di antara kamu yang suka menganggur dan tidak mahu mencari rezeki. Lalu ia berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku! Berikanlah saya kurniaMu! Sedang kamu sekalian telah mengetahui bahawa langit itu tidak pernah menghujankan emas dan perak.

Berkata Ibnu Mas’ud r.a.: Sebenarnya saya benci melihat seseorang itu menganggur saja, sama ada dalam urusan dunianya atau pun dalam urusan akhiratnya.

Ahmad bin Hanbal r.a. pernah ditanya: Apa katamu pada seseorang manusia yang duduk di rumah ataupun di masjid saja, seraya ia berkata: Saya tidak akan membuat sesuatu pekerjaan sehingga rezeki saya akan datang nanti.

Ahmad bin Hanbal menjawab: Alangkah jahilnya orang itu! Apakah ia tidak pernah mendengar sabda Rasulullah s.a.w.:

“Sesunguhnya Allah telah menjadikan rezekiku terletak di bawah lindungan tombakku.”

Sambung Ahmad bin Hanbal lagi: Apa tidak pernahkah ia mendengar sabdanya lagi ketika ia menyebutkan tentang burung yang setiap pagi telah pergi dalam keadaan lapar, kemudian kembali di waktu petang dengan perut yang berisi makanan. Tentu sekali burung yang keluar pagi-pagi hari itu untuk mencari rezekinya.

Para sahabat Nabi s.a.w. juga keluar berniaga dengan melanda darat dan mengharungi laut, kerana mencari rezeki masing-masing. Ada pula yang bekerja di ladang-ladang kurma mereka sendiri. Memang tidak ada yang lebih baik, selain dari mencontohi mereka dalam segala gerak lakunya, terutama sekali lagi orang yang tiada menerima harta warisan, maka tiada jalan lain untuk menyelamatkan diri mereka itu, melainkan dengan berusaha dan bekerja.

Selanjutnya meninggalkan bekerja itu sememangnya lebih afdal bagi seseorang alim yang bekerja untuk mendidik anak bangsa dan mengajar orang ramai dengan ilmu-ilmunya yang akan memberi manfaat mengenai urusan keagamaan mereka, seperti mufti yakni yang pakar dalam ehwal ilmu-ilmu Fiqh, Tafsir, Hadis dan sebagainya.

Begitu juga, bagi orang yang mengurus maslahat-maslahat kaum Muslimin, seperti sultan, hakim dan saksi. Orang-orang ini sekiranya mendapat habuan dari harta benda yang memang dikhaskan untuk maslahat kaum Muslimin ataupun dari wakaf-wakaf yang diperuntukkan khas bagi fakir miskin atau para ulama, maka kecenderungan mereka dalam hal-ehwal keagamaan dan pendidikan orang ramai itu lebih utamanya daripada mereka meninggalkan kerja-kerja ini dan lari mencari rezeki untuk sara hidup mereka.

Oleh itu para sahabat telah memunjuk Abu Bakar as-Siddiq r.a. supaya meninggalkan berniaga di pasar, apabila beliau dilantik menjadi Khalifah sebab kerja-kerja Khalifah itu terlalu berat yang tidak dapat tidak akan memesongkan dari tanggungjawabnya. Tetapi beliau terus berusaha untuk mencari sara hidupnya.

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq hanya mengambil biaya secukup-cukupnya saja dari harta benda Baitul-Mal dan beliau sendiri berpendapat yang demikian itu lebih utama. Tetapi, apabila beliau meninggal dunia diwasiatkan agar semua harta benda yang telah diambilnya dari Baitul-mal itu dikembalikan semula, meskipun pada mulanya beliau telah menyetujui bahawa pengambilan harta benda itu adalah suatu pendapat yang terbaik.

Mula-mula kita memilih ayat al-Quran yang menganjurkan agar kita berusaha, di antaranya firman Allah Ta’ala di dalam kitabNya:

Kami (Allah) menjadikan waktu siang itu sebagai masa untuk berusaha mencari kenikmatan untuk meneruskan kehidupan.” (an-Naba’: 11)

Allah Ta’ala telah menjadikan masa siang itu sebagai masa untuk berusaha mencari kenikmatan untuk meneruskan kehidupan.

Allah berfirman lagi:

“Dan Kami (Allah) jadikan bagi kamu padanya (bumi) sebagai lapangan kehidupan, tetapi sedikit sekali kamu berterima kasih.” (al-A’raf: 10)

Allah Ta’ala telah menjadikan di sana tempat untuk mendapatkan kenikmatan, kemudian berterima kasih pula kepadaNya atas kenikmatan yang diperolehinya itu.

Allah berfirman lagi:

“Maka bertebarlah di muka bumi serta carilah rezeki dari kurnia Allah.” (al-Jumu’ah: 10)

Dari Hadis-hadis yang bertujuan untuk perkara ini pula, sabda Rasulullah s.a.w.:

“Andaikata seseorang kamu mengambil talinya lalu berusaha mencari kayu-kayuan yang diikatkan di belakangnya itu lebih utama daripada dia mendapati seseorang yang diberikan Allah pengurniaanNya, lalu meminta-minta kepadanya sama ada diberi atau ditolak.”

Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w. duduk bersama-sama pada sahabatnya, maka mereka pun terlibat seorang anak muda yang gagah perkasa sedang dalam perjalanan untuk berusaha mencari rezeki.

Mereka berkata: Sayang sekali, alangkah baik jika anak muda ini menggunakan kemudahannya dan kekuatannya untuk berjuang fisabillah? Mendengar hujah tersebut, baginda lalu menangkis dengan sabdanya:

“Jangan berkata begitu kerana sesungguhnya jika ia keluar berusaha untuk mencari rezeki bagi anak-anaknya yang masih kecil, nescaya perjalanannya itu pada sabilillah juga. Jika ia keluar berusaha untuk mencukupi dirinya, nescaya perjalanannya itu pada sabilillah juga. Tetapi jika ia keluar berusaha untuk bermegah diri dan menyombong, nescaya perjalanannya itu pada jalan syaitan”

Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: Mana satu usaha yang paling baik? Baginda bersabda:

“Usaha yang paling baik sekali, ialah usaha seseorang dengan tangannya, dan semua jual beli yang diredhai Tuhan.”

Sabdanya lagi:

Sebaik-baik perusahaan ialah perusahaan seorang pekerja, jika ia melakukan dengan sebaik-baiknya.”

Maksudnya jika ia bertekun di dalam pekerjaannya, kemudian ia menjauhi penipuan dan membuat kerja dengan sebaik-baiknya supaya orang yang memilikinya tiada sesal di kemudian hari.

… bersambung di Keutamaan berusaha dan anjuran melaksanakannya (2)

Kandungan bagi Kitab Adab Berusaha Dan Mencari Sara Hidup adalah seperti di bawah. Perbincangan untuk topik-topik tersebut akan disusuli dalam terbitan-terbitan yang akan datang secara beransur.

1. Keutamaan berusaha dan anjuran melaksanakannya

2. Melaksanakan keadilan dan menjauhi penganiayan dalam mu’amalah

a. Mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang ramai

i.   Penimbunan atau memonopoli

ii.  Mengedarkan wang palsu dalam berjual beli atau bertukar-tukar mata wang

iii. Mu’amalah dengan mata wang palsu

b. Mu’amalah yang mudaratnya menyentuh orang perseorangan

i.   Jangan terlalu memuji barang dagang dengan berbohong

ii.  Menjelaskan segala cacat-cacat barang dagangannya

iii. Janganlah menyembunyikan cacat dalam sukatan atau timbangan

iv. Berkata benar pada menyatakan harga

3. Ihsan dalam mu’amalah

4. Sikap seorang pedagang terhadap agamanya

Di antara yang wajib atas isteri dari hak-hak perkahwinan, apabila suaminya meninggal dunia, ia tidak berkabung kerana berdukacita lebih dari empat bulan sepuluh hari. Wajib meninggalkan memakai air wangi, tidak menghiaskan diri dalam masa perkabungan itu.

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman dengan Allah dan Hari Kemudian berkabung atas seorang yang mati lebih dari tiga hari, melainkan atas suami iaitu empat bulan dan sepuluh hari.”

Wajib atas isteri juga tinggal di dalam rumah suaminya yang meninggal dunia itu sehingga iddahnya, tidak boleh berpindah ke rumah keluarganya dan tidak boleh keluar rumah, melainkan kerana sesuatu dharurat saja.

Di antara adabnya lagi, hendaklah ia menjalankan perkhidmatannya yang ia mampu melakukan di dalam rumah, sebagaimana biasanya isteri-isteri para sahabat melakukan, moga-moga Allah redha atas mereka sekalian.

Tugas utama kaum wanita ialah

  1. Memperbaiki urusannya sendiri dan urusan rumahtangganya, tetap menunaikan semua sembahyang dan puasa.
  2. Jika rakan suaminya meminta izin masuk ke dalam rumahnya sedang suami tiada di rumah, maka tidak boleh diizinkan masuk dan tiada boleh banyak berbicara dengannya, sebagai menunjukkan tanda cemburu atas dirinya sendiri dan suaminya.
  3. Hendaklah isteri sentiasa merasa puas dengan segala yang diberikan oleh suaminya, sebagai rezeki dari Allah ta’ala.
  4. Ia harus selalu mengutamakan hak suami atas dirinya sendiri, begitu pula atas segala hak kaum kerabatnya.
  5. Sering membersihkan dirinya sendiri, serta bersedia, pada bila-bila masa untuk menerima keinginan suami.
  6. Hendaklah ia sentiasa bersifat belas kasihan terhadap anak-anaknya, memelihara dan melindungi mereka dari segala yang tidak baik, tidak mengeluarkan caci-maki terhadap anak-anak dan tiada menggunakan lidahnya hanya untuk menjawab dan menentang suami.

Di antara adab-adabnya pula ialah: isteri tiada terlalu bermegah-megah dengan kecantikan dirinya, dan tiada pula mengeji suaminya kerana keburukannya.

Adab yang lain lagi ialah: Hendaklah isteri sentiasa melazimkan dirinya dalam kebaikan dan memelihara dirinya pada masa ketiadaan suaminya. Apabila suami kembali bergembiralah ia bersenang-hatilah ia semula bersamanya.