Ketahuilah, bahawasanya amar ma’ruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah puncak tertinggi dalam agama. Ia merupakan suatu soal yang amat penting sekali, yang kerananya Allah s.w.t. telah mengutuskan para Nabi sekalian.
Andaikata tugas ini dilengahkan dan segala jentera amar ma’ruf dan nahi munkar itu dicuaikan, sama ada dalam ilmu pengetahuan mahupun amalan, tentulah kesesatan bermaharajalela dan kejahilan terus akan melanda setiap orang, dan ketika itu negara akan menjadi rosak binasa manakala rakyatnya menjadi kacau bilau.
Oleh kerana itu maka sewajarnya kita memohon pelindungan kepada Allah Ta’ala agar pekerjaan amar ma’ruf dan nahi mungkar ini tiada terlepas dari puncaknya, sama ada mengenai amalan mahupun ilmunya, sehingga hakikat dan firasatnya tiada terhapus sama sekali, dan sehingga hati manusia tiada dipengaruhi oleh kekeliruan, sampai tertutup dari hati itu ingatan dan perhatiannya kepada Allah.
Dan jangan sampai manusia akan berwenang-wenang menurutkan kemahuan hawa nafsu dan syahwatnya laksana binatang. Ketika itu akan menjadi sukar sekali terdapat di atas muka bumi ini seorang Mu’min dalam ertikata benar-benar beriman, yang tiada akan menghiraukan celaan orang dalam berpegang yang benar dan hak. Tiada perlindungan melainkan kepada Allah saja dan tiada pengharapan melainkan kepadaNya hanya.
Perbincangan selanjutnya, tujuan-tujuan dari kitab amar ma’ruf dan nahi mungkar ini serta kewajiban menyempurnakannya, keutamaannya dan kecelaan dalam melalaikannya akan disusuli dalam posting seterusnya.
Klik di sini untuk baca senarai kandungan Kitab Amar Ma’ruf Dan Nahi Mungkar.
July 11, 2013 at 2:54 pm
[…] Pendahuluan […]