Bersambung dari: Kewajipan Suami – Perceraian dengan talaq
Seorang suami yang ingin mentalaqkan isterinya, hendaklah memerhatikan empat perkara berikut, iaitu:
1. Hendaklah ia mentalaqkan isterinya dalam keadaan suci dari haidh yang belum ia bersatu dengannya. Sebab talaq dalam waktu haidh ataupun dalam masa suci yang ia telah bersatu dengannya adalah seperkara bid’ah yang haram, sekalipun memang ia sengaja melakukan perbuatan itu menjadikan masa iddahnya lebih panjang.
Sekiranya ia telah melakukan itu, maka hendaklah ia merujuk isterinya semula. Kemudian ia tunggu pula hingga ia suci sekali lagi, kemudian haidh, kemudian suci lagi, dan pada masa itu terserahlah kepadanya, kalau mahu ditalaqkannya ataupun dibiarkan saja dalam aqadnya.
2. Hendaklah ia menjatuhkan talaq satu, kerana dengan talaq satu pun sudah terhasil maksudnya. Kemudian faedah dari talaq satu, suami boleh rujuk semula sewaktu dalam iddah, jika ia merasa kesal dengan keputusannya yang mula-mula.
Jika ia menjatuhkan talaq tiga sekaligus, barangkali ia akan menyesal, maka ketika itu ia tidak boleh kembali lagi kepada isterinya melainkan dengan jalan muhallil; iaitu isterinya dinikahi oleh orang lain lebih dulu sekadar pelepasan nafsunya, kemudian diceraikan dan barulah boleh berkahwin semula dengannya.
Aqad nikah muhallil ini ditegah dan dalam hal ini dialah yang menjadi penyebab aqad muhallil itu.
3. Hendaklah ketika menyebutkan talaq itu dengan suara lemah-lembut dan menerangkan sebab mengapa ia terpaksa mentalaqnya tanpa kekerasan.
Dalam pada itu hendaklah ia menyabarkan dan menggembirakan hati isteri yang ditalaqnya itu dengan sesuatu hadiah, sebagai penutup sakit hatinya dikeranakan berita talaq yang disampaikan kepadanya.
Allah telah berfirman:
“Dan berikanlah (isteri-isteri yang diceraikan itu) pemberian,” (al-Baqarah: 236)
Al-Hasan bin Ali r.a. pernah menyampaikan perkara talaq dua orang isterinya kepada para sahabatnya dengan meminta mereka menyebutkan tentang talaq itu kepada dua isteri tersebut. Kemudian beliau telah membayar kepada setiap isteri sepuluh ribu dirham.
4. Janganlah sampai suami membocorkan rahsia isteri, sama ada sewaktu talaq ataupun sewaktu menikah, sebab ada tegahan keras yang melarang membocorkan rahsia kaum wanita dengan ancaman yang paling berat.