Sembahyang itu adalah tiang agama dan tempat berlindung segala keyakinan. Ia juga Penghulu dari segala amal kebaktian dan ketaatan. Semua usul-usulnya (pokok-pokoknya) dan furu’-furu’nya (cabang-cabangnya) telah pun terkumpul di dalam mata pelajaran ilmu fiqh.

Di sini kita hanya menyingkatkan pembicaraan kepada perkara-perkara yang perlu saja bagi para pelajar, iaitu membicarakan amalan-amalan sembahyang dan rahsia-rahsia kebatinan sembahyang semata-mata.

Dalam Bimbingan Mukminin ini, Kitab Rahsia Sembahyang dan Keutamaannya mengandungi bab-bab berikut. (Klik pada tajuk-tajuk untuk bacaan seterusnya):

Allah berfirman:

“Sesungguhnya sembahyang itu merupakan kewajiban yang ditentukan atas kaum Mu’minin.” (an-Nisa : 103)

Rasulullah s.a.w. pula bersabda:

“Sembahyang-sembahyang yang lima dan demikian pula satu Jumaat sampai satu Jumaat yang lain menjadi tebusan dosa antara masing-masing sembahyangnya, selama dijauhi dosa-dosa besar.”

Baginda juga pernah ditanya: Apakah amalan yang paling utama? Baginda menjawab: “Sembahyang pada waktunya.”

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq pula berkata: Apabila sampai waktu sembahyang, maka segeralah mendapatkan api yang kamu nyalakan itu seraya memadamkannya.