Pendahuluan

Allah s.w.t. telah mengurniakan ke atas hamba-hambaNya dengan mengutuskan NabiNya (Muhammad s.a.w.) dan menurunkan kitabNya (al-Quran) yang tiada didatangi kebatilan dari hadapan atau dari belakang, sehingga terbentang luas bagi para ahli fikir jalan mengambil I’tibar atau contoh tauladan daripadanya; iaitu dikeranakan ianya mengandungi banyak cerita dan berita. Dengan adanya al-Quran, nyata dan teranglah bagi ummat manusia jalan kukuh yang harus ditujui dan titian lurus yang harus dilalui, kerana di dalam al-Quran itu terdapat berbagai-bagai hukum yang memperbedakan di antara yang halal dengan yang haram.

Al-Quran itu laksana cahaya yang menerangkan yang aman dengannya manusia akan terselamat daripada kemegahan diri, dan sebagai penawar yang mengubati segala jenis penyakit yang bersaarang di dalam hati. Barangsiapa berpegang teguh dengan al-Quran, niscaya ia akan terbimbing untuk mendapat petunjuk dan barangsiapa mengamalkan kandungannya niscaya ia akan berjaya dan bahagia.

Berfirman Allah di dalam al-Quran:

“Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kami pasti memeliharanya.” (al-Hijr. 9)

Di antara sebab-sebab yang menentukan terpeliharanya al-Quran di dalam hati sanubari dan di dalam mashaf-mashaf, ialah mengamalkan pembacaannya selalu dan mendalami maksud-maksudnya terus-menerus dengan memerhatikan adab-adab dan syarat-syaratnya, kemudian menurut segala arahan yang terkandung di dalamnya tentang amalan-amalan kebatinan dan tata kesopanan yang lahir. Yang demikian itu amatlah penting sekali untuk diterangkan dan diperincikan.

Advertisements