Bersambung dari Hak seorang Muslim (5)
Kesembilan belas: Hendaklah engkau memulakan salam kepada sesiapa yang engkau temui sebelum engkau mengajaknya bercakap-cakap. Sesudah itu hendaklah engkau berjabat tangan pula.
Allah berfirman:
“Apabila kamu diberi salam sesuatu salam, maka hendaklah kamu membalas salam itu dengan salam yang lebih baik, ataupun balaslah dengan salam seumpamanya.” (an-Nisa’ : 86)
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Demi jiwaku yang berada di tanganNya, kamu sekalian tidak akan memasuki syurga sehingga kamu beriman dan kamu sekalian tidak akan beriman selagi kamu tidak berkasih sayang. Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu amalan, jika kamu lakukannya nescaya kamu akan saling kasih-mengasihi? Para sahabat berkata: Bahkan, wahai Rasulullah, tunjukkanlah! Berkata Rasulullah s.a.w.: Amalkanlah memberi salam antara satu dengan yang lain di antara kamu!”
Dari Rasulullah s.a.w. lagi:
Orang yang berkenderaan, hendaklah memberi salam kepada yang berjalan kaki. Andaikata seorang dari orang ramai yang memberi salam, cukuplah ia menggantikan yang lain.
Anas r.a. sendiri bila menemui anak-anak di jalanan, dia sering memberi salam kepada mereka. Kata Anas: Saya pernah melihat Rasulullah s.a.w membuat macam itu.
Diceritakan lagi bahawa suatu kali pernah Rasulullah s.a.w. melalui sebuah masjid sedang di situ ada banyak orang yang sedang duduk-duduk, maka baginda pun mengisyaratkan dengan tangannya memberi salam.
Kemudian baginda berkata: Jika seseorang kamu sampai ke suatu majlis, maka hendaklah ia memberi salam kepada orang-orang yang ada di situ. Kemudian jika ia suka duduk, duduklah. Sesudah itu bila ia bangun pula, maka hendaklah ia memberi salam lagi. Tidaklah salam yang pertama tadi lebih berhak (utama) dari yang kedua pula.
Diberitakan juga bahawa kesempurnaan salam itu ialah dengan berjabat tangan.
Berkata al-Hasan: Berjabat tangan itu akan menambahkan kasih sayang antara orang yang berjabat tangan itu.
Diharuskan pula untuk mencium tangan orang yang banyak ilmunya dalam urusan agama, untuk mendapatkan berkat daripadanya, atau untuk memberikan penghormatan kepadanya.
Rasulullah s.a.w. sendiri membenarkan orang mencium tangannya dan kepalanya.
Menundukkan diri ketika berjabat salam adalah terlarang dalam agama.
Tetapi berpeluk dan mencium pernah dilakukan ketika kembali dari pelayaran.
Begitu juga tentang memegang tali kenderaan, kerana menunjukkan penghormatan kepada seorang alim yang menunggangnya, pernah disebutkan dalam atsar.
Ibnu Abbas sendiri pernah melakukan yang demikian ketika menyambut Zaid bin Tsabit.
Bersabda Rasulullah s.a.w.:
“Janganlah seseorang kamu membangunkan seorang yang lain dari tempat duduknya, kemudian dia duduk di tempat itu. Tetapi hendaklah kamu meluaskan tempat bagi yang baru datang dan lapangkanlah.”
Sunnat bagi orang yang baru datang dalam sesuatu majlis, sesudah memberi salam, lalu tiada mendapat tempat duduk di hadapan, hendaklah ia duduk saja di belakang dan tidak pulang meninggalkan majlis tersebut.
Sekali peristiwa sedang Rasulullah s.a.w duduk dalam majlisnya di masjid, tiba-tiba datang tiga orang. Dua antaranya menuju ke majlis Rasulullah s.a.w., maka salah seorangnya mendapat tempat kosong lalu ia pun duduk. Seorang lagi terus duduk di belakang orang ramai. Manakala yang ketiga oleh kerana penuh sesaknya majlis itu, ia pun pulang meninggalkan majlis itu.
Setelah selesai majlis itu, maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: Bolehkah saya memberitahu tentang ketiga-tiga orang yang datang tadi? Yang pertama telah memperlindungkan dirinya kepada Allah, maka Allah pun melindunginya. Yang kedua merasa malu kepada Allah, dan Allah pun turut malu kepadanya. Manakala yang ketiga telah membelakangkan Allah, maka Allah pun membelakangkan ZatNya daripada orang itu.
Ummu Hani pernah memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda bertanya: Siapa itu? Orang memberitahu baginda: Ummu Hani yang memberi salam itu. Maka baginda menjawab selamat datang wahai Ummu Hani.
Akan bersambung lagi hak seorang Muslim dalam posting berikutnya.
July 13, 2011 at 4:09 am
[…] Bahagian 6 […]