Berikut adalah kesimpulan dari berbagai tata cara pergaulan dengan seumum masyarakat, disebutkan dengan ringkas di bawah:

(1) Jangan memandang kecil, rendah atau hina kepada sesiapa pun, sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah mati, kerana bersikap demikian akan membinasakan anda.

Sebenarnya anda tiada mengetahui mungkin sekali orang itu lebih baik nasibnya dari anda di hari belakang. Sekalipun orang itu pada lahirnya fasik jahat, tidak mustahil pula nasib yang semacam itu akan menimpa dirimu sendiri, sehingga anda mengakhiri hayatmu dalam keadaan fasik dan jahat, sedangkan ia mengakhiri hayatnya dalam keadaan baik dan saleh.

(2) Janganlah menilai seseorang itu menurut keadaan dunianya lalu anda memuliakannya. Sebab dunia itu kecil sekali di sisi Allah Ta’ala, segala-gala yang ada di dalam dunia kecil semata-mata

Jangan sampai anda menjual agamamu untuk mendapatkan benda-benda keduniaan, sehingga anda dipandang kecil di mata orang yang memberinya. Mungkin sekali suatu masa kelak, anda tidak akan diberinya lagi, maka ketika itu anda akan kehilangan harga diri di matanya.

(3) Jangan cuba menentang orang lain, sehingga terjadi permusuhan antara kamu bersama, melainkan jika anda melihat sesuatu kemungkaran dalam agama yang dilakukan oleh orang itu maka ketika itulah boleh anda menentang usaha-usaha kemungkaran yang dilakukannya itu.

(4) Jangan merasa puas hati bila mendengar pujian orang di hadapanmu ataupun merasa senang bila ditunjukkan rasa kemesraan dan muka manis terhadapmu, sebab yang demikian itu belum tentu dari hakikat batinnya.

(5) Jangan sekali-kali mengadukan segala hal-ehwalmu yang berupa kesusahan dan sebagainya kepada orang lain sebab dikhuatiri bahawa Allah Ta’ala akan murka lalu diserahkan semua urusanmu itu kepada orang itu.

(6) Jangan harapkan orang lain akan bersikap sama terhadapmu bila berada di belakangmu, sebagaimana yang anda kenal kepadanya di masa berdepan denganmu. Harapan semacam itu adalah sia-sia belaka dan tidak betul.

(7) Jangan terlalu mengharapkan untuk memiliki apa-apa yang ada di dalam tangan orang, nescaya anda akan dipandang hina olehnya. Tetapi apabila meminta sesuatu benda dari seorang kawan lalu diberinya benda itu pada anda, maka itulah seorang kawan yang berfaedah.

Jika ia tidak memberinya, maka janganlah anda mencacinya, kelak ia akan menjadi lawan yang bukan senang bagimu untuk menghadapnya.

(8) Jangan membuang masa untuk menghambur-hamburkan nasihatmu kepada orang yang sudah ternyata tidak mahu menerima nasihat-nasihat itu darimu. Kerana bukan saja ia tiada akan mendengar nasihat-nasihatmu itu, malah ia akan memusuhimu pula.

Kalau perlu dinasihatkan juga, maka hendaklah dengan sindiran, atau memberikan berbagai-bagai contoh dengan bercerita tanpa diberitahukan kepadanya, bahawa dialah orang yang dimaksudkan.

(9) Jika anda mendengar bahawa orang itu pernah mencelamu, atau membuat sesuatu keburukan terhadap dirimu, maka sebaik-baiknya anda serahkan perkaranya kepada Allah Ta’ala, serta anda berlindung dengan Allah daripada bahaya-bahayanya.

Ingatlah jangan cuba memikirkan sesuatu rancang bals terhadap perbuatannya itu, sebab yang demikian itu akan lebih membahayakan diri anda.

Terhadap orang-orang yang membuat salah terhadap dirimu, hendaklah anda tetap menunaikan segala hak-hak mereka, memekakkan telinga dari mendengar segala kebatilan mereka serta mengakui semua hak-hak mereka.

(10) Waspadalah dari berkawan dengan semua peringkat manusia, sebab bukan semua orang dapat memaafkan kekhilafan, atau mengampunkan kesalahan atau menutupkan keburukan. Tetapi biasanya mereka berkira-kira sangat atas yang kecil dan yang besar dan mendengki terhadap yang sedikit dan yang banyak.

(11) Jangan segera menyatakan kecintaanmu kepada orang yang anda belum kenal kesetiaannya dengan cara yang seteliti-telitinya.

Tetapi hendaklah anda berkawan dengannya dalam waktu yang panjang sedikit, di mana anda dapat mencubanya dalam hal-ehwalnya, umpamanya dalam urusan wang ringgit, atau ketika anda dalam keperluan, atau anda cuba berkawan dengannya dalam pelayaran.

Maka jika anda redha dan senang dengan kelakuannya dalam hal-hal yang tersebut di atas tadi, maka barulah anda jadikan dia sebagai kawan. Iaitu kiranya ia lebih tua dari anda, jadikanlah ia seolah-lah ayah, dan kiranya ia lebih muda dari anda, jadikanlah ia seolah-olah anak, ataupun kiranya anda sebaya umur dengannya, jadikanlah ia seolah-olah saudara kandung.

Demikian kesimpulan tata-cara pergaulan dengan semua peringkat manusia.

Advertisements