Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Pembahagian Waktu Malam

Menghidupkan malam, yakni memenuhkan waktu-waktunya dengan amalan-amalan ibadat ada tujuh peringkatnya:

(1) Menghidupkan sepanjang waktu malam. Yang dapat memenuhinya ialah orang-orang yang kuat keazamannya yang benar-benar telah menetapkan dirinya untuk beribadat kepada Allah azzawajalla. Kerjanya itu menjadi semacam makanan bagi jiwa dan kehidupan bagi hati. Sebab itu mereka tidak merasa letih atau lelah untuk beribadat di sepanjang malam, manakala tidurnya ditukarkan pada waktu siang pula. Dikatakan ada sebanyak 40 tabi’in terkenal dengan amalannya dalam cara ini.

(2) Bangun untuk beribadat separuh dari malam.

(3) Bangun untuk beribadat dalam sepertiga masa dari separuh malam yang terakhir.

(4) Bangun untuk beribadat dalam seperenam malam yang terakhir atau seperlimanya.

(5) Tidak menurut cara-cara yang telah lalu, dia tidur kemudian bangun malam pada masa-masa yang tidak tetap waktunya.

(6) Bangun malam setakat cukup untuk melakukan sembahyang empat rakaat ataupun dua rakaat saja.

(7) Kiranya memang sukar baginya untuk bangun malam, maka hendaklah jangan sampai terlalai terus, sehingga masuk waktu subuh, ia masih di atas tempat tidur juga. Tetapi sekurang-kurangnya, hendaklah ia bangun ketika masuk waktu subuh atau waktu orang bersahur.

Adapun bangun di waktu malam yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. maka caranya tidaklah tetap dalam tertib yang sama, tetapi ada kalanya baginda separuh malam dan adakalanya sepertiga malam dan ada kala dua pertiga malam dan ada juga seperenam malam saja, dan hal itu berbeda antara satu sama yang lain. Perkata ini dipandukan kepada ayat al-Quran dalam dua tempat, iaitu:

“Sesungguhnya Tuhanmu Mengetahui bahawa engkau bangun (mengerjakan sembahyang) kurang dari dua pertiga malam, ada pula separuhnya dan sepertiganya.” (al-Muzammil: 20)

Perkataan kurang dari dua pertiga malam dalam ayat di atas itu, seolah-olah maksudnya ialah: Separuhnya dan separuh dari seperenamnya. Jika kalimat wanisghfahuu watsulutsihii, maka maksudnya ialah: Separuh dari dua pertiga dan sepertiga dari dua pertiga, jadi hampir mendekati sepertiga dan seperempat. Jika kalimat di atas itu diberikan baris fathah (atas) maka maksudnya ialah: Separuh malam dan sepertiganya.

Berkata Siti Aisyah r.a.:

Rasulullah s.a.w. bangun dari tidur apabila baginda mendengar kokokan ayam, dan ini maknanya seperenam malam atau kurang sedikit daripadanya.

Kitab Kitab Zikir Dan Doa Bab: Sebab yang memudahkan beribadat di tengah malam

Di antara sebab-sebab yang boleh menggalakkan seseorang untuk beribadat di tengah malam ialah:

(1) Jangan mengenyangkan sangat perutnya, sehingga ia tidak banyak minum pula. Kerana yang demikian itu akan menyebabkan ia terlalu mengantuk dan akan menjadi beratlah baginya untuk bangun beribadat di tengah malam.

(2) Hendaklah ia melazimkan tidur sebentar di siang hari, kerana yang demikian itu dapat menolong ia bangun di tengah malam.

(3) Hendaklah ia memahamkan dirinya tentang keutamaan beribadat di tengah malam dengan mempelajari ayat-ayat al-Quran dan Hadis-hadi yang menerangkan peri keutamaannya, sehingga keazaman menjadi kuat dan kecenderungan untuk mendapatkan pahalanya tersemat di dalam hati. Di waktu itu tentulah keinginan bangun di tengah malam akan berlonjak-lonjak untuk menuntut kelebihan pahala dan untuk mencapai tingkatan-tingkatan syurga yang tinggi.

(4) Beribadat di tengah malam itu adalah suatu pertanda yang mulia, kerana ia menunjukkan kecintaan hati terhadap Allah dan membuktikan betapa kukuh keimanannya. Sebab kerjanya di waktu malam itu tiada lain melainkan semata-mata kerana bermunajat kepada Tuhan, sedangkan Allah menyaksikan segala gerak-lakunya dan menyingkap segala isi hatinya. Dan ketahuilah, bahwa segala gerak-laku hati di waktu itu adalah datangnya dari Allah Ta’ala, seolah-olah Allah sedang berkata-kata dengannya. Andaikata ia tergolong orang yang dikasihi Allah Ta’ala, tentulah dia akan berminat untuk berkhalwat ditengah malam dengan Tuhannya, dan ia akan merasa amal lazat bermunajat, manakala kelazatan bermunajat itu akan menyebabkan ia semakin cenderung dan kuat untuk bangun beribadat di tengah malam.