Sembahyang itu adalah tiang agama dan tempat berlindung segala keyakinan. Ia juga Penghulu dari segala amal kebaktian dan ketaatan. Semua usul-usulnya (pokok-pokoknya) dan furu’-furu’nya (cabang-cabangnya) telah pun terkumpul di dalam mata pelajaran ilmu fiqh.

Di sini kita hanya menyingkatkan pembicaraan kepada perkara-perkara yang perlu saja bagi para pelajar, iaitu membicarakan amalan-amalan sembahyang dan rahsia-rahsia kebatinan sembahyang semata-mata.

Dalam Bimbingan Mukminin ini, Kitab Rahsia Sembahyang dan Keutamaannya mengandungi bab-bab berikut. (Klik pada tajuk-tajuk untuk bacaan seterusnya):

Advertisements

bersambung dari: Sujud

Selesai dua rakaat dari sembahyangnya, dia pun melakukan tasyahhud pertama di mana dia membacakan salawat ke atas Rasulullah s.a.w. dan ke atas keluarganya. Dalam bertasyahhud itu, kedua belah tangannya diletakkan di atas kedua lututnya, sedang semua jari-jari tangan kanannya digenggamkan melainkan jari telunjuk yang harus ditunjukkan ke hadapan ketika sampai membaca illallah.

Dalam bertasyahhud awal ini hendaklah dia duduk di atas kakinya yang kiri, seperti cara duduknya antara dua sujud.

Kemudian dalam tasyahhud akhir pula, hendaklah dia membaca kesemua doa-doa yang dituntun dari Rasulullah s.a.w., iaitu sesudah selesai membaca salawat ke atas Rasulullah s.a.w. dan keluarganya.

Di waktu tasyahhud ini pula, hendaklah dia mendudukkan punggung kirinya sebab sesudah ini tidak perlu bangkit lagi, malah dia tetap duduk saja sehingga selesai sembahyangnya. Selain itu, hendaklah dia meletakkan kaki kanannya di atas kaki kiri, manakala hujung kaki kirinya dikeluarkan sedikit dari bawah kaki kanannya itu.

Setelah selesai semua bacaan dalam tasyahhud ini, dia pun bersalam:

Selamat sejahtera atas kamu serta rahmat Allah.”

Seraya bersalam, dia berpaling ke arah kanan sekira-kira dapat dilihat pipi kanannya, (oleh orang yang di belakangnya), kemudian dia bersalam pula ke arah kiri dengan membuat sama seperti yang pertama tadi, dan ketika bersalam itu hendaklah dia berniat memberikan salamnya kepada sesiapa yang berada dari para Malaikat dan kaum Muslimin, sama ada pada salam yang pertama begitu juga pada salam yang kedua. Janganlah mengeraskan suaranya, ketika mengucapkan salam itu melainkan sekadar mendengarkan dirinya saja.

bersambung dari: Ruku’ dan ekoran-ekorannya

Selesai yang di atas, hendaklah ia melakukan sujud dengan membaca takbir lagi; iaitu menunduk ke bawah dengan meletakkan kedua lututnya di atas tanah, kemudian dahinya dan kedua tapak tangannya secara tidak tertutup pula. Dan janganlah ia mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir, kecuali pada melakukan ruku’ saja.

Bagi kaum lelaki, kedua sikunya hendaklah direnggangkan dari kedua rusuknya, tetapi bagi kaum wanita, hendaklah dirapatkan (seperti dalam ruku’ tadi). Begitu pula pada kedua kakinya, hendaklah direnggangkan juga, tetapi kaum wanita tiada merenggangkannya; perutnya pula diangkatkan dari kedua pahanya manakala kaum wanita merapatkannya.

Seterusnya bagi orang yang bersujud itu, hendaklah ia meletakkan kedua tangannya di atas tanah setentang dengan kedua bahunya, dan janganlah ia merenggangkan antara jari-jarinya malah dirapatkannya, dan kedua lengannya jangan sampai didudukkan di atas tanah, dan hendaklah ia membaca:

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi.”

Ini dibaca tiga kali. Kalau dilebihkan pula baik kecuali jika ia menjadi imam. Kemudian ia bangkit dari sujud, lalu duduk sebentar dengan bertentang, iaitu sama sebagaimana melakukan i’tidal.

Sesudah sujud tadi, hendaklah mengucapkan takbir lagi seraya mengangkat kepala terus duduk atas kaki kirinya, sambil tumit kanannya didirikan. Kedua tangannya diletakkan di atas kedua pahanya dan jari-jarinya diluruskan; dibuat semua ini secara biasa saja, jangan dipaksa menguncupkan atau merenggangkannya, seraya berkata:

“Ya Tuhanku, ampunilah aku, kasihanilah aku, berikanlah aku rezeki, berikanlah aku petunjuk, cukupkanlah keperluanku, sihatkanlah aku dan maafkanlah kesalahanku.”

Kemudian dia membuat pula sujud kedua semacam itu. Sesudah itu dia meneruskan sembahyangnya dengan rakaat-rakaat berikutnya, seperti yang pertama memulakan dengan ta’awwuz.

bersambung dari: Pembacaan dalam sembahyang

Sesudah itu, dia pun ruku’, dan hendaklah dia membuat beberapa perkara ketika melakukan ruku’ itu; iaitu mula-mula mengucap takbir untuk ruku’; mengangkat kedua belah tangannya ketika mengucapkan takbir tadi, takbirnya dipanjangkan sedikit sehingga sempurna ruku’nya.

Kedua belah tapak tangannya pula diletakkan ke atas kedua lutut, sedang seluruh jari-jarinya diluruskan berhadapan ke hala kiblat, menjulur di sepanjang betis, manakala kedua lututnya berdiri tegak tidak membengkok. Belakangnya pula diratakan jangan sampai kepalanya lebih rendah atau lebih tinggi dari belakangnya. Kedua sikunya direnggangkan dari kedua rusuknya. Kaum wanita hendaklah merapatkan kedua sikunya kepada kedua rusuknya.

Di waktu ruku’ itu, hendaklah membaca:

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung.”

Ini dibaca tiga kali, dan kalau hendak ditambah kepada tujuh atau sepuluh kali pun baik juga, tetapi jika bukan menjadi imam.

Kemudian dia bangkit dari ruku’ untuk berdiri semula serta mengangkat kedua tangannya dengan berkata:

“Allah telah mendengar orang yang memujiNya.”

Tegak berdiri semula pada i’tidal dan bertenang sebentar, kemudian membaca:

“Ya Tuhanku, bagiMu segala kepujian sepenuh langit dan sepenuh bumi dan sepenuh antara keduanya dan sepenuh semua kemahuanMu dari sesuatu benda sesudah itu.”

Dalam sembahyang subuh, hendaklah dia membaca doa qunut pada waktu i’tidal dalam rakaat keduanya; iaitu dari doa-doa yang dituntun dari Nabi s.a.w.

bersambung dari: Perbuatan-perbuatan dalam sembahyang

Selanjutnya dia memulakan membaca doa iftitah sebaik-baik saja selesai bertakbir dengan membaca:

“Allah Maha Besar sebesar-besarnya, dan segala kepujian bagi Allah sebanyak-banyaknya, dan Maha Suci Allah di waktu pagi dan petang.”

Ataupun boleh dibaca doa ini:

“Aku menghadapkan mukaku kepada yang menjadikan langit dan bumi dalam keadaan cenderung dan terserah dan tiadalah aku dari golongan orang-orang musyrikin. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku kerana Allah, Tuhan seru sekalian alam, tiada sekutu bagiNya, dan demikian itulah aku diperintahkan dan aku termasuk golongan kaum Muslimin.”

Ataupun boleh membaca doa ini juga:

“Maha Suci Engkau wahai Tuhanku dengan kepujian bagiMu dan Maha Berkat NamaMu, Maha Luhur keputusanMu, Maha Tinggi pujian-pujianMu dan tiada Tuhan selain dariMu.”

Kemudian membaca pula (isti’azah’ ):

“Aku memohon perlindungan kepada Allah daripada  godaan syaitan yang terkutuk.”

Seterusnya, hendaklah dia membaca al-Fatihah, setelah selesai, ucapkanlah pula Amiin yang bererti: kabulkanlah! Tetapi jangan pula dia menyambungkan (mewashalkan) kalimat Amiin itu dengan kalimah Waladh-dhalliin.

Al-Fatihah dan surah itu hendaklah dibaca dengan jahar; iaitu dengan suara yang nyaring pada sembahyang-sembahyang subuh, maghrib dan isya’, kecuali jika dia menjadi ma’mum dalam sembahyang berjemaah. Bacaan Amiin juga hendaklah dibaca dengan jahar.

Sesudah itu, dia membaca satu surah ataupun sekadar tiga ayat atau lebih dari al-Quran. Jangan pula dia menyambung bacaan surah dengan takbir ruku’, tetapi hendaklah dia memisahkan antara keduanya sekadar bacaan Subhanallah.

Pada sembahyang subuh, sebaik-baiknya dia membaca surah yang panjang dari surah-surah al-Mufashshal.(*) Pada sembahyang maghrib pula dia membaca surah-surah yang pendek. Manakala pada sembahyang-sembahyang zohor, asar dan isya’, dia membaca surah-surah yang sederhana pula. Pada sembahyang subuh, bila dalam pelayaran dibaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas, termasuklah juga pada sembahyang-sembahyang sunnat dua rakaat fajar (sebelum subuh), dua rakaat tawaf dan dua rakaat tahiyat masjid.

(*) – Surah-surah al-Mufashshal seperti yang ditentukan oleh para ulama dari surah al-Hujurat hingga ke akhir juz 29 dari al-Quran (akhir surah Tabarak sebelum ‘Amma). Surah-surah yang sederhana dari awal juz 30 (‘Amma) hingga ke surah Wadhdhuha. Manakala surah-surah yang pendek pula ialah dari surah Wadhdhuha hingga akhir juz 30; iaitu surah an-Nas.

Apabila seseorang yang hendak sembahyang itu selesai dari berwudhu’, mensucikan diri daripada semua najis-najis dan kotoran yang berada di badan, tempat dan pakaian, demikian pula sudah bersedia menutup aurat dari pusat ke lutut, hendaklah ia berdiri tegak, menghadapkan mukanya ke arah kiblat.

Sebaiknya ia bersembahyang dekat dengan dinding tembok, kerana yang demikian itu memendekkan jarak pemandangan. Hendaklah ia mencegah fikiran dari bercabang-cabang kepada yang lain, manakala penglihatannya hanya bertumpu kepada tempat sujud belaka. Hendaklah berdirinya itu tetap serupa ini, sehingga sampai waktu melakukan ruku’ tanpa menoleh ke mana pun jua.

Kemudian, barulah ia meniatkan menunaikan sembahyang dalam hatinya, sambil mengangkat kedua tangannya setentang dengan dua bahunya. Kedua tapak tangannya diarahkan ke arah kiblat; semua jari-jarinya dibukakan tidak digenggamkan, tidak dipaksakan sehingga menjadi terlampau renggang atau terlampau kuncup, tetapi dibiarkan sekadar kebiasaannya saja, dan dia pun bertakbirlah.

Sebaik-baik selesai bertakbir, dia pun meletakkan kedua tangannya ke atas dada dengan tangan kanan diletakkan ke atas tangan kiri, dan janganlah dia mengerakkan kedua tangannya secara kasar dalam bertakbir itu, melainkan dibiarkannya naik dan turun perlahan-lahan dengan lemah-lembut sekali.

Dalam menyebutkan Allahu Akbar hendaklah hanya dibacakan dengan baris dhommah yakni hu (Allahu). Dan hu itu dibaca dengan sederhana tidak ditekankan sangat. Hendaklah tidak disambungkan hunya dengan alif sehingga berbunyi semacam wau (Allahuakbar), ataupun dipanjangkan ba’ dari Akbar dan ra’nya seolah-olah dia menyebut: Akbaar: Dan hendaklah dimatikan (disukunkan) huruf ra’ pada Akbar itu dan jangan di dhommahkan; yakni dia menyebut: Allahu Akbar bukan Allahu Akbaru.

Perbuatan-perbuatan lain disusuli dalam posting seterusnya secara berperingkat

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tiada seorang Muslim pun yang bersujud kepada Allah sekali sujud saja, melainkan Allah mengangkatkan baginya satu darjat (pahala) dan menghapuskan satu keburukan (dosa).”

Dan sabdanya lagi:

“Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud, maka perbanyakanlah berdoa ketika itu.”

Allah berfirman:

“Tanda-tanda mereka ada di wajah mereka tersebab dari bekas (banyaknya) bersujud.” (al-Fath: 29)

Yakni cahaya atau nur kekhusyu’an mereka, kerana cahaya inilah yang dikatakan memancar dari batiniah seseorang, lalu terpapar dilahiriahnya.