Marah itu sebenarnya ialah secebis api yang bersumber dari api Allah yang bernyala-nyala, yang panasnya naik ke pangkal hati, dan api itu bersemadi pula di dalam lubuk hati hingga berbara, kemudian diselaputi oleh abunya. Daripadanya terpancar sifat congkak yang terpendam di dalam hati setiap orang yang sombong dan bongkak, seperti terpancarnya api dari batu yang bergesek dengan besi.

Orang yang melihat dengan nurul-yaqin (cahaya keyakinan) dapat menyingkap, bahawa dari manusia itu telah ditarik sepotong urat, berhubungan dengan syaitan yang terkutuk, apabila api kemarahannya mula berkobar-kobar, maka hubungan itu menjadi kukuh, sebagaimana pernah diucapkan oleh syaitan sendiri dan diceritakan oleh al-Quran:

Engkau (tuhan) telah menciptakan aku dari api, dan engkau ciptakan ia (manusia) dari tanah.” (al-A’raf: 12)

Bukankah sifat tanah itu sentiasa bertenang dan tetap manakala sifat api pula bernyala-nyala, menyerang, berkobar-kobar dan bergejolak.

Kemudian timbul dari sifat marah itu perasaan-perasaan yang lain; iaitu dendam, hasad dan dengki, dan menerusi sifat-sifat inilah telah banyak orang yang binasa dan banyak juga orang yang rosak. Pokok segala kebinasaan dan kerosakan itu, bersebab dari segumpal daging (hati), jika daging itu dijaga dengan baik, baik pulalah seluruh tubuh.

Jika sekiranya kita telah mengetahui, bahawa sifat-sifat dendam, dengki dan marah itu di antara sifat-sifat yang menarik manusia kepada sebab-sebab kemusnahan dan kecelakaan, maka alangkah perlunya manusia itu untuk mengetahui sebab-sebab pendorongnya atau punca-punca perosaknya, agar ia dapat menghindarkan diri daripada bahaya-bahaya itu, dan agar ia dapat berhati-hati dan menjauhkannya dari hati dengan seberapa yang boleh.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin