Rasulullah s.a.w. sentiasa memakan apa saja yang disediakan baginya. Apabila hidangan telah tersedia, baginda pun membaca:
“Dengan nama Allah, wahai Tuhanku! Jadikanlah makanan ini suatu nikmat yang disyukuri yang akan menyampaikan nikmat ini kepada nikmat syurga.”
Baginda tidak suka memakan makanan yang panas, ujarnya: Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memberi kita makanan dari api, sejukkanlah makanan itu dulu!
Bila makan, Baginda sentiasa makan apa-apa yang ada paling dekatnya. Baginda makan roti gandum, mentimun dengan kurma mengkal. Kebiasaannya makanannya sehari-hari terdiri dari air dan kurma. Makanan yang paling disukai oleh Baginda ialah daging. Baginda suka juga memakan tsarid (roti bercampur suf) dengan daging, dan suka makan buah qara’ (sejenis buah).
Dari daging kambing yang paling digemari oleh Baginda ialah bahagian rusuk dan bahunya, dan yang tiada digemarinya pula ialah buah-pinggang, bahagian kemaluan jantan atau betina, tempat simpan air kencingnya, daging keras yang tumbuh di bawah kulit kerana sakit. Semua ini adalah makruh memakannya.
Baginda tidak makan bawang putih atau bawang besar. Baginda tidak pernah menjijik sesuatu makanan pun, tetapi jika ingin dimakannya, jika tidak ditinggalkannya. Baginda tidak suka daging biawak* dan hempedu tiadalah ia mengharamkannya. Selesai saja dari makan, Baginda akan berdoa:
“Segala pujian bagi Allah. Ya Allah! Ya Tuhanku! BagiMulah segala kepujian, Engkau telah memberiku makan, sehingga aku kenyang. Engkau telah memberiku minum sehingga aku puas. BagiMu segala kepujian. Tiada teringkarMu nikmatMu, tiada tertinggal bahkan sentiasa diperlukan lagi.”
Sebaik-baik saja baginda selesai dari memakan daging, akan dibasuhnya kedua tangannya sebersih-bersihnya. Baginda meminum air dengan tiga kali tegukan dengan meminumnya seteguk demi seteguk, bukan ditelannya sekaligus sehingga habis. Setiap kali ia meneguk air itu setiap itulah ia bernafas, bukan di dalam bekas itu tetapi di luarnya.
Seringkali juga bila Baginda berada seorang diri di rumah, Baginda tidak merasa berat untuk menyediakan makanan yang hendak dimakan atau menghidangkannya untuk dirinya sendiri.
****
* Yang dimaksudkan di sini ialah biawak yang hidup di padang pasir dihukumkan halal memakannya, kerana ia hidup di darat saja. Adapun biawak yang terdapat di negeri kita itu adalah haram memakannya, kerana ia hidup di darat dan di laut atau sungai, harap jangan sampai terkeliru – pent.
July 11, 2013 at 1:08 pm
[…] Tata-tertib Rasulullah s.a.w. di waktu menghadapi makanan […]