Bahagian ketujuh peraturan kerja-kerja haji ialah Tertib Pekerjaan Haji Yang Lain yakni seperti berikut.

Apabila matahari Hari Arafah terbenam, hendaklah ia keluar dari Arafah dengan penuh tertib dan tenang, sehingga apabila sampai saja di Muzdalifah, ia pun bersembahyang qashar dan jamak antara maghrib dan isya’ pula, dengan satu azan dan dua iqamat seperti yang dibuat sebelumnya. Kemudian ia bermalam pula di Mina pada malam itu. Di Muzdhalifah ia mengutip sebanyak 70 butir batu kecil dan ringan untuk keperluan melempar jamrah nanti.

Sembahyang subuh pada hari itu, hendaklah ditunaikan leboh awal sedikit. Sesudah itu, mulalah ia melangkah menuju Masy’aril Haram, iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah. Di situ Haram iaitu suatu tempat di penghujung Muzdalifah. Di situ ia berdiri sambil terbit matahari hingga sampai suatu tempat yang dipanggil “Wadi Muhassir”. Maka hendaklah ia mempercepatkan gerakan kenderaannya, sehingga dapat mengelilingi Lembah Wadi Muhassir tadi. Jika ia berjalan kaki, hendaklah ia mempercepatkan juga perjalanannya.

Apabila matahari Hari Raya telah terbit, hendaklah ia membaca talbiah dengan takbir Hari Raya beriringan-iringan, yakni sekali masa dia bertabiah dan sekali masa lagi dia bertakbir, sehinggalah ia sampai di Mina semula, di tempat-tempat melempar jamrah yang tiga itu. Pada Jamratul-Ula (Jamrah Pertama) dan Jamratus-Tsaniah, (Jamrah Kedua) tidak ada apa-apa yang wajib dilakukan pada Hari Raya itu, jadi sunnat hanya melaluinya saja sehingga sampai ke Jamratul-Aqabah ini dengan sebanyak tujuh butir batu, mengangkat tangannya dengan menghadap ke arah kiblat atau ke arah jamrah tersebut, sambil membaca pada setiap batu yang mahu dilemparkan itu begini:

“Allah Maha Besar, Kulakukan ini kerana taat kepada Tuhan ar-Rahman dan menolak tipu daya syaitan. Ya Allah! ya Tuhanku! Kulakukan ini kerana mempercayai kitabMu dan menurut perjalanan NabiMu.”

Kemudian ia menyembelih pula korbannya, jika ada korban. Sebaik-baiknya korban itu disembelih oleh tuan punya korban itu sendiri seraya membaca:

“Dengan nama Allah, dan Allah Maha Besar. Ya Allah! Ya Tuhanku! Korbanku ini sebenarnya daripadaMu dan atas namaMu aku mengorbankannya dan kepadaMu pula kembalinya korbanku ini. Terimalah ia daripadaku sebagaimana Engkau menerimanya daripada kekasihMu Ibrahim.”

Adapun korban itu diutamakan dengan unta, kemudian lembu, kemudian kambing jenis biri-biri lebih utama dari kambing biasa, yang putih lebih utama dari yang kelabu atau hitam. Dia boleh memakan dagingnya jika korban tathawwu’, yakni bukan wajib. Dan janganlah hendaknya ia menyembelih korban dari binatang yang tempang, yang cacat seperti terpotong telinga atau kurus badannya.

Sesudah selesai berkorban, barulah ia menggunting rambut. Sebaik-baik selesai pula bergunting dan melempar jamrah maka berhasillah baginya tahallul awal dan dengan itu halallah baginya semua larangan-larangan yang tersebut tadi, kecuali bersetubuh dengan isteri dan akd nikah.

Kemudian bolehlah ia pergi ke Mekah untuk bertawaf menurut cara-cara yang telah diterangkan sebelum ini. Tawaf ini ialah tawaf rukun Haji, dinamakan tawaf Ziarah, bermula waktunya dari tengah malam Hari Raya Haji tetapi lebih utama dilakukan pada Hari Raya itu sendiri. Dia tiada boleh bersetubuh dengan isteri, melainkan sesudah melakukan tawaf ini. Apabila selesai tawaf ini, maka halallah baginya persetubuhan dengan isteri serta terangkatlah semua larangan-larangan yang lain. Sekarang semua kerja-kerja haji telah selesai hanya tinggal lagi ialah melempar batu pada hari-hari tasyrik (iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah – pent) dan bermalam di Mina. Semua ini merupakan kewajiban yang mesti ditunaikan sesudah selesai ihram menurut peraturan-peraturan haji.

Adapun sebab-sebab tahallul ialah tiga perkara:

(1)   Melempar batu di Jamrah

(2)   Mencukur rambut

(3)   Membuat tawaf Rukun Haji

Jika orang haji telah melakukan dua dari tiga perkara di atas itu, maka ia telah beroleh tahallul awal. Sebenarnya tiadalah menjadi salah kalau yang satu didahulukan dan yang lain dikebelakangkan di antara ketiga-tiga perkara itu daripada penyembelihan korban, tetapi yang sebaik-baiknya ia melempar jamrah dulu, kemudian menyembelih dan sesudah itu barulah bercukur dan bertawaf.

Apabila selesai bertawaf ia kembali lagi ke Mina untuk bermalam di sana dan melempar jamrah pada hari-hari berikutnya. Jadi hendaklah ia bermalam di Mina pada malam itu, dan pada paginya iaitu hari kedua dari Raya haji setelah tergelincir matahari ia mandi sunnat kerana melempar jamrah. Lalu menuju ke tempat Jamratul-Ula sambil melempar sebanyak tujuh butir batu. Selesai melempar, hendaklah ia berdiri menghadap kiblat, seraya memuji Allah Ta’ala dengan bertahlil dan bertakbir, dan seterusnya berdoa dengan hati yang hadir dan segala anggota penuh khusyu’ dan khudhu’. Kemudian bergerak pula ke Jamratul Wusta dan melempar lagi tujuh butir batu, seperti yang dibuat pada Jamratul-Ula tadi; selesai melempar ia berdoa pula seperti yang dilakukan sebelumnya. Kemudian bergerak pula ke Jamratul –Aqabah dan melakukan sama seperti sebelumnya juga.

Selesai melempar, kembalilah ia ke rumah dan bermalam di Mina pada hari itu. Esoknya setelah menunaikan sembahyang zohor pada hari tasyrik yang kedua, pergilah ia sekali lagi pada ketiga-tiga jamrah, lalu melempar lagi seperti yang dilakukan pada hari semalamnya, yakni melempar lagi pada tiap-tiap satu jamrah tujuh butir batu; jadi jumlah lemparan kesemuanya ialah 21 butir batu.

Sesudah selesai melempar pada hari tasyrik kedua ini, dia diberi pilihan sama ada mahu terus tinggal di Mina semalam lagi ataupun kembali ke Makkah. Jika ia memilih meninggalkan Mina maka mestilah dilakukannya sebelum matahari terbenam sedangkan ia masih berada di Mina, maka tiadalah dibolehkan keluar lagi wajib menetap di Mina semalam lagi. Hingga ke hari esoknya dan tiada boleh keluar melainkan sesudah melempar sebanyak 21 butir batu lagi, seperti hari sebelumnya.

Meninggalkan tidur atau bermalam di Mina mewajibkan pengeluaran dam. Tetapi jika ia ingin menziarahi Ka’bah pada malam hari dibolehkan hanya dengan syarat mestilah ia kembali tidur di Mina. Hendaklah jangan sampai ia tertinggal sembahyang fardhu bersama-sama Imam di Masjidil-Khaif, kerana kelebihan bersembahyang berjemaah di situ amatlah besar pahalanya.

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk kecil dalam “Peraturan kerja-kerja haji”

Klik untuk kembali ke senarai tajuk-tajuk utama dalam “Kitab Rahsia Haji”