Anda telah mengetahui, bahawa ubat segala penyakit mestilah dengan memotong pangkalnya dan melenyapkan sebab-sebabnya. Dengan hal yang demikian, maka anda mestilah mengetahui sebab dan punca timbulnya kemarahan itu terlebih dulu.

Sebab-sebab yang membangkitkan kemarahan itu, ialah meninggi diri, ujub dan bangga, senda gurau, omong kosong, mengejek-ejek, mencela, berbantah-bantah, berlawan-lawan, berkhianat, kemahuan yang tak terbatas pada mencari wang dan menuntut kedudukan; semua sifat-sifat ini merupakan perilaku-perilaku yang tercela di dalam syariat Islam. Seseorang itu tidak mungkin terlepas dari sifat marah, selagi semua sifat-sifat ini masih kekal di dalam dirinya. Maka sayugialah, ia bersungguh-sungguh untuk menghapuskan segala sifat-sifat ini dengan sifat-sifat lawannya.

Hendaklah menyirnakan sifat membesar diri dengan merendah diri, menyirnakan sifat ujub dan bangga diri dengan mengenal diri sendiri, menyimpan sifat memuji diri dengan mengingati diri bahawa ia adalah dari jenis makhluk yang sangat rendah, yang bersatu keturunan dengan bapa yang satu, iaitu Adam a.s. Seterusnya untuk menyirnakan sifat megah diri pula, ialah dengan mengerjakan seberapa banyak kebajikan dan kebaikan dan hendaklah ia menyakini bahawa sifat megah diri atau bangga diri itu, adalah termasuk sifat-sifat yang amat tercela.

Adalah sifat senda gurauan itu, dapat disirnakan dengan menyibukkan diri dengan urusan-urusan agama yang penting, sehingga mengambil masa yang lanjut dari umur, ataupun lebih dari itu. Sifat suka beromong kosong dapat disirnakan dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berguna yang mendatangkan feadah, seperti mencari kelebihan-kelebihan hidup, mendidik diri dengan akhlak dan budi pekerti yang terpuji, dan menlengkapkan diri dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan agama yang boleh menyampaikan kepada kebahagiaan akhirat.

Seterusnya untuk menyirnakan sifat mengejek-ejek itu, dengan mengekang diri dari berbuat sesuatu yang boleh menyakiti orang lain, dan memeliharanya dari apa saja yang boleh menyebabkan orang lain mengejek balik. Sifat suka mencela orang lain dapat disirnakan dengan sentiasa menahan diri dari segala kata-kata yang tidak senonoh, dan memeliharanya juga dari menjawab orang lain dengan kata-kata pedas.

Adapun sifat suka mementingkan diri sendiri, dapat disirnakan dengan banyak-banyak sabar ke atas kepahitan hidup, dan selalu bersyukur terhadap apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sekadar yang termampu, untuk menjaga kemulian diri dari suka meminta-minta dan mengangkatnya dari kehinaan keperluan yang tidak ada batasnya.

Setiap perilaku dari perilaku-perilaku ini, dan setiap sifat dari sifat-sifat ini, memerlukan pengikisan dan pengubatan melalui jalan latihan dan penanggungan terhadap semua percubaannya. Tujuan menjalankan latihan seumpama ini, ialah untuk mengetahui kebencanaan sifat-sifatnya, agar jiwa merasa tidak senang kepadanya, dan melarikan diri dari segala keburukan sifat-sifat tersebut. Kemudian membiasakan diri bersifat dengan sifat-sifat lawannya setakat jangka masa yang panjang pula, sehingga dengan kebiasaan itu dapat diterapkan kepada jiwa sifat-sifat yanfg baru itu, manakala jiwa pun tidak merasa berat untuk menerimanya setelah sifat-sifat itu menjadi kebiasaannya.

Apabila sifat buruk dan tercela itu telah disirnakan dari jiwa dan dihapuskan sama sekali, maka ketika itu jiwa akan suci murni, bersih dari segala sifat-sifat keji, dan barulah ia akan terselamat dari angkara sifat marah yang mencetuskan segala sifat-sifat yang tidak baik itu.

Sementara itu punca utama yang menimbulkan sifat marah pada golongan orang yang bodoh dan jahil itu, ialah anggapan mereka bahawa sifat marah itu adalah semacam keberanian, ketangkasan dan kemuliaan diri. Sebab itulah, maka jiwa orang-orang ini tertarik kepada sifat marah, dan menganggapnya suatu sifat yang baik, Anggapan ini adalah suatu kebodohan dan kejahilan dalam diri, maka suatu penyakit dalam hati dan kurang pentimbangan dalam akal fikiran.

Untuk mengubati penyakit orang-orang bodoh ini, ialah dengan mendengarkan kepada mereka cerita-cerita para ahli penyantun dan pemaaf, dan menunjukkan kepada mereka bagaimana orang-orang itu memilih cara menahan diri dari marah. Cara beginilah yang merupakan sebaik-baik cara, sebab telah dipraktikkan oleh para Nabi dan para ulama yang terdahulu.

**********

Kembali ke senarai kandungan Kitab Mencela Marah, Dendam Dan Dengki

Atau ke senarai kandungan utama Kitab Bimbingan Mukminin