Ketahuilah, bahawa sembahyang-sembahyang selain yang difardukan itu adalah dinamakan nafilah dan tathawwu’ (sunnat dan sukarela).

Di antara sembahyang-sembahyang yang sunnat ialah mengenai sebab-sebab kusuf (gerhana matahari atau bulan) atau istisqa’ (meminta hujan). Ada yang mengenai waktu-waktu sembahyang fardhu, iaitu seperti sunnat-sunnat rawatib’ dan sebagainya.

Sembahyang-sembahyang sunnat rawatib itu ialah:

1.  Sunnat subuh, iaitu dua rakaat sebelum subuh; masuk waktunya dengan terbitnya fajar (sadiq). Apabila seseorang masuk masjid dan muazzin sudah beriqamat, maka hendaklah ia mengerjakan sembahyang fardhu yang didirikan itu, sebab Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

“Apabila sembahyang telah diiqamatkan, maka tiada sembahyang lagi (sunnat) melainkan mengerjakan sembahyang fardhu itu.”

Sesudah selesai bersembahyang fardhu itu, berdirilah ia semula untuk menunaikan dua rakaat sunnat yang tertinggal itu.

2. Sunnat zohor, iaitu empat rakaat sebelum zohor dan empat rakaat sesudahnya.

Sembahyang sunnat ini boleh ditunaikan empat rakaat sekaligus dan boleh juga dengan dua rakaat, dua rakaat (dan itu adalah lebih afdhal – pent.)

3. Sunnat asar, iaitu empat rakaat sebelum asar. Tentang sembahyang ini Rasulullah s.a.w. tidak begitu memberatkannya sangat, seperti baginda memberatkan sunnat-sunnat zohor.

4. Sunnat maghrib, iaitu dua rakaat sesudah sembahyang maghrib. Adapun dua rakaat sebelumnya di antara azan dan iqamat dilakukan dengan cepat, para sahabat ramai yang melakukannya, dan memang telah disahkan perintah Nabi s.a.w. ke atasnya, tetapi tidak digalakkan. Jika mahu boleh buat, kalau tidaklah mengapa.

5. Sunnat isya’, iaitu dua rakaat ataupun empat rakaat sesudah isya’,

Sunnat-sunnat lain:

1. Adapun sembahyang sunnat witir, maka masuk waktunya sesudah sembahyang isya’, dan sebanyak-banyaknya hingga sebelas rakaat. Boleh juga dia sembahyang witir dengan sembilan rakaat, ataupun tujuh rakaat, ataupun lima rakaat, ataupun tiga rakaat bersambung dengan satu salam ataupun dengan dua salam (yakni dua rakaat dengan satu salam dan satu rakaat satu salam – Pent.). Melakukan sembahyang witir sesudah sembahyang  tahajjud di bahagian akhir malam lebih utama.

2. Adapun sembahyang sunnat dhuha, menurut riwayat  banyak bilangannya ialah delapan raakat, dan sekurang-kurangnya dua rakaat. Dan waktunya bermula dari terbitnya matahari dan meningginya.

3. Adapun sembahyang sunnat dua Hari Raya, maka hukumnya sunnat muakkadah (sangat dituntut). Ia juga merupakan syiar agama yang utama. Sunnat pada Hari  Raya kita mandi dahulu kerana membersihkn diri, memakai pakaian-pakaian yang cantik dan memakai bau-bauan.

4. Sembahyang sunnat tarawih pula, ialah sebanyak dua puluh rakaat, dan cara-cara mengerjakannya memang telah dimaklumi.

5. Sembahyang sunnat khusuf (gerhana matahari atau bulan) adalah dua rakaat; orang ramai dipanggil untuk berkumpul kerananya, kemudian Imam sembahyang berjemaah di masjid, iaitu dengan dua kali ruku’ dan dua kali sujud pada tiap-tiap rakaat. Selesai sembahyang, Imam pun bangun menyampaikan khutbahnya menyeru orang ramai supaya memberikan sedekah dan memperbanyakkan taubat. Masuk waktunya, ketika bermula gerhana itu sehingga kembali sempurna semula.

6. Sembahyang sunnat istisqa’ atau sembahyang untuk memohon hujan. Apabila sungai kering airnya  dan hujan pun telah lama tidak turun, maka hendaklah pemerintah menyeru orang ramai untuk berpuasa selama tiga  hari dan mengeluarkan sedekah sekadar kemampuan mereka, menjauhkan diri dari melakukan penganiayaan, memperbanyak bertaubat dari segala rupa maksiat. Kemudian pada hari keempat pemerintah mengajak orang ramai termasuk orang tua dan kanak-kanak dengan memakai pakaian-pakaian buruk dan koyak-koyak dalam keadaan hina dan rendah diri. Jika orang-orang Zimmi (kafir yang hidup di bawah perlindungan Islam) ingin menyertai mereka pun boleh, tetapi harus dipisahkn pada tempat lain yang tersendiri.

Setelah mereka sekalian berkumpul di tanah lapang atau di padang yang luas, maka diserukan kepada mereka untuk bersembahyang istisqa’, diseru dengan: as-Shalah Jamiah (Sembahyang beramai-ramai).

Kemudian Imam bangun bersembahyang bersama-sama mereka berjemaah seperti sembahyang Hari Raya tetapi tanpa bertakbir, kemudian Imam berdiri lagi menyampaikan dua khutbah dengan memperbanyakkan ucapan-ucapan minta ampun sambil berdoa.

7. Sembahyang jenazah (mayat). Cara-caranya sudah diketahui umum dan ialah fardhu kifayah. Ia dikira sunnat ke atas diri seseorang, bila sudah ada orang lain menguruskannya. (a)

8. Sunnat tahiyat masjid iaitu dua rakaat sebagi sunnat muakadah. Jika ia masuk masjid lalu terus bersembahyang fardhu atau qadha’, ia mendapat juga pahala tahiyat masjid dan keutamaannya. Kerana tujuan utama dari tahiyat masjid, ialah agar seseorang bila memasuki masjid jangan sampai kosong dari membuat sesuatu ibadat yang tertentu di dalam masjid itu.

9. Dua  rakaat sunnat wudhu’, yakni yang dilakukan sesudah mengambil wudhu, itu adalah kerana sangat-sangat dituntut kerana mengambil wudhu’ itu satu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan tujuan dari mengambil wudhu’ itu adalah kerana bersembahyang.

10. Sembahyang sunnat istikharah(b) Seseorang yang hendak melakukan sesuatu perkara yang baik sedangkan hatinya sukar untuk memutuskan, maka menurut Rasullah s.a.w. baiklah dia melakukan sembahyang ini; iaitu dua rakaat saja. Dibaca pada rakaat pertama fatihah dan surah Qulya aiyuhal kaafirun dan pada rakaat kedua pula Fatihah dan surah al-Ikhlas atau Qul huallahu Ahad. Kemudian sesudah itu, dia berdoa pula sebagai berikut:

Ya Allah! Ya Tuhanku! HambaMu memohon penentuanMu yang baik dengan ilmuMu, dan penetapanMu dengan kekuasaanMu dan hamba memohon dari keutamaanMu yang Agung, kerana Engkaulah yang mentakdirkan sesuatu sedangkan hambaMu lemah tak berdaya; Engkaulah Mengetahui segala sesuatu sedangkan hambaMu tiada mengetahui, dan sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui akan segala perkara-perkara yang ghaib.

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Kiranya Engkau Mengetahui bahawa perkara ini (sebutkan perkara itu) adalah baik bagi diri hamba, sama ada mengenai agama, mahupun dunia hamba; ataupun akibat urusan hamba, sama ada yang sekarang, mahupun yang akan datang, maka takdirkanlah bagi hamba untuk memperolehinya dan berikanlah hamba keberkatan padanya serta permudahkanlah ia bagi hamba. Sebaliknya kiranya Engkau Mengetahui bahawa perkara ini (sebutkan perkara itu) adalah buruk bagi diri hamba, sama ada mengenai agama, mahupun dunia hamba; ataupun akibat urusan hamba, sama ada yang sekarang, mahupun yang akan datang, maka jauhkanlah hamba daripadanya dan jauhkanlah ia daripada hamba, dan takdirkanlah bagi hambaMu ini hanya yang baik saja sekalipun di mana-mana dan dorongkanlah hamba untuk melakukan yang diredhai olehMu!”

Sesudah berdoa sedemikian rupa, hendaklah ia menyatakan hajatnya pula.

_______________________

Nota:

(a)      Jika tidak ada seorang yang menguruskan mayat, maka semua orang akan berdosa —- pent.

(b)      Istikharah: Minta Allah mengerakkan hati sama ada sesuatu perkara yang hendak dibuat itu baik atau tidak —- pent.

Advertisements