bersambung dari: Pembacaan dalam sembahyang

Sesudah itu, dia pun ruku’, dan hendaklah dia membuat beberapa perkara ketika melakukan ruku’ itu; iaitu mula-mula mengucap takbir untuk ruku’; mengangkat kedua belah tangannya ketika mengucapkan takbir tadi, takbirnya dipanjangkan sedikit sehingga sempurna ruku’nya.

Kedua belah tapak tangannya pula diletakkan ke atas kedua lutut, sedang seluruh jari-jarinya diluruskan berhadapan ke hala kiblat, menjulur di sepanjang betis, manakala kedua lututnya berdiri tegak tidak membengkok. Belakangnya pula diratakan jangan sampai kepalanya lebih rendah atau lebih tinggi dari belakangnya. Kedua sikunya direnggangkan dari kedua rusuknya. Kaum wanita hendaklah merapatkan kedua sikunya kepada kedua rusuknya.

Di waktu ruku’ itu, hendaklah membaca:

“Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung.”

Ini dibaca tiga kali, dan kalau hendak ditambah kepada tujuh atau sepuluh kali pun baik juga, tetapi jika bukan menjadi imam.

Kemudian dia bangkit dari ruku’ untuk berdiri semula serta mengangkat kedua tangannya dengan berkata:

“Allah telah mendengar orang yang memujiNya.”

Tegak berdiri semula pada i’tidal dan bertenang sebentar, kemudian membaca:

“Ya Tuhanku, bagiMu segala kepujian sepenuh langit dan sepenuh bumi dan sepenuh antara keduanya dan sepenuh semua kemahuanMu dari sesuatu benda sesudah itu.”

Dalam sembahyang subuh, hendaklah dia membaca doa qunut pada waktu i’tidal dalam rakaat keduanya; iaitu dari doa-doa yang dituntun dari Nabi s.a.w.

Advertisements