Berikut kita cuba menyebutkan sedikit dari berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak, yang mana beritanya sudah tersebar dengan luas. Kita sebutkan di sini seringkas-ringkas yang boleh, iaitu:
1. Telah tersiar berita Rasulullah s.a.w. telah menjamu makan kepada segolongan orang yang ramai dari makanan yang sedikit. Iaitu seperti yang berlaku di rumah Jabir, di rumah Abu Talhah, pada hari mengorek Khandaq (Kubu). Pernah berlaku juga suatu masa, Baginda menjamu makan seramai 80 orang dari beberapa keping roti syair yang dibawa oleh Anas kepada Baginda. Mereka sekalian telah memakannya sehingga kenyang sekenyang-kenyangnya, dan sesudah itu ada pula bakinya lagi.
2. Memancarkan air dari antara jari-jemari Baginda, sehingga dapat menghilangkan dahaga seluruh askar-askarnya, padahal mereka sedang dalam keadaan dahaga yang amat sangat. Juga pernah pula mereka itu dapat berwudhu’ dari semangkuk air yang amat kecil, sehingga apabila Baginda hendak memasukkan tangannya ke dalam mangkuk itu pun sukar dikeranakan sempitnya.
3. Rasulullah s.a.w. pernah mencurahkan air yang disediakan untuk Baginda berwudhu’ ke dalam perigi Tabuk, sedangkan perigi itu kekeringan air pada ketika itu, tetapi kemudian memancar semula mata air itu mengeluarkan airnya, sehingga dapat diminum oleh askar-askar yang bilangannya berjumlah ribuan orang dengan puas dan berlebihan lagi. Demikian pula peristiwa yang sama berlaku lagi di salah sebuah perigi Hudaibiah, di mana seramai 1,500 orang telah meminum dari perigi itu, padahal perigi itu perigi buta, tidak pernah berair sama sekali sebelumnya.
4. Pernah Rasululullah s.a.w. melempar tentera musuh dengan segenggam tanah, sehingga penglihatan mereka seolah-olah buta, tidak boleh melihat lagi. Peristiwa ini telah dikuatkan beritanya oleh al-Quran al-Karim sendiri dalam ayatnya yang berbunyi: “Bukannya engkau yang melempar ketika engkau melempar itu, akan tetapi Allah yang melempar.” (al-Anfal: 17)
5. Ada sebatang pokok yang dahulunya Rasulullah s.a.w. pernah berkhutbah di atasnya. Tetapi apabila telah dibuatkan bagi Maginda mimbar untuk digunakan berkhutbah menggantikan batang pohon itu, maka kedengaranlah batang pohon itu seolah-olah menangis seperti suara unta yang mengeluh sehingga suara itu terdengar oleh para sahabat sekalian. Oleh Baginda maka batang pohon itu lalu dipeluknya tanda kesayangan, barulah suara itu diam.
6. Pernah kaum Yahudi mencabar baginda supaya mencita-citakan maut. Lalu Baginda pun bertaruh mengatakan, bahawa mereka sekalian tidak berani mencita-citakan maut. Maka kaum Yahudi itu dapat merasakan kebenaran kata-kata Rasulullah, lalu mereka pun menarik balik cabarannya itu.
7. Pernah Rasulullah s.a.w. memberitahukan tentang berita-berita ghaib, kemudian berita-berita itu berlaku tepat seperti yang ditelahinya, iaitu: Saiyidina Usman bin Affan, pernah diberitahu oleh Baginda bahawa malapetaka akan menimpanya suatu masa nanti dan sesudah itu ia masuk syurga. (Malapetaka yang dimaksudkan itu ialah berlakunya suatu pemberontakan rakyat terhadap pemerintah Khalifah Usman, di mana beliau akhirnya terbunuh syahid, ketika sedang membaca al-Quran). Ammar bin Yasir akan dibunuh oleh segerombolan manusia penganiaya. Al-Hasan bin Ali ditakdirkan Tuhan akan mendamaikan antara dua puak Muslimin yang besar. (Semua telahan-telahan itu telah berlaku tepat seperti yang diberitahukan oleh Rasulullah s.a.w. yang telah menjadikan setengah kaum Muslimin insaf dan setengah yang lain tetap atas penganiayaannya)
Dalam suatu peristiwa pula Rasulullah s.a.w. telah memberitahu tentang diri seorang yang berjihad dalam sabilillah, bahawasanya orang itu dari ahli neraka, maka orang itu talah diintip-intip oleh seorang sahabat dan mendapatinya telah membunuh diri sendiri disebabkan tidak tertahan lagi oleh pedihnya luka-luka di badan.
Semua telahan-telahan ini adalah perkara-perkara yang bersumber dari Tuhan, tidak mungkin diketahui oleh sesiapa dengan apa cara sekalipun. Tidak pernah pula diketahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah mengambil sumber pengetahuannya tentang perkara semacam rumusan atau dengan ramalan, atau secara kasyaf, bukan pula dengan rumusan atau dengan ramalan tetapi kesemuanya adalah datangnya dari Allah yang telah memberitahukannya menerusi wahyuNya.
December 20, 2011 at 1:02 am
[…] bersambung dari Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. (1) dengan menyebutkan lagi berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak seringkas-ringkas yang […]
February 3, 2013 at 1:21 am
[…] bersambung dari Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. (1) dengan menyebutkan lagi berbagai-bagai mukjizatnya yang banyak seringkas-ringkas yang […]
July 11, 2013 at 2:39 pm
[…] Mukjizat-mukjizat Rasulullah s.a.w. dan sambungan bahagian ke 2 […]