Syarat-syarat yang menjadikan sesuatu sembahyang itu istimewa dari segi kebatinannya banyak sekali, tetapi bolehlah disimpulkan kepada enam perkara:

(1)    Kehadiran hati dalam sembahyang.

(2)    Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.

(3)    Membesarkan Allah dalam sembahyang.

(4)    Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.

(5)    Penuh harapan.

(6)    Perasaan malu.

Berikut kita sebutkan huraiannya secara terperinci, kemudian sebab-sebabnya, dan seterusnya mengusahkan cara untuk mencapai syarat-syarat tersebut:

(1)    Kehadiran hati dalam sembahyang.

Maksudnya ialah agar dapat kita mengosongkan hati itu dari segala urusan yang boleh mengganggu, ataupun yang tak ada sangkut-pautnya dengan ibadat sembahyang yang sedang dikerjakan itu. Maka hendaklah pengetahuannya dengan gerak laku badan dan gerak-geri hati itu bersaingan kedua-duanya sekali; dan jangan sampai pemikirannya berputar kepada selain dari keduanya itu.

(2)    Mengerti bacaan-bacaan sembahyang.

Memahami atau mengerti maksud-maksud perbicaraan dalam sembahyang itu adalah menjadi seperkara yang utama dalam konteks menghadirkan hati dalam sembahyang; iaitu hati itu haruslah mengetahui segala yang dibicarakan oleh lidah, kerana sembahyang itu memang mengandungi banyak makna-makna atau maksud-maksud yang halus yang patut dimengertikan oleh seorang dalam sembahyangnya. Dengan itu, barulah sembahyang itu dapat mencegahnya dari melakukan perkara-perkara yang keji atau mungkar.

(3)    Membesarkan Allah dalam sembahyang.

Membesarkan Allah di dalam sembahyang akan memberikan pengertian yang mendalam kepada diri orang yang bersembahyang itu, di sebalik menghadirkan hati dan memahamkan bacaan-bacaannya.

(4)    Merasakan kehebatan Allah dalam sembahyang.

Merasakan kehebatan Allah akan menambahkan lagi kebesaranNya yang dirasakan di dalam sembahyang, dan ia diibaratkan sebagai ketakutan yang berpunca dari kemaha-agungnya Allah Ta’ala yang disembah ketika itu dan kemaha-tinggianNya.

(5)    Penuh harapan.

Orang yang melakukan sembahyang itu haruslah mengharapkan pahala yang banyak dari Allah s.w.t., dan sebaliknya harus pula ia merasa takut dari sikaanNya, yang mungkin ditimpakan oleh Allah ke atasnya disebabkan oleh kecuaiannya.

(6)    Perasaan malu.

Dia juga harus mempunyai perasaan malu terhadap Allah s.w.t., kerana kemungkinan sekali tanpa disadarinya telah berlaku daripadanya sesuatu kecuaian dalam sembahyang itu, atau sesuatu dosa yang tidak disangka-sangkakannya.

Bersambung: Sebab-sebab Pencapaian Keistimewaan Sembahyang

Orang yang menjadi Imam mempunyai beberapa tugas sebelum sembahyang, begitu pula dalam bacaannya dan pada rukun-rukunnya dan seterusnya sesudah memberi salam.

Tugas-tugas Imam sebelum sembahyang ada enam macam:

1. Tidak boleh menjadi imam jika sekalian makmumnya membencinya atau tiada bersetuju dengannya. Jangan ke depan juga kalau di belakang ada orang yang lebih faqih’ daripadanya, kecuali jika orang itu enggan ke depan, ketika itu bolehlah dia menjadi Imam. Dalam hal ini, makruh masing-masing tolak menolak untuk menjadi Imam.

2. Menjaga waktu-waktu sembahyang dengan menunaikan tiap-tiap sembahyang pada permulaan waktunya, agar diperolehi keredhaan Allah Ta’ala. Permulaan waktu itu diutamakan dari pengakhirannya samalah seperti mengutamakan kehidupan akhirat dan penghidupan dunia ini. Imam tiada harus melewatkan sembahyang kerana menggangu orang ramai datang, melainkan hendaklah ia melekaskannya agar memperoleh keutamaan permulaan waktu, kerana yang demikian itu adalah lebih afdal daripada ramainya orang yang berjemaah (tetapi lambat), dan daripada bacaan surah-surah yang panjang.

Pernah Rasulullah s.a.w. terlambat daripada menunaikan sembahyang fajar (subuh) dalam salah satu pelayarannya; iaitu kerana sebab taharah (pensucian) dan baginda tiada menunggu, malah disuruhnya Abdul Rahman bin Auf untuk menjadi Imam pada sembahyang itu, kemudian baginda menjadi makmumnya, padahal Imam sudah masuk pada rakaat kedua, lalu baginda bangun mencukupkan satu rakaat lagi kerana terlambat itu. Para sahabat merasa kasihan kerana berlakunya hal itu, tetapi Rasulullah s.a.w. pun bersabda: Kamu telah membuat yang betul. Begitulah hendaknya selalu kamu lakukan.

Sekali peristiwa, Rasulullah s.a.w. sedang sibuk mendamaikan antara sesuatu kaum, sehingga terpaksa lambat untuk menunaikan sembahyang zohor. Para sahabat telah menunjukkan Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. untuk menjadi Imam. Kemudian Rasulullah pun tiba, sedangkan Abu Bakar di pertengahan sembahyangnya, lalu baginda pun berdiri di sebelahnya.

Dalam menunaikan sembahyang, Imam tidak perlu menunggu kedatangan muazzin, tetapi muazzin seharusnya menunggu kedatangan Imam, jika terlambat.

3. Bila menjadi Imam, hendaklah ia berikhlas semata-mata terhadap Allah azzawajalla, sebagai seorang yang menunaikan amanat Allah dalam taharahnya dan semua syarat-syarat sembahyangnya. Berikhlas, artinya: jangan ia mengambil upah dari sebab menjadi Imam itu (*). Manakala pengertian amanat di sini, ialah pensucian kebatinan dari segala rupa kefasikan dan ketakabburan ataupun tidak selalu melakukan dosa-dosa yang kecil. Orang yang menjadi Imam itu, hendaklah menjauhkan diri dari segala macam keaiban ini dengan penuh kesungguhan. Sebab tugas Imam itu seperti utusan atau penjamin bagi orang ramai, maka oleh itu hendaklah ia menjadi sebaik-baik manusia.

Demikian pula dengan pensucian kelahiran, iaitu dari segala rupa hadas dan kotoran, sebab mengenai perkara ini tiada seorang yang lebih mengetahui, melainkan dirinya sendiri. Jika sekiranya ia teringat berlaku hadas sedangkan ia di pertengahan sembahyang, ataupun terkentut dalam masa sembahyang itu, maka hendaklah ia jangan merasa malu, bahkan hendaklah ia memegang tangan seorang yang berdekatan dengan nya  seraya mengisyaratkan untuk menggantikannya.

4. Sebelum mengangkat takbiratul-ihram, hendaklah ia memeriksa semua saf-saf supaya rata. Mula-mula ia menoleh ke kanan kemudian ke kiri, kalau ada saf yang jarang diperintah untuk dirapat dan diluruskannya.

Ada yang mengatakan meluruskan saf itu, hingga bahu dengan bahu beriringan dan buku lali bersentuhan. Hendaklah ia tidak bertakbir, melainkan sesudah selesai muazzin dari iqamah. Muazzin pula seharusnya melambatkan iqamah dari azan, sekadar masa orang ramai dapat menyediakan diri untuk bersembahyang.

5. Imam hendaklah menyaringkan suaranya ketika melafazkan takbiratul-ihram, dan seterusnya kepada semua takbir-takbir yang lain. Makmum pula jangan sampai menyaringkan suaranya lebih daripada kadar untuk mendengarkan dirinya saja, dan takbirnya  hendaklah sesudah selesai takbir Imamnya, baru dia bertakbir pula.

Tugas bacaan Imam dalam sembahyang ialah tiga macam:

1. Membaca doa Iftitah dan ta’awwudz dengan sirr atau tiada menyaringkan suara, seperti seorang yang bersembahyang sendiri. Dan baca dengan jahar atau mengangkat suara pada Fatihah dan satu surah sesudahnya pada sembahyang subuh dan dua  rakaat yang pertama dari isya’, dan maghrib; ini termasuk sembahyang orang perseorangan juga. Membaca jahar perkatan Ameen pada sembahyang-sembahyang jahriah (yang dinyaringkan suara – iaitu subuh, maghrib dan isya’, dan Jumaat) bersama-sama makmum, dan bacaan makmum itu mestilah menyertai Ameen Imamnya serentak bukannya sesudah itu.

2. Hendaklah Imam dalam berdirinya menjaga tiga pemberhentian (berdiam sebentar).

a. Sesudah melafazkan takbiratul-ihram.
b. Sesudah membaca Fatihah
c. Sesudah membaca surah dan sebelum ruku’.

Berdiam itu sebentar saja sekadar untuk memisahkan  antara takbiratul-ihram dengan bacaan Fatihah, sebab ada larangan untuk bercepat-cepat di situ. Jangan hendaknya orang yang menjadi makmum itu membaca apa-apa di belakang Imamnya selain dari Fatihah saja. Tetapi kiranya makmum tiada mendengar bacaan imamnya dalam sembahyang-sembahyang jahriah, kerana berada terlalu jauh daripadanya, ataupun kerana sembahyang-sembahyang itu sirriyah, (yang tidak dinyaringkan – iaitu pada zohor dan asar) maka bolehlah makmum membaca surah sendiri di dalam sembahyang itu.

3. Meringankan sembahyang itu adalah lebih baik, terutama sekali bila jamaah makmumnya ramai sekali, kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Apabila seseorang kamu bersembahyang dengan orang ramai, maka hendaklah meringankan sembahyang, sebab di antara mereka itu ada yang lemah, ada yang tua dan ada yang mempunyai keperluan. Tetapi jika ia bersembahyang sendirian, bolehlah ia memanjangkannya menurut kehendaknya.”

Berkata Rasulullah s.a.w kepada Mu’az pula: Bacalah surah-surah Sabbihisma rabikal a’laa, Wassamaa’i-Waththaariq atau Wasysyamsi-Wadhuhaaha.

Tugas-tugas Iman pada rukun dalam sembahyang ada tiga macam:

1. Hendaklah ia meringankan ruku’ dan sujud, jangan ia membaca lebih daripada tiga tasbih saja.

2. Makmum jangan pula melumbai atau mendahului Imamnya dalam ruku’ atau sujud, malah hendaklah ia menunggu dan tidak bersujud melainkan sesudah sampai dahi Imam ke tanah.

Begitulah ketika ruku’, makmum tiada ruku’ melainkan setelah Imam lurus di dalam ruku’nya.

3. Tidak menambah dalam doa tasyahhud lebih dari doa yang sudah ditentukan, sebab dikhuatirkan menjadi panjang. Dan janganlah ia menentukan doa itu bagi dirinya saja, bahkan digunakan shighatul jam’i (pengertian untuk ramai) supaya doa itu umum untuk ramai. Misalnya dia berkata:

“Wahai Tuhan, ampunilah kami sekalian.”

Tugas Imam pada mengakhiri sembahyang ada tiga pula:

1. Ketika memberi kedua-dua salam itu, hendaklah ia meniatkan memberi salam kepada semua orang yang berada di situ dan juga para Malaikat.

2. Hendaklah ia menetap di tempatnya sesudah memberi salam, terutama sekali jika ada makmum-makmum wanita di belakangnya. Dia tiada bergerak dari tempatnya dulu, sehingga sekalian makmum-makmum wanita sudah beredar dari situ.

3. Jika dia duduk sesudah sembahyang, hendaklah ia berhadapan dengan orang ramai.

————————

Nota:

(*) Syaikh Ibnu Taimiyah r.a. berkata: Apa yang diterima dari Baitul-Mal itu bukanlah  upah atau gaji, tetapi ia semacam rezeki untuk menolong  mendirikan ketaatan. Begitu pula dengan harta yang diwakafkan ke atas pekerjaan-pekerjaan baik, atau harta yang diwaksiatkan atau dinazarkan untuk tujuan-tujuan kebajikan, bukanlah dikira upah atau gaji. Al-Haritsi pula berkata: orang yang menghukumkan terlarangnya mengambil upah atau jenis pekerjaan untuk kebajikan tiada melarang mengambil upah itu dari harta yang diwakafkan untuk tujuan ini.