bersambung dari: Beberapa Perkara Yang Harus Diperhatikan Ketika Mengerjakan Rukun dan Syarat Sembahyang (2)

Adapun tentang ruku’ dan sujud itu, sayugialah di waktu melakukanya diperbaharui ingatan terhadap kebesaran Allah s.w.t., dan ketika mengangkat kedua tangan pula disertakan memohon pengampunan Allah dari siksaanNya. Sesudah itu, anda menunjukkan pula kerendahan diri penuh tawadhu’ dengan melakukan ruku’ kepadaNya. Di waktu itu, hendaklah anda bersungguh-sungguh melembutkan hati dan membaharui khusyu’ dengan sepenuh perasaan, kerana di hadapan anda itu adalah Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Besar. Segala perasaan ini harus diakui oleh hati manakala lisan turut menolong menyebutkannya.

Anda mengucapkan tasbih terhadap Tuhan seraya menyaksikan bagi ZatNya keagungan, dan bahawasanya Dia adalah Maha Besar dari segala yang besar. Sebutan itu haruslah diulang-ulangi di dalam hati sehingga ia kekal kukuh di situ. Lantas anda tegak berdiri semula dari ruku’ dengan membawa penuh harapan pada diri anda, sambil menyebutkan:

“Allah telah mendengar orang yang memujiNya.”

Yakni: Allah telah menyahut kepada orang yang memujiNya. Kemudian anda menggadakan pula dengan kepujian yang bertambah, dengan berkata:

“Wahai Tuhan kami Bagimu segala kepujian.”

Kemudian menambahkan lagi kepujian, dengan membaca:

“Pujian yang meliputi segala petala langit dan bumi.”

Seterusnya anda turun untuk bersujud. Sujud itu merupakan setinggi-tinggi darjat kerendahan diri, kerana anda telah meletakkan semulia-mulia anggota anda, iaitu wajah ke tempat yaang paling rendah sekali, iaitu tanah. Jika boleh, lebih utama lagi, kalau anda terus bersujud ke atas tanah, tanpa ada apa-apa yang  mengalasnya, kerana itu akan lebih menimbulkan perasaan khusyu’ dalam diri dan lebih menunjukkan kepada pernerimaan diri akan kehinaan. Andai kata anda sanggup meletakkan diri anda ke tempat yang terendah, berarti anda telah meletakkan ke tempatnya  yang wajar, sama seperti anda mengembalikan cabang kepada asalnya. Sebab asal anda dijadikan dari tanah dan kepada tanah juga anda akan kembali kelak. Pada ketika itu, sayugialah anda memperbaharui ingatan kepada kebesaran Allah di dalam hati, kemudian barulah anda mengucapkan:

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi.”

Perkukuhkanlah bacaan itu dengan berulangkali, sebab dengan membaca sekali saja tidak akan meninggalkan kesan yang kuat dalam diri. Apabila hati anda menjadi lembut dan tipis dan telah ternyata yang demikian, maka hendaklah anda menunjukkan kebenaran harapan anda kepada rahmat Allah Ta’ala, sebab rahmatNya  akan segera lahir dalam diri yang lemah dan hina, bukan dalam diri yang sombong dan bongkak. Kini angkatkanlah  kepalamu dengan membaca takbir, seraya meminta  pula hajatmu dengan berkata:

“Wahai Tuhanku! Ampunilah aku dan belas kasihanilah.”

Pada waktu itu, hendaklah anda melahirkan perasaan tawadhu’ dan merendah diri, kemudian kembalikan semula bersujud buat kedua kalinya.

Adapun tasyahhud itu, apabila anda duduk hendaklah duduk secara beradab sambil menjelaskan di dalam hati, bahawa semua yang diucapkan dari salawat (doa dan tadharru’) serta segala kebaikan; iaitu akhlak yang suci-murni, adalah semata-mata kerana Allah Ta’ala. Begitu pula kita simpulkan bahawa Kerajaan Semesta itu adalah bagi Allah jua. Demikianlah makna sebenarnya  dari bacaan tahiyat dalam duduk bertasyahhud itu

Kemudian ingatkah di dalam hati peribadi Nabi Besar Muhammad s.a.w, seraya anda ucapkan:

“Salam sejahtera ke atasmu, wahai Nabi, dengan rahmat Allah serta keberkataanNya.”

Benarkanlah harapan anda bahawa salam itu akan sampai kepada baginda Rasulullah s.a.w. serta baginda akan membalas salammu itu dengan lebih sempurna. Selanjutnya, anda memberi salam pula ke atas diri anda sendiri dan ke atas sekelian hamba-hamba Allah yang salihin. Seterusnya, anda menyaksikan pula sifat wahdariah atau keesaan bagi Allah, dan bagi Muhammad pula kerasulan yakni perutusan yang sebenar. Ini sebagai memperbaharui janji kepada Allah s.w.t. Dengan mengulang-ucap dua kalimah Syahadat dan mengharapkan perlindungan di dalam bentengnya.

Kemudian pada akhir sembahyang, berdoalah dengan doa-doa yang ma’tsur (yang diajarkan oleh Nabi) dengan penuh perasaan tawadhu’ dan khusyu’, dengan penuh perasaan hina-dina dan rendah diri serta kebenaran harapan untuk menerima pengabulan. Jangan lupa menyertakan doa untuk kedua ibu-bapa dan sekalian kaum Mu’minin.

Di waktu mengucap salam pula, niatkan sekali salam ke atas para Malaikat dan sekalian orang yang hadir ketika itu. Sambil meniatkan sama berakhirnya sembahyang itu Jangan lupa pula merasakan kesyukuran anda terhadap Allah s.w.t. kerana taufiqNya, sehingga anda dapat menyempurnakan ibadat sembahyang itu. Kemudian kalau ada kecuaian atau kelalaian dalam ibadat itu rasakanlah di dalam hati anda perasan takut dan malu. Anda sepatutnya merasa bimbang juga, kalau-kalau sembahyang itu tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau barangkali kerana dosa lahir atau batin, maka sembahyang itu pun ditolak di hadapan muka anda. Dalam hal ini, hendaklah anda mempunyai harapan penuh agar Allah s.w.t. akan menerima sembahyang itu disebabkan sifat rahmatnya dan kemurahatianNya.

Demikianlah keterangan mengenai sembahyang  orang-orang yang penuh khusyu’, sesuai dengan firman-firman Allah Ta’ala:

“Mereka yang berlaku penuh kekhusyu’an di dalam sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 2)

“Dan mereka sentiasa memelihara sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)

“Dan mereka yang tetap mengerjakan sembahyang mereka.” (al-Ma’arij: 23)

Dan mereka itu juga tergolong orang-orang yang bermunajat kepada Allah s.w.t. menurut kadar kemampuannya untuk mengatakan ubudiahnya (perhambaannya). Sayugialah setiap manusia itu mendedahkan dirinya kepada semua sembahyang-sembahyang ini. Mana-mana yang dia mampu memyempurnakannya, hendaklah ia merasa gembira. Mana-mana yang terlepas atau tertinggal, hendaklah ia merasa dukacita, dan hendaklah ia berusaha  bersungguh-sungguh pula untuk memperbaikinya.

Adapun orang-orang yang lalai dalam sembahyangnya, maka ia amatlah membimbangkan sekali, kecuali jika Allah mahu melimpahinya dengan rahmatNya. Kita memohon Allah s.w.t. agar dilimpahiNya kita dengan rahmatNya dan keampuanNya, kerana tiada lain jalan bagi kita melainkan mengaku tentang  diri ketidak-mampuan kita untuk menunaikan sepenuh ketaatan terhadap Allah Ta’ala’.

Kunci untuk menambah tingkatan dan darjat diri ialah menerusi sembahyang. Allah berfirman:

“Sungguh telah menang (berbahagia) orang-orang yang beriman, yang berlaku khusyu’ dalam sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 1-2)

Allah s.w.t telah memuji kumpulan orang-orang ini, setelah mereka beriman kepadaNya dengan sesuatu sembahyang yang tertentu; iaitu sembahyang yang disertai kekhusyu’an. Kemudian Allah Ta’ala telah melengkapkan sifat-sifat orang yang  berbahagia itu dengan menyebutkan tentang sembahyang pula, dengan firmanNya:

“Dan mereka sentiasa memelihara sembahyang mereka.” (al-Mu’minun: 9)

Lalu Allah s.w.t. menyanjung sifat itu dan menentukan balasanNya dengan berkata:

“Mereka itulah yang menjadi pewaris-pearis yang mewarisi Syurga Firdaus, di mana mereka akan tinggal berkekalan di dalamnya.” (al-Mu’minun: 10-11)

Jadi Allah s.w.t. telah mensifatkan mereka itu sebagai orang-orang yang menang dan berbahagia pada mula ayat, kemudian mensifatkan mereka sekali lagi dengan orang-orang yang bakal mewarisi Syurga Firdaus sesudah itu.

Menurut keyakinan saya, bahawa membaca dengan terlalu cepat, sedang hati pula lalai tidak akan dapat mencapai sifat-sifat yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala tadi. Sebab itulah Allah telah berfirman di dalam al-Quran menerangkan sifat-sifat orang yang di sebalik sifat-sifat tadi.

“Apakah yang menyebabkan kamu termasuk ke dalam Neraka saqar. Mereka menjawab: Kerana kami bukan tergolong orang-orang yang bersembahyang.” (al-Muddatstsir:42-43)

Hanya orang-orang yang bersembahyang sajalah yang bakal mewarisi Syurga Firdaus, dan mereka jugalah orang-orang yang dapat melihat cahaya Allah Ta’ala dan orang-orang yang merasakan kenikmatan, kerana Allah s.w.t. amat hampir dan dekat sekali kepada diri dan hati mereka. Mudah-mudahan kita semua termasuk kedalam golongan ini.

bersambung dari: Beberapa Perkara Yang Harus Diperhatikan Ketika Mengerjakan Rukun dan Syarat Sembahyang (1)

Membaca Al-Fatihah:

Bila membaca (isti’azah’ ):

“Aku berlindung diri kepada Allah dari bencana syaitan yang terkutuk.”

Hendaklah anda ketahui bahawa musuhmu (syaitan) itu sentiasa memasang perangkap untuk memesongkan hati anda dari Allah azzawajalla, semata-mata kerana dengki dan hasad terhadap munajat yang anda lakukan terhadap Allah s.w.t. Kemudian anda bersujud pula kepada Allah, padahal kerana sebab sujudlah syaitan itu dihalau dari rahmat Allah dan menjadi terkutuk tersebab satu kali sujud saja yang ia enggan melakukannya.

Bila anda membaca isti’azah’ (A’uzubillahi minasy-syaitanir-rajiim) pula, janganlah hendaknya membaca sekadar menggerakkan lisan semata-mata, melainkan anda sekaligus meninggalkan segala kelakuan yang disukai oleh syaitan dan menggantikan tempatnya dengan kelakuan-kelakuan yang diredhai oleh Allah. Umpamanya samalah seperti seorang yang diserang oleh binatang buas ataupun musuh yang hendak membunuhnya, janganlah hendaknya ia hanya  berkata: Aku berlindung daripadamu di dalam pendinding yang menahan dari segala mara bahaya, sedangkan ia berdiri tegak di tempatnya itu, tentulah itu tidak akan memberi apa-apa guna atau manfaat, kecuali ia mencari tempat yang boleh melindunginya dari binatang atau musuh itu.

Begitu pula hendaknya bagi orang yang sering menurutkan hawa nafsu dan kehendak-kehendak yang menjadi keinginan syaitan dan kebencian ar-rahman (Allah), tidaklah memadai dengan setakat berkata dengan lidah saja tanpa ada bukti. Barangsiapa yang mengambil hawa nafsunya menjadi Tuhan, niscaya dia berada dalam medan atau halaman syaitan, dan bukanlah dalam benteng Allah Ta’ala.

Ketahuilah di antara tipu daya tipu daya syaitan itu, dia akan memesongkan anda dalam sembahyang daripada mengingatkan tentang akhirat, atau menghalang anda untuk membuat kebajikan supaya dapat menahan anda dari memahami bacaan-bacaan yang di baca dalam sembahyang itu. Maka hendaklah anda faham bahawa segala yang menghalang dari memahami makna-makna bacaan itu adalah waswas. Sebab gerak-geri lisan itu bukanlah menjadi maksud yang utama, bahkan maksud yang utama ialah makna-makna bacaan itu.

Bila anda membaca (basmalah):

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha mengasihani.”

Hendaklah anda meniatkaan keberkatan kerana memulakan bacaan Kalamullah  (Firman Allah). Ketahuilah bahawa maknanya, semua perkara-perkara itu akan berlaku dengan kuasa Allah Ta’ala, dan bila kita mengi’tikadkan bahawa semua perkara-perkara itu dalam kuasa Tuhan, tentulah tiada daya lagi bagi kita.

Bila membaca:

“Segala puji-pujian bagi Allah.”

Maknanya: Segala kesyukuran hendaklah ditujukan kepada Allah semata-mata, kerana dialah yang memberikan semua nikmat-nikmat itu. Barangsiapa yang menganggap ada lagi nikmat dari selain Allah Ta’ala, ataupun dia menunjukkan kesyukurannya kepada selain dari Allah, bukan kerana dia itu terpaksa, maka jadilah segala bacaan Bismillah dan Alhamdullilah  yang disebutkannya itu tadi, tiada berguna, kerana tujuannya kepada  selain dari Allah s.w.t.

Bila membaca:

“Yang Maha Pengasih lagi Penyayang.”

Di waktu itu hendaklah anda tinjau di dalam hati segala macam kelembutan Allah kepada sekalian makhlukNya, niscaya ternampaklah oleh anda rahmatNya sehingga timbul pula pengharapan kepadaNya. Sesudah itu hendaklah terpancar dari dalam hati anda perasaan membesarkan Allah dan takut kepadanNya, dengan membaca pula:

“Yang menjadi raja pada Hari Kiamat.”

Adapun kebesaran yang diucapkan terhadap Allah itu ialah, kerana tiada kerajaan kecuali bagi Allah yang Maha Kuasa. Manakala ketakutan pula ialah dikeranakan kehebatannya hari pembalasan dan hari perkiraan yang Allah s.w.t. akan menjadi Pengadilnya.

Sesudah itu perbaharukanlah keikhlasan anda  terhadap Allah s.w.t. dengan membaca:

“Hanya kepadaMu saja kami menyembah.”

Menyertai bacaan itu, hendaklah anda mengingatkan  kelemahan anda dan keperluan anda kepada Allah, Begitu pula mengingat bahawa diri anda itu tiada berdaya-upaya sama sekali dengan membaca pula.

“Dan hanya kepadaMu pula kami meminta pertolongan.”

Di waktu itu yakinlah anda, bahawa tiada daya-upaya untuk mentaati Allah kalau tidak dengan pertolongan Nya. Dan bahawasanya manusia itu terhutang budi kepada Allah disebabkan taufiqNya yang dilimpahkan ke atas manusia untuk membuat ketaatan kepadaNya.

Kemudian tetapkan pula permintaan anda dan jangan meminta melainkan perkara-perkara yang amat penting saja, dan bacalah:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus (Shirathal-Mustaqiim).”

Iaitu jalan yang akan membimbing anda ke sisi Allah s.w.t. dan yang akan menyebabkan keredhaanNya kepada anda. Dalam pada itu, hendaklah anda tambah pula keterangan penjelasan dan pengukuhan atau penyaksian terhadap orang-orang yang yang telah menerima limpahan hidayat dariNya, iaitu dari golongan para Nabi, para Siddiqin, para Syuhada dan para Salihin, dan bukan pula orang-orang yang dimurkai oleh Allah dari golongan kafir, musyrik dan orang-orang yang sesat.

Sesudah menyebutkan semua itu, lalu anda pohonkan pengabulan Allah s.w.t dengan membaca:

“Kabulkanlah segala permohonan kami itu.”

Ketahuilah, andaikata anda tiada memperolehi sesuatu pun dari sembahyang anda itu selain dari Zikrullah, yakni hanya berzikir kepada Allah saja tentang kemaha-agunganNya dan kebesaranNya, itu pun sudah memadai. Apatah lagi dengan apa yang anda harap-harapkan  dari balasan dari pahalaNya.

Seterusnya, hendaklah anda memahami segala bacaan yang anda baca itu dari surah-surah al-Quran. Janganlah sampai anda lalai atau cuai akan perintah dan laranganNya. Janji dan ancamanNya. Segala nasihat-nasihat dan berita-berita tentang para NabiNya, dan seterusnya mengingat segala nikmat dan kebaikanNya, kerana tiap-tiap satu dari semua ini ada haknya. Timbulnya harapan akibat dari adanya janji. Timbulnya ketakutan akibat dari adanya ancaman. Timbulnya keazaman akibat dari adanya suruhan dan larangan. Menurut arahan adalah akibat dari adanya nasihat dan peringatan. Mengucap kesyukuran adalah akibat dari adanya budi dan pemberian. Dan mengambil contoh-tauladan adalah akibat dari adanya cerita-cerita para Nabi. Semua pengertian-pengertian ini akan berkesan sekali dalam diri seseorang, sesuai dengan tingkatan fahamannya, dan ini tergantung pula kepada darjat ilmu pengetahuannya dan kebersihan hatinya. Manakala darjat seseorang dalam bidang ini tidak ada kadar atau batasannya yang tertentu. Jadi sembahyang itu adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala. Di dalam sembahyanglah  boleh tersingkap semua rahsia kalimat-kalimat akibat dari bacaan-bacaan yang kita bacakan Demikianlah pula dengan rahsia-rahsia zikir-zikir dan tasbih-tasbih.

Selanjutnya, mestilah ada rasa kehebatan dalam segala bacaan-bacaan itu, dan sebaik-baiknya dibacakan satu-persatu perlahan-lahan. Jangan sampai terlalu cepat atau tergopoh-gapah, kerana secara itu lebih mudah untuk difahamkan atau direnungkan pengertiannya.

Adapun kelangsungan berdiri itu adalah suatu peringatan terhadap turutnya hati sama-sama berdiri di hadapan Allah azzawajalla, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya Allah Azzawajalla itu sentiasa menghadap kepada orang yang bersembahyang, selama ia tiada menolah-noleh.”

Sebagaimana wajib kita menjaga kepala dan mata supaya tidak menoleh-noleh ke arah selain dari kiblat, demikian pula wajib kita menjaga kebatinan kita; iaitu hati dan jiwa supaya tidak berpaling kepada selain dari Allah s.w.t. dalam sembahyang. Jika ia berpaling, maka hendaklah segera diperingatkannya bahawa Allah s.w.t. itu mengatahui segala gerak-geri kabatinan, dan mengingatkan sekali akan buruknya balasan dari Allah, akibat kelalaian hati orang yang bermunajat dalam sembahyangnya.

Kekalkanlah kekhusyu’kan di dalam hati, dan tandanya  ada kekhusyu’kan itu, ialah bila anggota lahir dan anggota batin tiada menoleh ke mana-mana, dan apakala anggota batin menjadi khusyu’, niscaya anggota lahir akan menurutnya. Pernah Rasulullah s.a.w. bersabda ketika melihat seorang yang sedang bersembahyang, pada hal tangannya bermain-main dengan janggutnya, katanya

Adapun orang ini, jika hatinya khusyu’, tentulah segala anggota badannya akan turut khusyu’, sama, sebab rakyat selalunya patuh kepada pemerintahannya.”

Sebab itulah ada tersebut di dalam doa yang warid:

“Ya Allah, ya Tuhanku! Perbaikilah pemelihara (pemerintah) dan pemeliharaannya (rakyat).”

Maksudnya: Hati dan segala anggotanya.

bersambung … Insha Allah

Bila anda mendengar suara muazzin azan. Hendaklah anda gambarkan di dalam hati, betapa hebatnya seruan yang akan berlaku nanti di Hari Kiamat. Oleh itu anda merasakan pada lahir dan batin anda hendak cepat-cepat menyahut seruan itu, kerana orang-orang yang akan diseru dengan lemah-lembut kelak di hari perkiraan yang terbesar (Hari Kiamat).

Adapun taharah ataupun kesucian itu, jika di tempat anda (melakukan sembahyang itu), ia diumpamakan sebagai tutup yang terjauh; jika di pakaian anda, ia diumpamakan sebagai tutup yang terdekat; jika di kulit badan anda, ia diumpamakan sebagai bungkus yang terhampir sekali, maka hendaklah anda jangan pula sampai terlalai akan isinya yang diumpamakan sebaagai zat anda, iaitu hati yang berada di dalamnya. Hati itu haruslah dipelihara kesuciannya dengan banyak bertaubat dan menyesali diri atas segala yang telah terlanjur.

Di samping itu hendaklah anda sungguh-sungguh berazam untuk meninggalkan segala ketelanjuran itu di masa hadapan. Kebatinan anda itulah yang seharusnya dipelihara dan disucikan, kerana dialah yang menjadi tempat pandangan Allah s.w.t. yang kita beribadat kepadaNya.

Adapun menutup aurat pula maka ketahuilah bahawa maksudnya ialah menutup segala kejelekan badan anda dari pandangan orang ramai, kerana zahirnya tubuh badan itu menjadi tempat pandangan orang ramai. Apatah lagi dengan aurat-aurat kebatinan anda yang merupakan kecelaan dan keburukan yang berselindung di dalam diri anda itu, yang tidak dapat disingkapkan, melainkan oleh Allah Azzawajalla, maka lebih-lebih lagi harus dijaga dan dipelihara.

Sebaik-baiknya hendaklah anda bayangkan semua keburukan itu di dalam hati anda, dan berusahalah agar kesemuanya ini dapat ditutup. Dalam pada itu, hendaklah anda yakin bahawa tiada sesuatu pun yang akan dapat terlindung dari pandangan Allah s.w.t., tetapi yang boleh menutupnya atau menghapuskannya ialah dengan menyesali diri, merasa malu dan menampakkan ketakutan kepada Allah s.w.t. Apabila semua sifat-sifat ini telah berada dalam hati, ketika itulah jiwa anda akan merasa hina dan rendah dan hati pun sentiasa akan mengecap ketenangan di bawah perasaan malu tadi. Pada waktu itu anda akan berdiri di hadapan Allah Azzawajalla sebagai seorang hamba yang berdosa, yang membuat banyak kesalahan, ataupun seperti seorang budak yang telah melarikan diri lalu menyesal dan kini kembali semula kepada tuannya, sedang menundukkan kepalanya kerana terlalu dikuasai perasaan malu dan takut.

Adapun menghadapkan muka ke kiblat, iaitu memalingkan zahirnya wajah anda dari semua arah menghadap ke arah Baitullah Ta’ala. Jangan pula sampai anda menyangka bahawa memalingkan hati dari segala perkara dan hanya ditumpukan kepada Zat Allah Azzawajalla itu tidak dituntut. Bahkan itulah yang sangat-sangat di tuntut pada ketika itu, dan tidak ada selainnya. Jadi apa yang dibuat dari gerak-geri lahiriah itu menunjukkan kepada gerak-geri batiniah, dan juga untuk menjaga segala gerak laku semua anggota-anggota serta menentukannya menetap pada arah yang satu saja, sehingga ia tiada menyalahi haluan hati. Sebab kiranya ia menyalahi gerak laku hati dan menzaliminya dalam segala gerak-gerinya dan haluannya ke arah-arahnya, niscaya ia akan menarik hati bersama-sama berpaling dari arah Allah Azzawajalla. Oleh kerana itu berhati-hatilah agar haluan hatimu menyertai haluan tubuh badanmu.

Ketahuilah, sebagaimana wajah itu tiada boleh menghadapkan ke arah Baitullah (Kaa’bah) kecuali dengan memesongkannya dari arah-arah yang lain, begitu pulalah hati tiada akan menuju kepada Allah Azzawajala, melainkan dengan memalingkannya dari yang lain-lain dan mengosongkannya dari ingatan-ingatan selain dari Allah.

Adapun I’tidal atau berdiri tegak lurus, maka yang sebenarnya batang tubuh seseorang itulah yang sedang berdiri tegak, manakala hatinya pula sedang berhadapan dengan zat Allah azzawajalla, dan mengingatkan hati agar bersifat dengan sifat rendah diri, hina dan melepaskannya dari perasaan membesarkan diri dan takabur. Selain itu, ia akan mengingatkannya lagi pada hari berdirinya di hadapan Allah azzawajalla, dan pada hari susah-payahnya diri ketika dibawa ke pengadilan untuk disoal di Hari Kiamat kelak.

Oleh itu, hendaklah anda ketahui bahawa pada ketika itu anda sedang berdiri di hadapan Allah Azzawajalla, dan Dia sedang memerhatikan anda dan mengatahui segala rahsia anda. Sayugialah hendaknya, anda berdiri pada waktu itu, seperti anda berdiri di hadapan raja pada zaman sekarang, ini jika anda sebenarnya tidak berdaya untuk mengesan kebesaran Allah yang Maha Berkuasa itu.

Adapun niat itu merupakan suatu keazaman untuk menyahut perintah Allah azzawajalla, yakni menunaikan sembahyang yang difardhukan ke atas anda serta menyempurnakannya dengan penuh harapan, agar mendapat balasan pahalaNya dan merasa takut dari siksaanNya. Begitu juga untuk memohon mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan penuh cita-cita untuk mencapai pengurniaanNya; iaitu agar Allah s.w.t. akan menggerakkan hati untuk bermunajat kepadaNya, meskipun dosa anda sudah terlalu banyak. Maka hendaklah anda membesarkan darjat munajat kepada Allah itu dalam diri anda, sebagai suatu perkara yang amat penting sekali. Kemudian, hendaklah anda perhatikan di dalam hati anda, siapakah sebenarnya yang anda bermunajat kepadanya ketika itu?. Bagaimana pula seharusnya munajat itu kepadaNya?. Dan apakah yang anda ucapkan dalam munajat itu?.

Dalam menjalankan munajat serupa itu, sepatutnya anda merasakan peluh mengalir dari atas dahi kerana perasaan malu, manakala tubuh anda merasa gementar pula, kerana kehebatan kedudukan  di masa itu. Dan akan pucat-lesilah wajah anda dari perasaan ketakutan.

Adapun bacaan takbir itu, maka apabila anda menyebutkan dengan lisan hendaklah jangan anda mendustakannya di dalam hati. Andaikata di dalam hati ketika itu ada sesuatu yang dipandang lebih besar dari Allah s.w.t., ataupun hawa nafsu itu lebih menguasai jiwa anda daripada Tuhan yang  sedang anda beribadat kepadaNya, kemudian anda menurutkan pula kemahuan hawa nafsu itu, maka samalah seperti anda menjadikannya Tuhan selain dari Allah yang anda membesarkanNya. Jadi kata-kata Allahu Akbar itu tiada lain hanyalah semata-mata di bibir saja, manakala hati tiada mengakuinya atau membantunya. Alangkah berbahayanya orang yang  berkeadaan  sedemikian itu, kalaulah tidak diikutkan segera dengan taubat dan istightar, dan terutama sekali persangkaan yang terbaik terhadap Allah s.w.t. yang melalui kemurahanNya dan belas kasihanNya dapat memberikan keampunaan kepada kita sekalian.

Adapun doa Iftitah, maka ucapan anda yang pertama sekali ialah:

“ Aku menghadapkan wajahku kepada yang menjadikan petala langit dan bumi.”

Yang dimaksudkan dengan perkataan wajah di sini bukanlah wajah atau muka yang lahir itu, kerana anda menghadapkannya ke arah kiblat. Allah s.w.t. Maha Suci daripada boleh ditetapkan adaNya di sesuatu arah atau jihat yang tertentu, sehingga anda menghadapkan muka atau wajah di badan itu ke arahnya. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan wajah itu ialah wajah hati yang harus menghadap atau menghala kepada Tuhan Pencipta petala langit dan bumi. Jadi hendaklah anda perhatikan adakah ia menuju atau menghala kepada berbagai angan-angan atau cita-cita dan adakah perhatiannya masih tertumpu ke dalam rumah atau di pasar menurutkan segala macam syahwat dan hawa nafsu, ataupun ia sebenarnya telah menuju atau menghala kepada Tuhan Pencipta langit?.

Awaslah, jangan sampai pula pekerjaan munajat itu dimulakan dengan berdusta. Ingatlah bahawa wajah hati itu tidak mungkin ditujukan semata-mata khalish kepada Allah s.w.t. melainkan dengan memalingkan wajah itu dari perkara-perkara selain Allah. Oleh itu hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dengan serta-merta memusatkan tujuan kita kepada Allah s.w.t.

Kiranya tidak mampu melakukan yang demikian terus-menerus, maka hendaklah berkata dalam diri; Sekarang aku akan cuba lagi, Kiranya tidak mampu juga, maka hendaklah mencuba lagi dengan sebenar-benarnya.

Kemudian apabila membaca:

“Dalam keadaan cenderung dan berserah.”

Apabila membaca:

“Dan tiadalah aku dari golongan orang-orang musyrikin”

Sewajarnyalah anda memahamkan di dalam hari bahawa syirik yang tersembunyi itu ialah umpama seorang mengkasadkan (meniatkan) ibadatnya kepada Allah s.w.t., tetapi dalam pada itu, dia suka memuja-muja manusia. Ingatlah dan peliharalah diri anda dari rupa syirik ini, dan hendaklah merasakan malu di hati anda, kalau anda mendakwa diri bukan dari golongan orang-orang yang musyrikin, tetapi anda tidak terlepas dari perbuatan syirik ini, Ketahuilah bahawa pengertian syirik itu terkena kepada perbuatan yang sedikit, mahupun yang banyak dari kelakuan serupa itu.

Apabila membaca:

“Hidupku dan matiku kerana Allah Ta’ala.”

Ketahuilah bahawa hal serupa ini adalah sama seperti halnya seorang hamba yang kehilangan dirinya, dan kini sedang berada di hadapan tuannya. Kalaulah kata-kata itu diucapkan oleh seorang yang keredhaannya, atau kemarahannya, atau berdirinya, atau duduknya, atau keinginannya untuk hidup terus-menerus dan kegerunannya dari menemui maut semata-mata, kerana urusan keduniaan tentulah tidak sesuai untuk keadaannya seketika itu.

bersambung …