Untuk orang yang menyediakan makanan undangan pula, ada lima adabnya:

1.  Menyegerakan hidangan makanan, kerana yang demikian itu dari perkara yang memuliakan tetamu. Apabila telah hadir kebanyakan dari tetamu-tetamu sedang ada juga yang masih belum sampai atau tak datang, seorang dua saja, padahal masa yang ditentukan telah lepas, maka orang-orang yang telah hadir itu lebih berhak untuk disegerakan daripada menunggu orang-orang yang lewat itu. Dalam maksud ini, Allah telah berfirman di dalam al-Quran:

“Sesudah sampaikah kepadamu cerita tetamu Ibrahim yang dimuliakan.” (adz-Dzariat: 24)

Maksudnya mereka itu telah dimuliakan dengan mempercepatkan hidangan kepada mereka. Hal ini telah ditunjukkan pula oleh firmanNya yang lain, iaitu:

“Tidak berapa lama, maka dihidangkan kepada mereka itu dengan daging anak lembu yang dibakar.” (Hud: 69)

Juga dibuktikan dengan firmanNya yang lain lagi:

“Kemudian cepat-cepatlah dia pergi kepada keluarganya, lalu membawa daging anak lembu yang gemuk.” (adz-Dzariat: 26)

Berkata Hatim al-Asham: Tergesa-gesa mengerjakan sesuatu itu dari perbuatan syaitan, melainkan pada lima perkara: Maka ia dari perjalanan Rasulullah s.a.w iaitu: (1) Menyegerakan hidangan kepada tetamu. (2) Menyelenggarakan mayat. (3) Mengahwinkan perawan dan teruna. (4) Membayar hutang dan (5) Bertaubat dari dosa.

2.   Menjaga pentertiban hidangan, bermula dengan buah-buahan terlebih dahulu kalau sudah tersedia, sebab buah-buahan itu lebih cocok jika didahulukan menurut ilmu kedoktoran, kerana ia lekas hancur, dan sesuai sekali diletaknya dibahagian bawah dari perut. Di dalam al-Quran ada peringatan untuk didahulukan buah-buahan; iaitu firman Allah Ta’ala :

Dan buah-buahan menurut yang mereka pilih.”             (al-Waqi’ah: 20)

Kemudian baru Allah mengikutinya dengan firmanNya;

“ Dan daging burung menurut yang mereka inginkan”

Sesudah buah-buahan, dihidangkan pula daging dengan roti. Kalau ditambah pula selepas itu dengan manisan-manisan, maka telah sempurnalah hidangan itu berupa hidangan yang baik. Tetapi yang menentukan hasilnya penghormatan dengan terhidangnya daging, ialah firman Allah Ta’ala pada menceritakan mengenai tetamu Nabi Ibrahim, ketika disediakan untuk tetamu daging anak lembu yang dibakar, sehingga sempurna masaknya, bukan setengah masak. Dalil al-quran ini menunjukkan salah satu makna penghormatan terhadap tetamu. Iaitu dengan menghidangkan makanan yang berupa daging.

Berkata Abu Sulaiman ad-Darani r.a.: Memakan makanan yang baik akan menyebabkankeredhaan Allah Ta’ala dan makanan baik itu akan lebih sempurna bila diminumkan air sejuk. Kemudian tangan pula dibasuh dengan air panas-panas dingin.

Berkata al’Ma’mun: Minum air dengan air batu (es) akan menimbulkan kesyukuran yang khalis (tulen).

Setengah orang berkata pula, makan manisan selepas makan lebih baik dari memakan berbagai-bagai makanan yang lain. Duduk menetap pada satu hidangan lebih baik dari menambah dua jenis hidangan yang lain, dan menghiasi hidangan dengan sayur-sayuran adalah amat diperlukan sekali.

3.  Di antara bermacam-macam makanan yang terhidang itu hendaklah ia memilih yang paling terenak sekali dulu, sehingga para tetamu yang hadir itu dapat memakan sengan sepuas-puasnya, dan tidak mahu makanan yang lain lagi sesudah itu. Tetapi ad setengah-setengh orang yang mewah suka menghidangkan makanan yang ringan-ringan (kurang penting) terlebih dulu, supaya selera orang yang makan akan kembali segar semula apabila dihidangkan pula makanan-makanan yang terenak sesudah itu. Cara begini adalah khilaful-aula (menyalahi cara yang terbaik), kerana yang demikian itu adalah semacam helah untuk makan banyak. Sebaik-baiknya ialah menghidangkan makanan-makanan itu semuanya sekaligus ataupun diberitahu terlebih dulu jenis-jenis makanan yang akan dihidangkan.

4.  Janganlah sampai di angkat makanan-makanan yang di hidangkang itu, selagi orang-orang masih belum selesai memakannya. Tetapi hendaklah ditunggu sehingga semua orang berhenti makan. Barangkali ada setengah-setengah orang lebih suka pada satu-satu jenis makanan dari yang lain, ataupun seleranya masih ada untuk memakan makanan-makanan itu, dan tentulah seleranya akan terencat bila tuan rumah mula berkemas-kemas hendak mengangkat hidangan-hidangn yang selebih itu.

5.  Hendaklah makanan yang dihidangkan itu sekadar mencukupi semua tetamu yang diundang, sebab kurang dari kadar yang mencukupi adalah menunjukkan kurang kesopanan dan kalu lebih pula dikira sebagai hendakl menunjuk-nunjuk atau riya’.

Ibnu Ma’ud r.a telah berkata: Kita telah dilarang untuk menerima undangan orang yang suka bermegah-megah dengan hidangannya. Setengah-setengah para sahabat pula tidak ingin memakan hidangan orang yang suka bermegah-megah dengan hidangannya.

Selanjutnya hendaklah tuan rumah lebih dulu mengenepikan bahagian ahli rumah dari makanan tersebut, supaya mereka tiada ternanti-nanti lebihan yang mungkin dikembalikan oleh tetamu-tetamu kepada mereka. Sebab makanan undangan seringkali kehabisan tidak ada yang tertinggal lagi, maka akan kecewalah ahli rumah kelak, dan mungkin pula terkeluar cacian dari lidah-lidah mereka terhadap tetamu.

Advertisements
Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Keutamaan berdoa

Allah telah berfirman:

“Apabila hamba-hambaKu bertanya engkau tentang ZatKu, maka (katakanlah) Aku amat hampir, sentiasa memperkenankan permohonan orang yang bermohon ketika bermohon kepadaKu. Oleh kerana itu, hendaklah mereka berkenaan memohon kepadaKu.” (al-Baqarah: 186)

Allah berfirman lagi:

“Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan suara perlahan-lahan, sesungguhnya Dia (Allah) tiada suka kepada orang-orang yang melanggar batas.” (al-A’raf : 55)

Allah berfirman lagi:

“Dan Tuhan kamu telah berfirman: Mohonlah kepadaKu niscaya Aku memperkenankan permohonan kamu.” (al-Mu’minun: 60)

Berfirman Allah lagi:

Katakanlah: Berdoalah kamu kepada Allah atau berdoalah kepada ar-Rahman (Tuhan Pengasih) dengan nama yang mana pun kamu berdoa, (kerana) bagi Allah nama-nama yang terbaik.” (al-Isra’: 110)

Nabi s.a.w telah bersabda:

“Doa itu intinya segala ibadat.”

Nabi s.a.w bersabda lagi:

“Memohonkan kepada Allah Ta’ala dari kelebihan-kelebihanNya, sesungguhnya Allah Ta’ala suka jika Dia dimohoni, dan sebaik-baik ibadat itu menantikan kelapangan.”

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Rahsia Keutamaan zikir

Sekiranya ada berkata: Mengapa zikir kepada Allah itu, meskipun amat ringan disebutkan oleh lidah dan amat ringan disebutkan oleh lidah dan amat mudah untuk dilakukan, menjadi lebih utama dan lebih berfaedah dari berbagai-bagai ibadat yang lain yang lebih berat dan sukar melakukannya.

Ketahuilah bahwa untuk mentahkikkan (menerangkan) perkara ini tidak sempurna, melainkan dengan ilmu mukasyafah (ilmu penyingkapan). Tetapi di dalam ilmu mu’amalah tentang tingkatan zikir kepada Allah s.w.t. bahwasanya zikir yang menginggalkan kesan dan yang berfaedah ialah zikir yang dilakukan dengan tetap dan berterusan dengan hati yang hadir.

Adapun bezikir dengan lidah sedangkan hati lalai yang hadir. Adapun berzikir dengan lidah sedangkan hati lalai tidaklah memberikan apa-apa kesan atau faedah, malah ditetapkan bahwasanya kehadiran hati dengan mengingati Allah s.w.t selalu atau pada kebanyakkan waktum ialah lebih dipentingkan dari segala ibadatnya, bahkan dengannya jugalah dapat dijamin terpeliharanya seluruh peribadatan; dan yang dinamakan buah atau hasil dari peribadatan amaliah.

Dan bagi zikir itu ada permulaannya dan ada pula pengakhirannya. Permulaannya menimbulkan kelapangan dalam diri serta kecintaan dan pengakhirannya yakni sesudah dilakukan zikir itu berkali-kali dan menjadi kelazimannya pula, dia tidak akan merasakan ketenangan dan kesenangan diri serta kecintaannya melainkan dengan berzikir. Itulah peringkat yang harus dituntut dalam berzikir.

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Keutamaan tasbih, tahmid dan zikir-zikir lain

Bersabda Rasulullah s.a.w:

“Barangsiapa membaca subhaanallah selepas setiap sembahyang 33 kali, dan membaca Alhamdulillaah 33 kali dan membaca Allahu Akhbar 33 kali, kemudian mencukupkan bilangan 100 dengan Laailaha Illallaahu Wahdahu Laa Syarikalah, Lahul Mulku Walahul hamdu Wahuwa ‘Alaa Kulli syai’in Qadir diampunkan dosa-dosanya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

“Barangsiapa yang membaca: Subhaanallahi Wa Bihamdhi sehari 100 kali akan dileburkan segala kesalahan-kesalahannya.”

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

“Sebaik-baik pertuturan kepada Allah Ta’ala empat: (1) Subhaanallah, (2) Alhamdulilaah, (3) Laa Ilaha Illallaah, (4) Allaahu Akbar. Tidak ada halangannya untuk memmulakan yang mana satu dari empat itu terlebih dulu.”

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Dua kalimah yang ringan disebutkan oleh lidah, tetapi amat berat dalam timbangan, juga amat dicintai oleh yang Maha Pengasih iaitu: (1) Subhaanallaahi Wa Bihamdihi (2) subhaanallahi ‘Azhiim.”

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Keutamaan bertahlil.

Bersabda Rasulullah s.a.w.

“Seutama-utama ucapan yang saya katakan, begitu juga para Nabi yang sebelumku ialah: Laa Ilaha Illallahu Wahdahuu Laa Sayariikalah (Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya),”

Bersabda Nabi s.a.w lagi:

“Barangsiapa mengucapkan: Laa Ilahaa Illallahu Wahdahuu Laa Syarikalah, Lahul Mulku Walahul Hamdu Wahuwa ‘Alaa Kullu Syai’in Qadir (Tiada Tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya kepunyaanNya segala kerajaan dan bagiNya segala kepujian dan dia Berkuasa atas segala sesuatu) setiap kali 100 kali Pahalanya sama seperti pahala memerdekakan 10 hamba sahaya, dan dicatitkan baginya 100 hasanah (keabaikan) dan dipadamkan daripadanya 100 saiyi’ah (keburukan).”

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Keutamaan majlis zikir

Berkata Rasulullah s.a.w.

“Tiada sesuatu kaum pun yang duduk di dalam satu majlis sedang mereka berzikir kepada Allah azzawajalla, melainkan para Malaikat berkerumun di sisi mereka dan rahmat akan mencucuri mereka, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka kepada sesiapa yang ada di sisinya.”

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Keutamaan zikir

Di antara ayat-ayat al-Quran, firman Allah Ta’ala

Maka berzikirlah (ingatlah) kepadaKu, niscaya Aku akan mengingati kamu sekalian…..” (al-Baqarah: 152)

“Berzikirlah (ingatlah) kepada Allah dengan zikir yang banyak.” (al-Ahzab: 41)

Mereka yang berzikir kepada Allah dalam keadaan berdiri duduk dan sedang berbaring.” (al-Imran: 191)

“Dan apabila kamu telah selesai menunaikan sembahyang maka berzikirlah kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan sedang berbaring.” (an-Nisa’: 103)

Berkata Ibnu Abbas: Maksud ayat di atas, hendaklah seseorang itu berzikir kepada Allah pada malam hari dan siangnya, di daratan dan di lautan ketika dalam pelayaran dan di dalam  keadaan kaya dan miskin, sakit dan sihat, sama ada dengan suara rendah (dalam hati) mahupun dengan suara keras yang didengar oleh ramai.

Allah berfirman:

Berzikirlah pada Tuhanmu dalam dirimu (hatimu) dengan penuh perasaan rendah hati dan  takut dan bukan dengan suara keras di waktu pagi dan petang dan janganlah engkau sampai dikira orang-orang yang lalai.” (al-A’raf: 205)

Allah berfirman lagi pada mencela orang-orang munafikin:

“Mereka itu tiada mengingati Allah melainkan sedikit sakali.” (an-Nisa: 142)

Di antara Hadis-hadis yang membicarakan hal-hal ini ialah:

“Berfirman Allah azzawajalla: Aku sentiasa bersama hambaKu selagi ia mengingatiKu, dan selagi kedua belah bibirnya bergerak-gerak (kerana berzikir kepadaKu).”

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Barangsiapa yang ingin bersenang-senang di dalam taman-taman syurga maka hendaklah ia memperbanyakkan zikir Allah azzawajalla.”

Apabila Rasulullah s.a.w ditanya: Mana satu amalan yang paling utama sekali, baginda lalu menjawab:

“Iaitu apabila engkau menghadap maut sedangkan lidahmu lembut berzikir kepada Allah azzawajalla.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

“Telah berfirman Allah Tabaraka Ta’ala. Andaikata hambaKu mengingatiKU dalam dirinya, niscaya Aku akan mengingatinya di dalam diriKu. Andaikata dia mengingatiKu di hadapan orang ramai, niscaya Aku akan mengingatinya di hadapan orang ramai yang lebih baik dari kumpulannya. Andaikata dia mendekatiKu sejengkal, niscaya Aku akan mendekatinya sehasta.”

Dari kata-kata atsar pula, berkata al-Hasan: Zikir itu ada dua macamnya: Berzikir kepada Allah azzawajalla di antara dirimu dan antara Allah azzawajalla. Alangkah baiknya ini dan besar pula pahalanya. Dan lebih utama dari itu ialah berzikir kepada Allah s.w.t pada ketika Allah mengharamkan sesuatu kepadanya.