Diceritakan, ada setengah orang tidak suka menerima undangan dengan hujah bahwa menunggu makanan dalam undangan itu adalah suatu kehinaan. Yang lain pula berkata: Kiranya aku meletakkan tanganku ke dalam tempat makan orang lain, maka telah terhinalah tengkukku (yakni aku telah menghinakan diriku).

Pendapat-pendapat serupa ini telah ditolak oleh setengah para ulama yang mengatakan, bahawa pendapat itu adalah berlawanan dengan sunnat.

Berkata Imam Ghazali: Maksudnya bukan begitu, tetapi yang dikatakan kehinaan itu, sekiranya si pengundang tidak begitu gembira, jika undangannya diterima oleh yang diundang. Ataupun dianggapnya itu sebagai suatu budi atau sebagai kewajiban yang mesti terhadap orang yang diundang itu. Rasulullah s.a.w. suka juga menghadiri undangan kerana mengetahui bahawa pengundangnya ingin membuat sesuatu budi terhadap baginda, sementara baginda melihat yang demikian itu sebagai kemuliaan dan penghormatan di dunia dan akhirat.

Perkara di atas sebenarnya berbeda dengan berbedanya keredhaan. Jika orang yang diundang itu yakin bahwa pengundangnya akan merasa berat untuk menghidangkan makanan, ataupun dirasakan yang demikian itu sengaja untuk tujuan bermegah-megahan, ataupun sikapnya sebagai seorang yang terpaksa, maka ketika itu tidak sunnat lagi baginya untuk menerima undangan orang itu. Yang sebaiknya ia mengemukakan keuzuran atau sebab-sebab yang dapat diterima.

Oleh kerana itu kebanyakan para ahli sufi berpesan, katanya: Janganlah anda menerima undangan, melainkan jika anda yakin bahawa pengundang anda itu mengetahui yang anda memakan rezekimu yang ditentukan oleh Allah dari hidangannya dan bahawasanya rezeki itu diserahkan kepadanya sebagai titipan atau amanat yang sebenarnya adalah milik anda yang berada dalam genggamannya, seraya ia merasa berterima kasih kerana anda telah menerima semula titipan itu daripadanya. Jadi jika orang yang diundang itu, yakin, bahawa tiada budi dalam menerima undangan itu, maka tiada patut dia menolaknya tanpa keuzuran.

Memberi Jamuan

Ketahuilah, bahawa keutamaan memberi jamuan itu nyata sekali seperti sabda Rasulullah s.a.w

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, akan hendaklah ia memuliakan tamunya.”

Dalam sebuah atsar ada yang berkata: Adalah sia-sia orang yang tiada menghormati tetamu.

Rasulullah s.a.w pernah ditanya: Apa itu Iman? Baginda bersabda: Memberi orang makan dan menyebarkan salam.

Dalam sebuah Hadis lain, baginda bersabda mengenai membayar denda dan memperoleh darjat ketinggian, katanya: Memberi orang makan dan bersembahyang di malam hari sedang orang-orang masih tidur.

Membuat Undangan

Tentang undangan pula, hendaklah orang yang mengundang itu memilih orang-orang yang kukuh taqwanya kepada Allah dan meninggalkan orang-orang yang fasik. Rasulullah s.a.w. bersabda: Berilah makan kepada orang-orang yang berbakti kepada Tuhan. Dalam suatu atsar pula: Jangan makan melainkan dari makanan orang yang berbakti, dan jangan biarkan orang yang memakan makananmu pula, melainkan orang yang berbakti juga.

Jangan sampai mengundang orang-orang yang kaya saja, bahkan hendaklah diundang sama orang-orang fakir dan miskin. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seburuk-buruk makanan, ialah makan walimah yang diundang orang-orang kaya saja dan tinggalkan orang-orang miskin pula”

Bila membuat sesuatu undangan jangan sampai meninggalkan kaum keluarga dan saudara mara, sebab meninggalkan mereka dari diundang akan menjengkelkan dan memutus tali silaturrahim. Begitu pula, hendaklah ia menjaga ketertiban dalam masa mengundang sahabat-sahabat dan kenalan-kenalannya, kerana mengutamakan sebahagiannya akan menjengkelkan yang lain. Hendaklah jangan meniatkan untuk berbangga-bangga atau bermegah-megah diri bila melakukan undangan itu, tetapi haruslah ia berniat untuk merapatkan lagi perhubungan hati antara satu kawan dengan yang lain. Hendaklah ia sematkan perasaan gembiran dalam hati tiap-tiap seorang dari kaum Mu’minin. Hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar baginya untuk menerima undangan itu ataupun orang yang kehadirannya akan mengkocar-kacirkan majlis, dan merosakkan ketenangan tetamu-tetamu yang lain dalam majlis. Akhir sekali, hendaklah jangan mengundang melainkan orang yang ia tahu akan menerima undangannya saja.

Menjawab Undangan

Tentang menjawab atau menerima undangan hukumnya adalah sunnat muakkadah, yakni sunnat yang dituntut oleh agama. Ada pula yang mengatakan, hukumnya wajib dalam beberapa tempat. Menerima undangan itu ada lima adab, sila perhatikan berikut:

1.  Jangan dibedakan antara orang kaya dengan orang miskin bila menerima sesuatu undangan. Jika melakukan yang demikian, itulah yang dikatakan takabbur yang yang dilarang.

2.  Jangan sekali-sekali menolak undangan si miskin kerana kemiskinannya atau kerana kedudukanya yang rendah. Bahkan jauh perjalanan yang biasanya boleh ditanggung, tidak patut dijadikan sebab untuk menolak undangan orang.

3.  Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata kerana ia berpuasa, maka sebaliknya terimalah undangan itu. berbuka itu akan menyebabkan saudaranya merasa gembira, maka hendaklah ia berbuka. Dalam berbuka itu, hendaklah ia berniat untuk menimbulkan perasaan gembira dalam hati saudaranya, maka pahalanya samalah seperti ia berpuasa malah lebih lagi. Ini kalau pada puasa tathawwu’ (sukarela). Kalau puasanya wajib (kerana qadha’ atau sebagainya) dan dia tidak boleh berbuka, maka hendaklah diberikan alasan-alasannya dengan baik.

Telah berkata Ibnul Abbas r.a: Termasuk perkara yang paling utama sekali memuliakan kawan-kawan dengan berbuka puasa, kerana berbuka puasa yang bercampur dengan niat ini adalah seumpama ibadat dan suatu kelakuan yang terpuji. Jadi pahalanya besar sekali melebihi pahala puasa. Sekalipun kiranya orang yang diundang itu tiada berbuka, tetapi undangannya itu tetap dikira baik, kerana ia telah mengumpulkan orang dalam suatu majlis yang diiringi dengan cakap-cakap yang baik.

4.  Hendaklah ia menolak undangan, di mana makanan yang dihidangkan itu dari barang yang ada syubhat ataupun jika dalam majlis undangan itu diadakan berbagai-bagai kemungkaran,(*) ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik, atau suka bermegah dan membesar diri.

5.  Janganlah hendaknya bila menerima undangan itu, dia meniatkan untuk memenuhi syahwat perutnya. Dengan cara itu, dia telah menjadikan memakan makanan undangan itu sebagai urusan keduniaan. Bahkan yang sewajarnya ia memperbaiki niatnya dengan menganggap itu sebagai suatu urusan dari urusan-urusan keakhiratan; iaitu dengan niat menuruti jejak-langkah Rasulullah s.a.w dan memuliakan seorang Mu’min serta menziarahinya, agar ia termasuk golongan hamba-hamba Allah yang kasih-mengasihi kerana Allah Ta’ala. Selain itu, hendaklah dia meniatkan untuk memelihara hati saudaranya, supaya tidak timbul darinya hal-hal yang buruk kiranya dia menolok undangan itu. Ataupun untuk menahan lidah saudaranya dari menuduh perkara yang bukan-bukan, seperti menganggapnya sombong, atau kurang ajar, ataupun kerana hendak menghina seorang Muslim yang lain dan sebagainya.

… bersambung

_________________________

(*)           Imam Ghazali memasukkan dalam kemungkaran membentang hamparan sutera, menggantung gambar-gambar di tembok, mendengar seruling. Pada pendapat saya, perkara mungkar yang dilarang untuk dihadirinya dan yang mesti ingkarinya ialah perkara yang telah disepakati dan dipersetujui oleh para alim-ulama, manakala yang belum ditentukan oleh para fuqaha tentang pengharamannya, maka ia masih belum boleh dikira mungkar dan tidaklah orang yang membuatnya dikira fasik. Mazhab Hanafi telah mengharuskan duduk   di atas hamparan sutera, manakal Mazhab Maliki pula membolehkan menggantung gambar di tembok. Mengenai mendengar seruling, Ibnul Hazm sendiri bersama-sama pengikut Imam-imam yang termasyhur tidak mengatakan larangan. Bahkan telah disusun beberapa buku yang terkenal mengenai hal ini. Bagaimana boleh dikatakan ianya sebahagian dari kemungkaran? Saya berpendapat yang dianggap mungkar itu ialah sesuatu yang telah disepakati oleh orang ramai. Ya, untuk bersikap wara’ dan memelihara diri serta meninggalkan yang meragukan kepada yang tidak meragukan adalah seperkara yang lain yang dimaksudkan untuk menghindari kesyubhatan – Jamaludin al-Qasimi.