Setengah orang telah berkata: cara memakan itu ada tiga macamnya:

  1. Makan bersama-sama para fakir-miskin, sebaik-baiknyaa kita beralah dan melebihkan mereka.
  2. Makan bersama-sama rakan-teman yang sedarjat, sebaik-baiknya dengan cara sederhana dan dengan cara biasa.
  3. Makan bersama-sama orang berpangkat, sebaik-baiknya menjaga adab dan sopan santun.

Seterusnya adab tuan rumah terhadap tetamu yang datang menziarahinya hendaklah ia menunjukkan perasaan suka dan gembira dan cuba memintanya membuat cadangan tentang hidangan mengikut seleranya. Manakala tuan rumah cuba memenuhi kehendak tetamu sekadar yang boleh. Melakukan yang demikian itu adalah paling baik pahalanya besar pula.

Akhir sekali jangan pula tuan rumah sampai bertanya: Sukakah tuan kalau saya hidangkan makanan? Sebaik-baiknya ia menghidangkan apa saja yang ada dan sudah tersedia, biarlah tetamu itu sendiri yang menentukan; kalau suka ia makan, dan kalau tak makan diangkat saja makanan itu semula.

Menjamu makanan kepada tetamu-tetamu adalah seperkara yang baik dan mempunyai banyak kelebihan. Berkata al-Hasan: Setiap nafkah yang dibelanjakan oleh seseorang akan diperkirakan di kemudian hari melainkan nafkah yang dibelanjakan kepada teman dan rakan yang berupa makanan yang dihidangkan kepada mereka, maka Allah Ta’ala lebih mulia daripada mahu bertanya mengenainya.

Berkata Ali r.a: Jika aku dapat mengumpulkan rakan-rakanku atau satu sha’ dari makanan, lebih utama lagi bagiku daripada aku memerdekakan seorang hamba sahaya.

Berkata Ibnul Umar r.a: Antara tanda kemuliaan seseorang ialah makanannya ketika dalam pelayaran dan tidak lokek memberikannya kepada rakan-rakannya. Para sahabat dahulu kala sering berkumpul untuk majlis bacaan al-Quran al-Karim, dan mereka tidak akan berpisah melainkan sesudah menjamah sedikit jamuan, walaupun ringan.

Ataupun adab-adabnya: satu bahagian mengenai tetamu itu sendiri dan bahagian yang lain mengenai bagaimana menghidangkan makanan kepada tetamu.

Adapun adab untuk menjadi tetamu kepada seseorang maka bukanlah suatu perkara sunnat mendatangi seseorang pada waktu makan, agar ia dapat diterima menjadi tetamu pula, kerana mendatangi seseorang di waktu makan akan memeranjatkannya. Itu adalah di larang, sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam al-Quran al-Karim:

“Janganlah kamu mendatangi rumah-rumah Nabi, melainkan sesudah diizinkan untuk makan tanpa menanti-nanti makanan itu masak”  (al-Ahzab: 53)

Maksudnya menunggu-nunggu waktu makan atau menanti sampai makanan masak supaya mereka dapat makan bersama-sama.

Tetapi jika orang itu memang terlalu lapar, sengaja dia mendatangi rumah setengah-setengah kawan untuk mendapat sedikit makanan, tetapi tidak pula menunggu sampai tiba waktu makan, maka hal serupa itu tidaklah menjadi salah. Malah harus sebab ada semacam pertolongan kepada seorang saudara untuk mendapat pahala memberi makanan. Demikianlah caranya para salaf selalu melakukan. Sekiranya dia sampai di rumah kawan tadi sedang kawannya tiada di rumah; jika dia yakin keikhlasan hati kawan itu dan mengetahui  bahwa kawan itu akan merasa gembira kalau dia memakan dari makanannya, maka bolehlah dia memakan tanpa izinnya. Maksud keizinan di sini ialah keredhaan kawan tadi, terutama sekali pada makanan-makanan, dan perkara ini bergantung pula pada kelapangan hatinya. Sebab banyak orang menegaskan keizinan dan kadang-kadang bersumpah, sedangakn hatinya tidak redha. Maka memakan makanan orang seperti ini makruh hukumnya. Ada yang lain pula tidak hadir di rumah tetapi memakan dari makanannya dibolehkan dan tidak makruh, kerana hati tuannya ikhlas dan redha.

Allah telah berfirman:

“Atau di rumah kawan kamu (yakni memakan di rumahnya).”  (an-Nur: 61)

Berkata al-Hasan: Yang dikatakan kawan di sini, ialah orang yang jiwa anda merasa senang kepadanya dan kalbu anda merasa tenang kepadanya.

Muhammad bin Wasi’ dan sahabat-sahabatnya sering berkunjung ke rumah al-Hasan, kemudian makan-minum apa yang ada dalam rumah itu tanpa keizinan al-Hasan. Apabila al-Hasan pulang, beliau terserempak dengan mereka. Beliau merasa gembira seraya berkata: Ya beginilah sepatutnya kita semua.

Diceritakan lagi, ada beberapa orang telah berkunjung ke rumah Sufyan as-Tsauri, tetapi dia tiada di rumah ketika itu. Mereka pun masuk ke dalam rumah, lalu menyediakan makanan-makanan yang ada dan mereka pun makan-minum. Tidak lama kemudian, Sufyan pun kembali dan berkata: Kamu sekalian telah mengingatkan aku kelakuan para salaf, beginilah mereka itu semua.

Adapun adab menghidangakan makanan kepada tetamu ialah: Tiada memaksa diri untuk menghidangkan apa yang tersedia saja.

Al-Fudhail berkata: Sebabnya orang berputus hubungan antara satu dengan yang lain, ialah bila mengundang saudaranya dia menghidangkan makanan secara memaksa diri, oleh itu saudaranya tidak suka datang lagi selepas undangan itu. Di antara cara memaksa diri ialah dengan menghidangkan semua makanan yang ada di rumah, sehingga ahli rumahtangganya tidak dapat merasa lagi. Cara begini tentulah menghampakan hati ahli rumahtangga yang menyediakan makanan itu.

Setengah orang berkata: Kami pergi kerumah Jabir r.a lalu dihidangkan kami roti dan cuka (acaran). Berkata Jabir: Kalaulah tidak kerana aku dilarang dari memberatkan diri dalam jamuan, tentulah aku akan hidangkan bermacam-macam makanan kepada kamu.

Adab yang lain ialah bagi si tetamu, hendaklah jangan ia mencadangkan atau memaksa sesuatu barang yang tertentu untuk menjadi santapannya, seringkali sikap serupa itu, selain memberatkan akan memarahkan pula hati orang yang menerimanya sebagai tetamu. Kiranya ia telah ditawarkan oleh tuan rumah antara dua makanan, maka hendaklah ia memilih yang lebih senang untuk disediakan. Kecuali jika tetamu itu mengetahui barang yang akan dicadangkannya itu, tidak sukar bagi tuan rumah untuk disediakan maka tiadalah makruh lagi baginya untuk mencadangkan barang itu.

Adab makan bersama

Bila makan bersama-sama orang ramai, haruslah diperhatikan perkara-perkara yang berikut; iaitu sebanyak tujuh perkara:

1.       Jangan mulakan makan dulu bila ada hadir bersamanya orang yang mesti didahulukan, seperti orang tua atau orang  yang lebih utama daripadanya. Tetapi jika mengambil makanan itu mengikut giliran dan sudah sampai pula gilirannya untuk mengambil, maka ketika itu janganlah ia melambat-lambatkan sehingga orang lain terpaksa menunggu lama, padahal mereka itu telah berkumpul untuk makan bersama-sama.

2.       Janganlah sampai semua orang berdiam diri di waktu makan, tetapi sebaik-baiknya hendaklah berbual-bual tentang perkara-perkara yang baik.

3.       Janganlah makan dengan tamak, bahkan hendaklah mengingat kawan-kawan yang makan bersama-sama dalam satu hidang. Janganlah makan lebih dari kadar yang ditetapkan baginya kerana makan lebih dar kadar itu, hukumnya haram jika tidak mendapat keredhaan kawan yang memakan bersama-sama dalam satu hidangan. Sebaik-baiknya ia melebihkan makanan itu pada kawan-kawannya. Jangan pula memakan dua butir kurma sekaligus, melainkan jika semua orang yang makan sedikit, hendaklah ia menggalakkannya supaya menambah lagi dan menimbulkan seleranya untuk makan. Jika kawan itu menolak, bolehlah dipujuk hingga tiga kali, tidak lebih dari itu, kerana sesudah itu, tentulah ia akan merasa bosan dan menganggap itu sebagai memaksanya.

Adapun bersumpah untuk memakan lagi adalah di larang. Berkata al-hasan bin Ali r.a: Makanan itu lebih ringan daripada seorang yang bersumpah untuk memjuk kawannya supaya makan lagi (Maksudnya jika tak dihabiskan pun tak mengapa, tetapi jangan bersumpah untuk menyuruh orang lain memakannya — pent).

4.       Janganlah terlalu menggesa kawan untuk memakan, sehingga ketara seolah-olah ia amat memerlukan makanan itu. Jangan pula memerhatikan kelakuannya ketika sedang makan: banyakkah, sedikitkah, bahkan hendaklah ia bersikap seperti seorang yang menanggung makan kawannya. Jangan pula meninggalkan lebihan makanan di tempat makannya, sedangkan selera untuk memakannya masih ada, kerana takut orang mengatakan gelojoh, sebab yang demikian itu adalah semacam kepura-puraan. Tetapi hendaklah ia makan seperti biasa, yakni seperti ia makan seorang diri di rumah. Sebaik-baiknya melatihkan diri bersopan-santun ketika makan bersendirian di rumah, supaya nanti tidak teragak-agak lagi untuk bersikap sama bila makan dengan orang ramai. Ya kalau boleh sewaktu makan beramai-ramai itu, dikurangi sedikit dari kadar makananan biasa untuk melebihkan kawang-kawannya, apatah lagi kalau, ia mengetahui bahwa mereka itu amat memerlukan makanan itu, maka sikap yang demikian adalah paling utama sekali. Begitu juga ia makan lebih dengan niat menggalakkan kawan-kawannya memakan lebih dan menaikkan semangat mereka untuk menambah lagi, maka itu adalah lebih baik pula.

5.       Tidak mengapa membasuh tangan di dalam bekas makanan itu (jika bekas itu telah bersih dari makanan — pent)

Berkata Anas: Andaikata saudaramu mengundangmu untuk makan, hendaklah engakau menerima kehormatan itu dan janganlah menolaknya. Diriwayatkan, pernah Khalifah Harun ar-Rasyid mengundang makan Abu Mu’awiyah yang buta matanya. Apabila selesai makan, Khalifah pun membasuh tangan Abu Mu’awiyah menjawab: Tidak! Khalifah berkata lagi: Yang membasuh tanganmu ialah Amirul Mu’minin (yakni dirinya sendiri). Berkata Abu Mua’awiyah: Wahai Amirul Mu’minin! Sebenarnya tuan hamba telah memuliakan ilmu pengetahuan dan meletakkanya di tempat yang tinggi, maka Allah akan meninggikan kedudukan tuan hamba dan memuliakan tuan hamba, sebagaimana tuan hamba memuliakan ilmu dan ahlinya.

Oleh itu sayugialah tuan rumah sendiri yang patut menuangkan air untuk membasuh tangan tetamu-tetamunya. Demikianlah yang dilakukan oleh Imam-imam besar Malik dan Syafi’I radhiallahuanhuma pada hari tetamu itu mula tinggal bersamanya. Mereka berkata: Janganlah engkau terperanjat pada apa yang engkau lihat daripadaku ini, sebab memberi khidmat kepada tetamu adalah suatu kewajiban.

6.       Janganlah tuan rumah memerhatikan kelakuan tetamu-tetamunya ketika sedang makan, jangan mengawasinya, kelak dikhuatirinya mereka akan merasa malu, Sebaiknya bersikap pura-pura tidak nampak dan menumpukan segala perhatian pada dirinya sendiri lebih-lebih lagi jika mereka sedang sedap makan. Janganlah pula berhenti dulu tetapi hendaklah menyuap terus sedikit demi sedikit, sehingga tetamu-tetamu itu merasa puas dengan makanan yang dihidangkan. Andaikata kerana sesuatu sebab, ia tidak dapat meneruskan makan-makanan itu, maka hendaklah ia meminta izin berhenti terlebih dulu, supaya mereka tidak merasa malu dengan kelakuan mereka itu.

7.       Jangan melakukan sesuatu yang boleh menjijikkan orang lain, ataupun mencelupkan tangan ke dalam bekas makanan itu. Jangan terlampau menundukkan kepala ke bekas makanan, tatkala mahu menyuap makanan itu. Jika mahu mengeluarkan sesuatu dari mulut, hendaklah memalingkan muka dari bekas makanan itu, kemudian diambil dengan tangan kiri. Jangan dicelupkan suapan yang berlemak ke dalam cuka (atau sebagainya) kerana cara begitu mungkin tidak diingini oleh orang lain. Demikian pula dengan lebihan makanan yang telah digigit, jangan dicelupkan ke dalam lauk-pauk atau cuka. Jangan pula menyebut-nyebut hal-hal yang boleh menjijikan atau memuakkan ketika sedang makan.