Berkata Saiyidina Ali r.a:

“Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu.

Ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatanmu.

Orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu.

Sanggup mengorbankan segala-segala untuk kepentingan dirimu.”

Abu Sulaiman ad-Darani rahimahullah berkata pula: jangan sekali-kali engkau bersabahat melainkan dengan salah seorang dari dua orang berikut:

1. Orang yang engkau merasa senang dengannya dalam menguruskan hal-ehwal keduniaanmu.

2. Orang yang engkau dapat menambah faedah dan manfaat dalam hal-ehwal keakhiratanmu.

Memasyghulkan diri dengan bersahabat selain dari dua orang yang tersebut di atas itu, akan menyebabkan kerugian dan menunjukkan kebodohan yang besar.

Adapun berkawan dengan orang yang sangat mementingkan perkara keduniaan semata-mata, adalah semacam meminum racun yang membinasakan. Kerana tabiat manusia itu sentiasa terpengaruh untuk meniru-niru dan mengikut sikap kawan. Dan memang sudah ternyata, bahawa tabiat manusia selalu meniru tabiat rakannya tanpa disedari oleh yang lain.

Jadi bercampur-gaul atau berkawan dengan orang amat mementingkan hal-hal keduniaan semata-mata, akan menarik hati kepada sifat tamak dan sayangkan dunia.

Begitu pula bercampur gaul atau berkawan dengan orang yang zahid atau orang yang mementingkan hal-hal keakhiratan, akan menarik hati kepada cintakan kezahidan.

Oleh itu dimakruhkan persahabatan dengan penagih dunia atau pencinta dunia, dan dianjurkan persahabatan dengan para ulama dan para bijaksana dan cendekiawan.

Luqman memberikan nasihat kepada puteranya katanya:

Wahai anakku! Dampinglah para ulama dan hubungkanlah kedua lututmu dengan mereka, kerana hati itu akan menjadi hidup dengan diresapi hikmat sebagaimana bumi yang mati itu akan hidup semua dengan diresapi air hujan.

Advertisements